Home Novel Cinta Pemilik Hati Paling Chill
Pemilik Hati Paling Chill
Eina Afrina
14/1/2018 11:37:04
21,513
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 1

PUKUL 5.50 pagi, kedengaran sayup-sayup alunan azan dari masjid berdekatan. Itu suara Shahrul Nazril. Syamin pasti sekali. Alunan azan dilafazkan dengan terang dan jelas. Syahdu dan lunak suaranya membangunkan seluruh penduduk kampung untuk menunaikan kewajiban kepada Maha Pencipta.  

Syamin bangun dan terus ke bilik air ingin mengambil wuduk. Dia mahu segera ke bilik sebelah untuk solat subuh berjemaah bersama Mak Leha. Dulu sewaktu Mak Leha sihat, Mak Leha selalu solat berjemaah di masjid, tetapi sekarang faktor kesihatan membatasan sedikit pergerakan Mak Leha. Mak Leha hanya ke masjid pada waktu tertentu sahaja.

Solat subuh dilaksanakan dengan sempurna berserta bacaan doa. Sebaik semuanya sudah selesai, Mak Leha seperti rutin biasa, meneruskan bacaan ayat-ayat suci Al Quran. Syamin kembali semula ke biliknya. Masih terlalu awal untuk bersiap ke tempat kerja. Dia berbaring di atas katil sambil membelek telefon bimbitnya.

Sudah agak lama Syed Ridwan tidak menghubungi dia. Berhubung melalui WhatsApp juga jarang-jarang sekali. Sibuk benarkah agaknya dia? Syamin merenung skrin telefon bimbitnya. Melihat gambar-gambar kenangan dia bersama Syed Ridwan semasa bekerja sebagai chef di sebuah hotel di Shah Alam dahulu. Kenangan yang terpaksa dia tinggalkan demi seorang ibu yang dikasihi. Sekarang Syamin bekerja di sebuah pusat servis kereta yang terletak di pekan. Tidaklah begitu jauh dari rumah. Lebih kurang 15 minit perjalanan menaiki Nicolas.

Mata Syamin beralih pada sekeping gambar curi yang diambilnya di bengkel beberapa hari yang lalu. Gambar Nazril sedang membaiki kereta. Syamin sendiri tidak tahu mengapa dia perlu mengambil gambar Nazril secara curi? Mungkin dia sudah tiada kerja yang hendak dibuat agaknya. Syamin tersenyum sendiri.

“Tak bersiap lagi?”

Tiba-tiba Mak Leha menegur dari muka pintu bilik yang sememangnya sudah terbuka luas.

Syamin melirik jam dinding. Sudah pukul 7.30 pagi. Baru Syamin tersedar dia masih belum bersiap untuk ke tempat kerja. Malah belum mandi lagi. Leka memerhati wajah-wajah di dalam telefon bimbit yang langsung tak memberi sebarang faedah, sedangkan matahari sudah mula menyingsing.

“Sya nak mandilah ni,” ujar Syamin sambil bangun dari katil. Dia mencapai tuala dan terus bergegas ke bilik air.

Mak Leha geleng-geleng kepala melihat gelagat anak bungsunya itu. Terdetik di hati Mak Leha ingin melihat apa yang dibelek Syamin di telefon bimbitnya itu. Mak Leha melangkah masuk ke dalam dan mencapai telefon bimbit Syamin yang berada di atas katil. Mak Leha melihat gambar Nazril yang terpapar di skrin. Dahinya berkerut sedikit. Mak Leha meletakkan semula telefon bimbit Syamin di atas katil. Dia terus melangkah ke dapur untuk menyiapkan sarapan.

Lebih kurang 30 minit, Syamin muncul di dapur sudah lengkap dengan uniform kerjanya.Waktu pagi begini Syamin hanya minum secawan milo dan sekeping roti bakar,sudah memadai. Mak Leha tidak perlu menyiapkan makanan yang berlebih-lebihan.

