SYAMIN merenung wajah Mak Leha yang sedang lena di atas katil. Terasa sayu hatinya ketika menatap wajah suci itu. Ibu terlalu banyak berkorban untuk anak-anak sehingga kesihatan diri sendiri kadangkala terabai. Makan ubat pun ikut sempat saja sehingga kesihatannya tidak menentu.
Seorang doktor masuk lalu tersenyum ke arah Syamin. Mak ai, handsomenya doktor ni! Sekali pandang dah macam model iklan pula. Syamin membalas senyuman doktor itu seadaanya. Cair jugalah sekejap. Sempat Syamin menjeling tanda nama di dada doktor muda itu. Doktor Zakri. Oh, itu namanya!
Sambil memeriksa fail yang tergantung di hujung katil, Doktor Zakri mendengar serba sedikit penerangan daripada jururawat yang bertugas berkaitan keadaan Mak Leha. Syamin dapat mendengar penerangan yang baik-baik saja daripada jururawat itu. Alhamdulilah.Doktor Zakri angguk-angguk kepala tanda puas hati dengan perkembangan Mak Leha.
“Kalau keadaan mak cik stabil sampai petang ni, esok dah boleh discharge,” ujar Doktor Zakri dengan lemah lembut kepada Syamin.
Syamin tersenyum gembira. Itu berita yang sangat-sangat melegakan.
“Terima kasih, doktor.”
Doktor Zakri terus bergerak ke katil yang seterusnya selepas memberikan senyuman maut kepada Syamin. Ada juga doktor yang kacak begitu rupanya. Sudahlah kacak, lemah lembut dan bersopan santun pula.
“Macam mana keadaan ibu?”
Tiba-tiba saja Najwa muncul di hadapan Syamin membuatkan Syamin terkejut beruk. Setelah dua hari ibu dimasukkan ke wad, baru hari ini angahnya itu muncul. Along lagilah teruk, sampai sekarang tak muncul-muncul. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja.
“Angah ni macam hantu tau tak. Tiba-tiba saja muncul depan Sya,” rungut Syamin.
“Macam mana nak sedar kalau mata tu sibuk pandang sana. Tengok siapa sampai tak berkelip mata?”
Pembohong betul angah ni! Takkanlah mata dia tak berkelip? Setahunya, mata manusia berkelip lebih 15 kali dalam seminit dan kira-kira 15 ribu kali dalam sehari secara automatik. Jika mata dia tidak berkelip bermakna dia ada masalah mata.
“Mana ada pandang siapa-siapa,” dalih Syamin. Nak cuci mata sikit pun tak boleh.
“Angah tanya tadi, keadaan ibu macam mana?” soal Najwa sekali lagi sambil matanya memandang Mak Leha yang sedang tidur.
“Ibu okey. Tekanan darahnya dah stabil,” jelas Syamin.
“Syukurlah,”ucap Najwa.
Nyata dia lega mendengar penjelasan Syamin. Dia berkejar ke hospital daripada KLIA setelah pulang daripada tugasnya di Korea. Mujurlah ada Syamin yang menjaga Mak Leha di rumah. Keadaan Mak Leha semakin memburuk sejak akhir-akhir ini. Dia harus fikirkan sesuatu supaya ibunya tidak tinggal sendirian di rumah.
“Doktor kata kalau keadaan ibu okey sampai petang, esok ibu dah boleh keluar hospital,” beritahu Syamin lagi.
“Oh,baguslah.” Najwa tersenyum.
Syamin menjeling jam di tangan. Sudah pukul 10.00 pagi. Kalau boleh dia ingin balik ke rumah sekejap untuk membersihkan diri. Terlanjur Najwa sudah ada di sini.
“Along mana?” soal Najwa pula.
Bibir Syamin berdecit. Alongnya itu asyik sibuk memanjang. Jarang mereka dapat berjumpa jika bukan kerana hal-hal penting sahaja.
“Along tak balik lagi. Dia ada di New Zealand,” jelas Syamin.
Najwa geleng-geleng kepala. Nak buat macam mana, sudah tugas Haziq sebagai pilot.Sentiasa terbang ke sana dan ke mari tanpa mengira masa. Mereka terpaksa akur dengan tuntutan kerja masing-masing. Bukan sengaja ingin mengabaikan ibu yang sedang sakit.
