“Kau ke mana?” tanya Dhia sebaik
saja melihat Qara muncul. Mata kawannya itu tampak memerah. Rasa bersalah
merebak di hatinya. Terasa dia pentingkan diri. Sudah tahu majlis
perkahwinannya serentak dengan Syahil, tetap juga dipaksa Qara hadir.
Kini bila Qara kelihatan sugul,
dia menyesal tidak sudah.
“Aku...”
“Tak ke mana-mana. Kami ambil
angin di luar tadi,” pintas Haq pantas sebelum sempat Qara menyudahkan
kata-kata.
Mata Akid mengecil merenung Haq.
Puas dia dan Dhia mencari Qara di sekitar rumah. Sempat juga Dhia menangis bila
Qara tidak ada di mana-mana. Lantaran itu mereka akhirnya memilih duduk
seketika di ruang tamu. Tiba-tiba saja abangnya muncul bersama-sama Qara. Kini
dengan muka selamba, Haq kata dia dan Qara mengambil angin di luar. Siapa yang
tidak rasa aneh?
“Korang ni... ada apa-apa ke?”
usik Akid selamba. Tidak mahu suasana muram ada di antara mereka berempat.
“Hah?”
Itu yang terkeluar daripada mulut
Haq dan Qara. Serentak dan itu membuahkan tawa di bibir Akid. Geli hati sendiri
sedangkan Haq dan Qara terpinga-pinga. Dhia pula langsung tidak tercuit. Tetap
juga sugul biarpun yang dicari-cari sudah muncul di hadapan mata.
“Gila!” Akhirnya Qara berkata
setelah ketawa Akid reda.
Gila? Haq pandang Qara. Tidak
menduga sepatah kata itu Qara keluarkan. Macamlah tidak ada kata-kata yang
lebih manis. Dia tertanya sendiri, benar-benar gilakan kalau dia dan Qara ada
apa-apa? “Abang dengan Qara yang garang ni? Memang taklah!” jawab pula Haq
tenang. Kemudian dia terus melabuhkan punggung di atas sofa empuk yang entah di
mana dibeli Datuk Kamil dan Datin Jalilah.
Kali ini giliran Qara pula
memandang Haq yang selamba. Garang? Itu ke anggapan Haq pada aku?
“Siapa yang garang?” Mata Qara
terjegil. Kalau boleh ditelan, memang lenyap lelaki bernama Umair Haq itu di
atas muka bumi ini.
“Tu tunjuk mata macam tu. Nampak benar memang awak tu
garang. Nak bukti lagi?”
Dhia yang masih berasa bersalah
dan serba salah, akhirnya ikut tergelak. Lucu pula bila melihat Haq dan Qara
berbalah begitu. Tidak percaya abang Akid yang selalu nampak tenang itu boleh
mengusik Qara dengan selamba. Sedangkan Qara yang selalunya tidak suka membalas
kata-kata orang, jelas benar tidak mahu mengalah dengan Haq.
Sungguh... mereka berdua nampak
sangat comel!
“Isyh... tak kuasa melayan orang
macam awak! Menyakitkan hati dan rasa macam nak bagi lima jari aje”
“Tak minta dilayan pun.”
“Eh... sakit pula hati akulah!”
Darah Qara makin mendidih dikerjakan Haq. Di luar tadi, Haq nampak seperti
sangat memahami. Nasihat demi nasihat yang Haq beri tidak ada satu pun yang
silap. Tapi bila di hadapan Akid dan Dhia, lelaki itu kembali kepada perangai
yang menyebalkan.
“Nak ubat?”
“Dia ni kan...”
“Sudah. Sudah... dengar korang
berdua berbalah macam ni, sampai ke subuh pun tak akan selesai,” sampuk Akid. Comel
memanglah comel melihat abangnya dan Qara yang masing-masing tidak mahu
mengalah. Tapi kalau terus begitu, memang tertidurlah dia dan Dhia di situ.
Perlahan ketawa Haq meletus.
Melihat Qara membalas setiap kata-katanya yang berupa provokasi, dia terasa
hidup. Merah padam pada muka Qara kelihatan sangat menarik. Qara nampak comel
bila marah-marah begitu. Baginya, dia lebih rela melihat Qara marah-marah
daripada menitiskan air mata.
“Kau ikut aku kejap boleh?” ajak
Akid pada Haq. Baju pengantin yang melekat di tubuhnya terasa merimaskan.
“Ke mana?” Haq menjawab malas.
Kepalanya disandarkan di dinding sofa.
Entah di mana agaknya Irham ketika
ini? Apalah yang dibuat anak kecilnya itu di samping Rosnah? Patutnya ketika
Qara sedih tadi, umpan saja dengan Irham. Dalam masa beberapa saat dia yakin
kesedihan Qara akan pergi. Bukannya dia tidak tahu betapa Qara sukakan Irham.
Kalau tidak, mana mungkin dengan selamba meminta Irham daripadanya.
