Home Novel Cinta Sebenarnya Dia Milik Aku
Sebenarnya Dia Milik Aku
4/7/2013 11:04:07
75,026
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5
Bab 5

“DAH seminggu Abang Pian balik, bila Hawa nak keluar denganAbang Pian? Nanti Abang Pian dah balik semula ke London, menyesal pula tak keluar sama.”

“Bila Abang Pian nak balik sana?” tanya Hawa Fatihah sambil bergerak menutup paip air.

Dia sudah selesai menyiram bunga di taman kecil yang terletak di tepi banglo itu.Terdapat pelbagai jenis bunga yang ditanam di dalam pasu dan juga di atas tanah. Di situ juga terdapat pergola serta buaian.

Di suatu sudut ada kolam ikan Koi. Banyak ikan di dalamnya yang berenang-renang bebas. Sufian duduk di tepi kolam. Hawa Fatihah turut duduk di sisinya sambil memandang ke dalam kolam. Gembira melihat ikan yang berenang sambil meliuk lentokkan ekor.

“Dua minggu lagi.”

“Sekejapnya Abang Pian cuti,” komen Hawa Fatihah. “Malam ni kita keluar ya. Abang Pian nak belanja Hawa

makan kat tempat besttau...kat coffee house.Tentu Hawa tak pernah pergi, kan?”

“Coffee house?”tanya Hawa Fatihah dengan mata terbeliak.

“Kenapa tak makan kat restoran atau kedai mamak aje? Lagi best!”

“Sesekali apa salahnya, Hawa,” kata Sufian sambil tersengih.

“Lagipun papa baru hadiahkan Abang Pian kad kredit. Bila lagi nak guna?”

Hawa Fatihah ketawa lembut.

“Ooo...patutlah! Nak berbelanja sakan guna duit papalah

ya!”

“Hmm...bila lagi,kan?” balas Sufian sambil tersengih.

“Lagipun abang nak ukir kenangan manis dengan Hawa. Nanti tak adalah Hawa mudah sangat lupakan abang. Maklumlah, kan abang jauh kat seberang laut.”

Hawa Fatihah ketawa lagi.

“Tengok tu, gelakkan orang pulak. Orang cakap betul, dia asyik gelak aje,” marah Sufian.

“Apalah Abang Pian ni, cakap macam orang tengah bercinta. Hawa ni sekolah pun belum tamat lagi bang. Hawa takutlah, tahun ni nak ambil SPM. Tak bolehmain-main. Hawa tak mahu kecewakan nenek. Papa dan mama pun dah banyak tolong Hawa. Jadi Hawa mesti buktikan Hawa akan berjaya.”

“Ooo...kecewakan Abang Pian tak apa ya? Entah berapa kali dah Abang Pian ajak keluar, langsung tak mahu!” kata

Sufian seperti merajuk.

Dia mengambil seketul batu kecil lalu dilemparkannya ke dalam kolam ikan berdekatan. Seolah-olah ingin melepaskan geram kerana ajakannya ditolak. Ikan-ikanyang berada di dalamnya bagaikan terkejut lalu terus menyembunyikan diri di celah-celah batu.

“Bukan niat Hawa nak kecewakan abang,” jawab Hawa dengan lembut.

“Habis tu, Hawa asyik menolak aje. Hawa tak suka abang ya? Hawa dah ada boyfriendkat sekolah ya?” sakat Sufian.

“Eh, merepeklah Abang Pian ni! Mana ada orang bercinta kat sekolah. Sekolah tu tempat belajarlah. Lagipun orang tak suka bercinta, bukan masanya!” kata Hawa Fatihah dengan tegas.

“Yalah! Yalah! Tapi keluarlah dengan Abang Pian, sekali aje!”

“Nanti Hawa tanya nenek.”

“Nenek mesti izinkan,” kata Sufian menyimpan harapan yang besar.

Hawa Fatihah hanya mengulum senyum. Dia juga menyimpan harapan, Mak Timah akan mengizinkan dia keluar malam ini dengan Sufian. Dia tidak pernah keluar malam. Teringin juga hendak menikmati suasana malam di luar rumah.

“Bang, Hawa masuk dululah. Belum Solat Asar,” beritahu Hawa Fatihah.

Sufian mengangguk.

