Home Novel Cinta Sebenarnya Dia Milik Aku
Sebenarnya Dia Milik Aku
4/7/2013 11:04:07
75,002
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Bab 10

“ADUH, rindunya dengan nenek,” kata Hawa Fatihah sebaik sahaja keluar dari kereta Kancilnya. Dia terus meluru ke arah Mak Timah yang menanti kepulangannya di muka pintu. Tubuh Mak Timah terus dipeluknya dengan erat.

“Nenek pun sama Hawa. Berapa lama Hawa cuti kali ni?”

“Panjang nek,” jawab Hawa Fatihah sambil tersengih. “Sampai semester baru bermula.”

MakTimah tersengih panjang.Gembira apabila mendapat tahu Hawa Fatihah akan bersama dengannya di rumah itu lebih lama.

“Abang Pian pun kata dia akan balik Malaysia minggu depan.”

“Hmm...sukalah kamu ya,” usik Mak Timah sambil tersenyum mesra.

“Taklah nek! Biasa aje,” jawab Hawa Fatihah, menyembunyikan wajahnya yang merah. Malu kerana Mak Timah dapat mengesan kegembiraannya.

Sejak kebelakangan ini

Hawa Fatihah dan Sufian sering kali berchatting. Biasanya kalau Hawa Fatihah studyhingga lewat malam, Sufian yang mengajaknya berchatting. Perbezaan masa antara dua benua, tidak menjadi masalah. Sufian cuba mencari masa Hawa

Fatihah apabila gadis itu tidak sibuk.

“Hawa, kamu ni ada apa-apa ke dengan Pian?” tanya Mak Timah setelah masuk ke dalam bilik tidur.

“Kenapa nenek tanya macam tu?” “Nenek risau.”

“Apa yang nenek risaukan? Kami bukannya ada hubungan apa-apa nek.”

“Nenek tahu. Nenek lebih makan garam, Hawa. Cakapterus-terang dengan nenek, Hawa.”

Wajah Hawa Fatihah kelihatan serba-salah.

“Memang Abang Pian sayangkan Hawa. Katanya suatu hari nanti dia...dia nak kahwin dengan Hawa,” kata Hawa Fatihah lembut kemudian menundukkan wajahnya.

Dia malu tetapi terpaksa berterus-terang dengannya. Dia ingin tahu jika neneknya membantah atau tidak. Jika nenek tidak suka, Hawa Fatihah akan menurut sahaja. Dia tidak akan membantah kata-kata Mak Timah.

Lama Mak Timah terdiam. Dia termenung. “Papa dengan mama ada tahu hal kau orang ni?”

Hawa Fatihah menggeleng. Sufian tidak memberitahu

Encik Anuar dan Puan Anom tentang perasaannya pada

Hawa Fatihah. Menurut Sufian, belum masanya untuk Encik

Anuar mengetahuinya. Tetapi masanya akan tiba. Dia akan memberitahu kedua-dua pasangan suami isteri itu apabila dia telah tamat belajar kelak.

Hawa Fatihah setuju. Dia pun baru sahaja menghabiskan tahun pertama. Masih ada dua tahun lagi.Tetapi Sufian akan tamat belajar dalam masa setahun lagi.

“Belajarlah dulu, Hawa. Nenek tak berapa suka kalau Hawa bercinta.Takut nanti lupa pada pelajaran, asyik dengan cinta. Cinta tu manis sekejap aje Hawa. Macam kita makan aiskrim. Manis tapi lepas tu terus cair.”

“Ada pulak macam tu nenek. Cinta semanis aiskrim, kan sedap tu?” balas Hawa Fatihah sambil tersenyum.

“Lagipun cinta itu penuh dugaan dan rintangan. Jangan ingat cinta itu mudah dan indah saja,” kata Mak Timah.

Hawa Fatihah mengangguk, lalu terus menukar haluan perbualan.

“Nek,tadi Hawa singgah katTemerloh.Hawa ada belikan nenek jeruk petai.Hari ni kan ada Pekan Sari Temerloh.Hawa juga belikan nenek ikan pekasam.”

Mak Timah tersengih. Memang dia amat menggemari ikan pekasam dan jeruk petai. Pandai cucunya itu mengambil hati.