Anehnya, anak Qara mahu. Papa
kepada anak itu, tidak mahu pula Qara.
Qara. Qara yang garang mengalahkan
singa. Qara yang permintaannya tidak banyak mana tapi tidak mampu dipenuhi
Syahil.
“Ikut ajelah,” desak Akid. Dia
mahu memberi peluang pada Dhia dan Qara.
“Aku malaslah Akid. Kau ambilkan
aku air boleh?”
Mata Akid membulat. “Ni siapa
pengantin ni? Aku ke kau ni abang?”
“Lah, pengantin tak boleh tolong
ambilkan air untuk abang dia ke? Pelik pula aku rasa,” gumam Haq tapi sangat
jelas.
“Yang pelik tu awak sebab tu
fikiran awak pun pelik-pelik juga!” tempelak Qara dengan muncung panjang
sedepa.
“Oh... ada burung murai berkicau
malam-malam macam ni.”
Murai? “Apa awak kata?”
“Jom!” Terus Akid tarik tangan
Haq.
Dengan susah payah dia menolak
belakang Haq yang dirasakan terlalu
berat. Badan abangnya itu lebih sasa dibandingkan badannya. Sedangkan Haq belum
puas mengenakan Qara. Selepas hari ini, entah bila lagi baru dia dapat bertemu
dengan Qara. Kalau bernasib baik, mungkin masa majlis resepsi di rumahnya
kelak. Kalau tidak, mungkin inilah pertemuan terakhir mereka.
Tapi... kenapa aku kisah sama ada
bertemu Qara lagi atau tak?
Ah sudah, bukan hanya fikiran aku
yang pelik macam Qara kata. Hati aku sekali pun dah jadi pelik sejak kenal
Qara.
“Qara...” Dhia pegang kedua-dua
tangan Qara selepas Haq dan Akid pergi. Nafasnya terasa seakan-akan memberat
tiba-tiba.
Qara cuba tersenyum. Muka Dhia
yang masih cantik ditatap dalam-dalam. Manisnya Dhia dengan solekan yang
ringkas tentu memukau banyak mata yang memandang. Malah mata Dhia yang galak
nampak bersinar-sinar ketika duduk di atas pelamin tadi. Dia suka melihat Dhia
begitu.
“Kau cantik, sangat cantik,” puji
Qara ikhlas.
“Terima kasih,” balas Dhia datar.
Bukan tidak teruja dengan pujian itu. Namun dia tidak berasa mahu bergembira
pada saat Qara tidak gembira.
“Hei... ni hari kau, kenapa perlu
nampak sedih?” Pipi Dhia, Qara cucuk dengan jari telunjuk kanan.
Mata Dhia berkaca-kaca. Susahnya
berlakon tenang pada saat jiwanya bergalau.
“Dhia...” Pantas Qara seka air
mata Dhia.
“Aku minta maaf,” pinta Dhia
rendah.
“Kenapa?” Kening Qara hampir bertaut.
“Aku dah cuba halang ibu dan ayah
daripada buat majlis perkahwinan abang aku sekali dengan majlis perkahwinan
aku. Tapi aku tak mampu...”
Masuk kali ini sudah
berpuluh-puluh kali Dhia mengungkit hal yang sama dengan harapan Qara tidak
bersangka yang bukan-bukan. Sekali cakap dia sudah faham. Tetap juga kawannya
itu rasa bersalah.
“Patutnya aku tak paksa kau
datang.”
“Dan aku akan terlepas melihat
hari bahagia kawan aku?”
Dhia diam. Tidak mudah sebenarnya
berada di tengah-tengah. Tapi hendak diapakan lagi, tempatnya memang di antara
Qara dan Syahil.
“Kau kahwin mungkin sekali dalam
seumur hidup dan aku harap biarlah hanya sekali ini aje. Kalau aku terlepas
peluang yang sekali ini, aku mungkin tak akan ada peluang lain lepas ni,” kata
Qara tenang. Dia tidak kuat tapi nasihat-nasihat Haq membuatkan dia lebih
berpijak di bumi nyata.
“Tapi kau sedih, aku tahu.”
Lebar senyuman Qara. Dalam diam
dia berterima kasih pada Haq. Kalau bukan kerana lelaki itu, mungkin ketika
berhadapan dengan Dhia saat ini air matanya tumpah. Tentunya lebih deras
daripada air mata Dhia.
“Tipulah kalau aku kata aku tak
sedih langsung. Tadi pun aku nangis,” akui Qara jujur.
“Qara, maaf...”
Qara genggam erat-erat jari-jemari
Dhia yang runcing. Dia tidak mahu kawannya itu terus bersedih disebabkan
dirinya.“Tapi tak mungkin aku akan terus hidup dengan meratapi cinta yang tak
kesampaian.”
“Abang aku jahat!” kutuk Dhia.
Ayat itu makin lama makin sebati dengan dirinya.
“Sangat.” Qara turut mengakuinya.
