Home Novel Cinta Pemilik Hati Paling Chill
Pemilik Hati Paling Chill
Eina Afrina
14/1/2018 11:37:04
23,911
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 2



SEBUAH Honda CRV hitam berhenti di hadapan High Power. Seorang pemuda keluar dari kereta itu dengan kaca mata hitam melekap di wajahnya. Matanya meliar melihat sekeliling seolah-olah sedang menganalisis persekitaran High Power. Nazril yang melihat dari jauh sudah berasa cuak. Ini pegawai penguatkuasa ke? Tapi takkan dia datang sendirian saja? Bisik hati Nazril.

Dengan penuh gaya lelaki itu melangkah masuk ke ruang pejabat High Power. Syamin yang menyedari kehadiran seorang pelanggan terus melemparkan senyuman.

“Selamat tengah hari,” ucap Syamin.

“Selamat tengah hari,” jawab pemuda itu sambil menanggalkan kaca mata hitamnya. Maka wajah sebenarnya terlihat jelas di pandangan mata Syamin.

“Badrul?” soal Syamin agak terkejut.

Badrul,lelaki nakal yang selalu mengganggu Syamin dan Hana ketika balik sekolah di zaman persekolahan dahulu. Syamin masih ingat dengan wajah itu walaupun sudah agak lama mereka tidak bertemu.

Badrul hanya mengangguk dan tersenyum. Dia memandang Syamin dari atas ke bawah. Nampaknya Syamin juga sudah semakin cantik sekarang. Semakin putih dan gebu. Sayangnya, gadis itu hanya bekerja sebagai kerani di Pusat Servis Proton ini. Agak tidak padan jika hendak dibandingkan dengan dirinya yang sudah pun bergelar pengurus di sebuah syarikat besar di ibu kota.

“Duduklah. Lama tak nampak? Tinggal mana sekarang?” soal Syamin buat-buat ramah. Jika mengenangkan perangai Badrul dahulu, Syamin tak ingin nak berbaik-baik dengan Badrul. Tapi itu semua kisah lama yang sudah jadi sejarah. Badrul yang hari ini mungkin sudah berubah menjadi lelaki yang lebih baik sesuai dengan perubahan usianya.

“Aku kerja di KL. Baru semalam sampai sini,” jawab Badrul sambil duduk di kerusi di hadapan Syamin.

Syamin angguk-angguk kepala tanda faham.

“Ada masalah apa datang sini? Kereta rosak ke?” Syamin menjeling keluar melalui dinding kaca pejabat itu. Melihat kereta Badrul yang masih baru dan cantik berkilat. Nampaknya Badrul sudah menjadi manusia yang berjaya. Gaya berpakaian juga sudah jauh berbeza daripada dulu. Badrul tidak lagi kelihatan seperti penyangak antarabangsa.

“Taklah.Kereta aku kereta Honda, takkan nak repairdi sini. Ini pusat servis untuk Proton saja kan?” tanya Badrul dengan senyuman sinis.

“Betul.”Syamin mengangguk.

“Aku datang ni nak jumpa kau. Aku dapat tahu daripada Mak Leha yang kau kerja di sini. Dah tak kerja di  Shah Alam lagi,”beritahu Badrul.

“Mana kau jumpa ibu aku?” soal Syamin pula.

“Kat pasar pagi tadi. Aku hantar mak aku pergi pasar. Terserempak pulak dengan ibukau.”

Syamin tersentak. Mak Leha pergi pasar? Ya ALLAH! Ibu ni degil betul! Syamin dah pesan banyak kali supaya ibu tidak pergi ke mana-mana bersendirian. Ibu bukan sihat sangat. Boleh pulak senyap-senyap ibu pergi pasar? Hisy, risaunyalah! Bisik hati Syamin.

Syamin kembali memandang Badrul. Rupanya Badrul baru balik daripada pasar. Bukan main bergaya lagi Badrul pergi ke pasar. Dengan seluar slacks dan baju kemeja berlengan panjang ala-ala nak ke pejabat. Nampaknya Badrul begitu menjaga imej meskipun sekadar pergi ke pasar membeli ikan.

“Kau dah lunch?” soal Badrul apabila melihat Syamin diam dan sekadar tersenyum. Dia tahu Syamin agak terpegun melihat penampilannya hari ini. Dia bukan lagi budak kampung seperti dulu. Kini dia sudah berubah 100 peratus.

“Belum.Sibuk sikit hari ni.”

“Aku pun belum. Jom, kita lunch sama,” ajak Badrul.

