Home Novel Cinta KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 14

Panjang leher Hajah Yasirah, mencari Dhia kalau-kalau ada di belakang Akid yang baru masuk ke rumah. Tidak ada. Jangankan Dhia, bayang-bayang menantunya itu juga tidak ada. Hatinya pelik kerana dia melihat Akid dan Dhia keluar bersama-sama, tapi yang balik hanya anaknya seorang.

“Mana Dhia?” tanya Hajah Yasirah pada Akid yang sudah duduk di sisi Haq.

“Kat rumah Qara,” balas Akid dalam nada suara yang biasa-biasa saja.

“Qara kawan rapat dia tu?”

“Dhia ada satu aje kawan nama Qara. Rasanya Akid tak pernah dengar dia ada kawan nama yang sama tapi orang yang berlainan,” spontan Akid menjawab. Dia tergelak-gelak sendiri. Bila Haq hanya angkat kening, makin galak dia ketawa. Gembira dapat mengenakan umi mereka yang kadang-kadang langsung tidak tahu bergurau senda. Asyiklah mempamerkan air muka serius.

“Umi betul-betul, Akid main-main ya!”

Kan... umi mereka itu memang tidak sah kalau tidak marah dalam satu hari. Mujur saja dia dan Haq sudah biasa. Kalau tidak, lama dulu mereka berdua cabut dari rumah. Siapa tahan kalau hari-hari harus menadah telinga mendengar leteran yang tidak sudah. Buat salah, kena marah. Tak buat salah pun marah juga.

Itulah dia, Hajah Yasirah. Umi mereka!

“Umi ni, sesekali cubalah jangan marah-marah. Nanti umi dapat darah tinggi baru tahu.”

“Pandailah Akid nak nasihatkan umi.”

“Senyum tu sedekahlah umi. Tak rugi pun kalau umi selalu senyum.”

Hajah Yasirah merengus. Tidak puas hati dengan keselambaan Akid menegurnya. Tidak seperti Haq yang lebih pendiam, Akid memang selalu membangkang kata-katanya. Tapi sependiam-pendiam anak sulungnya itu, dia dan Haji Lukman ditikam daripada belakang. Tanpa pengetahuan mereka, Haq berkahwin di London. Sampai ke hari ini pun rasa kecil hatinya tidak pernah hilang. Lantaran itu, dia kini hanya bersikap acuh tidak acuh saja terhadap Haq.

“Kenapa Akid biarkan dia ke rumah Qara tu?’

“Kenapa tak boleh pula? Dari dulu Qara tulah kawan Dhia. Takkan bila dah kahwin terus putus kawan kot?”

Haq sudah berhenti membaca surat khabar. Perbualan Akid dan uminya lebih menarik minatnya. Nama Qara yang meniti di bibir Akid dan Hajah Yasirah terasa lembut di telinganya. Kalau boleh dia mahu mendengar nama itu disebut terus walaupun nada adiknya sangat berbeza dibandingkan umi mereka.

Aduhai... ada apa sebenarnya dengan aku ni? Nama Qara aje kot. Yang aku nak sangat dengar apa hal?

Sungguh-sungguh Haq tidak faham dengan diri sendiri sejak akhir-akhir ini.

“Bila dah kahwin tu kena buat cara orang dah kahwin, Akid. Suami mesti diutamakan berbanding kawan. Ni... baru kahwin beberapa hari, dah kena tinggal dengan Dhia sebab Qara tu,” sinis Hajah Yasirah.

Akid pejam mata rapat-rapat. Bila uminya sudah serius begitu, dia malas mendengar.

“Umi cakap dengan Akid nilah!” bentak Hajah Yasirah.

Mata, Akid buka perlahan-lahan dengan rasa bosan.

“Mana ada Dhia lebihkan Qara, umi. Janganlah fikir yang bukan-bukan.”

“Kalau tak lebihkan, kenapa dia ada kat sana? Bukan kat sini?”

“Umi ni... Dhia dah minta izin pada Akid. Akid juga yang hantar dia ke sana. Bukannya dia pergi tanpa pengetahuan Akid,” balas Akid datar. Uminya selalu saja prasangka pada setiap apa yang berlaku. Jarang benar mahu bersangka baik.

“Umi tak suka Qara tu!”

Terus Haq pandang Hajah Yasirah. Berpuluh-puluh tahun menjadi anak uminya itu, dia tetap gagal memahami sikap umi kesayangannya itu. Uminya boleh suka dan tidak suka pada seseorang itu tanpa sebab. Kini, Qara yang tidak ada salah apa-apa pula yang menjadi mangsa uminya.

Qara baik, umi... puji Haq dalam hati.

“Qara ada buat salah apa-apa ke pada umi?” tanya Akid sedikit geram.

“Tak ada.”