Hawa Fatihah menyerahkan beg plastik berisi jeruk petai dan ikan pekasam. Mak Timah bangun menuju ke dapur.

SEMINGGU kemudian, Sufian pulang. Kepulangannya disambut dengan majlis kesyukuran. Ramai kawan-kawanyang sama-sama belajar dengannya di luar negara turut hadir dalam majlis itu.

Encik Anuar turut menjemput rakan-rakan niaganya. Puan Anom juga turut mengundang kawan-kawan baik sertasaudara-mara mereka yang ada di sekitar Kuala Lumpur. Mak Timah sibuk sekali di dapur dibantu oleh Hawa Fatihah. Meskipun Puan Anom menempah katering tetapi MakTimah berbesar hati menyediakan juadah pencuci mulut.

Majlis bermula pada jam 3.00 petang hingga ke 11.00 malam. Biarpun sudah lewat malam Mak Timah masih mengemas.

“Nek! Dahlah tu,” kata Hawa Fatihah.

“Nenek rehatlah nek! Biar Hawa pulak yang cuci gelas tu. Nenek tidurlah dulu.”

“Sikit lagi ni Hawa. Kamu pergilah tidur dulu. Kejap lagi nenek masuk.”

Encik Anuar sudah lama tidur. Begitu juga dengan isterinya. Sufian juga sudah lama masuk ke dalam bilik. Dia juga penat melayani tetamu.

Setengah jam kemudian barulah Mak Timah masuk ke bilik. Ketika itu jam sudah hampir pukul 12.00 malam. Hawa Fatihah menunggu neneknya masuk dengan membaca novel.

“Aduh, sengal-sengal rasa bahu ni,” keluh Mak Timah. “Tumit pun sakit ni agaknya berdiri lama.”

“Nenek kerja keras sangat,” kata Hawa lalu bangun mengambil minyak angin.

Dia menggosok kaki neneknya dengan minyak angin lalu memicit tumit dan telapak kaki Mak Timah. Kemudian dia menggosok pada bahu dan mengurutnya perlahan-lahan.

“Dahlah tu Hawa...kau pun penat jugak. Kita tidurlah,” kata Mak Timah lalu menutup lampu.

Hawa Fatihah berbaring di katilnya. Bilik itu mempunyai dua buah katil bujang. Suasana itu amat menyenangkan dan selesa buat Mak Timah dan cucunya. Sejak dahulu sehingga kini Hawa Fatihah senang tinggal sebilik dengan neneknya. Sudah acapkali juga Puan Anom menyuruh Hawa Fatihah pindan ke tingkat atas. Lebih selesa jika dia memiliki bilik sendiri. Tetapi Hawa Fatihah menolak, dia tidak mahu tidur berjauhan dengan neneknya.

Walaupun Mak Timah tidak menyuruh dan tidak pula melarang, namun hati kecilnya tidak mengizinkan.Tidak elok sekiranya Hawa Fatihah tinggal di bilik bersebelahan dengan

Sufian yang bukan muhrimnya. Tinggal serumah memang sudah tidak dapat dielakkannya lagi. Dia bersyukur apabila Hawa Fatihah menolak dengan baik permintaan Puan Anom. Lebih-lebih lagi sekarang mereka sedang dilamun cinta. Mak Timah menjadi semakin bimbang.

Jam loceng berbunyi nyaring tepat jam 6.00 petang. Hawa Fatihah bangun membuka lampu lalu terus ke bilik air untuk mandi. Kemudian dia mendirikan Solat Subuh. Saat dia memandang ke arah katil neneknya, Mak Timah masih tidur.

Selepas solat dia mengejutkan Mak Timah. “Nek, bangunlah! Subuh dah.”

Mak Timah membuka matanya perlahan-lahan. Diaterpisat-pisat kemudian cuba untuk bangun. Namun dia kelihatan begitu lemah sekali. Lambat-lambat dia duduk, bersandar di dinding. Rambutnya yang semakin nipis, sudah memutih disanggul rapi. Dia masih belum bangun dari katil.

“Tak larat nak bangun rasanya,” keluh Mak Timah. “Pucatnya muka nenek,” kata Hawa Fatihah sambil

tangannya menyentuh pipi neneknya.Terasa panas.Kemudian telapak tangannya diletakkan di dahi pula. Panas juga.

