Home Novel Cinta Crush Aku Mr Chicano
Crush Aku Mr Chicano
Batiah Hadi
31/1/2019 17:39:40
34,980
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 6

Eva ke Reid Park seawal 7.00 pagi untuk membuat persediaan tempat sebelum majlis barbeku pelajar-pelajar senior yang akan bermula pada pukul 10.00 pagi. Dia dihantar oleh Kak Hawa yang sering menguruskan katering di situ.

Sementara itu, Eva menyalakan api di barbeque pit supaya nanti bila mereka sampai sekurang-kurangnya mereka sudah boleh mula membakar ayam, daging dan juga sosej. Dalam udara musim bunga yang agak sejuk juga, makanan cepat sejuk jadi mesti pastikan elok-elok saja masanya supaya yang dibarbeku masih hangat untuk dimakan. 

Sedang asyik Eva menjalankan tugasnya membakar  tiba-tiba Mira mencuitnya.  

“Eva… tu Bro Emir Sirhan tu. Dia pun hadir majlis ni jugak ke?” soal Mira. Mulutnya dimuncungkan ke arah seorang lelaki segak memakai baju kemeja lengan panjang dan jeans. Tak pernah tak kemas dan berketerampilan. Mungkin dia memang dilahirkan begitu. Sentiasa ada stail tersendiri. Apa sahaja yang dipakai nampak elok terletak. Seolah-olah setiap pakaian yang dipakai tercipta untuknya. 

Eva memerhati lagi lelaki itu yang sedang berbual santai dengan rakan-rakannya. Dia memang tampak menarik. Sukar untuk Eva menoleh ke tempat lain. Orang lain tidak memberikan kesan sebegitu padanya. Entah kenapa lelaki itu nampak terlalu sempurna di mata Eva sehingga mengatasi cacat cela yang mungkin ada. 

Sejak peristiwa di dewan kecil setahun beberapa bulan yang lalu, Eva selalu mengelak daripada berjumpa lelaki itu. Tapi, tidak dalam majlis itu. Dia sudah  beberapa bulan menjadi pekerja Kak Hawa dan khidmatnya diperlukan saat itu untuk menguruskan jamuan. Takkan disebabkan Emir, dia menolak kerja itu. Pasti Kak Hawa rasa pelik.

“Yalah… dia kan orang penting dalam persatuan ni,” jawab Eva bersahaja. 

Emir masih lagi memegang jawatan presiden. Jadi, memang dia sudah maklum lelaki itu akan datang. Sejak dia terima kerja itu lagi. Kerja jadi pembantu untuk katering yang dimiliki oleh Kak Hawa yang telah menetap lima tahun di situ. Sejak Eva datang, dia sudah mula bekerja dengan Kak Hawa. Disebabkan dia cepat belajar dan rajin maka Eva boleh menguruskan majlis dengan beberapa rakan seperti Mira dengan sedikit pantauan sahaja daripada Kak Hawa. 

Contohnya hari itu, Kak Hawa dan suaminya hanya datang hantar barang dan peralatan. Manakala yang lain-lain Eva akan uruskan. Malah, Kak Hawa boleh lepas tangan sahaja. Semua Eva akan siapkan. Eva seronok kerana setiap kerja dia akan dapat bayaran yang agak lumayan. Dapatlah dia hantar sedikit wang kepada pak cik dan mak ciknya di kampung dan menyimpan dalam tabung travelnya. 

Sara hidupnya pula ditanggung oleh biasiswa dari syarikat swasta kerana keputusannya yang baik sewaktu di kolej dahulu. Bukannya tidak cukup, tapi Eva memang suka buat sesuatu bila ada masa terluang. Dia sudah terbiasa sewaktu di Malaysia lagi. 

“Sentiasa handsome, kan? Baju kemeja tu elok je terletak kat badan dia yang sado tu. Sukanya aku,” ujar Mira dengan gaya menggedik. 

Eva ketawa kecil. Biasalah. Bukan Mira sahaja yang ada crush dengan Emir Sirhan. Eva pernah mendengar bisikan gadis-gadis lain apabila Emir Sirhan lalu di hadapan mereka. Itulah sebabnya lelaki itu hanya layak jadi crush, tapi bukan diidamkan sebagai teman lelaki dan seseorang yang lebih serius. 

