“Hadiah untuk kakak kau.”
Ayra menghulurkan
hadiah yang dibalut kemas pada Nadira. Gadis itu menyambut hadiah yang dihulurkan.
Nadira kelihatan cantik, manis dan wow, seksi! Nadira mengenakan kebaya singkat
yang jarang. Kelihatan korset hitam separas dada. Bahunya jelas kelihatan di
sebalik bajunya yang jarang. Kainnya terbelah paras peha. Terkejut Ayra dengan
pakaian Nadira. Tambah-tambah lagi bila melihat Nadira tidak mengenakan tudung.
Rambutnya yang berombak dilepaskan. Memang mengancam!
Mungkin inilah Nadira yang sebenar. Kalau dceritakan pada
Suhaila dan Aisyah, pasti gempak. Namun, Ayra sudah buat keputusan untuk
mendiamkan diri saja.
“Kau dan Dean... ada apa-apa ke yang aku belum tahu?”
Mata Nadira silih
berganti hinggap pada wajah Ayra dan Dean. Takkanlah mereka dah sah jadi
pasangan kekasih?
“Isy, kami tak ada apa-apa.”
Ayra segera menepis
tekaan Nadira.
“Ada!”
Dean senyum-senyum.
Saja nak mengenakan Ayra yang sudah bertukar kelat raut wajahnya.
Ayra mencerlung. “Jangan nak mula!”
Nadira tergelak. Dean ketawa kecil. Nadira amati wajah
Dean. Kacak! Sebab itulah dia tertarik hati pada lelaki itu sejak di minggu
orientasi lagi. Nadira pernah minta bantuan Aisyah untuk merisik Dean. Dia
berkenan dengan raut wajah Dean. Aisyah diminta menjadi orang tengah.
Aisyah mengajak Ayra
menemaninya untuk merisik Dean. Mereka ajak Dean keluar makan-makan. Aisyah menggunakan
ayat berlapik untuk memastikan status Dean. Dean mengaku yang dirinya masih belum
berpunya.
Bila Aisyah suarakan
pada Dean soal perasaan Nadira terhadapnya, lelaki itu terus menolak dengan cara
baik. Belum terasa ingin dicintai dan mencintai lagi, kata Dean. Aisyah sampaikan
pada Nadira. Mulanya Nadira tak dapat terima penolakan Dean. Langsung dia tak
boleh memandang lelaki itu apa lagi hendak berbual-bual dengannya.
Lama-kelamaan dia terpaksa menerima hakikat yang Dean bukan miliknya...
Selepas kecewa kerana
cinta ditolak, tak lama kemudian Nadira dipertemukan dengan seorang lelaki yang
pada pendapatnya jauh lebih kacak dan hebat daripada Dean. Ada hikmahnya
apabila Dean menolak cintanya. Rupa-rupanya dia akan dipertemukan dengan lelaki
yang betul-betul membuatkan dia gila bayang.
“Eh, kamu berdua pergilah makan dulu. Macam-macam masakan
ada tu. Pergi ambik sendiri ye.”
“Pengantin dah tiba ke belum?”
Kepala Dean
terteleng-teleng mencari pengantin.
“Belum lagi. Korang pergilah makan dulu. Tetamu bertambah
ramai ni.”
“Jom isi perut cepat. Kita tak boleh lama-lama kat sini.”
Ayra malas hendak
berlama-lama di rumah Nadira. Lepas makan, dia mahu ajak Dean pulang ke Ipoh
segera. Paling lewat pukul 3.00 petang kena bergerak.
“La... kenapa nak balik awal sangat. Sabarlah dulu.
Tunggulah sehingga pengantin tiba. Aku jadi pengapit kakak aku tau!”
Nadira bersolek habis-habisan untuk nampak cantik. Hari
ini dia hanyalah pengapit pengantin, beberapa bulan lagi dia pulak yang akan
menjadi pengantin.
Pengapit rupanya.
Patutlah bergaya sakan, bisik Ayra. Dia memerhati raut wajah Nadira yang jauh berbeza
daripada biasa. Khabarnya, Nadira menggunakan khidmat juru mekap artis. Kelas
gitu!
“Siapa yang jadi
pengapit lelaki?”
Ayra mengajukan
pertanyaan walaupun dia sudah dapat mengagak, pengapit lelaki tentu teman
lelaki Nadira.
“Pihak pengantin lelaki
mintak kami yang sediakan pengapit lelaki. Jadi...”
“Teman lelaki kau jadi
pengapit?”
“Eh, mana kau tahu aku
ada teman lelaki ni?” soal Nadira manja.
“Ila bagitahu. Dia puji
pakwe kau tu handsomegila.”
Nadira tersipu-sipu malu dengan usikan Ayra. Mukanya
berona merah. Jauh di sudut hati, ada rasa bangga kerana pujian ke atas teman
lelakinya itu.
“Pandai kau simpan rahsia.”
“Tak adalah. Bukan aku sengaja nak diamkan.”
Nadira memang berhasrat untuk memaklumkan satu kelas yang
dia sudah berpunya. Dia juga tak sabar nak perkenalkan teman lelakinya itu pada
rakan-rakan sekelas. Biar semua orang tahu lelaki itu adalah miliknya. Yang
penting, biar Dean tahu, dia mampu mendapatkan seseorang yang jauh lebih hebat
dari lelaki itu.
Kedatangan Dean hari ini memang dinantikan.