Home Novel Cinta Cinderlisa
Cinderlisa
Meja Editor
11/11/2024 09:36:59
464
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3
SIAPA lelaki tadi tu?” soal Fareez sebaik saja kami duduk di kerusi kafe yang terletak di dalam bangunan syarikat ini. Kali kedua untuk aku! 

Sempat aku lihat Fareez mengerling ke arah luar kafe ini. Atau lebih tepat lagi, mengerling Zafran yang masih terkaku di situ.

“Ex-boyfriend,” jawabku.

“He’s in total disbelief and denial,” rumus Fareez sebelum lelaki itu tenung pula muka aku.

“Right?”

Fuh! Dia ini model ke apa? Gayanya sungguh metroseksual! Atau patut ke aku rumuskan sebagai sangat bergaya dan maskulin? Bertubuh tinggi. Waktu aku berdiri di sisi dia tadi, aku paras dada dia saja! Padahal aku ini kalau nak diletakkan dalam kalangan perempuan Melayu, aku boleh dikategorikan sebagai tinggi juga. 165 sentimeter. Tapi, aku tetap jadi pendek bila berdiri sebelah dia.

“So, querida ... shall we talk about us now?” soal Fareez sekali gus mematikan lamunan pendek aku.

Sure. Tapi sebelum tu, kenapa awak asyik sebut kerida?” Hah ... inilah yang menjadi persoalan aku. Mulanya aku ingatkan dia tersasul, tapi bila dia asyik sebut benda yang sama ....

Nothing of concern, querida. Anggap aje itu satu panggilan tak formal aku untuk kau.”

“Tapi, saya masih nak tahu apa maknanya. Saya curious!” tegasku. Yalah, manalah tahu dia carutkan aku, kan?

“Curiosity killed the cat.” Fareez membalas dengan nada tegas.

“Tapi itu hanya separuh daripada keseluruhan ayatnya. Yang penuhnya, curiosity killed the cat, but satisfaction brought it back.” Tolonglah. Aku ini anak cikgu tahu?

Aku tersengih bila matanya seakan-akan menghelang pandang aku. Maksudnya, lelaki itu isytiharkan untuk letak tanda noktah untuk topik ini. 

“Sekurang-kurangnya, beritahulah saya ejaan dia macam mana. Boleh saya Google sendiri dan cari maksud dia. Is it kerida as in K. E. R. I. D. A?

Kalau dah namanya Medina Alisa, mestilah tak makan saman! Sikap ingin tahu aku lebih tinggi daripada segala-galanya.

Kalau tak dapat jawapan, mahu semalaman aku tak dapat tidur. Kecil mata Fareez merenung muka aku bila aku masih

pilih untuk terus berdegil. Nak juga tahu maksudnya. Lama aku direnungnya sebelum satu keluhan keluar dari mulut lelaki itu.

“Kau tak takut dengan aku?”

Dengan dahi yang berkerut hairan, aku menjawab, “Kenapa kena takut? Lainlah kalau awak ketua mafia ke, ketua Yakuza ke ....” 

Semakin kecil mata Fareez merenung aku. Kali ini, hanya sebuah renungan tanpa kata-kata. Dan kebisuan Fareez membuatkan mulut aku automatik terbuka semula. 

“Ke awak ni memang ketua mafia?” Aku buat spekulasi sendiri.

Soalan drastik aku berjaya membuatkan kedua-dua belah kening Fareez terangkat. Tapi, masih tak ada jawapan yang diberikan. Ah, mestilah tak ada! Mafia ini wujud dalam novel dan movie aje! Realitinya, nak cari orang yang tangannya cukup stabil untuk pegang sepucuk pistol pun susah!

“Tapi, kan ... mustahillah ada mafia muka macam awak.” Aku bersuara lagi.

“Oh, yeah?”

“Yalah ... nama pun mafia. Mesti banyak main tumbukitumbuk, tak pun tembak-tembak. Mesti dah banyak kali injured. Dalam imaginasi saya ... mesti mafia tu banyak parut. Satu melintang kat dahi, satu kat pipi, satu kat mata, bibir pun pecah! Muka pula macam longkang tak siap. Mustahil muka dia macam Massimo atau Ferhat!”

Aku lihat kepala Fareez semakin menyenget merenung aku. Kening pun dah hampir bercantum sebab asyik berkerut.

Mungkin dia hairan tengok aku yang terlalu banyak bercakap ini agaknya!

“Oh, maaflah Encik Muhammad Fareez Syah. Saya ni kalau dah bersembang, memang tak reti nak senyap. Ibu saya pun kalau saya ada kat rumah, seboleh-bolehnya dia nak sumbat telinga dia supaya tak dengar apa-apa yang saya bebelkan. So ... marilah kita kembali pada tujuan asal.”

