“Hoi, berangan ke?”
Dean mengejutkan Ayra
yang sedang mengelamun panjang. Entah apa yang difikirkan Ayra. Bila ditanya,
Ayra akan jawab ‘tak ada apa-apa.’ Sedangkan perilaku yang dipaparkannya memang
menunjukkan ada ‘sessuatu’ yang difikirkan oleh gadis itu.
Terpinga-pinga Ayra.
Sedar tak sedar mereka sudah meninggalkan Butterworth setengah jam yang lalu.
“Sah, berangan!” Dean
geleng kepala, tersenyum. “Sejak tadi aku bercakap seorang diri rupanya.”
“Mana ada aku berangan...
aku tak sihatlah!”
Ayra enggan mengaku
tuduhan yang dilemparkan Dean. Fikirannya melayang ke tanah kelahirannya, nun
di kaki gunung Kinabalu. Terbayang-bayang kenangan indah bersama sahabat
baiknya Syidah yang entah berada di mana sekarang.
“Ye lah tu, macamlah
aku tak tahu. Bila kau nampak aje kelibat teman lelaki Dira, kau pun tiba-tiba
jatuh sakit. Macam ada sesuatu di antara kau dengan lelaki tu.”
Tersentak Ayra dengan
kenyataan Dean yang tak semena-mena.
‘Macam ada sesuatu di
antara aku dengan teman lelaki Dira? Benarkah??? Rupa dan suara yang hampir
sama. Adakah mereka orang yang sama???’
Ingin sekali dia bertanya
sendiri pada Nadira nama penuh teman lelakinya itu. Siap dengan nama bapanya
sekali serta negeri kelahirannya. Barulah dia akan mendapat kepastian adakah
mereka orang yang sama atau hanyalah pelanduk dua serupa.
Ayra harus mengatur
strategi. Dia tidak boleh tergesa-gesa mengajukan pertanyaan demi pertanyaan
pada Nadira. Sudah tentu Nadira akan mengesyaki sesuatu.
“Betul tak tekaan aku
yang kau kenal bakal tunang Dira tu?”
Dean tanya lagi. Diam
Ayra seolah-olah tekaannya sebentar tadi tepat. Menyelinap rasa cemburu di
dadanya andai Ayra dan bakal tunang Nadira saling mengenali. Tambah parah kalau
mereka pernah menjalin hubungan.
‘Ya Allah, kenapa
sampai ke situ sekali fikiranku?’ Dean segera menepis fikiran negatif.
“Aku langsung tak kenal
teman lelaki Dira tu. Malah, aku tak tahu pun yang Dira dah nak melangsungkan
pertunangan. Dia tak pernah bercerita pada aku tentang teman lelakinya tu.
Kalau kau nak tahu, inilah pertama kali aku melihat bakal tunang Dira.”
Ayra memberi penjelasan
walaupun dia sendiri tidak pasti sama ada dia mengenali atau tidak dengan
tunang Nadira. Rasa macam kenal, tapi orang mati mana boleh hidup kembali.
Mustahil!!!
‘Tapi, kalau dia masih
hidup, bukankah aku yang sepatutnya bersyukur??? Bersyukur kerana aku bukan
pembunuh seperti mana yang aku fikir selama ini.’
“Betul ni?” desak Dean.
“Aku tak kisah sama ada
kau nak percaya dengan kata-kata aku atau tak.”
Ayra sudah bosan hendak
memberi penjelasan.
“Pelik! Kalau kau tak
kenal langsung dengan lelaki tu, kenapa dia asyik pandang wajah kau. Lagak dia
tu macam dia kenal sangat dengan kau. Cuba kau ingat kembali, entah-entah dia
tu rakan sekolah kau dulu ke...”
Ayra telan air liur. Dakwaan
Dean hampir menggugurkan jantungnya!
“Di... dia pandang aku?”
Sukar untuk Ayra mempercayai
kata-kata Dean.
“Kau ingat aku reka
cerita ke? Betul kau tak kenal dia?”
Dean inginkan kepastian
lagi.
Ayra geleng kepala. Lemah.
Resah! Bingung!
