Home Novel Cinta Seseorang Seperti Dia
Bab 27

            Hidup sememangnya penuh corak dan warna. Terkadang kita berpura melupakan warna gelap, agar hanya yang terang tampak di mata. Cuba melupakan perjalanan berliku. Berusaha menidakkan bahagian yang kurang menyenangkan. Namun itulah kehidupan, sekuat mana pun kita melawan dan memaksa ia punah dan sirna dari ingatan terkadang tanpa diundang memori yang tidak ingin dikenang tetap datang bertandang.

             Begitulah aku ketika ini, ingin hanya mengingati saat-saat indah bersama Haris. Namun tanpa diundang rona gelap tetap datang menerpa. Dalam cerita hidupku ini, rona gelap itu ternyata bernama Bia Natasha. Bagaimana mungkin aku bisa mengalahkan dia. Dia cinta pertama Haris dan kali ini dia tidak sendiri. Wajah comel Dea Natalia menari di ruang mindaku. Mana mungkin aku tega memisahkan anak kecil itu dari Papanya. Papanya Haris. Dia suamiku. Namun kini hanya pada nama. Aku yakin hatinya bukan untukku lagi. Cintanya sudah kembali pada Bia Natasha. Benar kata orang kuasa cinta pertama terlalu besar. Mungkin kerana bersama cinta pertama, kita mencipta pelbagai memori indah buat pertama kalinya. Jadi semuanya sukar dilupakan. Seperti mana aku mencipta pelbagai kenangan manis bersama Haris. Aku tidak tahu sama ada aku mampu melupakan setiap memori itu suatu hari nanti ataupun tidak. Tapi aku sedia mencuba. Apa yang berlaku ini benar-benar membuatkan aku tertanya-tanya, adakah dia benar-benar pernah mencintaiku seperti yang kerap dia lafazkan dulu. Ataupun kata cintanya hanyalah sekadar mainan katanya, tanpa rasa.

             Perilaku dan sikap acuh tak acuhnya padaku semenjak kemunculan semula Bia Natasha sudah cukup untuk menggambarkan siapa pemilik sebenar hatinya. Sebagai wanita bermaruah dan punya harga diri, aku rela mengalah. Aku mengalah bukan kerana aku kalah, tapi kerana aku tahu aku berhak mendapat kehidupan yang lebih baik. Apa gunanya masih di sini, jika ia bermakna mengemis kasih kepada yang tidak sudi. Itu pasti lebih menyiksakan. Aku tidak sekuat itu. Tiga minggu yang berlalu ini sudah cukup untuk menyedarkan aku tentang hari-hari yang lebih menyakitkan bakal aku lalui jika memilih untuk terus di sini. Aku tidak ingin terus melalui hari-hari yang gelap itu. Aku yakin aku boleh mencipta kebahagian sendiri di luar sana. Apa yang kulalui hari ini akan kujadikan pengalaman untuk membuat pilihan yang lebih baik dikemudian hari. Kata orang, pengalaman bisa mendewasakan.

              Dulu mungkin ya, aku tidak menolak ketika dia menyatakan hasratnya untuk bersamaku, melamarku menjadi suri hatinya. Mana mungkin aku menolak. Reia yang dulu terlalu mentah. Terlalu dimanjakan sehingga berfikir bahawa setiap yang diimpikan pasti dengan mudah dapat dicapai. Apa yang perlu kulakukan hanyalah meminta dan segala yang kuinginkan pasti akan ditunaikan. Dan ya, dulu impianku hanyalah satu. Iaitu untuk menjadi isterinya. Paling penting, ketika itu tiada Bia Natasha. Satu-satunya saingan yang padaku tak mungkin mampu untuk aku tandingi. Namun kini, aku sedar. Tiada yang mudah di dunia ini. Impianku untuk hidup bahagia selamanya dengan Haris tak mungkin tercapai. Hatinya bukan untukku lagi. Aku sedar impianku itu hanya akan terlaksana jika Haris juga sanggup bersama-sama melakar bahagia itu bersamaku. Tak mungkin aku tega memaksa dia untuk terus berusaha jika semangatnya sudah berpindah ke lain hati.

