“Pukul berapa kau dan Dean nak
bertolak ke Butterworth?”
“9.30 pagi ni. Dean kata, dalam dua ke tiga jam
sampailah. Jomlah ikut sekali.”
Ayra terus memujuk Suhaila yang sedang sibuk membetulkan
cadar. Dia rasa tak sedap hati jika hanya dia dan Dean sahaja yang menghadirkan
diri ke kenduri kahwin kakak Nadira. Gadis itu turut menjemput rakan-rakan
sekelas yang lain. Kalau mereka datang, pasti mereka akan terkejut bila melihat
dia dan Dean datang bersama. Bertambah yakinlah mereka yang dia dan Dean
menjalin hubungan istimewa.
“Eh, tak mahulah!”
Suhaila menggeleng-geleng
kepala dengan dahi berkerut. Dia menepuk-nepuk bantal kekabu, membuang habuk-habuk
yang melekat.
“Dira dah pesan kat aku awal-awal lagi suruh kita semua
pergi. Siap pesan suruh kita bawa teman masing-masing lagi tau. Dia tak kisah kita
nak bawa sesiapa pun. Tunang, teman lelaki, adik, abang, mak, ayah semua dia
jemput.”
Ayra terus memujuk. Dia
berharap sangat Suhaila tak jadi berjumpa tunangnya dan seterusnya dapat
menyertai dia dan Dean ke utara.
“Maksud Dira tu, teman lelaki la. Teringin sangat dia nak
tengok tunang Ila, boyfriend aku.”
Aisyah yang berdiri di
muka pintu menyampuk. Dia melangkah masuk lalu terus duduk di kerusi Suhaila.
“Eh, ke situ pulak. Dia tak sebut pun teman yang kita
kena bawa tu seharusnya seorang lelaki.”
Ayra membetulkan tudung.
Untuk ke majlis kenduri, dia mengenakan selendang dan baju kurung bunga-bunga
kecil. Baju kurung tersebut baru dibelinya sebulan lepas. Dia membeli baju
kurung siap jahit. Sejak melangkah ke alam pekerjaan, dia memerlukan banyak
baju kurung. Dibelinya sedikit demi sedikit. Baju kurungnya sudah ada sepuluh
pasang.
“Hmm... yelah tu. Aku dan Ila satu rumah dengan dia. Kami
faham sangat la dengan perangai dia tu. Tak boleh orang lebih sikit dari dia.”
“Aku no komen.
Setakat yang aku kenal, dia kira okey la. Sesuai untuk dibuat kawan. Suka
membantu. Tak kedekut.”
Ayra memberi komen dari sudut pandangan positif. Nadira
memang gadis yang suka membantu. Kalau dia tak faham sesuatu, Nadiralah tempat
dia bertanya. Nadira tak lokek ilmu.
“Soal tu, aku pun setuju.”
Suhaila akur dengan
sikap murah hati yang ada pada Nadira. Gadis itulah yang selalu memenuhkan peti
ais di dapur dengan beraneka makanan. Siapa nak makan ambil saja. Dia tak
kedekut.
“Cuma dia tu belagak
sikit. Dengan pensyarah tak pernah pun dia nak tunjuk rasa hormat. Anak orang
berada la katakan.”
Itu salah satu sikap Nadira
yang Aisyah tidak gemar. Sukar betul untuk Nadira menunjukkan rasa hormatnya
pada pensyarah apa lagi pada rakan-rakan.
“Eh, orang tua dia kerja apa ye?”
Ayra ada dengar
mengenai status Nadira yang dikategorikan sebagai orang berada. Yang memusykilkan
hatinya, kalau Nadira anak orang berada, kenapa masih nak bekerja dengan
kerajaan atau lebih mudah, kuli kerajaan! Otaknya ligat berfikir sambil tangan memasang
krongsang di bahu kanan.
“Bapa dia tu kan ada perniagaan sendiri. Mak dia pulak
kalau tak silap aku Pegawai PPD.”
Aisyah mencapai sebatang pen lalu diketuk-ketuk atas
meja. Sejak mula berkenalan lagi, dia sudah mengajukan pelbagai pertanyaan pada
Nadira. Kebetulan pula, Nadira memang suka bercerita tentang kehebatan orang
tuanya. Mereka berjaya dalam bidang masing-masing.
“Patut la. Segan pulak aku nak bertandang rumah dia.”
Ayra menyuarakan kegusaran.
“Dean ada. Iqa pun nak pergi juga, kan?”
“Harap-harap jumpa Iqa kat sana.”
Ayra berharap sangat Syafiqah akan memenuhi jemputan
Nadira. Adalah teman di rumah orang kahwin nanti. Tak adalah bosan sangat sebab
ada Dean dan Syafiqah. Nadira pasti tidak terlayan mereka lagi. Pasti dia
sibuk.
“Bercerita pasal Iqa ni... kau rasa, okey ke dia tu?”
Aisyah membuka cerita baru. Suhaila meletak penyapu. Dia
juga macam berminat dengan cerita baru yang akan dibuka Aisyah.
“Okey, kenapa?”
“Dia ada pakwe tak lagi?”
Ayra mengangkat bahu. Dia memang tak tahu status
Syafiqah, masih solo atau sudah berpunya. Di rumah sewa, dia dan Syafiqah
jarang bercerita soal peribadi.