“Tak bolehlah, Badrul. Sekarang bukan waktu rehat. Awal lagi nak lunch.” Syamin memberi alasan. Kalau waktu rehat sekalipun, dia lebih rela makan di pantri daripada makan bersama Badrul.

Badrul menjeling jam tangannya. Pukul 12.05 tengah hari.

“Selalu kau lunch pukul berapa?” soal Badrul.

“Pukul 1.00.”

“Jangan risaulah. Siapa bos kat sini?”

“Encik Asrul tapi dia dah keluar. Ada urusan di bank,” beritahu Syamin.

Badrul tersenyum lebih lebar lagi. Ini memang peluang baik dia mahu mengajak Syamin keluar.

“Oh,bos tak ada! Baguslah kalau macam tu. Jomlah kita pergi.” Badrul sudah bangun dari kerusi dan ingin Syamin mengikut dia dengan segera.

Berkerut dahi Syamin. Apa yang bagusnya? Takkan nak ditinggal kuanter ni begitu saja?Mahu mengamuk Encik Asrul dibuatnya. Satu lagi, Syamin bukan jenis pekerja yang suka curi tulang ketika bos tiada. Dia mahu mencari rezeki yang halal lagi berkat.

“Tak boleh, Badrul. Kuanter ni kena sentiasa ada orang jaga. Kalau customer datang macam mana?”

Badrul tidak jadi hendak menjawab apabila Nazril tiba-tiba saja masuk ke pejabat sambil memegang fail. Dia sempat menjeling ke arah Badrul sekilas lalu.Ingatkan penguatkuasa tadi, rupa-rupanya Badrul anak Mak Timah yang mulut becok tu, bisik hati Nazril.

“Sya,tolong order absorber untuk kereta Persona tu. Stok dah habislah,” beritahu Nazril kepada Syamin.

“Okey,nanti Sya orderkan.” Syamin mengangguk. Biasanya tugas order spare part ni tugas Encik Asrul, tapi Encik Asrul belum muncul-muncul lagi.Terpaksalah Syamin yang lakukan.

“Cepat sikit tau. Customer nak siap cepat,” tambah Nazril.

“Okey,okey.” Cepat-cepat Syamin menulis di kertas.

Nazril keluar semula. Badrul memandang saja dengan ekor matanya. Tiba-tiba saja timbul rasa meluat melihat muka Nazril. Baru kerja jadi mekanik dah nak berlagak! Bisik hati Badrul.

“Nazril tu dah lama kerja sini?” Badrul ingin tahu.

“Lama jugak. Dia ketua mekanik di sini,” beritahu Syamin.

Badrul mencebik bibir. Setakat ketua mekanik, apalah sangat! Hebat lagi aku!

“Apa kata, kau suruh aje si Nazril tu jaga kuanter ni sementara kau pergi lunch dengan aku?” Badrul memberikan cadangan.

Hadoi! Tak habis-habis lagi dengan lunch.Melihat gaya Badrul yang mengada-ngada itu saja sudah cukup buat Syamin keringhati mahu menurut kehendak lelaki itu. Jenis tak faham bahasa rupanya!

“Nazril tu mekanik. Ini bukan tugas dia,” bidas Syamin.

Badrul mendengus. Pantang betul jika kehendaknya tidak dituruti. Susah payah dia datang ke mari dengan menayang kereta Honda CRV. Ingatkan bolehlah dia mencairkan hati Syamin dengan mudah.   

“Kauni banyak alasanlah, Sya. Aku ajak elok-elok kau menolak pulak. Kau ingat senang ke aku nak ajak perempuan makan dengan aku? Susah tau. Kau ni kira bertuah sangat,” kata Badrul sambil memandang Syamin dengan wajah tak puas hati.

Syamin terpinga-pinga memandang Badrul. Bertuahlah sangat kan! Bertuah nenek kau!

“Kau nampak kereta aku tu? Baru seminggu aku beli tau. Masih wangi lagi. Takkan kau tak nak rasa naik kereta aku yang mahal tu?” sambung Badrul lagi dengan bangganya.

Syamin rasa seperti mahu muntah. Ingatkan Badrul yang kuat berlagak dahulu sudah berubah, rupanya masih sama. Ciri-ciri kepoyoannya masih terserlah sehingga kini.

“Tak apalah, terima kasih,” balas Syamin dengan sopan.

“Tak payah nak malu-malu. Kau ikut aje aku.” Lagak Badrul seperti memaksa pula membuatkan Syamin takut.

“Aku tak nak. Kau tak faham ke?” bidas Syamin dengan kasar.