“Kalau tak ada, umi mana boleh benci dia. Lainlah kalau dia ada kacau hidup umi atau ada buat benda-benda yang tak betul. Rampas walid daripada umi ke? Tolonglah umi... jangan hukum orang yang tak buat salah.”

Ikutkan hati, Haq mahu menyokong kata-kata Akid yang tidak ada salahnya itu. Namun mengenangkan hubungan dia dan Hajah Yasirah masih dingin selepas berbulan-bulan masa berlalu, dia mengunci mulut. Keadaan yang masih belum pulih tidak mahu dikeruhkan terus.

“Eh... suka hati umilah!”

“Suka hati Dhia jugalah kalau nak terus berkawan dengan Qara. Akid tak ada masalah sebab Qara pun memang kawan Akid sejak kat universiti lagi,” jawab Akid selamba. Dia tahu dia tidak patut melayan Hajah Yasirah begitu. Uminya itu telah bersusah payah mengandung dan melahirkannya ke dunia ini. Tapi dia tidak dapat menerima sikap uminya yang ada masa-masanya agak keterlaluan.

Sudahlah memboikot Haq, kini dengan Qara pun mahu diboikot sama.

Kalau abangnya nak kahwin dengan Qara, macam mana?

Menyedari yang dia sudah berfikir terlalu jauh, terus diketuk perlahan kepala sendiri.

“Degil benar ya Akid ni.”

“Kalau yang umi buat tu betul, Akid tak akan bangkang. Tapi umi mana boleh kata Qara macam tu.”

“Dia tu bukannya budak baik!”

Panas saja hati Akid. Nasib uminya, kalau orang lain sudah lama agaknya menerima maki-hamun daripadanya. “Akid kenal Qara tu bertahun-tahun umi. Kalau umi nak tahu, Qara tu jauh lebih baik daripada Dhia dan Dhia sendiri akui hakikat tu. Umi kena kenal Qara dulu, lepas tu baru umi boleh nilai sama ada Qara tu memang betul-betul baik atau jenis pijak semut tak mati.”

“Umi tak nak kenal dia!”

Akid mengeluh. Inilah yang susahnya dengan Hajah Yasirah. Tahunya hendak menang sendiri.

“Dia pun tak nak kenal dengan umi.”

Mahu saja Haq melambakkan ketawa mendengar nada selamba Akid. Kalau dengan adiknya itu, uminya selalu mati hujah. Kalau dengan orang lain, lebih-lebih lagi dia, Hajah Yasirah tidak akan mengaku kalah.

“Umi tak suka dia!” ulang Hajah Yasirah sekali lagi.

“Tak penting pun.”

“Yang Akid ni bela dia sangat kenapa? Budak tu pertama kali umi tengok pun umi dah tak berkenan. Kata Datin Jalilah, selama ni Qara tu selalu control hidup Dhia. Tak cukup dengan Dhia, dengan Syahil sekali nak dikendeng. Mujurlah Syahil sedar dan pilih Elma. Tapi Dhia, sampai ke hari ni tak sedar-sedar. Esok kalau rumah tangga Akid porak-peranda dikerjakan Qara tu, jangan salahkan umi. Umi dah ingatkan Akid supaya jauhkan Dhia daripada Qara. Tapi Akid yang degil!”

Kurang ajar betul Datin Jalilah tu, desis hati kecil Haq. Orang tua itu lebih kejam daripada uminya.

“Eleh, Mak Datin tu bukannya bagus sangat pun.”

Usai berkata-kata, Akid pandang belakang. Manalah tahu Dhia tiba-tiba saja muncul. Sejahat mana pun Datin Jalilah, orang tua itu tetap ibu kepada Dhia. Sebagai menantu dia tidak patut berkata begitu. Namun sikap Datin Jalilah memang tidak ada yang dapat dibanggakan.

“Qara lagi tak bagus!”

Dengan langkah kasar dan panjang-panjang, Hajah Yasirah meninggalkan ruang tamu yang tiba-tiba saja terasa panas membahang. Mulutnya tidak henti-henti membebel sendiri. Tidak percaya kata-katanya dibangkang Akid hanya disebabkan Qara. Kalau sebab orang lain, dapat juga diterimanya.

“Umi kau tu kenapa bang?”

Haq senyum lebar. “Umi aku umi kau juga. Dan umi kita tu perangai memang macam tu. Nak hairan apanya?”

“Dia benci Qara.”

Mendengar nama Qara disebut, Haq nampak wanita itu ada di mana-mana.

“Umi benci Qara,” ulang Akid sekali lagi.

Semakin banyak Haq nampak bayang-bayang Qara. Qara yang tersenyum. Qara yang ketawa. Qara yang menangis. Qara yang becok membalas setiap kata-katanya. Pendek kata, Qara tidak mahu pergi daripada mata dan fikirannya.

