Home Novel Cinta Pandang Hanya Aku, Okay?
Pandang Hanya Aku, Okay?
F.Ain.K
23/7/2019 03:28:10
31,474
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
5.0

Beg di galas di bahu. Segera Muhammad mengunci pintu rumah dan masuk ke dalam kereta. Dia perlu menghadiri mesyuarat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dijadualkan pada pukul 10 pagi. Dari Selayang ke UKM Seri Kembangan mengambil masa hampir sejam pada hari bekerja seperti ini.


Waktu menunjukkan pukul 8:45 pagi. Harapnya masih sempat bagi Muhammad untuk  bersarapan di UKM. Dia terkejar jadual pagi kerana malamnya dihabiskan untuk menyelesaikan dokumen yang perlu untuk pagi ini. Dia juga perlu menyelesaikan tuntutan kes lain petang nanti. 


Telefon bimbit dicapai. Muhammad teringat dia perlu memaklumkan kepada Fakhrul.


Deringan telefon di sebelah sana berbunyi selama 5 saat sebelum suara menerpa. 


“Assalamualaikum. Mimpi apa call aku pagi-pagi ni?”


“Waalaikumsalam. Fakhrul, aku nak beritahu ni. Aku ada meeting kat UKM pagi ni, mungkin tak sempat nak balik ofis tengahari nanti. Nanti apa-apa kita nak bincang, sambung malam ya,” jelas Muhammad. 


“Hmm yela.. Mesyuarat dengan Encik Tan petang ni macam mana?” tanya Fakhrul.


“Owh yela. Aku lupa. Hmm. Aku tak sempat rasanya nak masuk mesyuarat tu. Aku kena settle client petang ni kat Hilton. Kau tolong aku take note apa yang perlu ya. Nanti aku belanja kau McD.”


“McD je? Pergi sampai Hilton, McD je nak belanja aku?” luah Fakhrul mengusik.


“Yela, yang kaya tu client. Bukan aku. Kalau aku kaya hari-hari aku belanja kau KFC,” tambah Muhammad sambil ketawa kecil.


“Aik, kaya pun KFC je? Boleh la Mat. McD pun McD la. Nanti apa-apa text la. Aku nak drive ni.”


#####################################################


Muhammad berlari anak menuju ke lif bangunan pengurusan. Jangkaannya meleset. Dia tak sempat untuk bersarapan kerana keadaan lalu lintas yang terlampau teruk. Jam sudah menunjukkan pukul 9.55 pagi. Muhammad perlu segera pergi ke bilik mesyuarat. Lewat hadir ke mesyuarat bukanlah perkara yang bagus bagi seorang peguam. 


Butang lif naik ditekan oleh Muhammad berkali-kali. Lif dirasakan agak lambat pergerakannya. Bilik  mesyuarat berada di tingkat 7. Mustahil untuk Muhammad menggunakan tangga. Selang dua minit pintu lif terbuka. Beberapa orang pelajar dilihat keluar dari lif. Selepas habis semuanya, Muhammad segera melangkah masuk ke dalam lif. Disertai oleh dua orang pelajar yang mungkin beratur di belakang Muhammad awal tadi. Muhammad terlampau ralat dengan masa tanpa menyedari siapa di sekelilingnya. Pantas dia menutup pintu lif dan menekan butang 7. Dua orang pelajar tadi masing-masing menekan butang 5 dan 9. 


Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba gegaran kuat dirasa dan keadaan sekeliling menjadi gelap. 


Kejutan itu membuatkan Muhammad tersandar di dinding lif sambil memeluk beg sandangnya. Jeritan kecil kedengaran di awal gegaran tadi. Muhammad menganggarkan itu adalah jeritan dari dua orang pelajar yang turut berada di dalam lif. 


Suasana sunyi seketika. Tiada seorang pun yang bersuara. Mungkin gugup. 


Muhammad menekan butang kecemasan dengan segera selepas menenangkan dirinya. 


Selepas memaklumkan kepada pihak pengurusan lif melalui interkom kecemasan mengenai kejadian ini, Muhammad hanya mampu menunggu. Pihak pengurusan memberitahu mungkin setengah jam diperlukan untuk membaiki lif berkenaan.  