“Cantik, lemah lembut... mesti ramai yang berkenan, kan?”
“Entahlah. Dia tak pernah bercerita dengan aku soal tu.”
“Kau ni, duduk serumah tu cuba la korek rahsia
sikit-sikit.”
Desak Aisyah selamba.
Kalau dialah yang duduk serumah dengan Syafiqah, tentu rahsia gadis tersebut
sudah dikoreknya. Syafiqah ala-ala misteri. Duduk bilik seorang diri. Jarang
berbual kosong atau melepak di bilik rakan-rakan lain. Sesekali berbual,
sopannya mengalahkan gadis Melayu.
“Tak minat.”
Ayra melabuhkan pungung
di kerusi sambil menunggu panggilan dari Dean. Dia tak minat nak korek rahsia
orang. Dia juga ada rahsia sendiri. Silap hari bulan, rahsianya pulak yang akan
dikorek nanti.
“Kau ni...”
Aisyah menggeleng
kepala, agak kecewa kerana dia gagal mendapat info dari Ayra. Suhaila hanya
tersenyum. Hairan Aisyah dengan sikap Ayra yang tak berminat langsung kalau
diajak bergosip.
“Pakwe Dira handsome
tau!”
Suhaila membuka cerita. Aisyah tercengang. Dia memandang
Suhaila, mengharap Suhaila akan bercerita lebih lanjut.
“Kau tau mana?”
“Dia tunjuk gambar. Orang KL. Handsome gila wei. Dia tak tunjuk kau ke?”
Suhaila ketawa mengekek. Tak sangka pulak Nadira hanya
menunjukkan gambar teman lelakinya pada dia seorang.
“Sampai hati dia tak tunjuk kat aku!”
Aisyah menekan telapak tangan dengan penumbuk kanannya.
“Kenduri ni mesti pakwe dia ada jugak. Korang tak
teringin nak tengok live ke?”
Ayra mengumpan rakan-rakan. Aisyah tentu pecah air liur
kalau dapat tengok teman lelaki Nadira depan-depan.
“Bangga gila la Dira tu bila aku melopong tengok pakwe
dia. Memang handsome! Kalau kau
tengok, mesti mulut kau pun melopong jugak Asiyah.”
“Eh, kau rasa member
kita tu suci tak lagi?”
Ayra tersentak dengan pertanyaan Aisyah. Dia memandang
Suhaila. Gadis iti menjongket bahu.
“Siapa yang kau maksudkan?”
“Diralah... siapa lagi.”
“Eh, manalah aku tahu. Wallahualam.”
Ayra geleng kepala,
malas nak ambil tahu soal itu.
“Tengok bentuk badan dia tu, aku rasa dia dah tak ada
dara lagi.”
“Entahlah Aisyah, aku tak pulak perhati bentuk badan dia
sampai begitu sekali. Lagipun, aku bukannya reti baca semua tu.”
“Boleh nampak apa... kau tu prihatin la sikit bentuk
badan wanita yang dah kahwin dan yang belum kahwin. Berbeza apa... Orang lelaki
boleh cam tau wanita yang masih suci dan yang belum. Zaman sekarang kan susah
nak cari gadis yang masih suci. Kalau kau buka internet tu, kau boleh tengok
sendiri ramai gadis yang dah hanyut. Tambah-tambah yang dah ada boyfriend. Sanggup gadai kesucian demi
nak buktikan kasih sayang.”
Ayra tak nafikan kebenaran kata-kata Suhaila. Dunia akhir
zaman. Yang belum kahwin sudah tiada harga diri, yang sudah bergelar isteri,
ada juga yang masih suci....
“Yang lelaki pun dua kali lima. Jangan salahkan kaum kita
saja tau. Budak-budak remaja zaman sekarang ni kebanyakannya terpedaya dengan
janji manis orang lelaki. Kenal sehari dua dah sanggup serah diri.”
Suhaila membela kaum wanita. Ayra angguk setuju. Tak
betul kalau kaum hawa saja yang dikecam.
“Hmm... aku setuju. Lepas tu, berlakukan gejala buang
bayi. Kesian betul dengan bayi-bayi yang tak berdosa ni. Senang-senang je
mereka buang bayi yang tak diingini, macam buang sampah. Kesian bayi tu, mati
kesejukan... ada yang mati kena bakar... ada yang mati kelemasan.”
Ayra terbayang gambar-gambar bayi yang dibuang. Manusia
apakah yang sanggup buang bayi sendiri? Tak sayangkah mereka dengan bayi yang
dikandung sembilan bulan sepuluh hari? Ayra menghela nafas berat. Malas untuk
memikirkan yang selanjutnya.
Isyarat penerimaan mesej kedengaran lagi. Ayra mencapai telefon
bimbitdi atas meja dalam debar lalu
membuka peti mesej.
‘Dah siap belum? Aku kat bawah ni.’
Ayra menarik nafas lega. “Aku gerak dulu.”
“Kirim salam pada Dira.” Ujar Suhaila.
“Jangan lupa ambil gambar pakwe Dira.”
Sempat lagi Aisyah menyampaikan pesanan. Ayra tergelak
kecil sambil menyarung kasut.