DIA mendongak ke langit, memandang awan kumulonimbus yang bertebaran di angkasa raya sambil menyedut oksigen dengan lahap. Dadanya kelihatan berombak ketika mencari nafas. Larian yang semakin longlai diteruskan dalam keterpaksaan dengan memerah seluruh sisa kudrat yang masih ada. Peluh membasahi belakang baju kemeja petak-petak yang melapik di atas singlet Pagoda berwarna putih yang dikenakannya sejak subuh tadi.
Bunyi siren kereta peronda polis yang diberhentikan di hujung lorong menikam gegendang telinga. Dia menyumpah-nyumpah di dalam hati, memaki kesemua nama anak-anak Adam yang membawa dia masuk ke kancah itu. Namun, jauh di sudut hatinya dia tahu yang khilaf itu datang daripada dirinya sendiri.
Dia yang memilih untuk menjadi 'pak turut'. Dia yang selayaknya dimaki kerana kebodohan sendiri. Benar kata abah, dia 'jantan bengap'! Dia tidak layak untuk hidup! Mungkinkah abah akan mentertawakannya kerana tertangkap? Mungkin abah akan sujud syukur kerana anak yang abah anggap masalah selama ini akan lenyap untuk suatu tempoh yang lama. Atau mungkin abah takkan peduli. Dia hanya noktah kecil dalam status Instagram yang tidak memerlukan formaliti.
Semua yang ada di depannya nampak kelam. Sekelam air kopi kosong yang diteguknya pagi tadi, di atas tikar mengkuang berlubang yang pernah menjadi tempat pembaringan Tok Awi ketika neneknya itu masih hidup. Kata abah, Tok Awi umpama bangkai bernyawa, penghabis beras.
Mungkin abah lupa yang dia lahir daripada rahim 'bangkai' itu. Atau mungkin abah sengaja pura-pura lupa kerana abah penat. Penat bekerja dan dimaki oleh bos yang bermulut longkang. Jadi, abah berlagak persis lori sampah. Abah kutip sampah orang lain dan sebarkan bau busuknya merata-rata. Atau mungkin itu hanya cubaan dia untuk bersangka baik yang abah cuma tertekan. Ya, dia masih mahu percaya yang abahnya baik, hanya tertekan dengan keadaan.
Derap kaki beberapa pegawai polis yang tidak berpakaian seragam mengekori tiap langkah yang diayunkannya, sama lincah dan pantas. Atau barangkali tidak. Mungkin lebih lincah dan pantas. Kerana setiap kali dia melambatkan tempo untuk melepaskan lelah, dia sedar bunyi derap kaki mereka semakin menghampirinya. Seolah-olah mereka tidak tahu penat. Dia berhenti mengagumi kekuatan fizikalnya yang selalu dicanang-canang di depan kawan-kawannya dulu. Ya, dia lemah dari segi fizikal dan mental.
Air jernih merembes keluar dari kolam matanya, menangisi kebodohan diri. Sesungguhnya, dia tidak pernah berasa setakut itu seumur hidup. Mungkinkah kerana ia kali pertama dia berdepan dengan situasi itu? Dia pernah dikejar guru disiplin. Dia pernah dikejar samseng-samseng yang tinggal di kawasan setinggan yang sama. Tetapi tidak polis. Dia tidak pernah dikejar polis sebelum ini.
"Berhenti! Berhenti aku cakap!" jerit salah seorang polis yang semakin dekat dengannya.
"Jangan ikut aku! Aku tak salah! Aku tak salah!" jerit Soleiman.
Entah siapa yang mahu diyakinkan. Sudah terang lagikan bersuluh. Memang dia bersekongkol sama dalam perancangan jenayah itu.Tongkol kayu yang duduk melintang di atas tar berlubang di lorong itu diterpa kaki kalutnya.
Gedebuk! Tubuh kuruskan jatuh tertiarap. Kerikil tajam menyeret kulit pipinya. Pedih rasanya. Tetapi dia cuba menggagahkan kaki untuk bangun, merangkak sambil menggagau apa saja yang mampu dicapai untuk menyokong tubuhnya bangun.
Tetapi dengan nafas tercungap-cungap dan tenaga yang bersisa, dia tidak mampu pergi jauh sebelum tubuhnya ditekan ke bawah dengan telapak kaki lebar. Pipinya mencium tar. Kulit di tulang pipi tersiat lagi.
Namun, pedihnya tidak terasa apabila rasa takut menakluki diri. Dia hampir-hampir terkencing sewaktu kedua-dua belah tangannya ditarik ke belakang dan dipakaikan dengan gelang besi campuran keluli, alumina dan karbon nikel. Ah, aksesori ini sememangnya digeruni! Dia selalu melihatnya di kaca televisyen.