“Nanti cepat-cepat tanya nenek ya!” pesan Sufian.

Hawa Fatihah menjawab hanya dengan anggukan.

Semasa minum petang dihidang di bawah pergola,Sufian bertanya dengan nada perlahan.

“Macam mana, dah tanya nenek?”

Hawa Fatihah menggeleng. Dia tidak berani bertanya, meskipun tadi dia bersolat Asar dengan neneknya.

Kata-kata Sufian itu didengari oleh MakTimah yang baru datang membawa kopi dari dapur.Petang itu dia menyediakan cucur udang untuk anak majikannya itu.

“Tanya apa ni?” soal Mak Timah kehairanan.

Sufian berdehem-dehem keras. Hawa Fatihah berpura- pura tidak tahu.

“Err...nek, sebenarnya Pian nak ajak Hawa makan kat luar malam ni.”

“Ke mana?”

“Hmm... kat coffee house.”

“Kenapa? Dah tak boleh makan di rumah ke? Makan ajelah kat bawah pergola ni, kan di luar jugak tu!”

“Ala nenek ni! Teringin nak makan kat tempat berhawa dinginlah nenek. Kami nak makan makanan barat.”

Mak Timah mengerut dahi.

“La, kata makanan orang putih tak sedap, tawarlah, tak pedaslah...macam-macam.”

Sufian terkedu, air mukanya berubah. Raut kecewa tergambar jelas. Mak Timah menggelengkan kepala. Dia risau melihat keakraban cucunya dengan Sufian. Jika boleh dia tidak mahu mereka terlalu rapat.Tetapi apa boleh buat sejak kecil tinggal bersama sebumbung. Bila Sufian belajar keluar negara, hatinya sedikit lega. Tidak disangka apabila pulang,

Sufian enggan berenggang dengan Hawa Fatihah.

Tidak sampai hati dia melihat wajah Sufian yang kehampaan.

“Pergilah...tapi jangan balik lambat sangat,” ujar Mak Timah memberikan keizinan.

Sufian tersengih gembira. Wajahnya yang mendung bertukar cerah. Hawa Fatihah juga begitu, wajahnya ceria dan berseri-seri. Sufian terlompat gembira. Hawa Fatihah hanya tersengih memerhati gelagat Sufian.

“BANG, tak silapnya tu Laura Jane lah!” kata Hawa Fatihah sambil mencuit bahu Sufian.

Mereka baru sahaja duduk di coffee houseLa Risata.

Hawa Fatihah terpandang kelibat bintang filem itu. Dia ditemani oleh pengurusnya Ben dan dua orang lelaki lain yang tidak dikenali. Ben turut jadi terkenal kerana beberapa bulan lalu berita tentang mereka berpacaran diumumkan di akhbar. Sejak itu wajahnya bergandingan dengan Laura Jane sering muncul di dalam majalah hiburan.Lelaki berketurunan mamak itu memang kacak. Dia lebih muda beberapa tahun daripada Laura Jane. Lelaki itu menepati apa yang dikatakan oleh orang sebagai tall, dark and handsome.

Hawa Fatihah terbawa-bawa dengan ungkapan itu,kerana dia sering membaca novel-novel Inggeris yang dipinjamnya daripada Puan Anom.

Puan Anom, mama Sufian penggemar novel-novelInggeris. Dia juga meminati Laura Jane. Hampir setiap filem dan drama Laura Jane diikutinya. Meskipun sibuk membantu Encik Anuar menguruskan bisnes tapi dia tetap punya masa untuk‘melayan’ filem Laura Jane.

“Laura Jane? Siapa tu? Tak kenal!” jawab Sufian sambil memerhati ke arah wanita anggun yang diapit oleh lelaki- lelaki berkarisma itu menghala ke dalam coffee house.Mereka kini duduk di meja tidak jauh dari meja Sufian dan Hawa

Fatihah.

Hawa Fatihah rasa teruja, terlalu ingin bertemu wajah dengan Laura Jane. Selama ini dia hanya melihat wajah itu di layar perak dan majalah.Tidak sangka malam ini dia dapat melihat sendiri batang tubuh dan wajah Laura Jane dari jarak yang dekat.

“Alah! Berlagaklah Abang Pian ni! Baru setahun duduk kat London dah tak kenal pelakon Malaysia,” ejek Hawa Fatihah.

