Home Novel Cinta Cinderlisa
Cinderlisa
Meja Editor
11/11/2024 09:36:59
1,464
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5
UISH! Siapa yang tunggu kau kat depan rumah tu? Putera raja mana pula yang sesat masuk Puchong ni?” soal Kak Hanan sambil terkocoh-kocoh masuk ke dalam bilik aku.

Kak Hanan menyelak langsir yang menutupi tingkap bilik lalu mengintai ke bawah. Aku turut sama mengintai meski aku dah tahu gerangan orang yang dimaksudkan oleh Kak Hanan. Dari sini, aku boleh nampak Fareez yang santai berbaju-T belang biru dan putih yang dari jauh pun dah nampak logo Polo itu. Lelaki itu sedang bersandar pada BMW hitamnya sambil mengerling jam di tangan. Sesekali, dia mendongak memandang rumah Kak Hanan.

“Itulah orang yang sama-sama gila dengan kau tu, ya? Yang ambil kau jadi calon isteri upahan tu?” soal Kak Hanan sambil mata tak lepas mengintai Fareez.

Aku mengangguk sajalah. Tak pasal-pasal Fareez kena cop gila sekali dengan aku.

Tudung aku rapikan sebelum mencapai beg tangan.

“Pergi dulu, kak.” Aku salam tangan Kak Hanan.

“Hah, jaga-jaga sikit kelakuan kau kat rumah orang. Jangan nak buat perangai tiga suku kau kat situ. Tak pasal-pasal kau kena halau dengan bakal mak mentua tipu-tipu kau tu. Buat malu keturunan aje.” Sempat Kak Hanan meleteri aku sambil membuntuti langkah aku ke pintu depan.

“Tahulah. Tak adalah orang ni nak menggila 24 jam, tujuh hari seminggu.” Pintu rumah, aku buka sebelum aku melambai Kak Hanan.

Melangkah ke arah Fareez, tiba-tiba kaki ini rasa lembik semacam. Mana taknya, Fareez dah serupa lelaki terhangat di pasaran.

Sedar akan kehadiran aku, Fareez terus berdiri tegap. Tidak lagi bersandar santai seperti tadi.

Dengan kedua-dua tangan yang diseluk ke dalam poket seluar, Fareez tenang berdiri sambil memerhati setiap langkah aku. Mana tak ketaq lutut kalau kena tenung dengan lelaki macam Fareez? Kira baiklah aku tak rebah ke lantai!

“Hi, querida!” Fareez menyapa terlebih dahulu.

“Hisy, querida, querida. Suatu hari nanti, saya mesti akan dapat tahu juga maksud perkataan tu. Encik tunggu ajelah.”

Bibir Fareez menyenget tersenyum. “Of course, querida. Suatu hari nanti, aku sendiri yang akan beritahu kau apa maksud dia. Cuma sebelum tu, pandai-pandailah kau faham sendiri.”

Fareez membuka pintu penumpang sebelah tempat pemandu dan mempersilakan aku masuk. Senget kepala aku pandang Fareez yang bukan main gentleman lagi.

“Dipersilakan, Cinderlisa. Lagi lambat kita gerak, lagi lambat kita sampai. Lagi lambat kita sampai, lagi lambat kau dapat balik. Nanti pukul 12.00 tengah malam bila Cinderlisa bertukar jadi Sleeping Beauty, siapa yang susah? Aku juga yang susah. Kalau kau tergolek jatuh dan tertidur atas lantai tak apalah. Kalau tertidur atas riba aku? Tak pasal-pasal aku fikir kau dah terjatuh cinta dengan aku.” Dengan bibir yang tersenyum senget, Fareez memulangkan paku buah keras.

Berasap telinga aku mendengarnya. Menyindir nampak! Masuk saja ke dalam kereta, Fareez menutupkan pintu dengan penuh cermat. Lelaki itu terus bergerak ke tempat pemandu. Kereta mula bergerak setelah lafaz bismillah dan doa naik kenderaan dibacanya sayup-sayup.

Di dalam kereta, mulut aku mana reti nak diam walau seminit. Ada saja benda yang aku nak pot pet-kan.

“Bayaran monthly kereta ni berapa, encik?” Tengok! Punyalah kepoh sampai perkara macam itu pun aku nak tanya.

Fareez mengerling aku sesaat sebelum kembali menumpukan perhatian pada pemanduannya.

“Kenapa tanya?”

