Home Novel Cinta Cinderlisa
Cinderlisa
Meja Editor
11/11/2024 09:36:59
1,467
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

AKU rasa, sudah sepuluh kali aku refresh log kenalan di aplikasi WhatsApp. Tapi, kenapa nombor telefon Fareez masih tak muncul di bahagian kenalan? Sebaliknya, nombor Fareez ada terselit di bahagian invite friends. Telefon aku yang gila ke atau memang lelaki itu yang tak ada WhatsApp?

Bukan saja WhatsApp, malah Instagram pun lelaki itu tak ada. Puas aku refresh ketiga-tiga aplikasi ini.

Hampeh!

Takkan kuno sangat Fareez sampai tak ada satu pun media sosial? Lagipun zaman ini memang semua pakai WhatsApp saja untuk berbalas mesej dan membuat panggilan. Siapa yang masih guna SMS sebagai platform utama lagi?

Getaran sekali gus nada dering yang menjerit minta diangkat itu membuatkan aku terkejut. Nasib baik tak terbaling telefon kesayangan aku. Kalau tak, memang rezeki lantailah!

Nama Encik Muhammad terpapar pada skrin telefon. Kenapa Encik Muhammad dan bukan Fareez? Hmm ... aku sukakan nama Muhammad. Setiap kali membaca atau menyebut nama itu, tanpa sedar aku menyebut nama Nabi Muhammad SAW. Ia juga mengingatkan aku untuk lebih banyak berselawat.

“Helo?” sapaku terlebih dahulu.

“Aku tersedak tadi. Agaknya kau ada kutuk aku tak?”

Erk! Macam mana dia tahu? Bukan aku ada kutuk dia kuno ke tadi?

“Buat apa saya nak kutuk encik? Tapi, kan … encik tak ada WhatsApp ke? Dah sepuluh kali saya refresh contact sebab nak cari WhatsApp encik, tapi tak jumpa-jumpa. Macam mana saya nak hantar location kalau macam ni?”

Querida … hantar ajelah alamat kau kat SMS. Apa susah?” balas Fareez tenang.

Jadi ... betullah Fareez tak ada WhatsApp? Lelaki ini baru masuk mesin masa dari zaman batu ke apa?

“Encik tak nak install WhatsApp ke? Satu SMS sepuluh sen tahu? Sayanglah kredit saya!” 

Sekali lagi, aku dengar Fareez mendengus beberapa kali di hujung sana. Kalau dilihat daripada kelakuannya petang tadi, aku rasa Fareez sedang tahan gelak. Dalam erti kata lain, Fareez tak suka gelaklah, kan? Cuba tengok aku ini. Kalau nak gelak, gelak aje! Kalau kena halau dengan Kak Hanan itu nanti kita buka cerita lain.

“Cheapskate!” Fareez kutuk aku.

“Bukan kedekut. Kita hidup di zaman moden ni kenalah pakai semua kemudahan yang ada selagi benda tu tak bawa mudarat. Macam WhatsApp ni, dapat menjimatkan kredit saya paling kurang sepuluh sen tahu?” Aku mula berhujah.

Fine. Nanti aku install.”

Hah! Tengok … aku juga yang menang. Aku dan Fareez diam tiba-tiba. Kalau zaman aku kecil-kecil dulu, orang akan kata ada malaikat lalu. Tapi sekarang ini, aku rasa punca kebisuan tiba-tiba ini sebab masing-masing dah tak tahu nak cakap apa. Bukan Fareez ke yang call aku dulu? Mestilah dia punya sebab, kan?

So ... apa yang mama dan papa encik suka dan tak suka tu?” soal aku memecahkan keheningan yang berlangsung hampir seminit itu.

“Hah?”

“Bukan ke encik kata nak beritahu saya apa yang mama dan papa encik suka dan tak suka? Kalau tak, apa tujuan encik call saya pukul 10.00 malam ni?”

Oh ... sorry, sorry. Terlupa.”

“It’s okay. Mulalah,” arahku.

“Nak mula dari mana, ya? Kalau bercakap pasal penampilan, mama dan papa suka perempuan yang menutup aurat. Kalau tak menutup aurat pun, sekurang-kurangnya kena berpakaian sopan. Jadi, esok kau pakai apa-apa aje yang kau rasa sopan dan sesuai untuk jumpa bakal mentua .…”

“Eh! Bakal mentua tipu-tipu aje tau!” Aku potong kata-kata Fareez. Betulkan semula ayatnya tadi.

“Ya. Tipu-tipu!” Fareez mengiakan saja. 

“Mama dan papa suka perempuan yang boleh memasak sebab anak lelaki mereka ni kuat makan. Aku rasa, esok mama akan suruh kau masak untuk kami. Pandai-pandailah kau masak apa-apa menu. Asalkan lepas tekak sudahlah. Mama dan papa tak banyak songeh kalau bab makan ni.”