Lima minit telah berlalu. Suasana di dalam lif mula menjadi panas. Peluh menitik di dahi Muhammad. Dia meletakkan beg galas di lantai lantas membuka jaket formalnya. Dia membuat keputusan untuk duduk dan menunggu. Dia duduk paling hampir di pintu lif. Memudahkannya untuk berinteraksi menggunakan interkom. 


Suasana terlampau gelap untuk mata Muhammad melihat keadaan dua orang pelajar yang turut sama tersekat di dalam lif. Muhammad mengambil telefon bimbit dari poket kemejanya dan membuka lampu suluh. Cahaya lampu telefon di suluh ke atas oleh Muhammad untuk menerangi kawasan dalam lif. Kelihatan seorang pelajar lelaki sedang duduk bersandar di dinding paling hujung lif. Tangannya sedang bermain dengan telefon bimbit. Manakala di tengah-tengah lif berdiri seorang pelajar perempuan dengan mata tertutup dan memeluk tubuhnya ketakutan. 


“Adik. Adik okay ke?” tanya Muhammad bimbang kepada pelajar perempuan tersebut.


Kini dua pasang mata sama-sama melihat ke arah pelajar perempuan tersebut. Menyedari keadaan ini, pelajar lelaki tersebut berdiri lalu berjalan perlahan ke tengah lif, menghadap pelajar perempuan itu. 


“Awak okay ke? Jangan panik. Nama saya Nazrul. Saya pelajar kos perubatan. Sekarang awak perlu percaya pada saya dan dengar arahan saya. Boleh?” perlahan pelajar lelaki itu memperkenalkan diri.


Anggukan lembut dapat dilihat dari pelajar wanita itu. 


“Siapa nama awak?”


“Nurul Ain.”


“Awak perlu percaya pada saya. Awak boleh buka mata dan pandang saya.”


Kedudukan Muhammad yang menghadap ke tengah lif membuatkan dia mampu melihat dengan jelas apa yang berlaku. Biasan cahaya dari telefon Muhammad masih memancar ke siling lif, menyinari kegelapan di dalam lif. Muhammad dapat melihat pelajar perempuan tersebut membuka mata perlahan-lahan. Namun pandangan pelajar perempuan tersebut menghala ke arah mata Muhammad. Mata mereka bertemu. Tiga saat yang  sunyi terasa lama. 


“Awak boleh nampak saya dengan jelas tak?” soal pelajar lelaki tersebut mematikan pandangan antara Muhammad dan Nurul Ain.


Anggukan lembut diberikan Nurul Ain kepada pelajar lelaki tersebut. 


“Sekarang awak ambil nafas, bertenang dan duduk dulu sementara menunggu.”


“Terima kasih,”balas Nurul Ain perlahan.


15 minit berlalu. Keadaan terlampau panas untuk Nurul Ain. Nurul Ain ingin segera keluar dari lif ini. Dia takut dengan kegelapan. Apatah lagi di kawasan yang bertutup seperti ini, susah baginya untuk bernafas. Semakin gelap keadaan sekeliling semakin banyak perkara buruk yang bermain di fikiran Nurul Ain. Badannya masih menggigil walaupun dia cuba untuk mengawal agar terlihat tenang. 


“Saya selalu tengok cerita dalam tv, kadang-kadang dalam lif orang jumpa cinta. Agak-agak kita boleh jumpa ke?”


Nurul Ain segera memandang ke kiri ke arah suara tersebut. Samar-samar kelihatan lelaki itu sedang memandang ke arah Nurul Ain. Nurul Ain dapat melihat lelaki itu sedang tersenyum kepadanya dalam samar cahaya. 


Nurul Ain memandang ke lantai. Perlahan dia menggumam.


“Saya tengok tv jugak. Tapi cerita hantu. Dalam lif macam ni kalau bukan hantu, mesti orang makan orang.”


Pecah ketawa memenuhi ruang dalam lif. Kedua dua lelaki di belah kiri dan kanan lif tertawa padanya. Nurul Ain tak faham apa yang lawaknya dengan kenyataan dia tadi. 


Nurul Ain memandang semula ke arah kiri. Tiga saat berlalu. Sunyi ini terasa menggigit. Nurul Ain teragak-agak untuk bertanya kepada lelaki tersebut.


“Encik Muhammad buat apa kat sini?” perlahan Nurul Ain bertanya.


Dua saat yang sunyi terasa lama. 


“Awak kenal saya ke?” soal lelaki tersebut semula kepada Nurul Ain. 


“Kita jumpa semalam Encik Muhammad. Nampaknya saya tak penting untuk Encik Muhammad ingat, tapi mesti Encik Muhammad ingat Julia, kawan saya yang duduk di hadapan Encik Muhammad semalam?”


“Ehhh, awak wanita ke empat?!” seoktaf tingginya lelaki tersebut bersuara seolah mengingati sesuatu.


“Wanita ke empat? Saya kurang faham. Nama saya Nurul Ain. Semalam saya ada perkenalkan diri.”


“Owh maaf. Dalam fikiran saya, awak wanita keempat. Sebab awak orang keempat datang. Mudah untuk saya ingat kalau macam ni,”lelaki tersebut memberikan penjelasan.


Suasana menjadi sunyi semula. Masing-masing seolah-olah sedang berfikir apa yang perlu diperkatakan lagi. 


“Kita jumpa lagi ya. Kali ke dua. Tak sangka,” perlahan lelaki tersebut berbasa basi untuk menghindar kesunyian.


“Ini kali ketiga saya lihat Encik Muhammad.”


“Ketiga? Tapi kita baru jumpa dua kali?”


“Kali pertama saya lihat Encik Muhammad di dalam berita. Di kaca tv. Saya ingat nama Encik. Muhammad Sadiq Hafzan.”


Kesunyian melanda lagi. Seolah-olah kegelapan menenggelamkan segala bunyi yang hadir. 


“Apa yang membuatkan awak ingat pada saya? Semalam bila kita berjumpa, saya tak nampak yang awak tertarik pada saya atau ingat mengenai saya. Semalam awak senyap je. Saya ingatkan awak tak berminat,” balas lelaki itu. Dapat didengari dengan jelas oleh Nurul Ain bahawa lelaki tersebut gugup. Ketawa kecil lelaki tersebut di hujung ayatnya hanya digunakan untuk menutupi resahnya. 


“Mata Encik Muhammad seperti bunga yang mengembang,” perlahan kata itu terkeluar dari mulut Nurul Ain. 


Senyap lagi. Nurul Ain berfikir mungkin jawapannya tadi kurang memberangsangkan. Nurul Ain cuba mencari idea untuk menukar topik perbualan.


“Maaf dengan soalan saya ni. Mungkin terlampau jujur. Tapi, awak tengah mengayat saya ke ni?” lelaki tersebut bertanya memecah sunyi sambil tertawa kecil. Menjadikan soalan tersebut sebagai usikan.


“Mengayat? Apa definisi mengayat?” Nurul Ain kurang jelas dengan apa yang disoal oleh lelaki tersebut. 


“Hmm.. maksud saya.. Awak suka saya ke? Cara awak ingat saya dan jelaskan mengenai mata saya.. Haha.. tak apa lah, abaikan. Saya salah faham je ni, syok sendiri,” lelaki itu cuba menjelaskan apa yang dimaksudkannya namun dia masih dalam nada gurauan.


Gelap masih menenggelamkan bunyi. Yang kedengaran hanyalah pernafasan mereka. Sunyi menggamit rasa. Nurul Ain masih berfikir mengenai apa yang diperkatakan oleh Muhammad sebentar tadi. 


“Saya tak pasti apa yang dimaksudkan dengan mengayat. Saya bukan cuba untuk jual minyak dengan Encik Muhammad, tapi itu apa yang saya fikir dan rasa bila saya lihat mata Encik Muhammad. Mata Encik cantik. Menarik. Itu je,” seusai habis menuturkan kata itu perlahan lampu lif menyala. 


Pandangan mata Nurul Ain dan Muhammad bertemu lagi. Kali ini Nurul Ain dapat melihat dengan jelas. Mereka sebenarnya saling memandang dalam gelap. Dan Muhammad dapat melihat dengan jelas kali ini senyuman Nurul Ain ketika Nurul Ain menjelaskan pendiriannya sebentar tadi. 


Previous: 4.0
Next: 6.0

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.