Home Novel Cinta Pandang Hanya Aku, Okay?
Pandang Hanya Aku, Okay?
F.Ain.K
23/7/2019 03:28:10
26,763
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
6.0


Melangkah keluar sahaja dari lif, Nurul Ain menghembus nafas lega. Perasaan terkurung di tempat yang tertutup dan gelap bukanlah perkara yang menggembirakan. Nurul Ain melihat ke arah Muhammad dan Nazrul yang sedang bercakap-cakap dengan pihak maintenance lif. Nurul Ain tak pasti dia boleh terus berlalu atau ada apa-apa lagi yang perlu dilakukan di situ. Lagi pula ini kali pertama Nurul Ain tersekat di dalam lif. 


Jam di tangan di jeling, sudah 10:37 pagi. Kelas pertama Nurul Ain untuk hari ini bermula pada pukul 11:00 pagi. Perjalanan ke kelas juga agak jauh jika berjalan. Nurul Ain membuat keputusan untuk berlalu. Niatnya untuk ke ofis bahagian finance awal tadi dilupakan. Langkah kaki dimulakan. 


###############################################################


Muhammad yang sedang berbual dengan pekerja maintenance lif dan pelajar perubatan itu, masih memandang ke arah Nurul Ain yang berdiri lima langkah dari mereka. Entah kenapa pandangannya melekap ke arah itu. Nurul Ain dilihatnya sedang melihat ke arah jam tangan di tangan kirinya lalu seketika kemudian melangkah pergi. 


Muhammad yang tidak dapat menumpukan perhatian pada perbualan di hadapannya kini, meminta diri atas alasan mesyuarat. Selepas mengucapkan terima kasih Muhammad segera berlari mengiringi Nurul Ain. 


“Awak nak pergi kelas dah ke?” tegur Muhammad agak tergesa-gesa bagi menghalang Nurul Ain terus berjalan.


Muhammad melihat sedikit terangkat bahu Nurul Ain menerima tegurannya itu. Mungkin terkejut. Nurul Ain berpaling melihat ke arah Muhammad. 


“Saya ada kelas pukul 11 nanti.” 


Muhammad mula memikirkan alasan untuk teruskan perbualan namun Muhammad tahu dia tidak boleh menghalang Nurul Ain untuk pergi ke kelas.


“Kelas awak habis pukul berapa? Ada kelas lain ke lepas tu?”


“12:30 tengahari. Kelas saya satu je hari ni. Kelas lain batal,” polos Nurul Ain menjawab sambil memandang tepat ke arah Muhammad, mungkin merasa pelik untuk apa Muhammad mengambil tahu jadual kelasnya.


Muhammad lekas mengeluarkan sekeping kad dari dompetnya dan menghulurkan kepada Nurul Ain. Nurul Ain yang pelik mengambil kad tersebut dan membaca. 


“Nanti dalam pukul 1:00 petang boleh tak kita lunch sama? Saya ada soalan nak tanya pasal semalam dan nak minta tolong awak. Nombor saya ada kat kad tu. Boleh tolong whatsapp saya nanti lepas habis kelas? Saya tak tahu sangat tempat makan area sini,” pinta Muhammad dengan muka bersungguh-sungguh. 


Nurul Ain dilihat sedang berfikir sejenak sebelum memberikan persetujuan. 


“Thank you. Awak jangan lupa whatsapp saya ya. Saya nak pergi meeting dah ni, kalau saya lambat reply maknanya saya dalam meeting lagi. Nanti apa-apa saya akan beritahu ya.”


Selesai mengatakan kata akhir, mereka pun berpisah. Nurul Ain ke kelas, dan Muhammad melangkah ke bilik mesyuarat di tingkat 7. 


##############################################################


Kelas hari ini berjalan seperti biasa. Mendengarkan pensyarah di hadapan bercakap dalam nada mendatar membuatkan kebanyakan pelajar bertindak membuat hal sendiri. Kelas besar seperti ini yang menempatkan hampir 150 orang pelajar dalam dewan yang besar, nyata membosankan. Tumpuan tak pasti harus diberikan kepada apa. Nurul Ain melihat jam di tangan. 12:15 tengahari. Lagi 15 minit kelasnya akan tamat. Dia mencapai kad yang diberikan oleh Muhammad tadi dari poket seluarnya. Segera dia secara sembunyi mengeluarkan telefon bimbit di bawah meja dan menyalin nombor telefon tersebut.


Aplikasi whatsapp dibuka dan dilihat jika nama Muhammad sudah ada dalam database whatsappnya. Nama Muhammad ditekan dan profilenya dibuka. Terpampang gambar Muhammad bermesra dengan seekor kucing berbulu lebat. Senyuman mula singgah di wajah Nurul Ain. Nurul Ain membaca status yang tertera, ‘I’m at your service :-)’.


Perlahan tangan Ain mula menaip perkataan yang perlu dihantar kepada Muhammad. 


