Home Novel Cinta Crush Aku Mr Chicano
Crush Aku Mr Chicano
Batiah Hadi
31/1/2019 17:39:40
34,976
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 2

EVA dan Mira mencari tempat duduk kosong di sekitar balai ketibaan itu sambil menunggu masa untuk mereka dibawa ke hotel. Apabila jumpa dua tempat duduk kosong, mereka melabuhkan punggung. Kemudian, mereka berdua berbual-bual sambil memerhatikan orang ramai yang lalu-lalang di sekitar balai itu. 

“Aku rasa Khidir tu minat kat kaulah, Mira,” ujar Eva tiba-tiba. Memang sejak tadi gelagat Mira dan Khidir mencuit hatinya.

“Ah, tak kuasa aku! Khidir tu friend zone tau tak. Perasaan aku kosong, tawar, hambar. Lagipun aku tak percaya Khidir tu. Kau pun dia nak tackle juga tadi. Boleh kau percaya keikhlasan dia tu?” luah Mira dengan mimik muka bersungguh.

“Khidir kan suka main-main macam tu,” ujar Eva. 

Mira mengangkat tangan dengan muka bosan.

“Eva, please… no Khidir. Dia bukan stok untuk dibuat serius. Sekarang, aku nak spot makhluk handsome aje kat airport LA ni. Kau ada nampak pelakon ke, selebriti ke kat sini? Pelakon Hollywood mesti turun kat sini, kan? LA you know! Mesti kacak semuanya,” ujar Mira dengan matanya meliar ke seluruh ruang ketibaan itu dengan gaya-gaya sekali. 

Eva ketawa.

“Kau ni over tau, Mira. Setakat ni, aku tak nampak lagi yang handsome. Tak macam hero-hero yang kita nampak dalam movie tu pun. Semuanya muka biasa-biasa saja,” ujar Eva terus terang.

“Mata kau memang kelabu. Itulah sebabnya tak nampak apa-apa,” ujar Mira.

“Tapi, tengok warna rambut mereka ni, menarik! Macam-macam. Ada kuning, merah, coklat sama macam mata dia orang juga. Memang cantik. Mungkin juga sebab kulit, rambut dan mata mereka itulah nampak menarik semua,” ujar Eva lagi.

Betul juga. Tapi, cuba tengok lelaki yang pakai jaket putih dan spek hitam tu. Kau rasa dia handsome tak? Itu bukan mat saleh tu. Kulit Asia. Orang Asia kat sini pun  handsome juga ya. Mungkin juga kacukan?” ujar Mira merujuk kepada seorang lelaki berjaket putih dan berseluar jean hitam. Nampak sangat bergaya dengan rambut hitam yang pendek dan kemas dengan stail terkini. 

Orangnya tinggi dan tegap. Dari tepi, hidung lelaki itu nampak mancung dengan keningnya yang tebal. Dia membuka kaca mata hitamnya dan kini sedang membaca sebuah buku di kerusi menunggu di balai ketibaan itu. Macho, tapi baca buku. Kombinasi yang sangat menarik. 

Eva memerhati seketika. Menganalisis. Hanya ada satu beg sandang. Entah dari mana hendak ke mana. Tapi bukan dari tempat yang jauh kalau hanya membawa satu beg begitu, desis hati Eva.

“Itu? Yang pakai jaket putih tu ke?” soal Eva kembali.

Mira mengangguk.

“Handsome, kan?” soal Mira inginkan persetujuan.

Eva merenung seketika. Sekarang, lelaki itu meletakkan bukunya ke tepi dan kemudian memakai kaca mata hitam semula. Nampak sangat bergaya.

“Bolehlah,” ujar Eva sengaja tidak mahu mengakui sedangkan hatinya sudah berdebar kuat.

Bila dia memandang lagi, lelaki itu turut memandangnya. Eva tersentak. Mukanya terus merah kerana tertangkap begitu. Pantas, dia mengalihkan wajah. Dia kembali memandang wajah Mira. Tak mahu lelaki itu terperasan pula yang sejak tadi dia memerhatikan lelaki itu. 