Terjongket sebelah kening Fareez sebelum lelaki itu membetulkan semula duduknya. Tiada lagi kepala yang tersenget, kening yang berkerut atau mata yang dikecilkan tadi. Profesional.

“Disebabkan tadi aku dah tolong jadi tunang upahan kau, aku akan tuntut hutangnya nanti. Tapi yang itu, kita tolak tepi dulu. Aku tak nak tuntut sekarang atau dalam masa terdekat. Bila? Just wait and see. Jadi, kerja pertama kau macam yang aku kata semalam. Jadi calon isteri upahan aku. Yakinkan mama dan papa aku yang kau memang pilihan terbaik untuk jadi isteri. Pastikan lakonan kau convincing. Kalau mama dan papa aku tak percaya atau tak nak terima kau, satu sen pun aku tak akan bagi.

Faham?”

“Kejap. Adakah ini bermakna Encik Fareez approved saya punya penampilan? Menepati cita rasa Encik Fareez dan keluarga?”

Lelaki itu balas dengan sebuah anggukan yakin. Sekali angguk saja, tapi nampak betul-betul yakin! Oh, wow! Rasa macam nak terpacak hidung ini! Aku bangga dengan diri sendiri sekarang. Lelaki sekacak Muhammad Fareez Syah baru saja approved penampilan aku!

“Tapi sebelum tu, ada syarat untuk kau. Syarat sekali gus peraturan untuk kau ikut dengan baik sepanjang berkhidmat untuk aku. One strike and you’re out.

Kenapa aku rasa macam Fareez baru saja tekan butang serius? Mukanya serius yang amat, tiada mesra langsung kalau nak dibandingkan dengan muka yang tadi. 

“Apa dia?” Seram pula bila dia dah tayang muka seperti itu. Macam berat saja syarat dan peraturan itu?

“Simple. The one and only rules. Don’t fall in love with me. Consider this rule as a warning. Don’t. Ever. Fall. In. Love. With. Me.” Fareez siap angkat satu demi satu jarinya untuk merujuk kepada jumlah patah perkataan dalam ayat terakhirnya.

Aku terkebil-kebil mendengarnya. Lambat-lambat aku mengangguk tanda bersetuju. Bukannya sebab aku tak yakin boleh halang diri daripada jatuh cinta, tapi sebab aku terkejut dengan syarat dan peraturan dia itu. Dalam banyak-banyak benda, soal hati dan perasaan pula yang jadi peraturannya. Walaupun muka dia lagi kacak daripada Edward Cullen, tapi aku ini tak adalah terdesak sangat nak bercinta!

Keep it professional, nothing personal!

“Okey … tapi, saya pun ada syarat.”

“Apa dia, querida?” soalnya tenang.

“Saya kena balik sebelum pukul 12.00 malam. Tak kisahlah encik angkut saya pergi upacara angkat sumpah sekalipun, saya tetap kena balik sebelum pukul 12.00 malam. Lambat sesaat pun tak boleh.” Aku melontarkan syarat yang diberikan oleh Kak Hanan tempoh hari. Syarat wajib kalau aku tak nak kena kejar dengan ibu dan ayah satu Puchong.

Kening Fareez ternaik semula bila dengar syarat yang aku berikan. Bibirnya tiba-tiba menyenget macam tengah menahan sesuatu yang lucu. Macam tengah tahan gelak saja gayanya.

“What are you? Cinderella? Or ... Cinderlisa?” Nadanya mengejek.

Cis! Geram pula tengok bibir dia yang menyenget itu. Aku lastik karang, terus senget abadi tak pasal-pasal. Tapi, wah! Kami ada otak yang sama. Sepemikiran. Bukan ke hari itu aku pun ada kata pasal Cinderella juga?

“Betul. Siang saya Cinderella. Masuk jam 12.00 tengah malam terus bertukar jadi Sleeping Beauty. Sebab tu kena balik jam 12.00 tepat! Tak boleh lambat sesaat pun. Kalau lambat, takut nanti saya tergolek jatuh, lepas tu tidur atas lantai. Itu okey lagi. Cuba kalau saya tergolek jatuh, lepas tu tertidur atas riba encik pula. Tak ke susah kalau macam tu? Tak pasal-pasal encik fikir saya dah jatuh cinta dengan encik.” Dan aku pun akur sajalah ejekan Fareez itu.

Serentak, Fareez memusingkan mukanya ke arah lain sebelum tiba-tiba aku dapat tangkap bunyi dengusan dua, tiga kali dari mulut lelaki itu. Selepas itu, barulah Fareez memandang aku semula. Tayang muka seriusnya seperti tadi.

“Okey, setuju. Aku setuju dengan syarat kau. Itu aje ke syaratnya?”

Aku mengangguk. Angguklah buat masa sekarang. Nanti kalau Kak Hanan tambah syarat, barulah aku update semula dengan Fareez. 

“Kalau macam tu, hari Sabtu nanti jam 8.00 malam aku ambil kau. Hantar lokasi kau nanti. Aku pick up terus depan rumah. Kalau nak suruh aku minta izin mak ayah kau pun tak ada masalah. Jangan risau, aku bukan pervert dan aku tak cukup gersang lagi sampai nak buat benda-benda pelik pada kau.”

Ceh, menyindir!

“8.00 malam tu mesti janji aje, kan? Encik mesti sampai jam 10.00 malam kalau nak diikutkan rekod baik encik hari ni.” Kali ini, giliran aku pula menyindir dia.

Sekali lagi, bibir Fareez menyenget seperti sedang menahan sesuatu yang lucu.

8.00 PM sharp. Takkan lambat macam hari ni lagi dah. Maaf kalau dah buat kau tunggu lama. Sebagai tanda maaf, kau boleh pesan apa saja yang kau nak. Aku belanja.”

“Tak apalah, perut saya dah kembung minum air masa tunggu encik tadi. Tapi, boleh saya tanya sesuatu?” 

Fareez menjongket sebelah keningnya. Itu tandanya, dia bagi aku lampu hijau untuk meneruskan soalan yang nak aku ajukan itu. Bila dah dapat lampu hijau, terus aku mengesot ke depan sedikit supaya lebih dekat dengan lelaki itu.

“Encik kerja kat KN Properties ni ke?”

Fareez jawab dengan sebuah anggukan tenang. Jadi, lelaki depan ini memang pekerja KN Properties ya?

“HR tu sakit mental ke? Atau chairman KN tu yang sakit mental? Ada ke cari pekerja fresh graduate yang ada pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun dalam bidang yang diminta? Dia fikir, fresh graduate ni keluar dari perut

terus pergi ambil degree agaknya. At least, bagilah kita orang ni peluang dulu. Ini tak, belum cuba lagi dah kena

tolak mentah-mentah.” Aku berleter sendiri.

Yang kena tempias leteran aku sudah semestinya Fareez yang begitu tekun mendengar luahan perasaan sebabak aku.

“Kenapa? Kau ada cuba minta kerja dengan KN ke?” soal Fareez seperti berminat untuk tahu sebab musabab aku berleter panjang tadi.

“Saya minta hari tu dengan KN dan H’s, tapi H’s memang tak ada kekosongan. KN pula ada kekosongan, tapi tak nak terima saya. Dengan alasan, saya tak ada pengalaman kerja bahagian tu. Nak pula pengalaman tu kena minimum tiga tahun. Gila ke? Saya ni, baru 24 tahun. Bila masa pula ada masa nak cari tiga tahun pengalaman kerja tu? Takkan waktu sekolah menengah dah kena apply kerja kut? Tapi minimum kelulusan kena ada degree. Hisy, tak fahamlah!” Aku sambung berleter lagi. Muka dah masam habis, dahi pun dah berkerut seribu. Cukup untuk beritahu betapa tertekannya aku bila bercakap soal kerja.

“Ingat lagi siapa yang interview kau hari tu?” soal Fareez. 

Aku diam seketika, cuba untuk mengingati semula gerangan penemu duga aku pada hari itu. Tapi tak termasuk dalam otaklah pula nama yang diperkenalkan sebelum dia mulakan proses temu duga itu.

“Tak ingatlah nama dia.”

“Apa-apa detail lain tentang dia yang kau ingat? Takkanlah tak ingat satu pun.”

Hmm .…

“Lelaki. Kulit sawo matang. Rendah sikit daripada saya. Dalam lingkungan umur 40-an dan perut buncit sikit.” Aku senaraikan perincian fizikal si penemu duga itu. Siap buat demonstrasi ukuran perut lelaki itu pada perut sendiri lagi!

Aku terdengar Fareez seperti menggumam sesuatu. Macam sebuah nama. Tapi, patah perkataannya aku tak dapat tangkap sama sekali.

Sepi sekejap antara aku dan Fareez sebelum mulut terasa rajin nak menyoal dia lagi. 

“Apa position encik di KN?”

