Memang sudah tersurat begitu dan
Qara hanya menerima. Siapa sangka Dhia
yang beria-ia tidak mahu bersanding bersama-sama Syahil dan Elma, akhirnya
terpaksa akur. Itu pun setelah Datin Jalilah mengongoi-ngongoi bagaikan isteri
kematian suami. Dan keakuran itu, menyebabkan Qara tidak punya pilihan lain
lagi. Hatinya berat tapi demi Dhia,
digagahkan juga kaki untuk datang.
Remuk redam perasaannya melihat
betapa lebarnya senyuman Syahil di atas pelamin. Tidak ada tanda pun yang
Syahil terpaksa menerima Elma. Merenung pada Elma, jiwanya terasa melayang
pergi. Dulu, Syahil janji tempat yang diduduki Elma itu, akan jadi tempatnya.
Kini, janji Syahil hanya tinggal janji semata-mata.
Hakikatnya, Syahil dan Elma di
atas singgahsana. Dia di bawah melihat seri pada muka kedua-duanya.
Ya ALLAH... jika memang ini
takdir-MU, aku reda. Tapi ya ALLAH, hamba-MU ini memohon supaya diberikan
kekuatan.
Sekuat mana pun dia, terasa juga
dirinya tewas. Hari ini dia bukan hanya hilang Syahil. Tapi separuh daripada
Dhia. Memang Dhia kata biar apa pun jadi, persahabatan mereka akan kekal sampai
bila-bila. Kata Dhia lagi, perkahwinan bukan tiket untuk melupakan dan
mengabaikannya. Sedang hakikatnya, selepas ini masa Dhia akan lebih banyak
dengan Akid dibandingkan dia.
Mungkin tidak banyak, tapi jurang
tetap ada.
Selepas menguis air hangat di
hujung mata, perlahan-lahan Qara berundur ke belakang. Dia sudah melihat Dhia
dan Akid bersanding, rasanya sudah tidak ada apa-apa lagi keperluannya di rumah
mewah ini. Sebelum Datuk Kamil dan Datin Jalilahmenyedari
kehadirannya dan kemudian mengejeknya, biarlah dia pergi.
Ya... enggang biar sama enggang.
Jangan pipit berani muncul!
“Aduh!”
Qara angkat kakinya pantas.
Kemudian berpusing 360 darjah dengan dada yang berdebar-debar. Leka mengundur,
tidak sedar yang dia sudah memijak kaki seseorang dan seseorang itu adalah Haq.
Pada bahagian dada baju melayu krim Haq terdapat tompokkan berwarna oren dan di
tangan lelaki itu terdapat gelas yang airnya hanya tinggal separuh dan masih
lagi berkocak.
“Maaf... tak sengaja,” pintanya
serba salah.
“Tak sengaja?” tanya Haq geram.
Kakinya terasa sengal kerana Qara bukannya pijak manja, tapi benar-benar pijak.
Belum lagi ambil kira baju melayunya yang sudah comot bagaikan baju
budak-budak.
“Ya, tak sengaja.”
“Patah hati sebab bekas kekasih
bersanding dengan orang lain sampai lupa dunia sekeliling?” tempelak Haq.
“Tak sengaja...” Makin rendah nada
suara Qara. Sudahlah hatinya sedih, kini sesuka hati saja Haq menempelaknya.
Mujur suara Haq perlahan, hanya untuk hidangan telinganya seorang. Kalau kuat
hingga sampai ke pengetahuan tetamu yang nampak kagum dengan pasangan pengantin
yang sama cantik sama padan, mahu diletakkan mukanya ke mana?
Kenapa nasib aku selalu lebih
buruk daripada Lebai Malang?
“Ya sangatlah tu tak sengaja!”
Qara geleng lemah. “Tak
sengaja...” ulangnya untuk kali keempat dengan harapan Haq percaya. Setitis air
matanya gugur di pipi kanan yang kian hari kian cengkung. “Maaf,” ucapnya dalam
keadaan dada yang terasa sesak. Kemudian terus berlalu pergi. Semuanya terasa
seperti tidak kena.
Seribu kali pun dia kata dia kuat,
seribu kali juga dia tahu hatinya menipu. Sampai ke hari ini, Syahil masih
gagal diusir daripada hatinya.
Nenek... Qara rasa sakit. Di
sini... luahnya sambil memegang dada.
Sedangkan Haq yang ditinggalkan
Qara begitu saja, terpinga-pinga. Titis air mata Qara yang gugur,
terbayang-bayang di matanya. Untuk ke sekian kalinya, dia terasa seperti mahu
menampar mulut sendiri. Sudah dilihat rupa Qara yang keruh, masih juga dia mahu
mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya pada wanita itu. Bukannya
diringankan beban hati Qara, bahkan ditambah lagi tanpa belas kasihan.
“Hati kau ni diperbuat daripada
apa Umair Haq?” tanya Haq berbisik. Kalau bercakap kuat, bimbang pula dianggap
tidak siuman.
Kesian Qara, detik hatinya.