“Sya baliklah dulu. Biar angah jaga ibu,” pinta Najwa. Kasihan pula dia melihat Syamin yang menjaga Mak Leha sejak dua hari lepas. Wajahnya nampak keletihan dan tak bermaya.
“Angah tak penat ke? Baru sampai terus nak kena jaga ibu pulak?” Syamin buat-buat bertanya. Padahal memang itu yang sudah terlintas di fikirannya sejak tadi.
“Tak apa, bukan angah yang bawak kapal terbang tu. Nak penat apa?” jawab Najwa.
Syamin hanya tersenyum. Kalau angah yang bawak kapal terbang memang ada harapan kapal terbang terhempas. Bawa kereta pun macam ribut saja, desis hati Syamin.
Syamin memang bersyukur sangat dengan kedatangan Najwa hari ini. Dia memang sudah rindu dengan katil dan bantal busuknya di rumah. Sejak kelmarin dia berada di hospital tanpa mandi. Entah bagaimana agaknya bau badannya ketika ini? Cis! Buat malu saja pada doktor handsome yang merawat ibu tu.
“Nanti kalau ada apa-apa angah beritahu Sya, okey?” pesan Syamin sambil dia mengambil beg yang diletakkan di atas kabinet.
“Iyalah,”balas Najwa lalu duduk di kerusi sebaik sahaja Syamin bangun.
Syamin melangkah meninggalkan wad. Sempat matanya mencari-cari di mana doktor handsome itu berada. Oh, itu pun dia! Doktor Zakri sedang memeriksa seorang pesakit di katil hujung. Senyuman Doktor Zakri sentiasa mekar di bibir untuk pesakitnya. Terasa sejuk saja mata yang memandang.
“Tak payah nak tenung sangatlah,” tegur seseorang.
Syamin menoleh ke empunya suara yang menegur tanpa adap sopan itu. Seperti dijangka,Hana berdiri di belakang Syamin sambil tersengih. Tak sangka hari ni Hana kerja shif pagi.
“Kau rupanya?”
“Kau tenung doktor tu ya?” Hana mengusik.
“Taklah.”Cepat-cepat Syamin menafikan.
“Macamlah aku tak nampak kau perhatikan doktor tu sampai aku kat sebelah pun kau tak perasan.”
Syamin tersengih-sengih malu. Kantoi dengan Hana. Takkan nak pandang pun tak boleh?Bukan luak pun muka doktor yang handsome tu. Jangan Hana salah faham sudahlah. Dia sekadar suka melihat doktor itu,bukan tangkap cintan pun.
“Aku tengok ajelah. Suka pandang muka doktor tu. Nampak baik sangat kan?”
“Dah bertunang,” jawab Hana, walaupun bukan soalan itu yang Syamin tanyakan.
“Oh,iya ke?” Senyuman Syamin mati serta merta. Bukan kecewa, sekadar terkejut saja.Doktor Zakri nampak masih muda. Tak sangka rupanya sudah bertunang. Untunglah siapa yang menjadi bakal isteri Doktor Zakri.
Hana mengangguk.
“Baru dua bulan. Memang tak ada peluang.”
Syamin ketawa.
“Kalau belum bertunang sekalipun memang tak ada peluang. Okeylah aku nak balik ni.” Syamin terus berlalu. Malas dia ingin melayan Hana.
“Siapa jaga ibu kau?” soal Hana membuatkan Syamin berpaling semula ke arah Hana.
“Kak ngah aku. Dia baru sampai tadi,” beritahu Syamin.
Hana mengangguk-angguk faham. Syamin terus melangkah meninggalkan Hana. Dan Hana menyambung semula kerjanya sebagai jururawat di hospital itu dengan penuh dedikasi.
SYAMIN memandu Nicolas pulang ke rumah. Entah bagaimana kereta yang selama ini sihat walafiat boleh tersemput-semput pula di tengah jalan. Beberapa kali terbatuk akhirnya Nicolas sudah tidak bernyawa lagi lalu berhenti di bahu jalan. Syamin hentak tangan ke stereng. Matilah dia! Bab-bab kereta ni bukan kepakaran dia,meskipun dia bekerja di pusat servis kereta.