“Tak adalah. Saya ni masih tak habis fikir lagi pasal RM5,000 tu. Tiba-tiba encik angkut BMW sebiji untuk ambil saya kat rumah. Mana encik dapat duit banyak-banyak? Encik kata, encik kerja biasa-biasa aje. Takkan encik buat part time jual dadah pula?” Aku berleter meluahkan isi dalam kepala.

Aku dengar Fareez mendengus sebelum dia menggeleng.

“Don’t be curious, querida. Let’s keep it this way,” balas Fareez ringkas.

Tapi kalau dah namanya Medina Alisa .…

“Adakah ini bermakna, encik memang ada buat part time jual dadah?” Aku buat spekulasi terhangat lagi.

Kali ini, suara aku sudah berubah seram. Kalau Fareez jual dadah, maksudnya duit dia duit haram. Kalau duit dia

duit haram … maksudnya, apa yang aku akan terima nanti pun hasil daripada keuntungan haram!

“Tak makan saman betul kau ni, kan?” ujarnya berbaur kemarahan.

“Saya memang tak makan saman. Saya makan nasi aje. Lagi sedap kalau lauk ayam.”

Fareez terus memandang aku sambil menjegilkan matanya. Bengang bila aku meloyar buruk. 

Aku tayang sengih. Kena sejukkan keadaan sebelum lelaki itu mengamuk dan tendang aku keluar dari keretanya. Kalau ditendang keluar, memang aku kena bertenggek tepi jalan untuk tunggu teksilah jawabnya.

Sudahnya, aku pilih untuk diam. Takut kalau mulut aku yang tak makan saman ini bakal menjadi penyebab aku kena balik naik teksi nanti.

Diam berlarutan selama sepuluh minit sehinggalah aku naik bosan.

“Lambat lagi ke nak sampai rumah keluarga encik ni? Macam dah lama aje kita dalam kereta. Rumah keluarga encik tu kat Sarawak ke?”

Fareez menjeling aku lagi sekali.

“Dah nak sampai .…”

Keretanya membelok masuk ke kawasan perumahan elit yang sekali tengok pun sudah mampu bikin aku teguk air liur berkali-kali. Pagar punyalah tinggi. Pengawal punyalah ramai tengah melepak di pondok pengawal. Kalau rumah ini manusia, mesti dia introvert!

BMW yang dipandu Fareez berhenti di hadapan sebuah banglo yang tersergam indah. Pintu pagar automatik terbuka. Kereta Fareez masuk ke dalam pekarangan rumah. Dari jauh, aku nampak sepasang suami isteri sedang berdiri di muka pintu sambil tersenyum. 

“Ini rumah encik ke?” soalku tidak percaya.

Kereta BMW. Tawar aku gaji RM5,000 bagi setiap tugasan yang terlaksana dengan baik. Banglo di perumahan elit ini pula .…

Entah-entah Fareez memang taikun dadah tak?


“KAMU tinggal di mana, Alisa?”

Aku yang tengah sedap melahap nasi berlaukkan tomyam, telur dadar dan ikan siakap tiga rasa terus terhenti. Angkat kepala dan pandang mama Fareez yang bukan main cantik lagi. Interviu sudah bermula!

“Saya tinggal di Puchong, Datin.”

Ya! Datin, guys! Bukan main-main keluarga Muhammad Fareez Syah ini. Papanya, Datuk. Mamanya, Datin. Anak Datuk tau! Fareez bukan taikun dadah macam yang aku fikirkan. Dia anak kepada pemilik a.k.a Chairman of KN Properties! Fareez pula duduk di salah satu kerusi board of directors yang aku pun tak tahu bahagian mana.

Nak pitam aku bila mama Fareez buka mulut dan ceritakan tentang Fareez sebaik saja aku beritahu pada mamanya yang aku tak diberitahu langsung tentang pekerjaan Fareez. Sudahlah aku mengumpat HR, chairman dan sekali gus KN Properties di depan mata, kepala dan telinga anak pemiliknya sendiri!

Kenapa mulut aku ini sentiasa lepas laku? Macam mana aku nak menghadap Fareez selepas ini? Aku sesedap hati mengecam syarikat milik keluarganya di hari pertama kami bersua muka! Batu belah, batu bertangkup! Ambillah aku, makanlah aku. Mulut aku dah menderhakai tuannya!

“Apa pula Datin, Datin ni ... Alisa? Panggil mama. Papa pula, kamu panggil papa. Dah nak jadi menantu kami pun,kan?” kata mama Fareez.

Hah … sudah. Nak kena panggil mama pula dah!

Aku simpul senyuman paling janggal di abad ini, lalu aku mengangguk. Setuju sajalah!