"Kau ni betullah! Hidup menyusahkan orang!" terjah seorang pegawai di belakang.
Pegawai itu nampak seakan-akan sudah tidak mampu menahan sabarnya. Dia tercungap-cungap kepenatan selepas lebih dua kilometer mengejar Soleiman.
Soleiman menggelupur tak tentu arah apabila tubuhnya ditarik bangun untuk dibawa ke balai polis. Dia masih enggan menerima kenyataan yang dia baru menempa episod sama yang pernah dilalui arwah abangnya dulu. Bezanya, dia tidak membawa senjata seperti abangnya sehingga menyebabkan pergelutan yang meragut nyawa.
"Melawan! Melawan!" jerkah pegawai polis yang menahannya.
Sekali lagi tubuhnya ditekan ke jalan tar. Seorang lagi pegawai yang bertugas menghampirinya dan mencapai dompet yang hampir terkeluar dari poket belakang seluar jean lusuhnya.
"Budak baru nak up. Baru nak masuk 18 tahun. Apa nak jadi dengan kau ni? Entah sekolah, entahkan tidak," hujahnya sambil menggeleng kesal.
"Aku tak salah! Aku tak buat apa pun! Aku nak balik!" jerit Soleiman berulang kali bagaikan sedang meracau.
"Kalau tak salah, buat apa kau lari? Kau ingat aku ni budak berhingus macam kau?" soal pegawai tadi.
"Bawa pergi balai," suruhnya.Pegawai yang menekan tubuhnya tadi terus bangun. Soleiman ditarik bersamanya.
"Dah! Tak payah nak melawan lagi. Dah kena gari pun. Kau nak lari ke mana lagi?"
Air mata Soleiman merembes lagi, ditemani lelehan hingus yang tergantung di hidung. Ah, dia sudah tidak tahu apa itu segan! Dia tak kenal apa lagi jijik. Seumur hidupnya, dia merasakan dirinya tidak punya harga. Maka dia berhenti menghargai dirinya. Dia melaknat hidupnya sendiri. Dia selalu memikirkan yang dia tidak kisah kalau masa depannya bertukar selegam kopi.
Baru kini dia tahu, sehina mana pun pandangan orang, tubuhnya itu masih ada nilai. Kebebasan itu masih lagi signifikan untuknya. Dia tak mahu terperangkap di sebalik palang-palang besi. Kerana itu, dia cuba lari apabila keadaan mendesak. Dia cuba lolos meskipun dia tahu sudah tak ada gunanya lagi.
"Apalah nak jadi dengan budak-budak sekarang?" soal pegawai yang menolak kepalanya supaya tunduk bagi mengelak terhantuk ketika dipaksa masuk ke ruangan belakang kereta polis.
Ia kedengaran seperti soalan, tapi lebih kepada keluhan.Lutut Soleiman masih bergetar. Dia yang hilang kestabilan tersungkur di atas seat belakang.
"Macam mana kau boleh terfikir nak rompak bank? Banyak sangat tengok filem Hollywood. Budak umur macam kau ni patutnya pergi sekolah, belajar. Ini tak, memalukan mak bapak!" bebel pegawai seorang lagi.
Soleiman bingkas bangun apabila bahunya ditarik dari belakang, dibantu duduk oleh pegawai polis yang menahannya tadi. Memalukan mak bapak? Mak? Maknya sudah lama meninggal. Bapak? Bapanya yang masih ada bagaikan tiada. Dia mengengsot ke tepi tingkap. Melihat dunia luar yang bakal dirinduinya.
"Kali pertama memang rasa lain macam. Nanti dah lama-lama, biasalah. Macam aku, masuk keluar. Lokap tu dah jadi macam rumah tumpangan. Bukan aku bunuh orang, beberapa tahun keluarlah. Lainlah kau bawak dadah, silap-silap hari bulan boleh kena gantung."
Hujah yang pernah meniti di bibir Adnan dulu singgah ke dalam ruangan ingatannya. Kata-kata Adnan sebelum ini yang berbaur gurauan dan ditemani tawa kini menjadi bagaikan lava yang menawan seluruh sel otaknya. Dari serebrum ke serebelum. Semangatnya melebur.
Kepalanya jadi kosong. Seolah-olah kakinya tak lagi menjejak bumi. Tubuhnya ditarik keluar dengan mudah setibanya di balai polis. Dia sudah tidak punya kudrat untuk melawan. Sewaktu gelang besi yang menjadi aksesorinya ditanggalkan dan tubuhnya ditolak masuk ke dalam lokap tahanan, barulah dia mula bertindak balas semula. Mukanya ditempel di antara palang besi yang menahan tubuh dewasanya daripada lolos.
