Home Novel Cinta Bawah Payung Awan (Sudah Terbit)
Bawah Payung Awan (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:31:25
15,844
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Lima bulan sebelumnya...

"KAU masih marahkan aku, Wid?" soal Soleiman sambil mengejar langkah kasar gadis berambut pendek di sebelahnya.

Langkah Widad terhenti. Melayani Soleiman adakalanya bagaikan mengetuk tin kosong. Kuat bunyinya, tapi isi masih kosong. Soleiman tidak mahu mencerna tegurannya, mentafsir nasihatnya mahupun memahami kasih sayang seorang sahabat.

"Habis? Kau nak suruh aku tepuk tangan, bersorak lepas kena hina dengan kau?" soal Widad tanpa memandang muka Soleiman.

Persetankan kalau Soleiman mahu menganggapnya gadis cengeng. Dia berhak rasa terkilan.

"Aku tak ponteng sekolah langsung minggu ni," ungkit Soleiman.

Ini cara halus untuk dia memujuk Widad. Hanya gadis itu yang peduli sama ada dia ke sekolah ataupun tidak.Widad tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia mengangkat beg sekolahnya dan meluru ke pintu tanpa memandang Soleiman langsung. Beberapa pasang mata memberi fokus kepada tindaktanduknya. Ah, dia mampu membayangkan apa yang difikirkan mereka dengan pasakan renungan begitu!

Dari segi kewangan, mereka sememangnya dalam kasta yang sama. Tetapi dari segi pencapaian intelek dan sikap, mereka bagaikan langit dan bumi.

Soleiman duduk di kelas terakhir yang disusun mengikut jurusan. Ponteng adalah aktiviti kegemaran Soleiman sejak di bangku sekolah rendah lagi.Dalam seminggu, barangkali dia hanya akan menunjukkan muka sehari dua. Selebihnya, dia akan menghabiskan masa bekerja. Kalau ada masa terluang, dia akan bermukim di kedai kopi, kafe siber ataupun menempel di rumah rakan-rakan yang sealiran dengannya.

Namun dalam jangka masa pendek yang diluangkan di sekolah, Soleiman masih sempat mencari musuh. Sudah beberapa kali dia ditangkap semasa sedang bergaduh sehinggakan diambil tindakan disiplin. Pengetua sudah mengeluarkan amaran terakhir kepadanya. Kalau Soleiman ditangkap bergaduh lagi, mereka akan membuangnya dari sekolah.Berbeza dengan Soleiman, Widad duduk di kelas teratas. Atau lebih tepat, dia pelajar yang duduk di dalam carta tiga pelajar paling cemerlang di dalam tingkatan lima.

Kalau bukan kerana mata pelajaran bahasa Inggeris, dia barangkali akan sentiasa duduk di puncak carta. Mempelajari bahasa asing yang tidak dapat dipraktikkan sehari-hari tidak semudah yang selalu dipertontonkan dalam drama. Widad masih jakun meskipun usahanya berlipat kali ganda berbanding pelajar-pelajar yang selalu mendapat markah tinggi untuk mata pelajaran itu.

"Aku tak bermaksud nak cakap macam tu."

"Aku tak marah kaulah, Sol," balas Widad.

Dia mengangkat kaki baju kurungnya sedikit, menampakkan seluar trek yang labuhnya sampai ke buku lali. Kakinya lincah menuruni anak tangga.Soleiman mengejar lagi.

"Kau tak marah aku ungkit fasal kerja mak kau?" soal Soleiman.

Mereka berkawan baik sejak dari usia lima tahun. Dia tahu semua perkara yang sensitif bagi Widad. Apa yang mampu membuatkan gadis itu marah dan gembira. Tetapi sejak akhir-akhir ini, mulut lancangnya seakan-akan tidak mengenal sempadan. Dia asyik terlajak ketika bercakap.

"Mak aku jual maruah untuk duit. Aku dibesarkan dengan duit haram. Darah daging aku dah sebati dengan duit haram. Aku tahu... semua orang selalu ingatkan aku. Jadi, kalau kau tak ingatkan pun, aku sentiasa ingat," balas Widad dengan mata yang berair.Soleiman mengeluh.

"Kau masih marah..." balasnya meskipun Widad baru menafikannya.

Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak kata, badan binasa. Ah, dia rela dibinasakan andai itu mampu memujuk hati Widad! Tetapi, dia tahu bukan itu yang dituntut Widad.Widad meneruskan langkah laju-laju.

"Wid!" panggil Soleiman. Lengan Widad ditariknya.

"Kau nak aku buat apa? Aku buat, aku janji. Asalkan kau boleh lupa apa yang aku cakap hari tu. Aku betul-betul tak sengaja."

"Kau peduli apa aku marah atau tak? Bukannya orang tak kenal dengan mulut laser kau. Aku tak patut terkejut pun dengan apa yang kau cakap. Kalau kau yang membesar dengan aku boleh cakap macam tu, maknanya..." ungkit Widad.

"Aku tak kisah orang lain marah atau benci aku. Pergi mampus! Memang aku tak kisah. Tapi dengan kau lain, Wid. Aku tak suka kalau kau marah. Aku tak boleh kalau kau benci aku..." potong Soleiman.

"Kenapa? Takut aku beritahu opah kau?" soal Widad.

"Orang tua tu tak faham punlah kalau kau beritahu dia. Dia dah tua bangka, nyanyuk. Dah ganyut macam tu, apa lagi yang dia ingat?" balas Soleiman, membetulkan tanggapan Widad.

Komen yang diluahkan tentang neneknya sendiri juga berbunyi kasar.Widad menggeleng. Setiap butir bicara yang keluar dari mulut Soleiman sekarang membuatkan dia berasa janggal. Seakan-akan dia sudah tidak kenal siapa lelaki itu lagi. Soleiman semakin menjauh meskipun lelaki itu ada di sampingnya sekarang.

"Kadang-kadang aku tak faham dengan perangai kau..." ujar Widad.Soleiman memberi pandangan pelik.

"Maksud kau?"

"Kau panggil nenek kau sendiri perempuan tua, ganyut, nyanyuk. Sesuka hati kau nak panggil apa. Padahal kau sayang betul kat dia. Kencing berak dia, semua kau yang cuci. Sakit demam dia, kau yang jaga," tambah Widad.Soleiman terkelu.

"Maksud kau?" ulangnya.

"Sampai bila kau nak jadi macam ni, Sol? Apa masalah kau sebenarnya?" soal Widad.

"Jadi macam mana?" soal Soleiman. Dia mencangak muka, angkuh.Kemeja sekolah Soleiman direntap Widad.

"Kau sengaja nak sakitkan hati orang sebab nak nampak cool. Kau ingat aku tak tau? Apa yang bagus sangat jadi budak jahat? Kenapa kau susah payah sangat nak jadi jahat, Sol? Kenapa kau nak sangat orang benci kau? Apa kau dapat?"

"Habis, kalau aku jadi baik, apa pulak yang aku dapat?" soal Soleiman lagi. Tangan Widad ditepisnya kasar.

"Kau jadi diri kau sendiri sudahlah. Kenapa nak ubah diri sebab nak ikut acuan orang?" balas Widad.

"Kau nak tau tak? Kau tu yang sebenarnya nak ikut acuan orang. Kau dah tau, kan... macam mana pun kita usaha, bukan boleh jadi kaya, hidup senang. Dari kita kecik, orang dah pijak kepala kita, Wid. Kau tak penat ke?"

"Tak," sangkal Widad.Mata mereka saling menikam.

"Aku tak penat sebab aku jadi diri aku sendiri. Aku tak cuba berlagak baik macam malaikat. Dan aku tak cuba jadi jahat sebab nak nampak cool. Aku jadi diri aku. Biarlah orang nak cakap apa pun..."

"Jangan berlagak macam kau faham apa yang aku rasa. Kau yang sebenarnya hipokrit. Kau tak nak terima kenyataan yang manusia macam kita ni takkan ke mana-mana. Tak kira macam mana pun kita usaha," balas Soleiman.Widad mengeluh.

"Kenapalah aku buang masa cakap dengan kau?" Widad mengeluh.

Matanya masih berair, menahan lelah yang tidak mampu diluah dengan kata-kata. Antara dia, Soleiman dan Hanan, hanya dia yang beria-ia berusaha untuk mengubah nasib mereka.

Hanya dia yang bergelut cuba memberi motivasi kepada dua orang sahabat karibnya itu. Walhal mereka bersikap acuh tak acuh, cepat berputus asa dan enggan berusaha keras. Mereka hanya memberi alasan itu dan ini. Sedangkan dia berusaha gigih untuk keluar daripada masalah yang membelenggu.

Semakin lama Widad meluangkan masa bersama Soleiman, semakin dia menyedari yang susuk sandarannya dulu sudah hilang identitinya. Soleiman bukan lagi lelaki yang dulu, rakan seperjuangan yang sentiasa menyokong langkahnya. Lelaki itu sudah hanyut dari segi pergaulan mahupun pemikiran. Silap langkah, dia mungkin akan hanyut sama.

"Kalau kau rasa aku hipokrit, tak payahlah nak cari aku lagi. Kau pergilah cari budak-budak samseng yang selalu lepak dengan kau tu. Dia orang yang selalu tolong kau bila kau ada masalah, kan?" suruh Widad.

"Okey..." balas Soleiman, bertemankan ego yang menebal dalam hatinya.

Dia baru hendak mengayun langkah sewaktu dikejutkan cahaya kilat. Bunyi guruh hasil geselen zarah-zarah awan membuatkan mereka bungkam tanpa suara. Masing-masing memandang langit. Kemudian, pandangan mereka kembali bertemu, memandang antara satu sama lain. Air jernih yang menuruni pipi Widad sempat ditangkap mata Soleiman sebelum hujan menyapu bersih jejaknya di muka gadis kasar itu.

"Kau nangis sebab aku?" soal Soleiman.

"Kau rasa?" soal Widad kembali.

Lutut Soleiman menjadi ketar. Dia duduk mencangkung sambil menongkat kepala sekejap sebelum berdiri semula. Ya, egonya terlentur lagi. Sebabnya masih sama. Dia lemah kerana gadis bernama Widad itu.

Walaupun dia cuba pergi jauh daripada norma lamanya, berlagak jahat dan samseng, dia masih tidak dapat berpusing ke jalan yang bengkok kerana Widad. Gadis itu akan sentiasa menarik dia pulang ke jalan yang lurus semula. Kalau Widad adalah spesies alat tulis, dia adalah pembaris. Dia lurus dan sentiasa cuba meluruskan.

"Okey, aku salah Wid. Aku bodoh! Aku tak guna! Tapi, aku sayang kau. Aku minta maaf. Tolong jangan benci aku," pujuk Soleiman.

"Ada aku cakap aku benci kau?" duga Widad.Soleiman menarik lengan baju Widad dengan bibir yang dimuncungkan bagaikan anak kecil yang sedang merajuk.

"Kau nak apa? Cakap, aku buat..."

"Aku nak kau blah!" balas Widad, bengang.Widad menepis tangan Soleiman dan melangkah dengan laju. Dia penat. Soleiman mengejar lagi.

"Kau kan tau mulut aku memang celopar. Aku minta maaf. Aku janji, lepas ni aku tak cakap macam tu lagi. Maafkan aku," ikrar Soleiman sambil mengangkat tangannya.

Widad tidak membalas. Dia berjalan meninggalkan Soleiman. Namun, lelaki itu tetap mengejarnya bagaikan bayang-bayang. Tiba-tiba Widad rasa hujan lebat tadi berhenti menyapa kulit mukanya. Dia mendongak, melihat Soleiman sedang memegang beg sekolah nipis di atas kepalanya, memayunginya dalam diam.

"Kau ingat kau payung?" soal Widad.Soleiman menggeleng.

"Aku awan," ujar Soleiman.

"Awan yang akan selalu payung kau ke mana saja kau pergi."Widad mengeluh lagi.

"Kau tau kan, awan yang sebabkan hujan?"Soleiman terkebil-kebil.

"Ah, apalah yang aku harapkan daripada budak yang datang sekolah sekali-sekala? Kau sentiasa fail subjek Sains, kan? Malas nak ulang kaji. Sia-sia kerajaan bagi pinjaman buku teks percuma. Kau ingat murah kos nak uruskan sekolah, nak bagi budak-budak Malaysia ada pendidikan?" omel Widad.

"Taulah kau tu bijaksana tapi tak payahlah poyo sangat! Nak ungkit-ungkit tu dah kenapa?" cantas Soleiman.

"Baru tadi minta maaf sebab mulut celopar, kan?" ungkit Widad.

Soleiman menutup mulut dengan sebelah tangan sambil sebelah tangan lagi setia memegang beg di atas kepala Widad, memayunginya daripada sentuhan hujan yang semakin galak.Widad senyum. Dia membiarkan saja Soleiman menjadi payungnya.

Entah mengapa, dia masih mencari secalit putih dalam segerombolan hitam. Mungkin kerana jika dia mengalah dan berfikiran negatif, dia akan kehilangan makna untuk meneruskan hidup. Kehidupannya sekarang pun memang di dalam segerombolan hitam.

Dia sudah berikrar. Walau payah dan terpaksa meraba-raba mencari jalan keluar, dia akan melakukannya. Dan dia takkan keluar sendiri. Dia mahu membawa Soleiman dan Hanan bersamanya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.