“Nenek demam ni!” kata Hawa Fatihah sedikit cemas. Mak Timah merebahkan badannya semula. Dia berasa pening.

“Nek, kita pergi klinik ya. Hawa beritahu papa dengan mama.”

“Tak usahlah, jangan susahkan mereka. Kamu tolong ambilkan ubat demam dalam kabinet dapur.”

Hawa Fatihah bergegas ke dapur,mencari ubat.Kemudian datang semula membawa segelas air.

“Nenek makan ubat dan minum air ni,” kata Hawa Fatihah.

Mak Timah hanya menurut. Selepas makan ubat dia baring semula.Tidak lama kemudian dia terlelap.

“Hawa masak apa?” tegur Puan Anom sewaktu dia menuruni tangga dari tingkat atas.

Hawa Fatihah sedang menyusun pinggan di atas meja makan. Dia baru sahaja meletakkan semangkuk besar bihun goreng. Air kopi juga sudah siap dibancuh. Dia turut menyediakan roti bakar yang disapu dengan butterdan serikaya.

“Hawa goreng bihun, mama.”

Puan Anom berdiri di tepi meja.

“Wah,wanginya bau.Pandai Hawa goreng bihun.Nampak sedap,” kata Puan Anom sambil tersengih.

Hari ini Puan Anom tidak tergesa-gesa ke pejabat. Encik Anuar juga masih tidur. Mereka merancang hendak balik kampung. Sudah lama benar mereka tidak balik ke kampung.

Entah berapa tahun Encik Anuar sendiri sudah lupa. Sufian yang beria-ria hendak bertemu dengan datuk dan nenek saudaranya.

“Mama tak ke pejabat hari ni?” tanya Hawa Fatihah. Puan Anom menggeleng.

“Pian nak sangat balik kampung. Dah lama tak jumpa dengan tok ngah katanya.Jom kita balik kampung.Ajak nenek sekali,” kata Puan Anom.

“Mana nenek ni? Selalu tu pagi-pagi dah bangun.” “Nenek demam tapi dah makan ubat. Dia tidur lagi tu,”

beritahu Hawa Fatihah.

Puan Anom bergerak memasuki bilik Mak Timah, lalu mendekati katil. Dia memegang bahu Mak Timah yang berbaring menghadap ke dinding.

“Mak Timah...tak sihat ke?”

Mak Timah terjaga lalu membuka matanya. Dia memandang Puan Anom.

“Haah Nom, tak sihat.Tapi dah kebah sikit dah demam ni.”

Puan Anom meraba-raba dahi Mak Timah.

“Eh, panas lagi demam ni. Nom hantar Mak Timah ke klinik ya?”

“Tak apa Nom,MakTimah tak apa-apa.Kejap lagi baiklah. Lagipun Hawa ada, Pian pun ada,” jawab MakTimah. Dia cuba bangun tapi kepalanya masih berat.

“Hari ni Nom dengan Nuar tak ke pejabat. Kami ingat nak balik kampung. Nak ajak Mak Timah sekali.”

Mak Timah diam sahaja. Kemudian dia menggeleng.

“Ajak Hawa, mungkin dia nak ikut.”

“Hawa tak mahulah nek, Hawa nak temankan nenek. Takkan nak biarkan nenek sorang-sorang. Dahlah nenek tak sihat,” sampuk Hawa Fatihah yang berdiri di ambang pintu bilik.

Mak Timah tersenyum pahit. “Yalah,” balas Puan Anom.

Selepas sarapan, Encik Anuar sekeluarga bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Wajah Sufian sedikit kecewa kerana Hawa Fatihah tidak mengikutnya pulang ke kampung halaman.Puas dia memujuk tetapi Hawa Fatihah tetap dengan pendirian akan menemani Mak Timah yang tidak sihat.

“Hawa, kalau badan nenek tu panas lagi, cepat-cepatbawak dia pergi klinik ya. Jangan biarkan takut melarat,” pesan Puan Anom sebelum berangkat.