“Jomlah!”Tiba-tiba saja Badrul menarik tangan Syamin membuatkan gadis itu tersentak.

“Lepaslah!” jerit Syamin, cuba sedaya upaya menarik tangannya semula. Namun pegangan tangan Badrul terlalu kejap dan kuat.

“Hoi,mangkuk!”

Tangan yang memegang tangan Syamin sedikit longgar mendengar sergahan itu. Cepat-cepat Syamin menarik tangannya dari genggaman Badrul. Badrul menoleh ke belakang. Nazril berdiri tegak di muka pintu dengan wajah menyinga.

“Kau buat apa ni?” soal Nazril sambil berjalan menghampiri Badrul.

Udin pun ada bersama-sama dengan Nazril. Syamin berasa sangat lega. Badrul memang tak guna. Berani dia bertindak begitu di sini? Dasar manusia suka mencari bala.

“Kau diam boleh tak? Ini urusan aku dengan Sya. Kau jangan masuk campur!” tengking Badrul pada Nazril.

“Kau ingat aku nak pandang aje apa yang kau buat pada Sya?” soal Nazril semula.

“Suka hati akulah. Kau siapa nak halang aku? Abah dia? Abang dia? Atau suami dia?” soal Badrul dengan nada sinis.

Nazril memandang tajam ke arah Badrul. Sudah dia duga, lelaki mangkuk ni datang ke sini dengan niat tidak baik. Bukan dia tidak kenal dengan Badrul.  

“Kalau kau tak ada apa-apa urusan di sini, baik kau pergi. Jangan buat kecoh kat sini,” sampuk Udin yang kini berdiri di sebelah Nazril.

Badrul mendengus.

“Hah,ni lagi sorang! Semua orang kat sini memang suka masuk campur hal orang ke?”

“Kami bukan nak masuk campur urusan kau, tapi kau sekarang ni sengaja cari masalah di tempat aku. Baik kau berambus dari sini sebelum aku yang heret kau keluar,” ugut Nazril dengan berani.

Hey, come onlah! Sya pun tak kisah aku pegang-pegang dia. Kau orang pulak yang lebih-lebih,” tukas Badrul.

“Badrul,bila masa aku cakap, aku tak kisah?” Syamin membidas dengan geram.

“Alah,aku tahu sebenarnya kau suka kan? Saja kau buat-buat jual mahal. Bukan aku tak perasan, sejak tadi kau jeling-jeling kereta Honda aku tu,” kata Badrul sambil berpeluk tubuh dan tersenyum.

“Pergi jahanamlah dengan kau punya Honda tu. Kau ingat aku heran sangat ke?” gumam Syamin.

Badrul tersentak mendengar kata-kata Syamin. Dia memandang Nazril dan lelaki itu hanya tersenyum mengejek ke arahnya.

“Eh,kau ingat kau tu cantik sangat ke? Setakat muka macam kau ni berlambak aku boleh jumpa di KL tu!” sergah Badrul pada Syamin.

“Kalau dah berlambak, kenapa kau datang sini?” soal Syamin dengan dada yang membara.

Badrul terdiam. Matanya begitu tajam merenung Syamin. Nazril berdiri di hadapan Badrul, sekali gus menghalang pandangan Badrul untuk merenung Syamin.

“Baik kau pergi sekarang sebelum aku hilang sabar,” kata Nazril sambil mengheret lengan Badrul menuju ke pintu.

Tiba-tiba Badrul berpaling ke arah Nazril dan ingin melepaskan tumbukan. Namun Nazril lebih pantas mengelak. Satu tumbukan padu mengena ke muka Badrul membuatkan Badrul tersungkur ke lantai. Ada darah merah mengalir di bibir Badrul. Nazril berdiri tegak di hadapan Badrul. Bersedia jika Badrul masih mahu tunjuk jantan dengan dia.  

Syamin yang melihat hanya mampu terkedu. Tiada apa yang mampu dia lakukan untuk meleraikan keadaan. Lagipun, memang Badrul yang datang mencari pasal. Memang layak Badrul dapat penumbuk sulung Nazril itu.

Badrul bangun perlahan-lahan. Dia mengelap darah di bibir dengan tangannya. Sakit juga penumbuk Nazril rupanya. Sekali lagi terkena mahu dia pengsan.

“Tak apa, kau menang kali ni. Esok lusa belum tentu lagi!”

Sebaik saja berkata begitu, Badrul terus pergi dengan kereta Honda kebanggaannya itu.Macamlah dia sorang saja yang ada Honda CRV. Belum naik Mercedes lagi. Cit,podah!

 

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.