‘Jika dia memandang
aku, bererti dia mungkin mengenaliku. Bererti dia lelaki yang sama. Jadi
benarlah telahanku. Teman lelaki Dira ialah Adiy. Kalau tak kenal, buat apa
lelaki itu hendak pandang aku pulak.’
Fikiran Ayra jadi buntu
memikirkan dari mana Shahin Adiy muncul. Dari kubur? Mustahil! Shahin Adiy setahunya
tidak mempunyai kembar. Dia juga tidak mempunyai saudara lelaki lain. Adiy anak
tunggal lelaki dalam keluarganya.
Sudah enam tahun Shahin
Adiy hilang dari pandangannya. Sangkanya lelaki itu sudah meninggalkan alam
fana ini.
Ayra mengeluarkan
telefon bimbit sebaik sahaja terdengar isyarat getar. Mungkin mesej dari
Aisyah, dia membuat andaian.
KAU
TAK PERLU SEMBUNYI LAGI. AKU AKAN BONGKAR SIAPA KAU YANG SEBENAR!
Mesej itu lagi! Tak tahu apa yang harus dilakukannya
sekarang. Mesej yang mengganggu fikiran itu menerjah peti simpanannya lagi.
“Siapa yang hantar mesej?”
Terus Dean melemparkan
pertanyaan.
“Maxis!”
Dan itulah jawapan yang
kerap Ayra berikan.
“Muka kau tu... berkerut-kerut. Macam ada yang tak kena
je. Ye ke Maxis yang hantar mesej pada kau?”
“Betul la.”
Ayra meraup mukanya.
‘Sudahlah Dean, jangan
tanya lagi. Kepala aku dah pening.’ Mula-mula dirinya diganggu dengan mesej
misteri. Dan sekarang lelaki yang seiras Shahin Adiy pulak yang muncul. ‘Adakah
semua ini hanyalah satu kebetulan?’
“Kalau kau ada masalah, jangan segan untuk beritahu aku.
Kita kan dah kenal sejak hari pertama mendaftar lagi. Mana tahu, aku mampu
selesaikan masalah kau tu.”
“Maafkan aku Dean... tiba-tiba sahaja aku rasa badan aku
lemah. Tak sihat. Aku nak tidur. Maafkan aku.”
Ayra terus menyandarkan tubuhnya pada kusyen kereta. Dia
pejamkan mata. Dengan cara tersebut, dia berharap Dean akan berhenti
menyoalnya.
“Macam ada yang tak kena je aku tengok kau ni Ayra.”
“Aku penat... tak sihat.”
“Tulah, siapa suruh bersembang sampai lewat malam dengan
si Ila dan Aisyah tu.”
“Kami tak bersembanglah. Kami belajar tau.”
“Yelah tu. Orang perempuan ni bila sekali sekala berjumpa
terus tak ingat dunia. Bersembang, bergosip itu ini lepas tu gelak-gelak sampai
lewat malam.”
Ayra mencebik bibir mendengar komen Dean. Apa yang
disebut Dean ada benarnya. Tapi bukan sebab itu yang membuatkan tubuhnya jadi
lemah. Ada sebab lain yang tak boleh dikongsi dengan Dean atau rakan-rakan yang
lain.
“Cuti Hari Merdeka nanti balik tak?”
Dean ubah topik.
Mungkin Ayra serabut dengan pertanyaannya. Ayra bukan miliknya lagi. Dia tak
berhak mengongkong gadis itu.
“Bila?”
“Eh, Hari Merdeka pun dah tak ingat bila? Macam mana
boleh jadi cikgu ni?”
Dean geleng kepala sambil
tergelak kecil.
‘31 Ogos... ah, cuti lagi!’ Ayra tidak begitu ambil
peduli soal cuti. Dia lebih suka mengajar daripada bercuti. Suhaila dan
rakan-rakan yang lain pula lebih suka bercuti. Mereka boleh balik kampung dan
melakukan pelbagai aktiviti. Dia juga akan menanti cuti seandainya dia boleh
balik ke kampung halamannya.
“Balik tak?”
Dean mengejutkan
lamunan Ayra. Ayra menggeleng kepala.
“Hari Merdeka jatuh hari Isnin tau. Rugi tak balik.”
“Kampung aku tu jauh. Malas la nak balik kalau cuti pendek.”
“Alah, Sabah tu
kan dalam Malaysia lagi. Aku teringin nak ke Sabah. Kalau kau balik, boleh la
aku ikut sekali. Untung kalau dapat berkenalan dengan keluarga kau.”
Dean memang serius. Dia
berniat hendak berkenal-kenalan dengan keluarga Ayra. Bila dah kenal, senanglah
kalau nak masuk meminang. Kalau ikutkan hati, hujung tahun ni jugak dia mahu
mengikat tali pertunangan dengan Ayra. Pertengahan tahun depan terus kahwin.
“Alahai kesiannya... Tak apalah. Nanti aku balik Sabah,
kau ikutlah sekali.”
“Cuti Hari Merdeka ni ye. Mesti cantik kan kampung kau
tu. Dengar cerita tempat tu sejuk sangat.”
Ayra terdiam. Pekan kecil Kundasang terbayang di ruang
mata. Cuaca yang sejuk menggamitnya untuk pulang ke kampung halaman segera. Di
sana, kipas atau alat pendingin hawa tidak diperlukan. Sudah bertahun-tahun dia
tidak menjejakkan kaki ke kampung halaman. Rindu terhadap keluarga di kampung
kekadang mengasak jiwa. Pernah dia termimpikan kampung halamannya tiga malam
berturut-turut. Terjaga sahaja dari tidur, hati melonjak-lonjak ingin balik.
Namun bila memikirkan apa yang telah berlaku, hati jadi tawar. Dia tidak pasti
bila akan menjejakkan kaki ke kampung lagi.
“Bukan cuti ni. Lain kali. Cuti Merdeka ni tak sempat
kalau nak balik. Buat penat saja.”
“Hujung tahun ni?”
Ayra geleng kepala. Dia tak pasti sama ada dia akan
menjejakkan kaki ke kampung lagi. Bahaya andai dia pulang ke kampung. Dia
mungkin akan ditangkap di sana. Kerinduan gagal mengatasi rasa takut di
hatinya. Wajah ayah bonda bermain di ruang mata. Begitu juga dengan wajah
adik-adik kesayangannya. Rindu hatinya untuk mendengar khabar mereka.
“Aku tak sabar nak berkenalan dengan ibu dan ayah kau.”
Ayra mengesat air mata. Tidak semena-mena, air matanya
jatuh ke pipi. Mujurlah dia sedang memandang ke luar. Dean tentu tak perasan
dengan keadaannya.
“Lain kalilah.”
“Kalau kau tak cukup duit nak balik kampung, jangan segan,
bagitahu saja aku. Nak bayar tambang pergi balik, aku tak ada masalah.”
Terharu Ayra mendengar kata-kata Dean. Lelaki itu
benar-benar menyayanginya sehingga sanggup berkorban wang ringgit. Tapi, entah
kenapa langsung tidak terdetik di hatinya untuk menerima cinta lelaki itu. Dean
hanya mampu ditempatkan sebaris dengan sahabat-sahabatnya yang lain, tidak
lebih dari itu.
“Bukan soal tu.”
“Jadi? Soal apa lagi?”
“Jauh.”
“Bukan kena berenang pun.”
“Jangan buat lawak.”
“Dah tu, kau juga cakap jauh, kan? Kenderaan tak boleh
masuk ke kampung kau ke?”
“Boleh.”
“Kalau macam tu, tak jauh la.”
Ayra malas hendak berdebat dengan Dean. Penghujungnya,
dia juga yang akan kalah berdebat dan akhirnya terpaksa bersetuju untuk membawa
Dean balik ke Sabah.
“Kau tak rindukan keluarga kau di sana?”
‘Bodoh! Kenapa soalan
itu yang kau tanya? Dah tentu aku amat rindukan mereka semua, Dean. Dan aku juga
rindukan rakan-rakan lama... terutama sahabat baikku, Syidah. Sejak
meninggalkan kampung, aku langsung tidak mendengar khabar gadis itu lagi.’