Fareez seperti teragak-agak untuk menjawab soalan aku. Buktinya, soalan aku dibiarkan tidak berjawab. Selepas hampir sepuluh saat, barulah Fareez buka mulut. 

“Biasa-biasa aje.” Punya lama berfikir, sudahnya itu saja jawapan dia.

Akhirnya, aku cuma mengangguk. Tak adalah pula aku nak memaksa dia untuk menamakan secara spesifik jawatan yang dia galas dalam syarikat gergasi ini.

“Saya dengar KN bayar pekerja dia mahal. Mesti gaji encik pun besar, kan? Tak peliklah kalau encik boleh tawarkan RM5,000 sekali kerja pada saya. Tapi, tak macam banyak sangat ke RM5,000 tu? Atau encik ni dah terdesak sangat sampai sanggup bayar orang berlakon jadi calon isteri encik?”

“Terdesak?” Bagai sedang bermonolog dengan diri sendiri saja lagak Fareez.

Aku hanya diam memerhati Fareez, sekali gus menunggu jawapan daripada lelaki itu.

“Mungkin juga,” balasnya pendek.

Tapi ... kenapa aku rasa macam ada yang pelik dengan lelaki ini? Yalah … tengok sajalah rupa parasnya yang

seperti model Calvin Klein. Ini baru tengok dia dalam pakaian formal.

Melihatkan tubuhnya yang tegap itu, aku dah boleh bayangkan betapa sadonya lelaki ini. Jadi, tak pelik ke kalau lelaki ini tak punya calon isteri sebenar? Pakej lengkap untuk menjadi kegilaan wanita seperti pemilik H’s yang selalu muncul dalam muka depan majalah itu. 

Aku rasa dengan rupa paras yang Fareez ada, lelaki ini hanya perlu berdiri di kawasan lapang dan berkata, “Saya tengah cari calon isteri!” Mesti berderet perempuan angkat tangan untuk menawarkan diri sendiri. Fareez cuma perlu pilih salah seorang untuk dijadikan calon isteri sebenar. Habis cerita. Betul tak?

Hmm … okey, aku tak sepatutnya mempersoalkan semua itu. Mungkin Fareez ada alasan dan sebab untuk tak cari atau tunjukkan calon isteri sebenarnya. Entah-entah, dia bengkok? Gay? Mungkin dia upah aku supaya keluarganya tak syak status sexuality dia tu? Tapi, tolonglah jangan sampai apa yang aku fikir ini benar belaka. Tak sanggup aku nak bersubahat dan tanggung dosa besar macam itu!

Atau, mungkin juga Fareez upah aku jadi calon isteri upahan sebab calon isteri sebenarnya masih belum bersedia untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Belum terbuka hati untuk kahwin sebab masih ada banyak cita-cita yang belum berjaya dicapai? Hmm … boleh jadi juga!

“Berangan apa tu querida sampai tenung aku macam nak terus masuk ke dalam hati aku ni?” 

Suara Fareez buatkan aku tersentak. Bagaikan lamunan aku tadi direntap dalam sekelip mata. Tapi, apa dia kata tadi? Tenung dia macam nak masuk ke dalam hati dia? Ceh! Perasan betul!

“Tak adalah … spaced out sekejap tadi,” dalihku.

Yalah, takkan aku nak beritahu dia yang aku baru saja terfikir yang dia gay pula, kan? Kalau salah, aku yang makan penampar. Kalau betul dia gay, maka dialah yang akan makan penampar aku. Mana tahu tamparan aku ini pakej vaksin antigay ke?

“Kalau macam tu, cukuplah untuk hari ni. Nanti aku akan mesej atau call kau untuk cerita serba sedikit pasal mama dan papa aku. Apa yang mereka suka dan apa yang mereka tak suka. Okey?”

“Okey!” Aku terus bangun. Rasanya dah boleh balik, kan?

“Kau datang sini naik apa? Nak aku hantarkan kau balik?” soal Fareez yang masih duduk sambil memandang aku.

Wah! Macam baik aje lelaki ini? Siap offer nak hantar balik lagi!

“Saya datang naik king.” Aku menuding ke arah kawasan pekarangan kafe yang ada beberapa buah kotak parkir itu. Mahu menunjuk Myvi aku yang sudah beberapa jam tersadai di situ. Fareez tidak membalas. Hanya mengangguk tanda mengerti. 

Melihatkan reaksinya, aku terus capai beg tangan dan telefon atas meja sebelum aku berura-ura untuk

melangkah pergi.

Eh! Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Macam kurang ajar saja kalau terus pergi macam itu, kan?

“Saya balik dulu tau? Bye!”

“Bye.”

Sepatah seperti biasa!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.