"Tolonglah... aku minta ampun. Aku tak buat lagi. Tolonglah lepaskan aku!" teriaknya bagai orang dungu.
Jeritannya dipersetankan saja oleh pegawai bertugas.Soleiman duduk terjelepok di depan palang besi, menangis dan meraung sekuat-kuatnya. Meskipun dia tahu tidak ada siapa akan peduli. Untuk apa mereka peduli? Dia bukan sesiapa. Benar kata abah, dia tak patut hidup. Patutkah dia mati sekarang? Mungkinkah itu lebih mudah?
***
"Orang cakap, nak senang kena rajin berusaha. Dia orang cakap, kau jadi miskin sebab kau malas. Tapi, tak semua orang faham. Ada sesetengah orang dah usaha seumur hidup, berlari laju untuk maju ke depan. Malangnya kat depan dia hanya ada curam dalam. Kalau dia maju lagi, dia akan jatuh..." Suara Widad menikam gegendang telinganya.Soleiman tergelak.
"Sebab tu aku tak faham kenapa kau usaha keras. Kau ingat kita boleh keluar dari hidup macam ni? Kau ingat kalau kau usaha lebih, kau boleh jadi kaya?"
"Median income kat Malaysia ni cuma RM5,209 dalam tahun 2020. Aku bayangkan dalam tahun 2020, kita semua akan hidup senang. Ada rumah terapung yang takkan kena baham banjir dan kereta terbang yang takkan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Tapi, semua pun dah jadi angan-angan Mat Jenin. Kena serang virus sampai berkurung pulak tu tahun lepas," omel Widad.
"Aku cakap fasal nak keluar dari hidup miskin macam ni! Yang kau cakap pusing-pusing apahal? Kau ingat belajar macam nak rak ni, boleh terus jadi billionaire?" soal Soleiman dalam nada marah.Widad ketawa.
"Aku tak pernah berangan nak jadi kaya," jawabnya sesudah berhenti ketawa.
"Habis tu, buat apa kau belajar? Kau ingat orang-orang kat luar tu akan pandang kau? Sekarang ni orang layan joget Tiktok, siapa lebih follower, like... Kau reti apa? Takat score exam..."
"Kau ingat aku belajar sebab nak orang pandang aku? Kau ingat aku terdesak nak perhatian orang?" soal Widad semula.
"Habis tu?"
"Walaupun pada mata orang aku tak ada nilai, aku tau diri aku sangat bernilai. Aku tak perlu jadi kaya atau dapat pengiktirafan sesiapa. Aku hanya nak hidup dengan cara bermaruah..." luah Widad.Soleiman ketawa.
"Kenapa?" soal Widad hairan.
"Orang miskin macam kita tak perlukan maruah, Wid. Kita hanya perlu ada duit. Duit boleh beli maruah," balas Soleiman.Widad diam.
"Kenapa? Kau tak setuju dengan aku? Kalau tidak, mak kau takkan jual diri untuk duit," balas Soleiman.
Satu tamparan melekap di pipinya. Dia terdiam, terkejut dengan hadiah Widad. Ya, dia selalu dijerkah tetapi Widad tak pernah bertindak kasar secara fizikal. Begitu juga dengan dia. Widad selalu digertak, tetapi tidak pernah disentuh barang seinci. Dia masih tahu batas-batasnya. Walaupun gadis itu kawan karibnya, Widad masih seorang perempuan.
"Badan kau masih manusia. Tapi, fikiran kau ni dah jadi macam binatang! Kadang-kadang aku rasa aku tak kenal kau, Sol! Kenapa kau desperate sangat nak jadi jahat? Kau ingat cool? Apa kau nak sebenarnya? Nak meringkuk dalam penjara baru nak insaf?" balas Widad.
Fikiran Soleiman yang terbang kembali ke jasad kakunya apabila pintu lokap ditarik dengan kasar. Seorang lelaki bertubuh besar ditolak masuk, duduk di atas bangku sambil merenungnya. Perlahan-lahan dia cuba menghadam kata-kata Widad yang dibayangkan semula dalam kepalanya tadi. Bukankah amaran itu sudah disampaikan kepadanya, jelas dan terang. Tetapi dia yang berkepala batu. Dia yang menepis segala pesanan Widad sebelum ini.
'Betul cakap kau, Wid. Fikiran aku dah jadi macam binatang. Kalaulah aku dengar cakap kau dari awal. Kalaulah aku tak buat benda macam ni. Kalau, kalau dan kalau... Tetapi sekarang semuanya sudah terlambat untuk aku,' bisik hati kecil Soleiman sambil menggenggam palang besi di depannya.