Sufian melambai-lambai Hawa Fatihah yang menghantar mereka sekeluarga hingga ke pintu pagar. Lesu lambaiannya kerana Hawa Fatihah tidak dapat bersama.

“KESIAN saya tengok Mak Timah tu, dia dah tak larat tapi masih nak buat semua kerja rumah,” kata PuanAnom semasa mereka dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Memang tak sampai hati nak berhentikan dia,” kata Encik Anuar.

“Macam mana kalau kita ambil sorang lagi pembantu rumah. Ringan sikit beban dia.”

“Saya ada terfikir jugak nak buat macam tu.Saya pernah beritahu dia nak ambil sorang lagi untuktolong-tolong tapi dia menolak. Katanya dia larat lagi. Lepas tu dia macam berasa hati pulak sebab kita macam tak perlukan dia,” cerita Puan Anom.

“Susah jugak, orang tua ni sensitif. Kalau kita ambil orang lain, karang dia ingat kita nak berhentikan dia. Kalau tak ambil, kan kesian dia dah tua.Tak larat nak buat kerja lebih sikit, terus jatuh sakit.”

“Biar Pian pujuk nenek tu,” ujar Sufian,menyampuk.

“Betul jugak, dia dengar cakap Pian,” kata Encik Anuar bersetuju.

“Pujuk baik-baik Pian. Orang tua mudah tersinggung,” nasihat Puan Anom kemudian.

Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari mereka tiba di hadapan rumah bapa saudara Encik Anuar di kampung. Kelihatan dua buah kereta mewah di hadapan rumah banglo dua tingkat yang menghadap ke Sungai Pahang itu.

Melihat kereta yang baru masuk ke halaman, tuan rumah itu keluar dari pintu hadapan. Dahinyaberkerut-kerut dan matanya dipicingkan jauh. Encik Anuar keluar dari kereta diikuti oleh Puan Anom dan Sufian. Orang tua berkupiah putih dan berbaju Melayu hijau itu terkejut melihat kehadiran mereka tiga beranak.

“Masya-ALLAH! Ingatkan siapa tadi. Nuar rupanya!” “Pak ngah, apa khabar?”

Encik Anuar menghulurkan tangan ke arah bapa saudaranya.

Pak Ngah Bujang tergelak kecil.

“Sihat seadanya, Nuar. Ha...ni Pian ya.Wah, tinggi betul kamu ni, Pian!”

Sufian hanya tersengih, dia bersalam dengan tok ngahnya.

Pak Ngah Bujang memanggil isterinya. Kebetulan dua orang anak Pak Ngah Bujang, sepupu kepada Encik Anuar juga baru sahaja sampai. Sudah lama mereka tidak bertemu. Tengah hari itu suasana di rumah Pak Ngah Bujang sungguh gamat dengan suara perbualan dan gelak tawa.

Sufian juga sibuk melayani saudara pupunya. Semuanya perempuan dan sedang meningkat remaja seperti dirinya juga. Mereka semua galak hendak mendengar cerita Sufian yang sudah hampir tiga tahun berada di luar negara.

Sufian riang bercerita. Namun wajah Hawa Fatihah tidak pernah lenyap dari ingatannya.


“SEJAK kebelakangan ni, nenek selalu berfikir nak balik kampung saja, Hawa,” luah Mak Timah.

Malam itu demamnya sudah beransur kebah. Hawa Fatihah memujuk wanita tua itu ke klinik. Akhirnya dia bersetuju.

“Tanah nenek sudah lama terbiar.Rumah pun dah roboh. Duduk di sini pun tak ada kesudahannya. Kalau balik ke kampung, boleh jugak usahakan tanah sendiri. Duit simpanan pun ada.Kalau setakat nak buat rumah kecil tu lebih daripada cukup,” lanjut Mak Timah.

Hawa Fatihah tidak menjawab.Dia tidak begitu menyukai idea Mak Timah. Dia senang tinggal di sini. Jika pulang ke kampung, sukar untuk menemui Sufian lagi. Setahun lagi Sufian akan menamatkan pelajaran dan menetap terus di Kuala Lumpur.

“Di kampung nenek tak ada kerja. Macam mana?” tanya Hawa Fatihah menduga.