“Sya pergi kerja dulu, ibu. Dah lambat ni,” kata Syamin setelah selesai menghabiskan sarapannya.

“Hati-hati bawak kereta tu. Dah lambat ni, jangan nak berlumba pulak atas jalan tu,” pesan Mak Leha. Bukan dia tak tahu perangai anak daranya yang satu ini. Bawa kereta macam nak ribut kalau sudah terlewat. Risau betul Mak Leha dibuatnya.

“Okey,”jawab Syamin tersengih.

Selesai bersalaman, Syamin terus masuk ke dalam Nicolas dan menghidupkan enjin kereta.Mujurlah ada Nicolas. Dia tak dapat membayangkan hidupnya tanpa Nicolas.

Siapa Nicolas? Nicolas adalah nama manja kereta Proton Satria milik Syamin. Walaupun kereta itu sudah agak lama dan kelihatan agak uzur, tetapi Syamin cukup sayangkan kereta itu. Itu adalah kereta secondhand yang dia beli hasil titik peluhnya sendiri semasa bekerja di Shah Alam dahulu. Tiada siapa berani menyentuh kereta itu selain dia.

“Ops! Ops! Tunggu dulu!”

Tiba-tiba Hana muncul di hadapan kereta Syamin. Nyaris-nyaris Syamin terlanggar Hana yang datang secara tiba-tiba menaiki motosikal. Syamin menurunkan cermin tingkap keretanya. Pagi-pagi dah datang rumah orang, apa hal ni?

“Sikit lagi aku terlanggar kau,” rungut Syamin.

Hana hanya ketawa. Dia merapati Syamin.

“Kau dah nak pergi kerja ke?” tanya Hana.

“Iyalah,takkan nak pergi tengok wayang pulak,” perli Syamin.

Hana tersengih.

“Manalah tahu kot-kot kau nak pergi pasar beli ikan. Bolehlah aku tumpang sekali,” kata Hana dengan selamba.

“Tak ada maknanya aku nak pergi pasar. Kau tahu kan, aku pergi pasar seminggu sekali aje. Hari Sabtu. Kalau kau nak tumpang tunggu sampai Sabtu ni.”

Hana ketawa lagi.

“Aku gurau ajelah,” tukasnya.

Syamin menjeling jam di dashboard kereta.Dia akan semakin terlewat jika terus melayan Hana. Hana pun satu, time nak datang langsung tak sesuai!

“Kau tak kerja ke hari ni?” Syamin pula bertanya.

“Kerja,shif petang,” jawab Hana.

Hana bekerja sebagai jururawat di hospital berdekatan. Kadangkala Syamin sendiri keliru dengan kerja shif Hana. Pagi, petang dan malam. Hanya Hana saja yangtahu aturan kerjanya itu.

“Okeylah,aku dah lambat nak pergi kerja ni. Kalau nak sembang tunggu aku balik kerja nanti,” kata Syamin.

“Sampaikan salam aku pada Nazril,” pesan Hana.

Syamin tidak jadi mahu menutup cermin tingkap keretanya. Dia kembali memandang Hana.

“Macamlah kau tak jumpa Nazril tu sampai nak berkirim salam bagai,” keluh Syamin.

“Apa salahnya?”

“Suka hati kaulah, Hana.” Syamin terus menutup cermin tingkap kereta.

“Jangan lupa sampaikan salam aku pada Nazril!” jerit Hana.

Syamin malas melayan. Dia anggukkan saja kepalanya. Dalam ramai-ramai lelaki yang masih wujud di kampung yang permai ni, kenapa Nazril juga yang Hana gilakan?

Syamin memandu Nicolas dengan laju. Kalau dia lambat tentu Nazril akan membebel pada dia. Baru tiga bulan kerja sudah pandai datang lambat. Ini semua salah Hana. Sanggup datang ke rumah semata-mata nak kirim salam pada Nazril. Huh, tak sesuai betul!

Hai,Syamin…kau jealous ke? Kau kan dah ada Syed Ridwan. Takkan Nazril pun kau nak kebas sekali? Bibir Syamin berdecit.Tapi apa salahnya kalau Nazril pun suka kat aku? Aku lebih banyak peluang untuk dapatkan Nazril kerana Nazril sentiasa ada di depan mataku semasa di High Power.Sedangkan Hana, hanya mampu kirim salam saban hari. Syamin geleng-geleng kepala. Cuba membuang hasutan syaitan yang sedang berbisik di telinga. Dia takkan sekali-kali tikam kawan daripada belakang. Itu bukan prinsip hidupnya.

Syamin parkir di hadapan bangunan High Power. Encik Asrul lekas-lekas keluar dari pejabat. Alamak! Pak cik ni dah sampai dulu? Mimpi apa agaknya pak cik ni datang awal hari ni? Biasanya Encik Asrul akan tiba di High Power tak kurang daripada pukul 10.00 pagi. Bos katakan.

“Jangan parking di situ. Itu tempat parking customer,” tegur Encik Asrul.

“Oh,sorry… tak tahu pulak di sini tak boleh parking,” ujar Syamin tergagap-gagap.

“Sekarang awak dah tahu. Lekas alihkan kereta tu,” gesa Encik Asrul.

Syamin masuk semula ke dalam kereta. Dia mengalih Nicolas ke sudut yang lain pula.Kali ini bersebelahan dengan kereta Nazril. Kereta Proton Wira yang sama buruknya dengan kereta Syamin. Nampaknya mereka ada minat yang sama. Gemarkan koleksi kereta-kereta antik buatan Malaysia.

“Kenapa Encik Asrul datang awal hari ni?” soal Syamin pada Udin yang kebetulan berada tidak jauh dari situ.

“Entah.” Udin jongket bahu.

“Nazril mana?” soal Syamin pula.

“Datang-datang aje terus tanya Nazril. Kita orang ni tak nak tanya ke?” sampuk Isa, salah seorang mekanik di High Power selain Nazril dan Udin. Malah ada beberapa orang lagi mekanik yang tak perlu disebut namanya di sini. Tak penting pun nak sebut semua kan?

“Korang dah ada depan mata buat apa nak tanya?” balas Syamin.

Udin dan Isa tersengih-sengih penuh makna. Syamin enggan melayan. Dia terus masuk ke dalam pejabat sebelum Encik Asrul pula yang menjerit memanggilnya.

“Sya, abang nak pergi bank. Sya jaga kuanter, ya?” pinta Encik Asrul.

“Okey,” balas Syamin sambil meletakkan beg galasnya di bawah meja.

Selalu pun memang dia yang menjaga kuanter sementara menunggu Encik Asrul masuk kerja.Pendek kata, semua kerja di pejabat ni Syamin pernah lakukan, walaupun di luar skop pekerjaannya sebagai seorang kerani. Syaminlah customer service, sale marketing, akauntan dan pelbagai lagi. Nasib kaulah Syamin!

Sebaik saja Encik Asrul beredar, Syamin keluar semula ke ruang bengkel. Pagi-pagi begini pelangan masih belum ramai. Syamin mencari Nazril. Bukan apa, sekadar nak sampaikan salam Hana sebelum dia terlupa.

“Naz,”panggil Syamin.

Nazril menoleh lalu tersenyum. Manis pulak senyuman dia pagi-pagi begini.

“Sya.” Nazril pula membalas. Suara Nazril sentiasa lembut dan mendayu-dayu sama seperti ketika pemuda itu melaungkan azan subuh tadi. Syamin hanyut seketika dengan kelunakan suara itu. Wake up, Syamin! Dia harus kembali ke tujuan asal dia mahu berjumpa Nazril.

“Hana kirim salam,” beritahu Syamin.

Nazril diam. Tiada jawapan terluah di bibir lelaki itu. Tak tahulah kalau Nazril menjawabnya di dalam hati. Tak kisahlah, yang penting dia sudah melaksanakan permintaan Hana dengan penuh amanah.

 

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.