Home Novel Cinta Dia Pemilik Cintaku
Dia Pemilik Cintaku
Andayu
11/10/2024 21:52:41
1,332
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Fateh tersenyum melihat kedua ibu bapanya bahagia menonton televisyen bersama. Dia melangkah menghampiri mereka. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi bertentangan dengan Iman Shafie. Matanya turut memandang televisyen ingin mengetahui cerita apakah yang ditonton oleh kedua ibu bapanya.

"Dah solat isyak angah?" Soal Iman Shafie sambil meneguk air teh 'o' panas yang disediakan oleh Puan Fatimah.

"Dah abah."

"Angah nak makan apa-apa ke?" Soal Puan Fatimah yang mengenangkan Fateh yang belum makan pada malam ini.

Fateh menggelengkan kepalanya. Dia meletakkan kotak cincin di hadapan Puan Fatimah. "Hadiah untuk umi."

"Apa ni?" Soal Puan Fatimah lalu mengambil kotak cincin yang diberikan oleh Fateh. "Amboi cantiknya," ujarnya setelah melihat isi di dalam kotak tersebut. Dia terus mencuba memakainya. "Saiz cincin ni agak kecil dengan jari umi," ujar Puan Fatimah lalu menyimpan kembali cincin itu ke dalam kotak baldu merah. "Angah belikan untuk umi atau untuk orang lain sebenarnya."

Fateh diam.

"Angah ada masalah ke?" Soal Iman Shafie setelah melihat anak bujangnya banyak mendiamkan diri sejak pulang ke rumah.

"Tak ada," dalih Fateh.

"Jika ada masalah. Angah cakaplah. Manalah tahu lega sikit dada tu."

"Betul apa yang abah cakap tu angah. Jujur ajelah. Mana tahu umi dengan abah boleh tolong."

Fateh melepaskan keluhan kecil. Dia menyandarkan badannya pada kerusi. "Betullah kata umi. Angah memang belikan cincin tu untuk orang lain. Tapi bukan rezeki dia," jelasnya perlahan. "Umi ambil ajelah. Anggap aje hadiah daripada angah. Lagipun angah nak bagi dekat siapa lagi kalau bukan dekat umi."

Puan Fatimah menganggukkan kepalanya. Kini barulah dia mengerti mengapa sikap Fateh berubah. "Cincin ni bukan umi tak nak terima. Tapi bila dah niat untuk orang lain. Kenapa tak diberikan?"

"Umi carikan ajelah orang lain tu. Cincin dah ada. Umi pergi aje pinangkan anak dara sesiapa dalam kampung ini untuk angah," selorohnya sambil ketawa kecil.

"Eh budak ni. Boleh pulak dia bergurau," marah Puan Fatimah. "Tengoklah anak bertuah abang ni."

"Betul tu angah. Jangan main-main soal kahwin ni?"

"Angah tak bergurau abah. Angah serius."

"Zaty macam mana?" Soal Puan Fatimah menginginkan kepastian. Fateh pernah membawa Izzaty beberapa kali ke rumah mereka sebelum ini. "Setahu umi kau orang berdua dah lama kenal."

Fateh mengeluh berat. "Kamj dah putuskan hubungan. Jadi angah malas dah nak fikir soal cinta lagi," ujarnya lalu menuangkan air teh 'o' ke dalam cawan yang kosong. "Jika umi dengan abah ads calon yang sesuai bolehlah pinangkan untuk angah."

"Zaman sekarang mana ada ibu bapa yang carikan calon isteri untuk anaknya. Semua orang mempunyai pilihan sendiri. Siapalah yang nak terima lamaran macam zaman umi dengan abah dulu," jelas Puan Fatimah. Dia kembali mengingati saat-saat disatukan dengan suaminya Shafie. Mereka disatukan oleh pihak keluarga tanpa bercinta sebelum kahwin. Alhamdulillah perkahwinan mereka masih kekal hingga sekarang. Kini suaminya telah menjadi Iman masjid di kampung mereka

"Ada. Angahlah orang tu," ujarnya sambil ketawa kecil.

"Angah!" Marah Puan Fatimah apabila melihat Fateh seakan tidak serius dengan apa yang dibicarakan.

Fateh membetulkan kedudukannya. Dia memandang wajah ibunya. "Angah serius umi. Angah fikir dah tiba masanya untuk angah berumah tangga. Tapi calon isteri tiada lagi," ujarnya perlahan. Dia nekad dengan keputusannya. "Angah serahkan tugas ini kepada umi dengan abah. Siapa pun dia, angah akan terima dengan hati yang terbuka," jelas Fateh lagi. Dia sudah tawar hati untuk bercinta lagi. Dia hanya mampu berserah kepada Allah mengenai urusan jodohnya.

