“Baik kau berterus
terang dengan aku. Sebenarnya, apa perasaan kau pada Dean?” tanya Suhaila yang
baru selesai makan nasi lemak yang dihantar Dean.
Selain Ayra dan Suhaila,
Dean juga turut belikan nasi lemak untuk Aisyah. Alasannya, sebagai membalas
bantuan mereka bertiga yang telah membantunya menyiapkan tugasan Ilmu
Pendidikan semalam.
“Tak ada apa-apa. Kawan je.”
Ayra hanya menganggap
Dean tidak lebih dari seorang rakan.
“Meraung Dean kalau dengar pengakuan kau ni. Kesian dia.
Dia betul-betul suka pada kau. Takkan kau tak perasan semua tu?”
“Dahlah. Aku malas nak berbual soal ni lagi. Aku dan Dean
tak ada apa-apa.”
Ayra tak ingin terus
didesak soal hati dan perasaan. Bukan sekali dua Suhaila mengajukan pertanyaan
yang sama, tapi sudah berkali-kali. Dia pernah terfikir, mungkin Dean berpakat
dengan Suhaila hendak mengorek apa yang terpendam di hatinya.
Suhaila pernah menuduhnya sebagai seorang gadis yang kuat
berahsia.
“Bila Dean tinggalkan kau nanti, barulah kau akan hargai
perasaannya.”
Suhaila menyokong kuat
andai Ayra menerima cinta Dean. Lelaki itu baik orangnya dan suka membantu.
Sesuai sangat dengan Ayra, seorang gadis periang. Senyuman manis sentiasa
terukir di bibirnya. Cuma, sejak akhir-akhir ini dia nampak lebih pendiam.
Tidak! Ayra tidak dapat menerima kehadiran Dean sebagai
seorang kekasih, apa lagi teman hidupnya. Ayra bangun lalu memerhati raut wajah
di depan cermin. Mukanya kelihatan tidak bermaya.
Ah, malasnya nak ke Butterworth
pagi esok...
Berat keadaan yang sedang
dilalui sekarang. Ayra tahu, kesudahannya nanti dia yang akan merasai kekecewaan.
Pasti Dean atau mana-mana lelaki tidak dapat menerimaya andai mereka tahu kisah
lalu yang pahit dan pedih.
Pada usia remaja, Ayra
terpaksa melalui detik-detik getir dalam hidup. Bersendirian menempuh cubaan
dan dugaan! Bila diingat kembali kenangan itu, terasa dirinya cukup tabah,
walaupun sebenarnya dia hampir tewas.
“Jadi, sebelum terlambat, buangkanlah ego kau tu. Aku
tahu kau sukakan Dean. Tapi mungkin kerana Dean tu cikgu juga macam kita, kau
tak boleh terima. Yelah, zaman sekarang ni, kerjaya guru bukan lagi kerjaya
yang dihormati masyarakat. Kerja kerajaan ni, manalah orang suka. Gadis zaman
sekarang lebih suka memburu lelaki yang berjawatan tinggi, berstatus orang kaya.
Tak kisah umur berapa, sebaya dengan bapa sendiri pun sanggup terima asalkan
berharta. Mereka mencari kesenangan dengan jalan mudah.”
“Kenapa dengan kau ni? Membebel sampai ke situ pulak!”
Bengang Ayra dengan
tuduhan Suhaila. Dia benar-benar tersepit sekarang. Tambah-tambah lagi dengan
kehadiran mesej misteri tersebut.
“Aku bukan membebel. Apa yang aku cakap tu adalah
realiti.”
“Aku faham. Tapi, kalaulah kau tahu keadaan yang sedang aku
tanggung sekarang...” matanya tepat memandang ke wajah Suhaila.
Suhaila anak kedua dari
tiga beradik, semua perempuan. Dia orang Kelantan. Ibunya guru dan bapanya
Pengetua di daerah kelahirannya. Kakaknya pula sudah bergelar doktor, manakala
adiknya masih berada di universiti. Sebulan sekali Suhaila akan balik kampung
untuk menziarahi orang tuanya. Kadang-kadang orang tuanya yang akan datang
menziarahinya di Kuala Kangsar. Bahagianya kehidupan Ila...
Ayra yakin Suhaila
pasti tidak sanggup untuk menggantikan tempatnya. Air mata menitis jatuh
membasahi pipi.
“Kau ada masalah ke?”
Suhaila segera bangun
lalu menghampiri Ayra yang sedang berdiri di sebelah meja hujung kepala katil. Suhaila
menggenggam erat tangan Ayra. Selain kerinduan pada keluarga, Suhaila dapat
merasakan yang Ayra ada menyimpan masalah lain yang jauh lebih berat.
Ayra sudah tidak mampu menahan perasaan lagi. Sedih,
sedih sangat. Ayra melepaskan perasaan dengan menangis sepuas hati. Dugaan yang
sedang dilalui tak tertanggung lagi. Kecewa dengan apa yang dialami, dia pernah
pasang niat untuk menamatkan saja riwayat hidupnya.
Mujurlah akalnya masih
panjang. Mujurlah masih ada iman di dada. Allah masih sayangkannya. Allah tidak
akan menguji hamba-Nya dengan suatu ujian yang tak mampu ditanggung.
‘Ya Allah, berikan aku
kekuatan untuk menempuh segala dugaan di alam fana ini.’
“Maafkan aku, Ayra. Aku tak ada niat nak sakiti hati kau.
Maafkan kata-kata aku tadi.”
Bersungguh-sungguh Suhaila
memohon maaf sambil mencium tangan Ayra.
Ayra mengetap bibir, cuba menahan sendu yang semakin
menjadi-jadi. Sudah lama dia tak melepaskan perasaan dengan menangis
sepuas-puasnya seperti sekarang. Hampir enam tahun dia berjaya mengawal
keadaan. Tapi hari ini, dia tak mungkin lagi dapat menyembunyikan perasaan
hati.
‘Aku tak pernah rasa
bahagia!’
“Ayra, maafkan aku...”
Air mata Suhaila
bergenang di kelopak mata, turut simpati melihat keadaan Ayra walaupun dia
tidak tahu punca sebenar tangisan Ayra.
“Jangan salahkan diri kau. Aku bukan menangis kerana
kata-kata kau tu. Langsung aku tak ambil hati. Tiba masanya nanti, aku akan
ceritakan segalanya. Berikan aku sedikit masa lagi.”
“Kau ada masalah?”
Suhaila mengesat air
mata. Dia menepuk lembut bahu Ayra. Ayra mengangguk, tertunduk dan menangis
lagi.
“Ceritakan pada aku. Aku janji akan bantu kau.”
Suhaila memeluk erat tubuh
Ayra.
“Betullah tekaan aku
sebelum ini. Melihat gerak-geri dan air muka kau, aku yakin kau sedang
menghadapi masalah besar.”
“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk aku ceritakan
semua ni.”
Ayra sebenarnya mahu luahkan kisah yang pernah dilaluinya
pada seseorang. Dia pernah baca artikel dalam majalah, dengan berkongsi masalah
yang sedang dihadapi, dapat mengurangkan bebanan di hati. Setakat ini, hanya Suhaila
sahaja teman yang boleh dipercayai untuk memegang rahsia yang selama ini
tersimpan kemas di sanubari.
Dia juga berharap Suhaila masih sudi berkawan dengannya
sebaik sahaja gadis itu tahu apa yang telah dia lakukan...
‘Ya Allah, ampunkan
dosaku. Aku tidak berniat untuk melakukan sesuatu seperti itu.’