‘Salam Encik Muhammad. Ni Nurul Ain. Tadi kita jumpa dalam lif. Jadi ke kita nak lunch sama pukul 1 nanti?’


Butang hantar ditekan. 


Selesai kelas Nurul Ain memilih untuk duduk di bangku yang disediakan di luar kelas kerana dia tak pasti dia harus ke kafe untuk lunch bersama Muhammad atau dia perlu terus balik ke kolej penginapan. Mesej yang dinanti masih tak kunjung tiba. 


Tepat pukul 1:00 petang satu panggilan masuk diterima Nurul Ain. Nada deringnya yang berlagukan Doraemon pantas dipotong dengan menekan butang jawab.


“Assalamualaikum Nurul Ain. Muhammad ni. Maaf lambat, saya baru habis meeting. Awak ada kat mana ya?”


Suara Muhammad yang kedengaran di telinga Nurul Ain membuatkan wajah Nurul Ain yang tadinya muram kini tersenyum lebar.


Selepas memberi tahu lokasi dan arah untuk ke situ dari bangunan pengurusan, Nurul Ain diminta oleh Muhammad untuk menunggu di situ. Muhammad katanya akan datang menjemput Nurul Ain. Nurul Ain hanya menurut.


20 minit kemudian mereka sudah duduk di dalam Kafe Merah. Ramai pelajar dilihat sedang makan dan minum. Selamat masih ada meja kosong untuk Nurul Ain dan Muhammad. Selepas mengambil makanan mereka mula duduk dan berbual.


Perbualan mereka sekadar mengambil tahu tentang pelajaran Nurul Ain. Juga tentang fokus masa hadapan Nurul Ain. Nurul Ain hanya menjawab apa yang perlu kerana baginya Muhammad kini sekadar cuba berbasa basi sebelum masuk ke topik utama.


Beberapa pelajar wanita dari jurusan lain yang dikenali Nurul Ain melambai kearahnya dari meja lain. Nurul Ain membalas lambaian dan senyuman mereka sambil menyambung perbualannya dengan Muhammad. Kedudukan Nurul Ain yang menghadap ke arah pintu kafe dan ruang hadapan kafe memudahkan Nurul Ain untuk melihat keadaan keseluruhan ruang kafe. Kemudian dua orang lelaki yang baru memasuki kafe dilihat berjalan menuju ke arah meja Nurul Ain sambil tersenyum kepadanya. 


Muhammad yang menyedari Nurul Ain sedang tersenyum dan memandang ke arah lain walaupun perbualan antara Muhammad dan Nurul Ain sedang berlangsung, membuatkan Muhammad memandang ke arah yang sama. Mata Muhammad menangkap kelibat dua orang lelaki yang sedang berjalan ke arah mereka. Pelajar lelaki itu agak bergaya pada pandangan mata Muhammad. 


“Hi Ain~ lama tak nampak. Kenapa tak turun padang minggu lepas?” suara salah seorang lelaki tersebut yang ternyata ceria terjumpa Nurul Ain mula bertanya, tanpa mengendahkan Muhammad yang sedang duduk di hadapan Nurul Ain ketika itu. 


“Ain demam minggu lepas. Nanti esok petang Ain join. Abang Amar datang ke esok?” senyuman masih tak lekang dari mulut Nurul Ain untuk lelaki yang baru datang itu.


Muhammad yang melihat perbualan antara kedua mereka hanya mendiamkan diri dan menyambung makan. 


“Mestilah datang. Mana boleh tak jumpa Ain. Nanti angau seminggu hahaha,” balas lelaki itu sambil ketawa.


Nurul Ain yang mendengar terasa hendak muntah. Ayat jual minyak yang ternyata tak lapuk dek zaman. Nurul Ain memilih untuk hanya tersenyum membalas kata-kata tersebut. Malas dia hendak melayan perkara yang tidak mendatangkan faedah seperti itu. Lagi pula lelaki itu hanya dikenali Nurul Ain kerana mereka berlatih hoki sama. 


Nurul Ain memandang sekilas Muhammad di hadapannya, ternyata lelaki itu tak beriak. Wajahnya hanya mendatar tanpa senyum atau kerutan. Nurul Ain tak tahu apa yang difikirkan Muhammad ketika itu. 


“Siapa ni Ain? Boyfriend baru ke?” soal lelaki kedua yang diam memerhati dari tadi.


Nurul Ain dapat melihat pandangan lelaki yang dipanggil Abang Amar dan lelaki kedua itu beralih kepada Muhammad. Suasana tiba-tiba menjadi serius. 


Muhammad dilihat oleh Nurul Ain sedang meneguk air suam mungkin kepedasan. 


“A’ah, tunang Ain. Nanti Ain kahwin jemputlah datang.”


Muhammad yang sedang minum nyata tersedak mendengar jawapan dari Nurul Ain itu. Terasa sakit dadanya dengan batuk. Muhammad memandang sekilas Nurul Ain yang hanya berwajah seperti biasa. Sedangkan pandangan lelaki yang bernama Amar tadi ternyata merenung tajam ke arah wajah Muhammad.


Senyap mengisi meja seketika. 


“Bila… bila Ain tunang? Abang tak tahu pun?” agak tergagap suara Amar bertanya. Pandangannya masih melekap kearah wajah Muhammad yang sedang mengelap mulut dengan tisu. Juga melihat kearah Nurul Ain yang ternyata membantu Muhammad dengan menghulurkan tisu. 


Ketawa yang kemudiannya keluar dari mulut Nurul Ain ternyata membuatkan Amar terpinga-pinga. 


“A’ah bila ya kita tunang Encik Muhammad?” tanya Nurul Ain pada Muhammad sekadar mengusik dan terus menyambung ketawa.


Muhammad yang mula memahami gurauan Nurul Ain itu mula mengutuk di dalam hati. Muhammad memahami bahawa Nurul Ain tidak suka lelaki bernama Amar itu cuba untuk mengayat Nurul Ain, namun kenapa dirinya yang menjadi mangsa kini. 


“Semalam kot...” perlahan Muhammad membalas melayan gurauan tersebut. Pandangan mata Muhammad dan Amar kini menyatu.


“Eh Abang Amar datang sini nak makan kan? Pergi la beli makanan. Ada meja kosong kat sana tu. Nanti lambat makanan habis,” pintas Nurul Ain kerana tak mahu terus berbual dengan mereka. Nurul Ain ingin makan dengan tenang. Tetapi lelaki bernama Amar ini masih terus-terusan mengganggunya. 


Amar yang masih dalam keadaan terpinga-pinga kemudian ditarik oleh rakannya ke arah meja kosong itu. Pandangan mata Amar masih melekap ke arah Nurul Ain dan Muhammad. Dia masih tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Dia tak pasti itu hanya gurauan atau serius. Pasti esok dia perlu bertanya semula Nurul Ain ketika latihan hoki.


Ketawa Nurul Ain yang masih berbaki membuatkan Muhammad menjeling lembut ke arah Nurul Ain.


“Kenapa awak usik dia macam tu? Saya pula yang kena.”


“Kenapa? Encik Muhammad takut girlfriend Encik marah ke?” balas Nurul Ain penuh makna.


“Saya dah bertunang,” perlahan Muhammad menjelaskan sambil menunduk memandang pinggan di hadapannya. Entah kenapa hatinya tak rela menyatakan hal itu kepada Nurul Ain, namun dia perlu berkata jujur..


Nurul Ain terdiam sejenak. Memikirkan sesuatu.


“Kalau dah tunang kenapa join dinner date?” pelik Nurul Ain dengan lelaki di hadapannya ini.


“Saya join tu untuk teman Fakhrul je. Kawan saya tu kena cari jodoh cepat. Mak dia kat kampung dah asyik bertanya.”


Jawapan dari Muhammad itu menerima anggukan lembut dari Nurul Ain menandakan bahawa dia faham. 


Muhammad tak pasti apa yang dirasai Nurul Ain ketika itu bila mengetahui tentang status dirinya. Muhammad tak dapat membaca reaksi wajah Nurul Ain. Tak berkutikkah hati Nurul Ain mendengarkan berita pertunangan dirinya?


“Jadi perkara yang Encik Muhammad nak tanya pasal semalam dan nak minta tolong dari saya tu berkenaan apa ya?” soal Nurul Ain yang nyata memotong apa yang sedang difikirkan oleh Muhammad tika ini.


“Saya nak minta pandangan awak mengenai dinner date semalam. Ada peluang cerah ke tak untuk Fakhrul? Dan kalau tak ada, saya nak minta awak untuk tolong aturkan dinner date kali kedua dengan orang lain pula. Awak kan ada ramai kawan perempuan. Lagi pun saya bukan orang sini dan tak ramai kawan perempuan, tu sebabnya saya perlukan pertolongan awak.”


Nurul Ain menjelaskan serba sedikit mengenai dinner date semalam dimana Nurul Ain merasakan bahawa Aisyah, iaitu merangkap wanita kedua, mungkin berminat dengan Fakhrul. Tapi itu terletak pada diri Fakhrul. Nombor telefon Aisyah juga diketahui oleh Fakhrul. Untuk Julia iaitu merangkap wanita ketiga, Nurul Ain pula mengatakan bahawa Julia sudah ada teman lelaki dari jurusan lain. Julia, Syazwani, dan Nurul Ain hanya sepatutnya menemani Aisyah pada malam semalam. 


“Tapi saya rasa Syazwani suka pada Encik Muhammad.”


“Mana awak tahu?” tanya Muhammad berminat.


“Gerak hati wanita,” pendek Nurul Ain membalas sambil menjeling tersenyum pada Muhammad.


Entah kenapa jelingan itu memberikan sensasi berbeza pada diri Muhammad. Muhammad hanya terdiam. Dia tak faham apa yang sedang dirasakan ketika ini. Pertama kali dia berasa seperti ini. 


Previous: 5.0
Next: 7.0

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.