Home Novel Cinta Pandang Hanya Aku, Okay?
Pandang Hanya Aku, Okay?
F.Ain.K
23/7/2019 03:28:10
26,760
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1.0

Pintu utama bilik Mahkamah 2 dibuka dan kelihatan orang awam mula berpusu keluar. Gerombolan wartawan masih membanjiri kawasan perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam. Beberapa orang pemberita dilihat sedang membuat liputan secara langsung. Selang beberapa minit kemudian kelihatan enam orang individu dikenali sebagai Orang Kena Tuduh (OKT) berjalan keluar dengan tangan digari, diapit oleh beberapa orang pegawai polis. 


Wartawan segera menyerbu dan mengelilingi OKT-OKT berkenaan untuk mendapatkan maklumat terbaru juga rakaman langsung siaran berita. OKT-OKT berkenaan hanya menundukkan kepala tanpa sebarang reaksi. Perkara biasa bagi mereka yang merasa malu dan bersalah. Polis pengiring juga menghalang para wartawan untuk datang terlalu dekat. 


“Peguam Muhammad!” jerit seorang wartawan selang beberapa minit kemudian lalu meluru menuju ke arah tiga orang lelaki yang sedang berjalan jauh di belakang. 


Tumpuan kesemua wartawan mula berubah kepada tiga orang lelaki tersebut.


‘Alamak! Macam mana wartawan boleh perasan aku kat sini?’ getus hati Muhammad yang mula resah melihat para wartawan berlari ke arahnya. 


Muhammad cuba berpatah balik namun malang tidak berbau. Sepasang tangan merangkul pinggangnya erat. Peluh dingin menitik di dahi Muhammad. 


“Kalau kau rasa kau nak lari sekarang, kau dah terlambat,” perlahan suara tuan punya tangan berbisik di telinga Muhammad. 


“Fakhrul! Lepas la. Aku tertinggal something kat atas. Sat lagi aku turun la,” Muhammad bersungguh-sungguh cuba melepaskan pelukan Fakhrul. Tapi apalah daya tenaganya hendak melawan guru Judo. 


“Hehehe.. Kau nak jawab soalan wartawan atau kau nak aku cium kau depan orang ramai?” ugut Fakhrul mudah.


‘What the …… apa yang Fakhrul ni merepek time macam ni! Aku dah la takut dengan wartawan!’


“Janganlah takut. Aku kan ada kat sini. Fahmi pun ada ni. Ko jawab satu soalan je lepas tu aku tarik ko pergi. Okay? “ tenang Fakhrul berkata-kata. 


Fakrul kenal benar perangai kawannya si Muhammad ni. Muhammad takut untuk berada di tempat ramai orang atau menjadi tumpuan. Muhammad berfikir sejenak. Perlahan Muhammad mengangguk. 


“Peguam Muhammad, boleh tolong ringkaskan apakah keputusan proceeding hari ini?” lancar soalan diajukan oleh wartawan Bernama. 


Muhammad menarik nafas dua saat. 


“Proceeding hari ini berjalan lancar. Pihak pendakwa mengemukakan sembilan bukti untuk dinilai. Kita perlu tunggu perbicaraan seterusnya untuk lihat feedback dari pihak pembela,” balas Muhammad dengan tenang. Sedangkan hatinya berdegup 280km sejam. 


################################################################


Di sebuah rumah kelihatan seorang wanita duduk berehat di ruang tamu. Wanita tersebut sedang menonton berita langsung mengenai perbicaraan kes pembunuhan kejam dan misteri yang baru terjadi dua bulan lepas. Kes ini menggemparkan  negara kerana ia kes berprofil tinggi. Lima orang bayi ditemui mati dengan kejam di sebuah rumah, di Kampung Kemensah. Kepala dan badan mayat telah dipisahkan lalu disimpan di dalam peti sejuk. Polis juga menjumpai bahan-bahan pelik yang berkemungkinan digunakan untuk aktiviti pemujaan. 


Ketua Polis Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa kes ini perlu disiasat dengan teliti. Akhirnya selepas lima hari penemuan mayat tersebut, enam orang suspek ditangkap secara berasingan dan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Di kaca televisyen kelihatan seorang lelaki yang segak sedang menjawab soalan dari para wartawan. Nurul Ain mendengar dengan teliti setiap butir percakapan.


“Muhammad Sadiq Hafzan,” perlahan Nurul Ain menuturkan nama yang tertera di kaca televisyen. 


Muhammad menggosok-gosok mata menggunakan jari telunjuk kirinya, manakala tangan kanannya melekat pada stereng kereta. Akhir-akhir ini Muhammad merasa cepat penat. Mungkin juga kerana kerjanya semakin bertambah setelah lima tahun menjadi peguam bela dan peguam cara. Kerjanya seakan-akan tak berhenti. Seawal 7 pagi dia sudah meredah kesibukan kota. Pulang ke rumah pula lewat malam. Mujurlah dia tiada isteri lagi, jika tak mesti ada yang merajuk setiap hari. Muhammad tersenyum sendiri memikirkan kemungkinan ini. 


Jam menunjukkan pukul 6:43 petang. Waktu yang sangat sibuk bagi pengguna jalan raya di Kuala Lumpur. Dari Shah Alam ke Selayang, nampaknya dia memerlukan hampir sejam untuk sampai ke rumah. Hari ini Muhammad terpaksa menempuh sesak di waktu petang. Dia perlu pulang ke rumah sebelum 8:00 malam kerana ada temu janji selepas ini. Kalau tidak, tentu tengah malam nanti baru Muhammad memandu pulang. 


Lewat 7:50 petang baru kenderaan Muhammad sampai di kawasan perumahannya. Taman Dahlia adalah kawasan yang agak sunyi dari kesibukan kota. Rumah teres dua tingkat yang didiami Muhammad terletak di hujung taman. Kenderaannya meluncur perlahan memasuki ruang parkir utama. Selesai parkir, Muhammad menutup semula pagar utama menggunakan alat kawalan jauh. Muhammad segera berlari ke dalam untuk bersiap. Muhammad perlu mandi dan solat Maghrib. Dia juga sudah lewat untuk temu janji. 


Next: 2.0

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.