“Nak ke mana tu Ayra?”
Langkah Ayra terus
terhenti. Aisyah sedang melangkah keluar dari bilik air di hujung aras. Dia
hanya berkemban. Atas bahunya tersangkut tuala.
“Kedai buku.”
“Pergi dengan siapa?”
Aisyah semakin hampir.
“Dean.”
“Elok la tu...”
Aisyah tersenyum-senyum
penuh makna. Sengaja dia hendak menyakat Ayra. Makin rapat pulak Ayra dan Dean.
Aisyah tumpang gembira.
“Kirim salam kat Dean
ye.”
“Okey.”
Ayra terus bergegas
turun ke tingkat bawah. Lalu di hadapan bilik warden, dia memperlahankan
langkah. Jenuh pula dia hendak menjawab kalau warden menahannya.
Selamat! Dia berjaya
melepasi bilik warden. Nafasnya tercungap-cungap kepenatan menuruni anak
tangga. Kakinya terus melangkah ke pintu pagar.
Matanya tiba-tiba tertancap
ke arah kelibat pasangan dua sejoli di luar pintu pagar. Langkahnya terus
terhenti. Dadanya berdebar-debar. Jantung sudah kehilangan rentak.
Nadira dan tunangnya
sedang bersandar di kereta. Terdengar suara ketawa. Ayra teragak-agak hendak
melangkah melintasi pasangan tersebut. Takut mengganggu mereka. Dan takut
berhadapan dengan lelaki itu!
Jam di tangan
diperhati. Dua minit lagi cukuplah 15 minit seperti mana yang telah
dijanjikannya kepada Dean. Kalau dia tidak melangkah sekarang, Dean terpaksa
menantinya lebih lama. Pasti Dean bengang gila. Nak mintak tolong lain kali,
tentu sukar.
Telefon bimbit tiba-tiba
berbunyi. Ayra segera mengeluarkan telefon bimbit lalu menekan punat menjawab
tanpa melihat nama pemanggil.
“Aku on the way. Kejap lagi sampai.”
“Cepat sikit!”
Suara Dean kedengaran
kasar.
“Ye, ye!”
Ayra terus mematikan
panggilan. Mahu tak mahu dia terpaksa melangkah ke luar pagar. Dia menundukkan
sedikit kepala, dengan harapan Nadira tidak akan menyedari kelibatnya di situ.
Lampu jalan yang agak malap itu diharapkan dapat menyelamatkannya.
“Ayra, nak ke mana tu
laju-laju?”
Ayra terpaksa berhenti
melangkah. Jarak dia dengan Nadira dan teman lelakinya itu hanya beberapa meter
sahaja.
“Keluar kejap.”
Ayra pura-pura sibuk
mencari sesuatu di dalam beg galas. Dia tak ingin bertentang mata dengan Nadira
buat masa sekarang. Dia belum bersedia untuk diperkenalkan dengan lelaki di
sebelah Nadira.
“Dengan Dean ke?”
Ayra sekadar mengangguk
tanpa memandang ke wajah Nadira. Dia masih lagi pura-pura mencari sesuatu di
dalam beg.
‘Ya Allah, kenapa
dengan aku ni? Kenapa aku takut hendak berhadapan dengan teman lelaki Nadira?’
“Aku pergi dulu. Dean
dah lama tunggu aku.”
Ayra terus mengatur
langkah. Panjang langkahnya meninggalkan kawasan tersebut.
Huh, lega! Ayra menarik
nafas. Terasa seperti baru sahaja terlepas daripada harimau yang sedang
kelaparan.
Ayra tak sanggup hendak
memandang wajah teman lelaki Nadira. Dia masih bimbang andai bakal tunang Nadira
itu adalah orang yang sama dengan lelaki yang paling dibencinya di dunia ni.
Dia tak ingin kenangan silam kembali dalam hidupnya lagi. Tak sanggup! Dia
sudah memulakan perjalanan hidup baru.