              Cukup menyedihkan juga mengingati bagaimana aku berusaha menafikan kemungkinan Haris curang padaku beberapa hari yang lepas. Bagaimana aku masih menyimpan harapan bahawa Bia mungkin hanya mereka-reka cerita. Bagaimana aku masih berharap Haris akan menafikan semuanya. Namun, setelah melihat sendiri kegembiraan yang mereka pamerkan di restoran tempoh hari, mataku akhirnya terbuka. Aku akhirnya sedar aku hanyalah bermimpi di siang hari. Ternyata cinta mereka tidak pernah putus. Cinta mereka hanya diuji. Takdir telah menemukan cinta mereka kembali. Dan ya, aku pasrah dan redha cerita cintaku bersamanya sekali lagi menemui noktahnya. Sekali lagi aku dikalahkan oleh saingan yang sama. Saingan bernama Bia Natasha.

             Walau pahit untukku telan, aku yakin inilah keputusan paling matang pernah aku buat. Pasti sukar untuk Haris percaya. Aku, wanita yang pernah bergelar isterinya. Wanita yang dulu pernah dia labelkan sebagai anak manja, mampu membuat keputusan sedrastik ini. Aku ingat lagi sebab kenapa dia gemar memanggilku ‘Baby’. Bukan sahaja kerana itu panggilan manjanya untukku, tetapi juga kerana dia merasakan perangaiku yang kadang-kadang terlalu manja dan kebudak-budakkan. Panggilan yang pada mulanya membuatkan rasa kurang senang di hatiku. Panggilan yang menunjukkan dia tidak pernah mempunyai perasaan romantis terhadap aku seperti yang kuharapkan. Namun setelah bergelar isterinya, itulah panggilan yang paling aku tunggu-tunggu. Panggilan yang sering membuatkan hatiku berbunga. Tapi kini, aku yakin aku hanya mampu bermimpi untuk mendengar panggilan itu lagi. Itupun jika dia masih sudi bertamu dalam mimpiku.

             Aku sendiri juga hampir tidak percaya yang aku mampu membuat keputusan ini. Dulu, matlamatku hanyalah satu. Iaitu untuk memiliki Haris. Aku cukup percaya yang cintaku yang terlalu dalam padanya sudah cukup untuk menawan hatinya untuk selamanya. Namun aku silap, aku tidak sedar rupanya ia tidaklah semudah itu. Aku menutup mata tentang kebarangkalian yang bakal muncul dikemudian hari. Tentang pentingnya kedua-dua belah pihak haruslah mempunyai rasa yang sama untuk kekal bahagia selamanya. Kata orang bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Aku akhirnya sedar akan hakikat itu, walaupun kini sudah terlambat. Namun bagiku, lebih baik terlambat daripada semuanya dibiarkan melarat. Kata orang, jika kita mencintai seseorang, kita pasti mahu melihat dia bahagia. Dan ya aku ingin dia bahagia, walaupun bukan denganku. Aku tahu dan yakin inilah keputusan yang terbaik. Terbaik untuk aku, Haris dan Bia. Agar kemelut yang melanda ini sampai ke penghujungnya. Agar dia bahagia dan bebas bersama dengan insan yang dia benar-benar cintai tanpa perlu terus membuatkan aku terluka.

            Sebelum aku kembali menjadi pengecut, pantas aku mengapai pen berdakwat pink di atas meja. Pen kegemaranku. ‘Pink warna untuk budak manja’  komen Haris waktu pertama kali melihat aku menulis nota menggunakan pen berdakwat pink ketika di pejabatnya dulu. Masih jelas bagaimana aku mencebik setelah mendengar komen itu. ‘My point exactly’. Tambahnya sambil mengeleng-gelengkan kepala. Sekurang-kurangnya bila dia membaca nota ini nanti, mungkin akan mengembalikan sedikit memorinya padaku.

 

Haris,

Maaf tak tunggu you to do this. Yes, I admit I’m a coward. But I love you enough to let you go. I tau apa yang jadi. She told me what happened and I see enough to know where I stand in your heart. It hurt to know that I meant so little to you. Tapi I tahu semuanya akan lebih menyakitkan jika I stay dan panjangkan benda ni. Jadi I rasa dah sampai masanya kita berpisah. I janji, I okay kalau you kembali padanya. Just know that I don’t blame you. If you need me to talk to Ibu, I will. Let me know, okay. Thank you sebab sentiasa sabar layan I selama kita bersama. Thank you juga untuk semua memori indah yang you bantu I bina. But I guess it end here. I wish you all the happiness in the world. This is my goodbye to you. Let me know when to meet up and end this properly. 


Sincerely, Reia Ellana.


              Lama aku menatap nota ringkas itu. Memastikan semua yang inginku sampaikan sudah tertulis di dalamnya. Yakin dengan keputusanku. Aku tahu itu yang Haris inginkan. Cuma dia mungkin sedang mencari waktu yang tepat untuk menyuarakan padaku. Membiarkan dia mencari waktu yang tepat, bermaksud aku harus melalui lagi hari yang menyiksakan ini. Dan aku tidak inginkan itu. Cincin yang selama ini menghiasi jari manisku perlahan kutanggalkan. Mudah, seolah ia setuju dengan nasibnya. Mungkin dia tahu dia tidak akan berkhidmat lama untukku. Hatiku menangis, namun aku lega. Aku tidak ingin terus hanya menjadi persinggahan. Aku tahu aku layak menjadi pilihan pertama. Aku redha aku bukanlah pilihan pertama Haris. Membuat keputusan sendiri tanpa pengetahuannya mungkin tindakan seorang pengecut, namun aku tekad. Aku pasti jika dia ada di depanku, pasti ia lebih sukar. Pasti lebih susah mengucapkan selamat tinggal padanya kerana untuk hidup bersamanya adalah impian utamaku selama ini.

              Aku tidak menyesal bersamanya dulu. Sekurang-kurangnya ia menyedarkan aku tentang realiti hidup. Sekurang-kurangnya aku berpeluang merasai nikmat kehidupan bersamanya, walaupun hanya untuk seketika. Menyedarkan aku bahawa tiada bahagia yang kekal selamanya. Hidup ini adalah pilihan. Kita sendiri yang memilih apa yang ingin kita jalani dan cara kita menjalaninya. Setiap pilihan kita, pasti ada risikonya tersendiri. Hari ini aku telah memilih untuk membuat pilihan yang baru. Pilihan yang pastinya akan mengubah hidupku. Yang pasti, kali ini tanpa dia di sisi.

Ready?” Soal Hana yang sedari tadi hanya memerhati. Memberi peluang kepadaku untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rumah indah dua tingkat yang telah menjadi syurgaku hampir setahun ini. Terlalu banyak memori manis yang aku kongsikan bersama Haris di rumah ini. Inginku semat semuanya kemas-kemas dalam ingatan. Akan kusimpan rapi dalam diri. Kenangan yang pastinya akan sirna selepas beberapa ketika. Namun buat masa ini, aku ingin berpaut pada kenangan itu buat seketika. Sehingga aku mempunyai kekuatan untuk turut mengucapkan selamat tinggal pada kenangan-kenangan itu. Atau mungkin selepas aku mampu mencipta kenangan-kenangan baru yang lebih indah daripada apa yang ada kini.

“Yup..jom.” Ucapku ringkas. Beg luggage berisi pakaian dan barangan peribadiku itu kutarik keluar. Hanya sebuah beg untuk kali ini. Selebihnya telahku masukkan ke dalam kotak dan dengan bantuan Hana kualihkan ke dalam bilik stor. Aku berkira akan datang semula mengambil semuanya selepas pulang dari percutian ini nanti. Selepas aku menjadi lebih kuat untuk mendepani semuanya. Mungkin ketika itu aku juga sudah cukup kuat untuk bertemu Haris dan menyelesaikan semua ini secara bersemuka.

“Hana..thank you.” Tambahku lagi.

“Anytime.” Ujarnya sambil tersenyum. “You, my friend, are one beautiful, strong lady. I’m sorry this happened to you. But you know what? You deserve much better. So much better. Satu hari nanti, Haris akan sedar apa yang dia dah hilang. I can already imagine how miserable he will be by that time. I akan jadi orang pertama yang akan ketawa bila itu terjadi.” Katanya bersungguh sambil merenungku. Memastikan aku tahu dia ikhlas mengucapkannya. “Jom, teksi dah tunggu tu.” Ajaknya dan itulah yang kami lakukan. Masing-masing memasukkan luggage ke dalam bonet teksi sebelum teksi itu membawa kami ke lapangan terbang. Aku yakin ini pilihan terbaik.

“Thanks. You always know what to say to cheer me up.” Ucapku terharu. Benar-benar memaksudkannya.

 “I mean it, Reia. I tak cakap sekadar untuk buat you happy.” Jawabnya sambil merenungku. Aku hanya mampu mengangguk kecil. “I akan pastikan you jumpa seseorang yang lebih layak untuk you. Just you wait.” Ucapnya yakin, menerbitkan sedikit senyum di hujung bibirku. Aku pasti, mencari penganti bukanlah agendaku buat masa ini, namun aku membiarkan kata-kata Hana itu tidak berjawab. Hana, tanpa dia mungkin aku akan hilang arah. Aku memegang tangannya erat, memastikan dia tahu aku sangat bersyukur dia ada di sisiku ketika itu.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cherish Aleyya