Aku tersenyum suka. Kalau bab masak-memasak ini, memang makanan akulah! Aku memang suka memasak. Masa aku pun banyak dihabiskan di dapur. Jangan sampai mama dan papa Fareez terus ambil aku jadi menantu betul-betul lepas rasa masakan aku! Anaknya dah kasi aku amaran awal-awal lagi.

“Hmm … aku rasa itu aje kut yang kau perlu tahu. Yang lain, tak penting.”

“Encik umur berapa, eh?” soalku. Tiba-tiba pula rasa nak tahu umur dia.

“1992.”

1992? Aku tanya umur, dia bagi tahun kelahiran terus! 1992 tolak 2023, jadinya 31. Hah! Fareez dah berusia 31 tahun?

“Tipulah …” Aku tak percaya! Umur along pun 31 tahun, tapi muka tak adalah nampak macam sebaya Fareez. Atau sebenarnya, Fareez yang nampak muda?

“Umur aku 31 tahun. Lahir tahun 1992 pada 16 hari bulan satu. Tak ada siapa nak tipu kau. Percaya atau tak, terpulanglah. Tak ada siapa yang kisah,” balasnya selamba.

Fuh! Punyalah barbarian ayat lelaki ini.

“Okeylah, encik. Saya nak pergi solat isyak dulu,” pamitku bila tengok jam dinding sudah tunjuk angka 11.00. Lama juga kami bersembang.

“Amboi, saudari! Isyak pukul 11.00 malam? Tahu tak apa hukumnya melambat-lambatkan solat?”

Terkulat-kulat aku dibuatnya. Selain ibu dan ayah, tak ada siapa lagi yang pernah tegur solat aku yang memang sentiasa lambat ini. Terkejut juga aku bila Fareez yang menegur.

“Err .…” Aku tak tahu nak balas apa.

“Solat awal waktu. Nanti kau akan rasa nikmat dia. Masa akan rasa lebih panjang. Hati akan rasa lapang. Ini kalau isyak pun pukul 11.00, mahunya subuh lepas syuruk.”

“Okey! Okey! Lagi banyak encik bebel, lagi lambat saya isyak. Bye!” Aku terus tamatkan panggilan tanpa menunggu balasannya.


NADA dering telefon yang menjerit kuat membuatkan  tidur aku yang sungguh lena terganggu. Dengan mata yang tertutup, aku meraba-raba sisi katil untuk mencari telefon aku yang dah berkonsert sakan. Mata dicelikkan sikit bila telefon masih tak dijumpai. Baru nak sentuh telefon yang ada di sisi bantal peluk, tiba-tiba nada dering itu mati.

Sambung tidur!

Tapi, niat aku terbantut apabila sekali lagi telefon aku menjerit minta diangkat. Kali ini, aku terus capai telefon itu lalu menggeser ikon hijau ke tepi, sebelum telefon didekatkan pada telinga tanpa ada niat untuk melihat nama pemanggil.

“Helo?” sapaku dalam keadaan mamai.

“Selamat pagi, Cik Cinderlisa. Baru bangun, ya?” Suara garau itu menerpa gegendang telinga. 

Aku jarakkan telefon dari telinga bagi melihat nama si pemanggil. Saraf otak masih belum berhubung, jadi tak dapat nak memproses gerangan pemilik suara itu. Encik Muhammad rupa-rupanya!

“Ada apa hal encik call saya pagi-pagi ni?”

“Sengaja. Aku nak buat spot check sama ada betul atau tak apa yang aku kata semalam.”

Berkerut sekejap dahi aku mendengarnya. Spot check apa pula ini? Apa yang dia kata semalam?

“Cik Cinderlisa dan Sleeping Beauty. Dah solat subuh ke belum?” soal Fareez.

“Alah, baru pukul berapa. Encik ni kacaulah,” balasku.

“Baru pukul berapa? Kau sedar ke tak sekarang dah pukul berapa?” Ada nada marah dalam suara Fareez.

“Pukul berapa?” Dengan mata yang masih tertutup, aku menyoal.

“8.13 minit pagi.”

Terus celik mata aku. Aku pandang skrin telefon, lihat waktu yang tertera di situ. Manalah tahu kalau Fareez hanya nak pedajal aku ke, kan? 

Oh tidak! Jam telefon aku tepat pukul 8.14 pagi! 

“Burung pun dah keluar pergi cari makan. Kau masih terbongkang atas katil. Betullah apa yang aku kata semalam. Lepas syuruk baru solat subuh. Macam manalah rezeki nak masuk kalau ….”3

Aku campak telefon atas katil tanpa pedulikan leteran lelaki itu. Lompat turun dari katil lalu terus masuk ke dalam bilik air untuk ambil wuduk. Ini bukan subuh gajah dah. Ini namanya subuh T-rex!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.