“Betul, memang tak kenallah. Abang Pian jarang tengok filem Melayu. Lagipun dia tu dah berumur sikit, kan? Tiga puluhan. Kalau Lisa Surihani tu, Abang Pian cukup kenal. Cantik.”

“Hisy! Minat yang muda dan lawa aje. Lagipun Lisa Surihani baru aje kahwin, dah jadi isteri orang pun. Orang bukan minat dengan muka cantik saja bang, tapi bakat. Laura Jane ni memang berbakat besar selain daripada cantik.”

“Amboi! Lebih-lebih pulak puji. Hawa nak pergi jumpa dia? Nak ambil gambar dengan dia tak?” tanya Sufian bersungguh-sungguh.

“Hmm...seganlah bang,” kata Hawa Fatihah dengan wajah kelat.

Memang dia berasa segan hendak mendekati pelakon yang terkenal itu. Lagipun Laura Jane kelihatan sedang serius berbincang sebaik sahaja duduk di meja. Laura Jane tampil sangat anggun dengan gaun malam berwarna biru. Di bahagian pinggangnya penuh dengan taburan labuci dan jemeki. Rambutnya disanggul rapi.Ada juntaian kecil rambut di pelipis, dibiarkan terbuai perlahan mengikut lenggok kepala.

“Jom!”

Sufian sudah bangun lalu menarik tangan Hawa Fatihah menghala ke meja Laura Jane.

Hawa Fatihah menangkap suara Laura Jane yang sedang tertawa lembut. Ben di sisinya leka menyedut minuman manakala dua lelaki di sisinya sedang menunjukkan dia kertas berjilid saiz A4. Sekali imbas kertas berjilid itu adalah sebuah MOU.

“Selamat malam Cik Laura,” tegur Sufian membuatkan

Laura Jane berpaling.

Laura Jane memandang sahaja sepasang remaja yang berdiri berdekatan mejanya.

“She is your big fans.Boleh ambil gambar?”

“Okey,” balas Laura Jane sambil tersenyum mesra. Dengan dada yang berdebar-debar, Hawa Fatihah berdiri

di tepi meja. Laura Jane pantas bangun dan berdiri penuh gaya di sisi gadis itu.Tangannya diletakkan di atas bahu Hawa Fatihah. Namun gadis itu terus berdiri kaku, langsung terlupa mengukir senyum. Sufian mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya.Acara bergambar itu selesai dengan cepat dankedua-dua remaja itu beredar kembali ke meja.

Tidak lama kemudian Laura Jane ikut beredar keluar bersama dengan Ben. Hawa Fatihah memandang dari jauh.

Namun dia berpuas hati dapat bergambar bersama dengan pelakon pujaannya. Kalau mama tengok gambar ni, mesti dia cemburu! Dapat jugak aku bergambar dengan Laura Jane. Siapa sangka? bisik hati Hawa Fatihah.

Malam itu tidur Hawa Fatihah berbekal ingatan yang indah. Pertemuan dengan Laura Jane begitu berbekas di hatinya. Dia tidak dapat melupakan wajah Laura Jane yang ditatapnya dari jarak yang sungguh dekat. Dia benar-benartidak percaya. Segalanya seperti mimpi sahaja bagi Hawa Fatihah.

“Nak keluar dengan Abang Pian lagi tak malam ni? Mana tahu jumpa lagi dengan bintang filem lain pulak,” sakat Sufian awal pagi esoknya.

“Jangan merepek! Nenek tak izinkan. Katanya sekali ni saja Hawa boleh keluar malam,” balas Hawa Fatihah sambil menyudahkan sarapan.

Dia segera mengangkat beg. Jika dia melayani Sufian berbual, dia akan terlambat untuk ke sekolah. Dia tidak boleh main-main. Peperiksaan semakin hampir. Lalu dia harus menumpukan sepenuh perhatian pada peperiksaan SPM yang bakal menjelang.

Itulah matlamatnya, untuk berjaya dalam peperiksaan supaya dia dapat memasuki universiti seperti Sufian.Namun dia tidak berharap untuk keluar negara. Dapat memasuki universiti dalam negara pun sudah cukup. Jika tidak dapat pun sekurang-kurangnya berjaya memasuki kolej.

Semoga impiannya terlaksana.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.