Home Novel Cinta Unforgettable Love
Unforgettable Love
Mastura Abdullah
19/6/2020 15:23:20
45,285
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

 

MAHU tak mahu,Hud menjejakkan juga kaki ke balai polis semata-mata disebabkan desakan Zain.Entah mengapa dia menurut walaupun hati sangat memberontak. Sepatutnya dia terus memecut kereta meninggalkan Kuala Lumpur atau Malaysia buat seketika sementara apa yang baru berlaku beransur reda.Namun pujukan seorang rakan yang dikira sangat rapat berjaya mengubah pendiriannya.

“Kau ada nama, daripada keluarga bangsawan. Jangan kerana ego, segala yang kau rancang musnah begitu aje. Yang paling aku bimbang, kau pulak diketawakan oleh mereka yang betul-betul mahu melihat kehancuran kau, Hud!”

Nasihat itu tidak memberinya pilihan melainkan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. Sungguh, Zain berjaya mengubah satu pandangan kejamnya terhadap dunia!

“Tidak akan hancur seorang Hud selagi pesalah sebenar tidak dihukum!” Janjinya padadiri sendiri sambil menarik kerusi di hadapan seorang pegawai penyiasat kes trafik. Bermulalah sesi soal siasat selama hampir sejam bersama dua orang pegawai penyiasat trafik.

“Memandangkan kes ini melibatkan kecederaan mangsa yang dilanggar, maka kami perlu buka kertas siasatan. Kami akan pergi ke tempat kemalangan pagi esok untuk jalankan siasatan dan mengumpul bahan bukti. Kami harap Encik Hud sentiasa bekerjasama dengan pihak kami sepanjang siasatan dijalankan. Apa saja perkembangannya, kami akan sampaikan kepada Encik Hud.”

Dia mengangguk tanpa kata.

“Nombor telefon ni betul, ya?”

Hud mengangguk lagi. Pegawai penyiasat trafik bernama Ismail menentang wajahnya, barangkali tidak berpuas hati dengan reaksi dingin yang diberikannya. Pandangan mereka terikat lama. Kedua-duanya senyap tanpa suara sehinggalah terdengar kata-kata akhirnya.

“Klasifikasi kes belum ditentukan sehingga kami temui bukti yang cukup. Tapi mengikut pengakuan Encik Hud, kereta dipandu laju, kan?”

“Ya.”

“Saya tak ada apa-apa soalan selain menunggu laporan ujian pernafasan. Dapat saja keputusannya nanti, saya akan panggil Encik Hud semula. Terima kasih,” ucap Sarjan Ismail sebelum membenarkan pengadu lelaki di hadapannya itu beredar.

Asyik pula pandangannya melekat pada kelibat itu sehingga hilang daripada pandangan.Pada Sarjan Ismail, raut wajah pengadu itu bengis dan mencurigakan.Ditambah penampilannya yang berambut panjang dan berjambang. Tetapi itu sekadar pandangan kasar. Boleh jadi ia sekadar penampilan yang tidak memberi apa-apa erti lain.

Hud mendapatkan Zain yang masih setia menemaninya di luar.

“Macam mana?”

“Tunggu keputusan ujian pernafasan.”

“Berapa lama?”

Hud menjongket bahu. Padahal awal lagi Sarjan Ismail memberitahu yang tempoh ujian pernafasan hanya mengambil masa sejam jika dia bukan penagih alkohol.

Jam ditangan Zain dijeling sekilas. Ia menginjak ke angka 5.00 pagi. Ah, seminit dualagi tentu Sarjan Ismail panggil aku semula. Getusnya, yakin.

Dia cuba untuk melelapkan mata. Pengembaraan yang diharungi hari ini baru terasa letihnya. Rasanya dia baru menutup mata ketika bahunya terasa dicuit seseorang.

Hud tetap membuka matanya yang berat. Sarjan Ismail berdiri di depannya lantas menyerahkan sepucuk pistol. Di sisinya pula, berdiri seorang lelaki dengan tangan bergari. Mukanya ditutup dengan guni, samar pada mata Hud.

“Pesalah kau, Hud! Orang yang kau cari-cari selama ni.” Sarjan Ismail seperti memahami kerutan pada keningnya.

“Dia yang bunuh keluarga aku?”

“Dia yang rancang pembunuhan ahli keluarga kau. Orang yang paling kau percaya, yang paling dekat dengan kau.”

“Hmm…mana Sarjan tahu?” tanya Hud.Hatinya berbahagi antara ingin melihat wajah pembunuh keluarganya dengan mengetahui lebih lanjut akan penglibatan Sarjan Ismail di tengah-tengah kebingungan itu.

“Kau yang libatkan aku, Hud! Kau dah lupa?” tanya Sarjan Ismail, terus berubah lenggok bahasa.

Dahinya berkerut, berfikir dan berusaha mengingat.

“Aku tak pernah jumpa kau sebelum ni Sarjan, melainkan kes kemalangan hari ni.”

“Kes ini hanya permulaan kepada segala persoalan yang membelenggu hidup kau selama ni,Hud! Kau masih nak bersoal jawab dengan aku? Tak mahu tahu siapa dalang disebalik pembunuhan keluarga kau?”

Hudberdiri di hadapan pesalahnya.Betul! Sarjan Ismail betul! Dia tidak perlu tahu mengapa Sarjan Ismail terlibat. Yang dia mahu tahu hanya wajah itu, yang dicari-cari selama ini.

“Pistol?”pelawa Sarjan Ismail seperti mempelawanya makan buah anggur pula.

“DesertEagle?”soal Hud, mengerti akan padah menggunakan pistol jenis itu.

Just one shot, dendam kau akanterbayar.” Sarjan Ismail seperti menghasutnya.

Hud menarik pistol itu daripada tangan Sarjan Ismail. Daripada ragu-ragu, dia menjadi berani. Guni yang menyarung wajah pembunuh itu direntap dengankasar.  Hud melangkah beberapa tapak kebelakang dek terkejut dengan apa yang dilihatnya.

“Zain!”

“Hud!”

“Kau yang bunuh keluarga aku?”

“Bukan…bukan aku! Jangan percaya cakap Sarjan Ismail. Dia saja nak perangkap kau dengan pistol tu.” Zain menggeleng sambil kakinya menapak ke belakang, menjauhi muncung pistol yang menghala ke arah dahinya.

“Kau tunggu apa lagi, Hud! Tunggu diperbodohkan?” soal Sarjan Ismail,mentertawakannya.

Hud panas hati dipermainkan oleh Sarjan Ismail dan Zain yang dipercayainya selama ini.

“Just one shot, Hud! Your revenge willbe paid off.”

Ketika Hud mengalih pandangannya ke arah Sarjan Ismail, tangan kirinya disepak dengan kuat menyebabkan pistol itu terlepas daripada pegangannya. Zain cuba melarikan diri.

“Zain!”jerit Hud.Pantasdia mengejar Zain yang telah melarikan diri sekelip mata.

“Hoi, kau jerit nama aku pepagi buta ni apa hal?” Bahu Hud terasa digoncang berkali-kali.

Hud diam tetapi dia merenung lama wajah sahabatnya, Zain sebelum meraup muka beberapa kali.

Itulah yang dialaminya setiap kali mata dipejam. Pasti dia akan mengalami mimpi buruk.Namun tidak ada sesiapa yang tahu betapa dia mengalami depression akibat peristiwa yang berlaku ke atas keluarganya tujuh tahun lalu. Hanya pakar psikiatri bernama Nurul Najwa yang maklum akan penyakit yang dihidapi itu. Dysthymia.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.