Langkahnya kembali perlahan
sebaik sahaja dia semakin jauh dari Nadira. Lututnya masih lemah. Kepala otak
pula tak boleh berhenti dari terus memikirkan teman lelaki Nadira.
* * *
Tahu Adiy sedang
bercuti di rumah persinggahan keluarganya, sebuah vila yang sentiasa dijaga, Ayra
terasa segan pulak hendak melintasi kawasan tersebut. Untuk balik ke rumah, dua
harus melalui kawasan Vila Cahaya. Tiada lagi jalan lain yang boleh sampai ke
rumahnya.
Mahu tak mahu terpaksalah Ayra melalui kawasan vila di
kaki gunung tersebut. Matanya terus tertancap ke pekarangan vila. Ada sebuah MPV
tersadai di situ. Benarlah dakwaan Syidah. Jika ada kenderaan tersadai depan
vila, bermakna vila tersebut berpenghuni.
Vila Cahaya adalah kediaman keluarga Dato’ Jamil, bapa Adiy.
Biasanya vila akan berseri-seri pada musim cuti sekolah. Hujung tahun, keluarga
Adiy biasanya akan bercuti di Kundasang. Vila Cahaya menjadi rumah penginapan
mereka.
Hatinya tertanya-tanya tujuan Adiy ke vila tersebut.
Mungkin cuti semester sudah bermula. Dia membuat andaian.
Lehernya panjang memerhati ke pekarangan vila. Tidak
kelihatan kelibat sesiapa di situ. Di mana Adiy? Rindu pula rasa hatinya hendak
berjumpa dengan lelaki itu. Kali terakhir mereka berjumpa sekitar Mac lepas.
Adiy pulang bersama Dato’ Jamil. Adiy menemani Dato’ Jamil yang ada urusan
perniagaan di Kundasang.
Kerana sering berulang
alik dari Kota Kinabalu ke Kundasang, Dato’ Jamil mengambil keputusan untuk
membina Vila Cahaya sebagai rumah persinggahannya. Dia selalu datang ke Kundasang
atas urusan perniagaan selain membawa keluarganya bercuti. Dato’ Jamil
mempunyai beberapa ekar kebun sayur dan strawberi di situ. Khabarnya, Dato’
Jamil hendak menambah cabang perniagaannya dengan membina hotel pula.
Ayra memerhati kawasan halaman di lereng bukit itu. Hatinya
tak keruan selagi tidak melihat kelibat Adiy. Dia mahu memastikan kebenaran
kata-kata Syidah. Mana tahu, mungkin juga Syidah tersalah orang. Mungkin bukan
Adiy yang datang tetapi Dato’ Jamil.
Ayra masih tidak puas
hati. Dia menapak ke kawasan belakang vila. Biasanya Adiy akan lepak di kawasan
tersebut. Adiy gemar menikmati keindahan alam. Dari tempat tersebut, Adiy dapat
menyaksikan sebahagian pekan Kundasang dan juga puncak Gunung Kinabalu.
Nun di hujung sana
jelas kelihatan kelibat seseorang. Hati Ayra melonjak gembira. Terasa ingin
menyapa Adiy, namun bila teringatkan sikap Adiy, dia jadi tawar hati. Adiy datang
senyap-senyap. Langsung tak maklumkan padanya. Sekurang-kurangnya, hantarlah e-melseperti selalu.
Kakinya berhenti
melangkah. Ayra memerhati Adiy dari jauh. Rasa malu menguasai dirinya untuk menegur
Adiy yang begitu asyik menikmati keindahan alam. Adiy duduk di kerusi batu
dengan ditemani setin minuman coca cola. Sayup-sayup kedengaran lagu
berkumandang dari telefon bimbitnya. Dia mengenakan jaket biru.
Ayra ambil keputusan untuk tidak mengganggu Adiy. Dia
lantas memusingkan badan, mahu beredar segera dari situ.
“Ingat tak sudi ke sini.”
Langkah Ayra terhenti bila terdengar
suara Adiy. Jantungnya berdegup kencang.
FB PAGES : KARYA ZZ