Lagipun siapa sanggup berlawan dengan satu-satunya teman wanita azali Emir Sirhan iaitu Kak Lisa yang juga super gojes tahap Asian Next Top Model. Emir Sirhan hanya halwa mata. Tak lebih daripada itu. Hanya anganan dan mimpi seperti apabila melihat mana-mana hero kacak dalam filem atau drama bersiri cinta. Satu fantasi bukan realiti. Lagipun apa yang berlaku beberapa bulan lalu buat Eva serik. Tak sanggup dia melalui tekanan daripada senior-senior lagi.

“Memanglah handsome. Tapi macam yang aku cakap sebelum ni, handsome to look at tapi hanya boleh tengok. Orang punya tu, Mira,” ujar Eva mengingatkan. 

“Hmm… yalah. Aku tahu. Dia dan Kak Lisa tu couple item. Sesuailah dia orang berdua. Sama padan. Kalau dengan kita mesti macam dibelah kapak, kan?”

“Lebih daripada tu, Mira. Maka sedar-sedarlah diri tu ya? Jadi crush sajalah. Tak boleh lebih-lebih. Bahaya,” nasihat Eva sambil ketawa kecil. 

Teringat dia ugutan Lisa. Rasa pijar di pipi masih terasa-rasa. Dua, tiga hari juga baru hilang. Tapi, sakit hatinya masih bersisa hingga kini.

“Tapi… Kak Lisa tu mekap aje lebih. Kalau aku ni dimekapkan, mesti lagi cantiklah,” puji Mira sendiri. 

Eva ketawa.

“Kau merepek apa ni, Mira? Nak bergaduh tarik rambut dengan Kak Lisa ke? Silap hari bulan, kita kena pulau nanti. Atau kena langgar lari. Dia tu senior berpengaruh. Cukuplah dengan apa yang aku hadapi. Seriklah kena kecam. Berbulan jugak baru orang lupa,” luah Eva. 

Mata Mira masih pada Emir.

“Dahlah… jom kerja. Terbakar pulak daging ni karang,” ajak Eva.

“Aku sebenarnya tak suka bakar-bakar daging ni. Kenapa kau ajak aku? Habis tudung dan baju aku bau asap tau,” rungut Mira sambil mencium hujung selendangnya.

“Konon… semalam kau juga yang beria-ia nak. Tak mahu bosan kat rumah. Dah sampai sini tak mahu kerja pulak. Cuba fikir macam ni... Lepas ni kita dapat makan sekali dan dapat duit poket. Boleh kita simpan untuk travel cuti hujung semester Fall nanti. Aku ingat nak konvoi ke Niagara Falls dan Boston.”

“Betul jugak ya. Selain dapat duit travel dapat juga cuci mata tengok Abang Emir tu. Lain kali beritahu awal-awal kalau Emir ada. Dari hari pertama kita datang sini lagi, dia memang sangat mendebarkan. Perfect guy for me,” kata Mira seperti berangan.

“Perfect crush. Kau ni Mira, tak habis-habis,” rungut Eva.

“Alah, bukan aku aje. Kau tu pun sama minat kat dia, kan? Aku bukan tak tahu,” duga Mira dengan senyuman nakal. Matanya melirik pada Eva. 

Eva menjuihkan bibir.

“Eh… mana ada?” Tangannya laju mengipas barbeku itu.

Mira mencemik.

“Tak mahu mengaku pulak. Dia pun sejak tadi tertoleh-toleh pada Abang Emir tu,” tuduh Mira. 

Bulat mata Eva.

“Hisy, kau ni… halusinasi betul!” marah Eva. Muncung mulutnya.

“We will see. Aku yang berhalusinasi atau kau pun syok kat oppa sorang tu. Mengaku sajalah. Siapa yang tak minat Abang Emir tu memang pelik. Itu spesies lelaki Melayu paling perfect tahu tak?” ujar Mira.

“Ya ke? Dahlah. Berhentilah berangan. Sekarang ni, kita ada kerja nak buat. Nanti kalau barbeku ni tak siap dan rentung kita jugak yang kena marah nanti,” suruh Eva. 

Mira mencemik. Lama Eva tidak berjumpa Emir. Kalau berjumpa pun dalam mesyuarat persatuan pelajar. Hari itu bila nampak kelibatnya, hati terasa libang-libu pula. Eva hanya mampu berdoa supaya lelaki itu tidak menghampirinya. Sementelah, Lisa pun ada bersama. Tak sanggup dia hadapi penampar Lisa lagi. Cukup-cukuplah. Dia hanya mahu habiskan pengajiannya di situ dengan tenang.


Previous: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.