“Nenek boleh ternak ayam itik. Bercucuk tanam. Sekarang bukan macam dulu. Ayam kampung dah mahal.Sayur-sayuran pun mahal. Dulu seikat 50 sen.Tapi sekarang seikat dua ringgit,” kata MakTimah yang memang arif dengan harga barang-barang runcit.

Dia yang selalu berbelanja di pasar. Puan Anom jarang masuk ke pasar membeli ikan dan sayur.Sebulan sekali sahaja dia ke pasar raya membeli barangan runcit.

“Kau pun dah besar.Tak ada apa nenek nak tunggu di sini lagi Hawa. Dulu nenek datang sini kerana nak membesarkan kamu. Sekarang kamu dah besar, dah boleh berdikari sekiranya nenek tak ada.”

“Hawa tak sukalah nenek cakap macam tu!”

“Nenek makin tua, Hawa.Tak dapat elak. Itulah putaran hidup namanya. Lahir, membesar, remaja, dewasa dan tua. Akhirnya kembali kepada TUHAN,” jawab Mak Timah.

“Hisy, jangan merepeklah nek. Hawa tak nak dengar!” kata Hawa Fatihah sambil memekup telinganya.

Dada gadis itu berasa sebak. Dia tidak suka neneknya melalut dan menyebut soal hidup dan mati pula. Bersama kehidupan wujud harapan tetapi kematian membawa kesedihan sahaja. Itu yang membuatkan Hawa Fatihah tidak suka.Tetapi hidup lawannya mati.Sudah lumrah.Hawa Fatihah memang sedar hakikat itu.

“Nek, Hawa takut kalau sesuatu terjadi pada nenek,” kata Hawa Fatihah sambil memeluk Mak Timah.

“Tak ada apa-apalah yang akan jadi pada nenek, sayang. Nenek kan dah sihat. Nenek nak tengok Hawa bahagia,” pujuk Mak Timah.

“Nenek jugak berdoa moga-moga suatu hari nanti kamu jumpa semula dengan mak kamu.”

“Mak Hawa?”

Sudah lama perihal ibunya tidak disebut oleh Mak Timah. Hawa Fatihah masih ingat semasa kecil dia pernah bertanya tentang itu tetapi MakTimah tidak pernah melayani pertanyaannya dengan baik. Akhirnya dia terlupa.Tambahan pula kasih sayang Puan Anom tidak ubah seperti ibu bapa sendiri. Malah, sejak kecil dia memanggil pasangan suami isteri itu mama dan papa.

“Mak kamu cantik orangnya Hawa, tapi dia ada beberapa tabiat yang tak elok,” kata Mak Timah memulakan cerita.

“Nenek bukan nak mengata atau pun mengutuk dia. Berdosa. Hatinya memang TUHAN sahaja yang tahu tapi tingkah lakunya, masya-ALLAH, menyakitkan hati.”

Suara Mak Timah tergantung di udara, bagaikan mengingati sesuatu.

“Entah mengapa, dia selalu buat perangai lepas ayah kau meninggal. Bila bercakap, suaranya lantang dan kata- katanya berbisa. Mungkin sebab dia kurang didikan agama, ataupun dia sedih sebab belum setahun kahwin ayah kau dah meninggal.”

“Ayah meninggal sebab apa nek?”

“Kena patuk dek ular masa menoreh,” beritahu Mak Timah dengan wajah sedih.Terasa peristiwa itu seperti baru semalam terjadi.

“Masa dia kahwin dengan ayah kamu dulu dia muda sangat, lebih kurang 17 tahun. Sebagai mentua, nenek selalu nasihatkan dia tapi dia tak mahu dengar. Dia lawan cakap nenek. Kami selalu bertengkar.”

Hawa Fatihah termenung panjang. Tidak sangka ibu kandungnya seorang wanita yang jahat, yang menyakitkan hati ibu mentuanya sendiri. Dia tidak sangka.Tapi wanita itu tetap ibunya. Dia mulai rasa teringin hendak bertemu insan yang melahirkannya. Dia mengira sendiri. Sekarang umurnya 18 tahun. Bermakna, ibunya kini berusia 36 tahun. Masih muda, bisik hati Hawa Fatihah.

Di manakah dia sekarang? Hati Hawa Fatihah penuh persoalan.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.