“Abang!” bentak Akid tiba-tiba.

“Apa?”

“Umi tak suka Qaralah!”

“Jadi?” Haq cuba bersikap selamba meskipun hatinya terasa berdebar-debar. Masih terkejut dengan sergahan Akid.

“Macam mana kau nak kahwin dengan dia nanti?”

Terkedu seketika sebelum tangannya menolak perlahan kepala Akid. Kemudian dia tergelak-gelak perlahan demi menutup hati sendiri. Dia mungkin selalu teringat pada Qara. Tapi dia tidak pernah ada hati pada wanita itu. Berkahwin dengan Qara, lagilah tidak pernah ada dalam bayangannya.

Betul ke tak ada Haq?

Sudah, sudah... jangan nak menderhaka pada tuan sendiri! Marah Haq pada hatinya yang kadang-kadang sangat degil.

“Kau sejak dah kahwin ni dah jadi tak betul ya?”

Akid hanya ketawa besar. Menjadi suami kepada Dhia dalam masa beberapa hari ini, tidak ada apa-apa yang berubah dalam hidupnya. Kecuali setiap kali bangkit daripada tidur, Dhia ada di sisinya dan masanya kini lebih banyak dihabiskan dengan isterinya itu. Lain daripada itu, rutin hidupnya masih sama.

“Kau kata Qara lebih baik daripada Dhia tadi. Kenapa kau tak pilih Qara? Kenapa kau pilih Dhia?” Haq ingin tahu.

Setiap orang tentu mahukan yang terbaik, tapi Akid agak berbeza.

“Sebab Qara sangat baik dan aku mungkin tak cukup baik untuk dia. Dia perlukan lelaki yang lebih baik daripada aku,” balas Akid tenang. Dia tidak mengada-adakan cerita kerana memang Qara sangat baik. Wanita itu selalu ringan tulang membantu sesiapa saja yang memerlukan bantuan. Dimarahi dan dicaci-maki pun Qara hanya tenang. Cuma yang musykilnya, dengan Haq, wanita itu jadi cepat melatah. Qara di sisi Haq bagaikan orang lain.

“Syahil?”

Bibir Akid mencebik meluat. “Awal-awal lagi aku dah kata yang Syahil tu tak sesuai untuk Qara. Mereka nampak tak serasi. Tapi Dhia yang beria-ia kata yang pandangan aku tak mesti betul. Sudahnya apa jadi? Syahil mainkan hati Qara,” luah Akid kesal.

“Habis tu siapa yang layak untuk Qara?”

“Manalah aku tahu, bang. Tapi siapa pun untuk Qara, aku harap lelaki itu boleh terima Qara seadanya. Nak hidup memang perlukan duit, tapi duit bukanlah segala-galanya dalam hidup ni.”

Haq sedikit kecewa dengan jawapan Akid. Hatinya di dalam seperti berharap Akid akan berkata dialah yang layak untuk digandingkan dengan Qara. Tapi bila difikirkan kembali, perlu ke dia berharap begitu? Dia tidak nampak di mana kelogikannya.

“Kau tak nak carikan Irham ibu ke?” Akid meluruskan kaki ke hadapan. Lenguh.

Keluhan Haq kedengaran perlahan. “Sekarang ni bukannya mudah nak dapat perempuan yang sanggup kahwin dengan lelaki yang ada anak kecil.”

“Tak cuba mana tahu,” sanggah Aidil.

“Aku malaslah!”

Bila Haq kembali membuka surat khabar, Akid tergelak-gelak sendiri. Sesuatu melintas di kepalanya. Teringat soalan Haq tentang siapa yang layak untuk bergandingan dengan Qara. Dia nampak Haq, tapi dia takut hendak meluahkannya. Abangnya seperti tidak punya apa-apa perasaan pada Qara.

“Yang kau ketawa tiba-tiba kenapa?”

“Aku rasa lebih baik kau kahwin ajelah dengan Qara, bang,” usul Akid. Kalau Haq kahwin dengan Qara, Qara tidak mungkin akan menyambung pelajaran ke luar negara. Dhia tentu tidak akan sedih. Dia yakin yang isterinya itu tidak akan tenang jika Qara pergi. Dalam masa yang sama, dia memberi peluang pada Irham untuk mendapatkan kasih sayang seorang ibu. Haq dapat seorang isteri yang boleh menjaga makan pakai. Qara pula dapat keluarga yang selama ini sangat-sangat diinginkan.

“Kau gila!” Sekali lagi Haq tolak kepala Akid perlahan. Jantungnya seakan-akan luruh daripada tangkai dengan usul tidak dijangka itu. Jadi suami Qara. Qara jadi isteri dia. Jadi ibu Irham. Kenapa macam terasa ada rama-rama di dalam perutnya? TUHAN...

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.