“Baik, mama .…” Nak terbelit jadi reben lidah ini bila nak sebut perkataan mama itu.

“Kalau kamu duduk di Puchong, nanti lepas kahwin kamu pindah KL, ya?” Mama Fareez bersuara lagi. 

Aku pandang Fareez di sebelah yang hanya senyap sambil menjamah makanan tanpa mempedulikan aku yang sedang ditemu ramah ini. Papa Fareez pun sama. Ikut senyap dan biarkan isterinya yang buat kerja.

Fareez angkat kepala memandang aku dengan sebelah kening yang dijongket. macam nak kata, “Jawablah. Tunggu

apa lagi?”

Dia ini bukan nak membantu. Ada ke dia biarkan aku jawab semuanya sendiri? Nasib baik ada orang tua dia. Kalau tidak, memang aku selamkan muka dia dalam mangkuk tomyam.

Aku pandang mama Fareez semula.

“Kena pindah KL sebab apa, Da … eh, mama?”

“Lah! Fareez kan duduk di KL. Mestilah kamu pun kena duduk KL kalau dah kahwin, kan? Takkan nak duduk asing-asing pula.”

Alahai! Inilah sebabnya kenapa aku rajin buka mulut menyoal siasat Fareez. Sebab inilah! Interviu seperti ini buatkan aku tergagap-gagap bila satu pun tentang Fareez tak ada dalam tangan aku.

Disebabkan nak tutup semula lubang yang tercipta, aku cepat-cepat mengangguk, mengiakan saja kata-kata mama Fareez itu. Duduk KL pun, duduk KL lah! Bukannya nak kena pindah masuk betul-betul. Habis tugas di antara kami, habislah cerita calon isteri upahan ini. Entah-entah selesai kerja aku pada hari ini, aku terus tamatkan kisah calon isteri upahan ini.

“Sedap kan, bang?” Tiba-tiba mama Fareez menyoal suaminya yang sedari tadi leka menjamah makanan.

Bila disoal, barulah papa Fareez angkat kepala memandang kami. Tersenyum buat isterinya.

“Sedap sangat. Tak angkat kepala saya jadinya. Cukup rempah, cukup rasa.”

“Itulah, bang! Pandai sungguh Fareez cari calon isteri. Saya kasi bahan-bahan aje, Alisa yang fikir dan masak. Saya tolong potong-potong dan kacau-kacau aje tadi, bang. Macam tukang masak terhandal bakal menantu kita ni! Tak rugi kita dinner lambat malam ni.”

Tinggi melangit mama Fareez memujiku. Sampai berbahang seluruh muka bila mendengar pujian daripada suami isteri itu.

“Hah, Alisa.! Kamu tengok Fareez tu. Dari tadi tak angkat kepala. Tak pernah lagi mama tengok Fareez makan tanpa mengeluh atau kritik masakan orang.” Mama Fareez menjuih anaknya yang sedari tadi tak angkat kepala sama seperti suaminya.

Bila diseru, barulah Fareez angkat kepala dan pandang mamanya. Muka tenang ditayang sambil menyambung makan semula.

“Biasa-biasa aje, ma. Fareez tak kritik sebab hargai dia jadi tukang masak tak bergaji hari ni,” balas Fareez.

“Yalah tu. Selama ni, mama pun jadi tukang masak tak bergaji kamu anak-beranak. Tak ada pun kamu nak hargai? Hari-hari asyik kritik masakan mama. Tak cukup gulalah, garamlah, pedas sangatlah .…”

Aku lihat Fareez hanya tayang muka tak peduli.

“Egolah tu. Tak nak mengaku dah jatuh cinta dengan masakan bakal isteri sendiri. Untunglah Fareez dapat isteri yang pandai masak! Mahu memboyot perut tu nanti. Alisa mengandungkan zuriat kamu, kamu pula mengandungkan lemak. Ya tak?” Papa Fareez mencelah.

Sejurus itu, terus Fareez terbatuk-batuk. Dia mengetuk dada sendiri berkali-kali. Aku pula kelam-kabut menghulurkan air. Fareez ambil cawan yang aku hulur lalu meneguk sehingga licin. Merah padam muka Fareez.

“Pa … apa ni?” Fareez menyoal dengan nada tak puas hati.

“Apa? Salah ke apa yang papa kata? Dia memang bakal isteri kamu, kan? Itu pun nak tersedak?” balas papa Fareez selamba seraya menyambung makan semula. 

Fareez menoleh ke arah aku. Mata kami bertentangan sesaat sebelum Fareez memberi isyarat mata menyuruh aku makan cepat-cepat.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.