Puan Fatimah mengeluh berat. "Umi bimbang bila dah kahwin nanti akan ada cerita lain," ujarnya risau memikirkan masa depan anaknya. "Nanti bila bergaduh lepas tu salahkan umi dengan abah pulak?"

"Umi doakanlah yang baik-baik."

"Betul tu umi. Kita sebagai ibu bapa doakan aje yang terbaik untuk anak-anak."

"Ini soal kahwin abang. Soal hidup berdua. Bukan main pondok-pondok."

"Ya angah. Ada betulnya apa yang umi cakapkan. Angah betul-betul serius ke nak kamj carikan calon isteri buat angah?"

"Betul abah."

"Okey angah. InsyaAllah abah tolong carikan calon isteri yang solehah buat anak bujang abah."

"Abang!" Marah Puan Fatimah tanda protes dengan keputusan suaminya.

"Angah cakap okey. Kita carikan ajelah calon buat dia. Awak pun dah lama teringin nak menantu perempuan."

"Betul. Tapi bukan dengan cara begini," balas Puan Fatimah sambil memandang wajah Fateh. "Perkahwinan ini mengenai kebahagiaan angah. Hati dan perasaan itu penting," jelasnya. "Bila berkahwin tanpa cinta. Bahagia ke?" 

"Kita kahwin dulu pun tak bercinta. Alhamdulillah bahagia sampai sekarang. Anak pun dah besar. Cucu pun dah ada. Okey aje," ujar Iman Shafie sambil tersenyum.

"Hmm... Susahlah bercakap dengan abang ni," rajuk Puan Fatimah.

Fateh ketawa melihat ibu bapanya menyuarakan pendapat masing-masing. Dia menghabiskan minumannya. "InsyaAllah bahagia," ujarnya sambil tersenyum. Fateh meraih tangan ibunya. Dia mengussp lembut tangan wanita itu. "Angah percayakan takdir Allah. Jika ada sesiapa yang sudi kahwin dengan angah. InsyaAllah kami akan bahagia, umi. Bahagia atas izin Allah dan juga restu daripada umi dan abah," katanya dengan lembut.

"Angah dah habis fikir ke?"

Fateh menganggukkan kepalanya. "Angah masuk tidur dulu."

Puan Fatimah hanya mampu mengeluh kecil. Agak berat untuk dia menerima keputusan Fateh mengenai soal membina masjid. Sebagai ibu dia hanya ingin yang terbaik buat anak-anaknya. Soal jodoh bukanlah satu perkara kecil. Kebahagiaan dalam rumah tangga itu penting. Dia risau akan berlakunya kesilapan pada masa akan datang. Dia bimbang Fateh akan mempersalahkan mereka atas jodoh yang dipilih jika berlaku apa-apa masalah di dalam rumah tangga yang dibina nanti.


SYAZA melangkah masuk ke dalam rumah. Dia mengeluh apabila melihat ruang tamu bersepah dengan bunga-bunga plastik bertaburan sana sini. "Kenapa bersepah sangat ni?!" Omelnya apabila tiada ruang untuk dia masuk ke dalam biliknya di tingkat atas.

"Maaflah. Kita orang tengah buatkan gubahan hantaran Haura," kalut Maisarah membersihkan peralatan yang digunakan. 

Suraya meletakkan air oat yang baru siap dibancuh di atas meja. "Ada lagi ruang ni. Boleh aje nak lalu," balas Suraya pula lalu membantu Maisarah menyusun barang-barang yang bertaburan di atas lantai.

"Masalahnya tuan dia mana? Kenapa kau orang pulak yang mengemas semua ni?!" Lantang suara Syaza kedengaran seperti orang tengah marah lagaknya.

"Aku baru siap solat Maghrib, Syaza," jelas Haura yang baru turun dari tingkat atas. "Kenapa kau bising sangat ni?" Soal Haura lalu meletakkan beg barang-barang yang ingin digubah menjadi hantaran untuk majlis perkahwinannya nanti.

Syaza menelan air liur. "Tak. Aku," Syaza mula tergagap-gagap ingin meneruskan bicaranya. "Aku tak suka tengok rumah bersepah aje," dalihnya. Dia cuba bersikap tenang. Entah mengapa ada satu perasaan benci pula mengenangkan Haura bakal berkahwin dengan Nazrul tidak lama lagi. 

"Aku kemaslah nanti."

"Dah setel semua kerja ni, kamj kemaslah. Marilah tolong sekali," ajak Suraya.

"Aku tak pandai buat gubahan ni," balas Syaza lalu meneguk air oat yang dibuat oleh Suraya tadi. 

"Hoi, air akulah!" Marah Suraya apabila Syaza meminum air yang dibuatnya.