Sudahnya, mereka berdua ketawa. Sepakat
membuat rumusan yang golongan lelaki tidak setia bukanlah lelaki yang
baik-baik. Belum apa-apa sudah membuat perangai, selepas berkahwin mungkin
berpotensi untuk mempamerkan sikap yang jauh lebih buruk.
“Aku minta maaf sekali lagi bagi
pihak abang aku, Qara.”
“Ya, tapi aku harap ini untuk yang
terakhir kali ya Dhia? Aku tak nak dengar ayat yang sama daripada kau. Boleh?”
Dhia angguk dengan rasa lega. Dia
bersyukur di sebalik apa yang berlaku, Qara tidak pernah meminggirkannya
sebagai kawan. Kalaulah hati Syahil boleh dipaksa, dia bersumpah akan
melakukannya. Kalau perlu diheret, akan diheret abangnya itu supaya tetap
berada di sisi Qara. Sayang, semuanya mustahil.
“Kau jangan tak pedulikan aku ya
Qara?”
“Merepek apa ni?”
“Aku sayangkan kau,” luah Dhia tulus.
“Aku sayangkan kau lebih daripada
aku sayangkan diri aku sendiri.” Terus ditarik Dhia ke dalam pelukannya. Biar
apa pun yang berlaku, tekadnya tidak akan pernah memusuhi Dhia. Mungkin jarak
dan masa akan memisahkan dia dan Dhia bila dia menyambung pelajaran kelak,
namun itu tidak bermakna mereka harus saling melupakan. Sampai satu masa kelak,
dia dan Dhia pasti akan kembali bersatu seperti sekarang ini.
“Ehem...” Haq berdehem. Keningnya
terjongket.
Pelukan Dhia dan Qara terlerai.
Cerah terpamer jelas pada muka kedua-duanya.
“Aku belum lagi peluk Dhia, kau
dah rasmikan dulu. Tak adil betul,” protes Akid.
“Ada aku kisah?” balas Qara
spontan.
“Jomlah Dhia, kita pergi dari
sini. Biarkan Qara dan abang terus bercakar sesama sendiri,” ajak Akid.
Kemudian dia mencapai lengan Dhia dan mereka melangkah seiring.
Qara hanya memandang sehingga
langkah mereka menghilang. Dalam hati dia berdoa, biarlah ikatan perkahwinan
antara Dhia dan Akid berkekalan sampai ke hujung nyawa. Sekurang-kurangnya,
mereka boleh menjadi bukti betapa di dalam dunia ini masih wujud cinta sejat.
Masih ada orang-orang yang setia. Tidak curang seperti Syahil yang hanya tahu
menanam tebu di pinggir bibir.
Beberapa detik berlalu, akhirnya
Qara meluruskan pandangan ke hadapan. Tepat di tempat Haq duduk. “Terima
kasih,” ucap Qara tiba-tiba.
Haq angkat sebelah kening.
Bertanya tanpa suara.
“Nasihat awak menyedarkan saya
walaupun termasuk hari ni entah berapa banyak nasihat yang dah awak berikan
pada saya. Mungkin sebelum-sebelum ni saya masih berharap pada Syahil. Tapi
bila tengok dia betul-betul duduk atas pelamin tadi, saya dah sedar. Saya dan
dia memang dah tak ada harapan lagi. Saya akan lenyapkan dia daripada hati dan
hidup saya,” luah Qara panjang berjela.
“Confirmlepas ni tak nangis kalau nampak Syahil dan Elma?” Haq
inginkan kepastian.
“Insya-ALLAH tak. Dan... maaf
sebab pukul awak tadi,” pinta Qara. Malunya pada Haq menebal. Dia kini ibarat
marahkan nyamuk tapi membakar kelambu.
“Tak apa, tak apa, tak sakit...”
bohong Haq. Mujurlah tadi suasana tidak begitu terang, kalau tidak tentu Qara
nampak mukanya yang berkerut menahan sakit. Tangan Qara keras seperti besi.
“Saya tak bermaksud nak pukul
awak. Maafkan saya.”
“Saya faham dan saya tak kisah.
Tapi kalau dada saya cedera, saya minta duit ubat daripada awak,” usik Haq.
Melihat mata Qara yang sudah tidak
beranak sungai, dia rasa lega dan lapang. Hendaknya pada hari-hari yang lain,
Qara tidak akan menangis lagi. Kalau pun hendak menangis biarlah untuk hal-hal
yang menggembirakan.
“Nak sekarang ke?” tanya Qara
polos.
“Main-main aje. Jom... saya
temankan awak makan,” ajak Haq dengan senyuman.
“Saya tak lapar.”
“Tadi saya dengan perut awak
berbunyi,” sakat Haq.
“Mana ada,” sangkal Qara
sungguh-sungguh. Kemudian dia jadi tidak pasti. Seingatnya sudah beberapa hari
dia tidak makan. Mungkin memang perutnya ada berbunyi dan dia tidak sedar.
Haq ketawa perlahan. “Jom... kalau
hati tak tenang, jangan perut yang diseksa.”