Lantas dia mengatur langkah.
Berterusan menghadap pelamin, hatinya jadi sakit. Bukan sebab cemburukan Akid
dan Dhia yang kejap-kejap tersenyum, kejap-kejap tersipu-sipu malu kerana
diusik. Tapi meluat melihat Syahil yang nampak bahagia di sisi Elma. Sedangkan
Qara yang tidak bersalah berendam air mata.
“Haq?” tegur Rosnah. Dalam
dukungannya ada Irham.
“Kak Ros boleh tengok-tengokkan
Irham kan?” tanya Haq sambil mata sekejap memandang Rosnah, sekejap mengamati
langkah Qara. Tidak mahu Qara hilang dalam kalangan tetamu Datuk Kamil dan
Datin Jalilah yang bukannya sedikit. Langsung tidak dipedulikan Irham yang
melihat padanya.
“Boleh aje. Nak ke mana?” Rosnah
ingin tahu.
Haq senyum. “Ada hal yang nak kena
uruskan sekejap.” Kemudian Haq pegang kepala Irham. “Anak papa tinggal dengan
Mak Cik Ros dulu ya, papa ada hal penting nak kena buat.”
Haq kembali meneruskan langkah.
Melihat Qara yang semakin jauh ke depan, Haq makin memanjangkan langkah.
“Qara...” panggil Haq sedikit kuat
ketika sudah melepasi pintu pagar.
Langkah Qara laju, selaju air mata
yang mengalir di pipinya. Otaknya mencari-cari destinasi untuk menyambung
pelajaran, namun satu tempat pun gagal difikirkan. Mindanya seakan-akan tepu.
Yang terasa hanya kesedihan yang seperti sudah tidak mampu untuk dipadamkan.
Inikah sakit putus cinta?
Jika inilah rasanya, dia berharap
di dalam dunia ini tidak akan ada lelaki seperti Syahil.
“Qara tunggu!” Haq sudah berlari
perlahan.
Akhirnya Qara ikut berlari setelah
menyedari langkahnya diburu Haq. Lelaki itu fikir dia apa? Sudahlah dirinya
ditempelak, kini terhegeh-hegeh mengejarnya. Sungguh, dia tidak ada hati untuk
berhadapan dengan Haq. Selebihnya dia malu kerana lelaki itu selalu saja
melihat dia menangis.
“Qara tunggu!”
Qara tidak peduli. Makin kuat dia
berlari. Dia mahu segera sampai ke kereta yang diparkir di hujung jalan,
kemudian pulang ke rumah. Mahu tidur dan melupakan segala-galanya.
“Qara!”
Terus Haq rentap tangan Qara
menyebabkan langkah wanita itu mati serta-merta.
“Tak dengar ke saya panggil nama
awak berkali-kali?” tanya Haq geram. Hilang rasa simpatinya diganti marah.
Punyalah dia beria-ia mengejar, beria-ia juga Qara lari. Macamlah dia raksasa
yang harus dijauhi. Padahal dia bukannya ada menyimpan niat jahat pada wanita
itu.
“Jangan panggil nama saya!” balas
Qara, juga geram. Namun matanya masih
basah.
“Kenapa saya tak boleh panggil
nama awak?” Haq tidak puas hati. Air mata Qara, terasa menyakitkannya.
“Saya tak suka!” Tegas Qara.
Muka Haq tegang. Geram makin
menjadi-jadi. Dalam keadaan sedih dan menangis pun Qara masih ada hati
marah-marah padanya.
“Saya akan tetap panggil nama awak
sampai bila-bila.”
“Tak payah. Saya tak suka!”
“Habis awak suka siapa panggil
nama awak?” duga Haq.
“Sesiapa aje asalkan bukan awak,”
jawab Qara. Dia menyeka matanya dengan tangan kiri. Tidak mengerti, mengapa Haq
selalu muncul ketika dia bersedih. Sedangkan lelaki itu bukannya sesiapa
dengannya. Hanya abang kepada Akid yang juga rapat dengannya sejak di universiti dulu.
“Syahil pun awak tak kisah?”
Sekali lagi Haq menduga.
Garang mata Qara menombak anak
mata Haq. Lelaki itu dirasakan seperti mahu membubuh garam di atas lukanya.
“Awak lebih rela Syahil sebut nama
awak daripada saya?”
Kali ini Qara gigit bibir. Mata
masih belum dialihkan ke mana-mana.
“Awak langsung tak boleh lupakan
dia walaupun mata awak dah tengok dia bersanding dengan Elma?”
Hati Qara terusik. Senyuman
bahagia Syahil dan Elma terbayang-bayang di matanya. Dia nampak betapa
gembiranya Syahil ketika membetulkan sedikit anak rambut Elma. Malah dia masih
terdengar-dengar pujian yang Syahil ucapkan untuk Elma sebelum melangkah naik
di atas pelamin tadi.
Syahil nampak dia, namun Syahil
sedikit pun tidak menoleh kepadanya.
“Syahil dan Elma pakai baju warna pink Qara,” ujar Haq bagaikan Qara tidak
melihat pasangan bahagia itu tadi.
Makin berombak badai dalam hati
Qara. Matanya tidak buta untuk melihat. Syahil kata tidak suka warna pink. Tapi demi Elma, Syahil tidak kisah
pun.
“Syahil tak henti-henti senyum,”
terus Haq bagaikan tidak nampak kesedihan Qara.
Bila kolam mata Qara kembali
berkaca sebelum pecah membasahi pipi, Haq menarik nafas panjang. Kali ini dia
sengaja membangkitkan nama Syahil. Bukan untuk menyakitkan hati Qara. Tapi dia
mahu Qara menghadapi kenyataan hidup. Mahu mengelak macam mana pun, Qara tetap
tidak akan terlepas daripada mendengar sebaris nama yang kini bagaikan racun
dalam hidup wanita itu.
Syahil abang Dhia dan Qara kawan
adik Syahil itu. Lambat-laun nama Syahil pasti terlepas juga ke telinga Qara.
“Syahil...”
“Awak jahat... awak jahat. Saya tak nak dengar nama Syahil lagi.
Saya tak nak dengar...” potong Qara pantas. Sudah tidak sanggup mendengar nama
itu meniti di bibir Haq. Kemudian memukul dada Haq bertalu-talu bagi melepaskan
geram. Ketika mengayunkan tangan ke dada bidang itu, dia membayangkan dia
sedang memukul Syahil. Kerana lelaki itu, dia sudah membuang banyak masa.
Kerana lelaki itu kini, air matanya tumpah melimpah-ruah. Dan kerana lelaki itu
juga, dia dipandang rendah oleh Haq.
Haq hanya menahan tanpa melarang.
Meskipun tidak sekuat mana kerana tangan Qara agak kecil, tetap juga terasa
sengalnya. Kalau dengan cara memukulnya Qara mampu menenangkan diri, dia rela
meminjamkan dadanya untuk Qara.
Dia sudah melihat ramai perempuan
bersedih kerana seorang lelaki, tapi hanya Qara satu-satunya yang mampu
mengheretnya untuk merasakan perasaan yang sama. Melihat Qara menangis, dia
seperti mahu menangis juga. Malah jika kesedihan Qara boleh dipindahkan, dia
rela menjadi galang ganti.
Memang dia bukan orang baik. Tidak
sudi pun bersusah payah demi orang lain. Tapi entah kenapa, demi Qara dia rela.
Gila? Ya... dia memang ada juga
berfikir yang dia memang sudah gila! Gila kerana Qara.
Saat tangan Qara sudah terkulai di
sisi dan kepala wanita itu hanya tunduk, Haq menarik nafas lega. Ikutkan rasa
sengal, mahu juga dia menggosok-gosok dada sendiri. Tapi memikirkan itu akan
membuatkan Qara rasa bersalah, dia tahan saja. Hendaknya janganlah dadanya
sakit dan lebam esok pagi. Tidak mahu mengambil cuti sakit hanya gara-gara
dipukul Qara.
Kalau orang lain tahu, mahu
disorokkan muka ke mana? Dalam guni?
“Sampai bila nak nangis sebab
Syahil, Qara?” tanya Haq. Nada suaranya lebih lunak.
Tidak ada jawapan daripada Qara.
Hanya kepala dan dadanya turun naik kerana menahan esakan. Rasa bersalah dan
serba salah menderu-deru masuk ke dalam hatinya. Dia sudah bertindak kejam pada
Haq yang tidak bersalah.
“Syahil dah pilih jalan hidup dia
sendiri. Awak tak boleh terus meratapi apa yang dah berlaku. Awak kena buktikan
pada Syahil yang awak pun boleh hidup gembira dan bahagia walaupun awak bukan
pilihan dia,” nasihat Haq setelah Qara lebih tenang daripada tadi.
“Saya tak pernah bersedia, Haq...”
katanya lirih.
“Saya tahu,” ujar Haq bagaikan
memujuk. Simpatinya pada Qara bukannya sedikit.
“Saya dah lama tak ada keluarga
yang sempurna. Saya ingat bila dengan dia, saya akan dapat keluarga yang
lengkap. Ada ibu dan ayah yang boleh
saya tumpang kasih sayang mereka. Kongsi suka dan duka hidup. Tapi impian saya
tak ke mana. Saya tetap juga sebatang kara,” luah Qara dalam nada yang
tersekat-sekat. Kolam matanya kembali bergenang.
“Bukan hanya Syahil yang ada ibu
dan ayah dalam dunia ni, Qara.”
“Cuma Syahil yang saya nampak
selama ni. Saya tak pernah pandang yang lain.”
Kalau Qara tidak kisah, Haq mahu
memeluk sekujur tubuh itu. Tapi tidak mungkin, ada batas yang perlu dijaga. Allah mungkin nak beri awak seorang lelaki yang lebih baik daripada Syahil. Jangan buang air mata untuk orang yang tak tahu hargai awak. Tak berbaloi.
Jom...” Haq tarik lengan baju kurung Qara.