"Ala... Kat dapur ada banyak lagi. Kau boleh buat yang baru," balas Syaza lalu menghabiskan minuman itu.

"Biarlah Su. Rezeki dia. Naz cakap nak datang hantar makan jap lagi," ujar Haura dengan ceria. Terpancar kebahagiaan pada wajahnya saat menyebut nama Nazrul.

Syaza hampir tersedak mendengarnya. Panas pula hatinya apabila melihat keceriaan pada wajah Haura ketika itu. "Naz nak datang ke?"

Pon! Pon! Pon!

"Dah sampai pon Syaza," kata Haura lalu bingkas bangun dari tempat duduknya. Tudung Sarung segera dicapai lalu disarungkan pada kepalanya. Pesan ayahnya agar sentiasa menjaga aurat di mana jua dia berada walaupun lelaki itu bakal menjadi suaminya. Dia tetap perlu menutup auratnya dengan sempurna.

Langkah kaki Haura dihayun ke arah Nazrul yang setia menunggu di hadapan rumah mereka. "Awalnya datang."

"Kata lapar. Naz mana boleh biarkan puteri kelaparan," usik Nazrul.

"Naz!" Marah Haura dengan nada manja.

"Naz rindu Fat. Alang-alang Fat cakap lapar, boleh lah Naz datang lepaskan rindu sekali," ujar Nazrul lalu mencuit bahu Haura.

"Nazrul!" Haura marah dengan nada perlahan. 

"Naz gurau ajelah," ujar Nazrul lalu membuka pintu kereta belakang. Dia mengambil makanan dan minuman yang baru dibelinya.

"Amboi banyaknya. Naz nak makan sekali?"

Nazrul menggelengkan kepalanya. "Tak," balasnya apabila melihat Syaza sedang memerhati tingkah lakunya dari jauh. 

"Banyak sangat makanan ni. Siapa nak habiskan," balas Haura lalu mengambil makanan daripada tangan Nazrul.

"Fat kongsilah dengan kawan-kawan. Naz ikhlas belanja."

"Okey. Fat masuk dulu lah. Tak sabar nak makan," balas Haura sambil tersenyum bahagia. "Mesti sedap. Thank you Naz," sambungnya.

"You are welcome. Naz balik dulu," ujar Nazrul lalu melangkah masuk ke dalam kereta. Tanpa membuang masa dia terus memandu keretanya meninggalkan kawasan rumah sewa Haura. Dia tidak mampu berada lama disitu apabila ada sepasang mata yang ingin menerkam ke arahnya. 


"NAZRUL tak join makan sekali ke?" Soal Syaza sambil menyidai pakaian yang baru dicucinya.

"Tak. Dia datang hantar aje," ujar Haura lalu melangkah ke dapur. 

"Naz datang nak lepaskan rindu lah tu," ujar Maisarah sambil ketawa kecil. Sementara tangannya sibuk membuat gubahan tuala.

"Baru semalam jumpa, takkan dah rindu kot," kata Syaza lalu menghempas punggung pada kerusi. Dia membuka televisyen.

"Orang tengah hangat bercinta. Walaupun sesaat berpisah dah berasa rindu bila berjauhan," celah Suraya pulak.

"Kau pernah bercinta ke?"

"Pernah," balas Maisarsh. "Cintakan Allah dan Rasul. Cintakan ibu bapa."

Syaza melempar bantal kecil kepada Maisarah. "Kau dalam satu hari tak buat aku sakit hati memang tak senang kan?"

"What?" Soal Maisarah. "Betul kan?"

"Cintakan sesorang. Macam Haura cintakan Nazrul. Faham tak?" Jelas Suraya.

"Hey kau orang jom lah makan," panggil Haura. "Tak payah nak huraikan kisah cinta lah. Kita bukan nak buat karangan ni?"

"Jomlah. Lapar dah ni," laju Maisarah melangkah ke dapur.

"Syaza marilah makan sekali," panggil Haura sambil menikmati Nasi Goreng Ayam yang dibelikan oleh Nazrul.

"Makanlah. Aku dah kenyang," balas Syaza lalu menutup televisyen setelah tiada siaran yang menarik untuk ditonton. Dia bangkit daripada tempat duduknya lalu meniti anak tangga ke tingkat atas. 

Pintu bilik ditutup. Telefon bimbit segera dicapai. Nombor telefon Nazrul didail. Namun panggilan itu tidak dapat disambungkan. Dia tidak mudah berputus asa. Dia menghantar satu pesanan ringkas kepada Nazrul. Dia tahu lelaki itu berusaha menjauhkan diri daripadanya. 

"Please pick up the phone!" Ujar Syaza masih berusaha menghubungi Nazrul.

"Argh!!!" Syaza mendegus marah apabila Nazrul gagal dihubungi. 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu