Home Novel Cinta Pemilik Hati Paling Chill
Pemilik Hati Paling Chill
Eina Afrina
14/1/2018 11:37:04
23,889
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 5


HAZIQ duduk di hadapan Syamin. Memerhati adik bungsunya sedang membaca majalah dengan tekun. Haziq garu-garu kepala. Tidak tahu bagaimana mahu memulakan kata. Dia diselubungi rasa serba salah. Bagaimana jika Syamin berkeras tidak mahu berhenti kerja? Siapa lagi yang mahu diharap untuk menjaga ibu di rumah?  

Syamin buat tidak nampak saja. Ingatkan Haziq sudah tidak mahu pulang ke rumah ini lagi. Rupa-rupanya panjang umur along sekeluarga. Ibu sudah pulang ke rumah barulah nampak batang hidung along yang mancung bak seludang tu. Bertuah betul anak Mak Leha yang seorang ni!

Lama Haziq duduk di hadapan Syamin tanpa berkata apa-apa. Tidak lama kemudian Najwa pula duduk di sebelah Haziq. Kedua-duanya saling berpandangan seperti ada sesuatu yang ingin diucapkan. Syamin hanya menjeling dengan ekor matanya. Apa lagi yang along dan angah mahukan? Ini mesti ada udang di sebalik mi goreng.Bukan Syamin tak tahu peel mereka berdua ni.

“Kenapa ni?” soal Syamin sambil melihat sekilas wajah kedua abang dan kakaknya yang sejak tadi bagaikan patung lilin duduk di hadapannya.

Haziq dan Najwa tersengih mempamerkan gigi masing-masing. Huh, macamlah cantik rupa mereka buat begitu!

“Angah cakaplah,” suruh Haziq sambil menyinggul lengan Najwa sedikit.

“Eh,alonglah yang cakap. Along kan anak sulung,” balas Najwa pula.

Syamin terus menutup majalah lalu meletakkannya di atas meja. Kini matanya tajam merenung Haziq dan Najwa yang berada di hadapannya silih berganti. Sofea yang memerhati daripada jauh sudah tersenyum. Daripada semalam suaminya itu ingin memberitahu Syamin tetapi lidah pula terasa kelu. Takut jika Syamin mengamuk pula. Budak tu bukan boleh dijangka ekpressinya.

“Ada apa sebenarnya ni?” Syamin bertanya lagi. Jika along dan angah masih juga terkemut-kemut begini, Syamin ingin angkat kaki saja. Lebih baik dia main masak-masak bersama Nini dan Wawa di beranda.

“Sya dah kerja di High Power tu berapa lama?” soal Haziq.

Syamin berfikir-fikir sejenak. Macamlah lama sangat. Baru tiga bulan rasanya.

“Tiga bulan,” jawab Syamin.

“Seronok kerja di situ?” soal Haziq lagi bagaikan wartawan.

“Seronok jugalah daripada tak buat apa-apa.”

“Angah dengar Sya sorang aje perempuan di workshop tu?” Najwa pula menyampuk.

Syamin mengangguk. Dulu ada Kak Salmi kerja di situ tapi sudah berhenti kerja kerana faktor kesihatan. Sekarang tinggallah Syamin seorang ibarat sekuntum bunga mawar yang mekar di tengah padang pasir yang gersang.

“Sya tak takut ke?” soal Najwa lagi.

“Nak takut apa, angah?”

“Iyalah,Sya sorang-sorang perempuan dikelilingi ramai lelaki.”

“Diorang semua okey dengan Sya. Kalau tak okey dah lama Sya cabut lari cari kerja di tempat lain,” ujar Syamin membuatkan Najwa terdiam. Sekarang ni bukan senang nak cari kerja. Ramai yang masih menanam anggur. Dia sudah cukup bersyukur dapat bekerja di High Power.

Haziq berdehem.

“Along rasa lebih baik Sya tak payah kerja di situ. Lagipun berapa sangatlah gaji Sya di High Power tu?”

Kini pandangan Syamin beralih pula ke wajah Haziq yang konon-kononnya nampak serius.Mengapa soal gaji pula yang menjadi masalah kepada mereka? Memanglah gaji di High Power tu tak sebesar mana, tapi sekadar untuk keperluan dirinya sendiri lebih daripada cukup. Malah dia masih mampu menanggung ibu dan Nicolas seadaannya.

“Ini bukan soal gaji, along. Sya kerja di workshop tu untuk cari pengalaman.”

“Pengalaman pasal kereta?”

“Ya,apa salahnya?”

“Memanglah tak salah tapi itu bukan bidang yang sesuai dengan Sya.” Haziq membantah.

“Jadi bidang yang sesuai dengan Sya tu apa? Bidang masak memasak, jahit menjahit yang along maksudkan?”

Haziq terdiam. Dia memandang Najwa meminta bantuan. Bukan Syamin Afiffah namanya jika tidak menjawab. Sepatah yang Haziq ucapkan, sepuluh patah balasan yang keluar daripada mulut Syamin. Yang mereka pun satu, banyak sangat pusing-pusing cerita. Kan bagus kalau berterus-terang sahaja.

“Sya tahu kan ibu sekarang tak sihat. Kena ada orang yang sentiasa perhatikan ibu di rumah. Kalau boleh angah tak nak terjadi lagi insiden seperti yang lepas,” kata Najwa.

Haziq angguk-angguk kepala tanda setuju dengan kata-kata Najwa. Kali ini Syamin hanya mendengar. Rasanya dia sudah dapat membayangkan apa yang ada di fikiran Haziq dan Najwa.

“Habis,angah nak Sya buat apa?”

“Kami nak Sya berhenti kerja. Duduk rumah jaga ibu sepenuh masa.” Haziq menjawab bagi pihak Najwa.

Syamin tersandar di sofa. Kan? Sudah dia duga. Dulu dia terpaksa berhenti kerja di Shah Alam dan pulang ke kampung kerana tiada sesiapa menemani ibu di rumah.Syamin akur demi seorang ibu yang sangat dia cintai. Kini setelah tiga bulan berjinak-jinak dan menyesuaikan diri dengan pekerjaan barunya, nampaknya dia harus berkorban lagi.

“Sya,pasal duit Sya jangan risau. Angah dengan along akan masukkan duit ke akaun Sya setiap bulan untuk perbelanjaan Sya dengan ibu. Siapa lagi yang boleh diharapkan? Sya tahu kan, angah dengan along sibuk dengan kerja, tak campur lagi dengan hal keluarga. Sya masih bujang. Tak ada komitmen yang besar. Sya tentu boleh berkorban kan? Demi ibu?” terang Najwa bersungguh-sungguh.

Syamin tidak memberi apa-apa reaksi. Dia hanya memandang Haziq dan Najwa dengan pandangan kosong seolah-olah tiada perasaan. Itu membuatkan Haziq dan Najwa bertambah gelisah.

“Bukan along nak sekat kebebasan Sya, tapi Sya sendiri nampak macam mana keadaan ibu sekarang. Bukan juga along nak lepas tangan pasal ibu, tapi along ada banyak tanggungjawab. Cuba Sya fikir, takkan along yang nak kena berhenti kerja? Along ada anak-anak dan isteri yang along kena tanggung. Angah pulak dah ada kerjaya yang bagus. Sayang kalau angah berhenti kerja,” pujuk Haziq pula panjang lebar.

Ya,memang benar apa yang along katakan itu. Along seorang pilot yang sering terbang ke luar negara. Kerjaya yang cukup bergaya dan membanggakan. Angah pula seorang arkitek yang sedang mencipta nama. Inilah hasil usaha mereka belajar bersungguh-sungguh hingga ke menara gading.  

Sedangkan Syamin, hanya belajar setakat diploma sahaja. Dia sudah tidak mampu menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi. Otaknya sudah tepu untuk belajar. Maka dia pasrah saja dengan apa yang dia miliki sekarang ini. Dia sudah cukup bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia tidak pernah bergantung kepada sesiapa untuk kelangsungan hidup. Malah dia sentiasa ada ketika ibu memerlukan dia. 

“Bukan kami nak kata kerja Sya sekarang tak bagus, cuma antara kita tiga beradik, Sya yang…”

“Sya faham maksud angah. Sya tak ada kelulusan tinggi macam angah dan along. Sya kerja pun biasa-biasa saja. Gaji tak besar macam along dan angah, sebab tu Sya orang yang paling layak untuk berhenti kerja dan jaga ibu. Itu yang angah nak cakap kan?” potong Syamin sebelum sempat Najwa menghabiskan ayatnya.

Najwa dan Haziq tergamam. Mereka saling berpandangan dengan wajah serba salah. Begitu juga dengan Sofea yang hanya jadi pemerhati sejak tadi.

“Along dan angah jangan risau. Sya sanggup korbankan apa saja yang Sya ada untuk ibu.Kalau Sya seorang yang bergaji besar sekalipun, Sya sanggup korbankan kerjaya Sya demi ibu,” kata Syamin. Dia bangun dan terus berlalu masuk ke dalam bilik.

Haziq dan Najwa terus terdiam. Kata-kata Syamin seakan peluru yang menembusi kepala mereka.  

Tidak lama kemudian Syamin keluar semula lengkap memakai tudung. Dia berjalan menonong menuju ke pintu tanpa mempedulikan yang lain.

“Sya nak ke mana tu?” soal Najwa.

“Nak keluar sekejap,” jawab Syamin dan terus menghilang di balik pintu.

 

 

HANA melangkah perlahan-lahan dari belakang Syamin yang sedang duduk di bangku di tepi tasik. Hana lihat Syamin berulang-ulang kali cuba menghubungi seseorang menggunakan telefon bimbitnya tetapi nampaknya gagal. Syamin mendengus geram.

“Hoi!” sergah Hana.

Syamin terkejut lalu telefon bimbit yang ada di tangan tercampak ke atas tanah.Sedikit lagi masuk ke dalam tasik. Nasib baiklah dia tidak latah dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

“Kurang asam kau, Hana! Buat terkejut aku aje!” marah Syamin.

Hana ketawa berdekah-dekah. Dia mengambil telefon bimbit Syamin yang tercampak di tepi tasik. Syukurlah telefon itu tidak masuk ke dalam tasik. Jika tidak,jenuhlah dia hendak mengumpul duit mengganti telefon yang baru untuk Syamin.Kokak-kokak pun RM600 juga harga telefon Syamin itu.

“Kau telefon siapa tadi?” soal Hana sambil menghulur semula telefon itu kepada Syamin.

Bibir Syamin berdecit. Dia menyambut dan memasukkan telefon itu ke dalam poket seluar jeansnya.

“Syed,”beritahu Syamin.

“Syed Ridwan?”

“Iyalah,siapa lagi? Dah banyak kali aku call,dia tak jawab. Mesej pun tak pernah balas tau. Menyampah betul aku!” bebel Syamin. Di saat dia benar-benar perlukan seseorang, Syed Ridwan pula menghilangkan diri. Susah benar dia ingin mendengar suara jejaka JB itu sejak akhir-akhir ini. Dia tak rindu kat aku ke? Bisik hati Syamin.

Hana tersenyum. Pasal itulah muka Syamin mengalahkan ayam berak kapur. Sedang kecewa kekasih hati tak dapat dihubungi rupanya.

“Dia sibuk kot?”

“Syed tu kerja waktu siang aje. Takkan malam pun dia sibuk? Aku rasa mesti ada yang tak kena ni. Sejak kebelakangan ni Syed dah tak macam dulu,” adu Syamin dengan penuh rasa curiga.

“Contoh?”

“Dia dah tak pernah call aku. Dan bila aku call dia, dia macam mengelak nak jawab,” rungut Syamin.

Hana angguk-angguk kepala. Itu adalah simptom-simptom yang menunjukkan Syed Ridwan sudah berubah hati. Tidak 100 peratus benar tapi kemungkinan itu sangat besar.

“Tak payahlah kau fikirkan sangat pasal Syed tu. Ramai lagi lelaki lain dalam dunia ni,” komen Hana dengan selamba. Lagipun Syed Ridwan tu bukan kacak sangat pun.Hana pernah melihat gambarnya di dalam telefon bimbit Syamin. Nazril jauh lebih kacak kot.

“Tapi aku sayang dia, Hana.” Wajah Syamin nampak sayu.

Hana duduk di sisi Syamin. Benarlah bak kata pepatah, cinta itu buta. Bagaimana Syed Ridwan yang ala-ala bangla itu boleh menjadi lelaki idaman Syamin? Hanya Syamin yang tahu jawapannya.

“Kau ingat senang ke orang lelaki nak setia dengan cinta jarak jauh ni?”

“Maksud kau, Syed dah ada perempuan lain?”

Bera tuntuk Hana mengakui. Namun itulah asam garam dalam perhubungan jarak jauh. Jika dulu ada di depan mata semuanya indah saja. Bila sudah terlalu lama berjauhan hubungan itu akan menjadi hambar. Kesetiaan mula goyah. Apatah lagi jika ada yang lebih menarik di depan mata.

“Mungkin,”jawab Hana sepatah.

Syamin tarik nafas panjang. Dia berpeluk tubuh sambil memandang ke hadapan. Merenung air tasik yang tenang. Membayangkan jika hatinya juga mampu tenang seperti air tasik itu. Tenang menerima segala kemungkinan tentang Syed Ridwan. Tenang juga menerima permintaan along dan angah untuk berhenti kerja demi ibu. Siapa lagi yang boleh diharapkan, selain dia?

“Kau ajak aku lepak di tepi tasik ni sebab nak mengadu pasal Syed aje?” Hana bertanya setelah agak lama mereka mendiamkan diri.

“Bukan.Sebenarnya aku tengah dalam dilema,” ujar Syamin.

Hana kerut muka. Dilemalah pulak? Ada-ada saja Syamin ni.

“Dilema apa pulak?”

“Along dengan angah suruh aku berhenti kerja.”

“Apasal?” bingkas Hana bertanya.

“Diorang suruh aku jaga ibu aku sepenuh masa. Kan hari tu ibu aku pengsan tiba-tiba kat rumah. Mujurlah masa tu aku ada di rumah. Bayangkan kalau masa tu aku tengah kerja, macam mana? Bahaya kan?”

“Betul-betul.”Hana angguk-angguk kepala. Kalaulah Syamin lambat bertindak membawa Mak Leha ke hospital, mungkin keadaan Mak Leha menjadi lebih buruk lagi. Mungkin juga boleh membawa maut.

“Betul juga cakap along dengan angah kau tu. Diorang dah kahwin, ada kerjaya yang bagus-bagus pulak. Takkan diorang nak berhenti kerja kan?” ujar Hana.

Syamin mengangguk setuju. Jika dia berkeras tidak mahu berhenti kerja, dia akan kelihatan mementingkan diri sendiri. Dia akan dicop sebagai anak derhaka. Tak mengapalah, demi ibu Syamin sanggup berkorban apa saja. Syamin seakan sudah dapat menerima kenyataan itu. Ibu lebih penting daripada segala-galanya. Dia akan lebih menyesal jika berlaku perkara yang tidak diingini kepada ibunya semasa dia berada di High Power.

“Habis tu, apa lagi yang mengganggu fikiran kau saat ini?” Hana bertanya lagi.

Syamin pandang Hana. Amboi, ayat skema sungguh! Macam skrip dalam drama tv pulak.

“Aku ni jenisnya suka kerja. Tak suka terkurung dalam rumah,” akui Syamin.

“Betul juga kan? Lepas ni tak dapatlah kita lepak tepi tasik macam ni? Tak dapatlah aku kirim salam pada Abang Nazril lagi,” keluh Hana.

“Kau tak habis-habis Nazril kan?”

“Kau pun apa kurangnya? Sibuk pasal Syed tak sudah-sudah.”

“Syed tu boyfriend aku.”

“Abang Nazril tu pun boyfriend aku.”

Syamin terkejut. Sejak bila pulak Nazril rasmi menjadi boyfriend Hana? Kenapa dia tak tahu perkara sepenting itu?

“Sejak bila? Dah declare?” soal Syamin.

Hana tersengih.

“Abang Nazril tak tahu pun.”

“Huh,berangan aje kau ni!”

 

 

Previous: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.