Syamin keluar daripada kereta. Dia membuka bonet hadapan. Buat-buat pandai kononnya.Padahal satu apa pun tak tahu soal enjin kereta.Sebaik saja bonet diangkat ke atas, asap berkepul-kepul keluar membuatkan Syamin pula yang terbatuk-batuk. Syamin mengibas-ngibas asap dengan tangan sambil memerhati bahagian enjin satu persatu. Tiada apa-apa yang tidak kena.Daripada mana agaknya asap itu keluar? Syamin berfikir-fikir sendiri.
Nicolas sayang, kenapa kau buat hal pulak hari ni? Syamin mengusap peluh yang meleleh di dahi. Sesekali kedengaran bunyi hon kereta daripada kenderaan yang lalu lalang di situ. Syamin mendengus.
“Kalau setakat nak hon saja baik tak payah!” bebel Syamin sendirian. Dia masuk semula ke dalam kereta mengambil telefon bimbit. Dia tiada pilihan lain kecuali menghubungi pusat servis High Power.
Encik Asrul yang menjawab panggilannya. Setelah memaklumkan masalah dan lokasinya,Encik Asrul bersetuju menghantar seorang mekanik untuk Syamin. Syamin berasa sangat lega. Dia duduk di tepi jalan sementara menunggu mekanik sampai. Hampir setengah jam menunggu dengan penuh kesabaran barulah mekanik yang ditunggu dan yang dinanti-nantikan itu tiba dengan menaiki kereta.
Nazril keluar dari kereta lantas berjalan menghampiri Syamin yang sedang melangut di tepi jalan dengan wajah 15 sen. Wajah Syamin terdapat tompok-tompok hitam yang Syamin sendiri tidak sedari. Nazril hanya menahan ketawa. Hendak ketawa takut Syamin marah pula.
“Kenapa dengan kereta Sya ni?” soal Nazril.
“Entah,ada asap keluar dari enjin tu,” beritahu Syamin.
Dalam ramai-ramai mekanik yang ada di High Power, Nazril yang datang ke sini. Ini kalau Hana tahu, bengkek minah tu! Bukan dia tak tahu Hana syok gila pada Nazril, walaupun Nazril tak sekacak Doktor Zakri, tapi bolehlah daripada tak ada!
“Temperature naik agaknya,” komen Nazril.
“Bukan setakat temperature kereta yang naik.Darah Sya pun dah nak naik ni,” kata Syamin. Sudahlah dia risaukan keadaan ibunya yang sedang sakit, kereta pula buat hal di tengah-tengah hari buta ni.Panas kot! Nasib baik ada Nazril datang membantu. Sejuklah sedikit perasaannya.
“Sya dari mana ni?” Nazril bertanya sambil dia membelek-belek enjin kereta Syamin mencari-cari di mana punca kerosakan.
“Hospital,”jawab Syamin sepatah.
“Mak Leha macam mana?” soal Nazril lagi. Dia sedia maklum tentang ibu Syamin yang dimasukkan ke hospital dua hari lepas. Dan kerana itu keadaan di bengkal agak kelam kabut kerana kekurangan kaki tangan di bahagian customer servis.
“Alhamdulillah,dah sihat sikit. Esok dah boleh keluar,” jelas Syamin sambil tersenyum.
Nazril gembira mendengar berita itu. Jika Mak Leha sudah sihat bermakna Syamin pun akan cepat masuk kerja. Syamin satu-satunya penyeri di High Power. Satu-satunya bunga yang menjadi penyejuk mata dan pelaris perniagaan. Tanpa Syamin segalanya terasa malap, suram dan kelam.
“Ambilni.” Tiba-tiba Nazril menghulurkan sapu tangannya kepada Syamin.
Syamin terpinga-pinga memandang sapu tangan dan muka Nazril silih berganti.
“Nak buat apa?” soalnya.
“Lap muka tu. Ada jelaga,” kata Nazril sambil tersenyum.
Syamin sentuh wajahnya sendiri. Memang ada kesan-kesan hitam beralih ke jarinya.Hadoi, malunya! Patutlah Nazril asyik tersenyum-senyum saja sejak tadi. Ini tentu jelaga daripada asap kereta yang berkepul-kepul itu tadi. Bertuah punya Nicolas!