“Aku rasa dia ni Mat Chicano. Mat Chicano ni orang kata, boleh tahan juga handsome tau,” ujar Mira yang selalu ke hadapan dalam perkara seperti itu. Namun, sampai sekarang Mira yang gedik itu tidak ada teman lelaki pun. Sembang saja lebih.

“Chicano?” soal Eva hairan. Kali pertama dia mendengar istilah itu.

“Itu istilah untuk orang berdarah Mexico di sini. Juga disebut keturunan Hispanic. Mereka berbahasa Sepanyol. Rupa mereka ada iras orang Melayu. Kalau nak bezakan mereka biasanya senior buat-buat panggil nasi lemak atau belacan. Kalau menoleh dan tegur kita semula itu tandanya orang Melayu, tapi kalau dia tak menyahut maksudnya mereka tu Chicano. Ada faham?” terang Mira panjang lebar.

“Oh macam tu. Macam mana kau tahu ni?” soal Eva hairan.

“Alah, Kak Julie yang cerita kat WhatsApp hari tu. Aku dah selidik semua,” ujar Mira penuh yakin.

“Bukan main lagi kau ya, Mira? Siap bersedia dalam hal macam ni. You are unbelievable,” usik Eva. 

Mira ketawa.

“Eh, aku tak sengajalah. Kak Julie yang nak cerita. Eva… jomlah, kita cuba. Entah-entah Melayu?” pujuk Mira teruja.

“Mira, kita datang sini bukan nak cari lelaki tau. Kita datang nak belajar. Kalau Melayu mesti awal-awal lagi dia dah tegur kita. Dia kan boleh nampak kita berdua ni bertudung,” luah Eva.

“Eva, janganlah guna ayat skema macam tu. Memanglah kita datang nak belajar, tapi tak salah untuk cuci mata macam ni. Kalau nampak yang gojes takkan aku kena tutup mata? Kau tak nampak lelaki tu gojes? Kau agak berapa ketinggian lelaki tu? Susahlah nak agak sebab dia duduk. Tapi memang nampak tinggi,” ujar Mira masih seperti berangan sahaja. Dia buat tak tahu pada kata-kata Eva yang terakhir. 

“Kau tak apa, Mira. Aku ni menumpang aje dengan pak cik dan mak cik aku, jadi aku nak fokus belajar dan tak hampakan mereka. Kalau aku kahwin cepat macam mana pulak mereka nanti?” kata Eva, tidak mempedulikan kata-kata Mira itu.

“Eh, janganlah keluar ayat sedih macam tu. Nanti banjir kat sini. Aku pun bukan orang senang. Tapi semua ni hanya untuk suka-suka. Sekarang, kau dah buat aku sedihlah. Aku tengah rindu mak dan bapak aku ni,” ujar Mira. 

Eva maklum yang Mira anak tunggal dan tinggal pula bersama ibu bapanya semasa di kolej dahulu. Hanya Mira yang tidak tinggal di asrama. 

“Aku pun sama. Homesick macam kat sekolah asrama pulak aku rasa sekarang ni,” akui Eva.

“Betullah. Jadi untuk hilangkan rasa tu, apa kata kita check mamat tu. Buat hilang rasa sedih. Melayu atau Chicano?” kata Mira masih tidak berganjak daripada niat asalnya tadi. Wajahnya bersinar nakal.

“Kaulah pergi check. Aku tak mahu terlibat dalam kerja gila ni. Tapi, aku agak Chicano sebab kalau Melayu mesti dia dah tegur kita.”

“Kerja gila? Kau ni mulut, senang-senang aje kata gila. Tak apalah. Biar aku pergi seorang,” marah Mira, lantas menuju ke kiosk berdekatan sebelum berpusing semula ke arah Eva. 

Dari belakang lelaki itu, dia melaung perkataan nasi lemak dan belacan beberapa kali, tapi lelaki itu tidak menoleh pun. Mira membuat isyarat menggeleng. Sah, lelaki itu bukan Melayu! Mira kembali kepada Eva sambil tergelak-gelak.

“Kan aku dah cakap… bukan Melayu,” balas Eva sambil ketawa geli hati.

“Alah… baru aje nak berangan tau,” ujar Mira buat-buat muka hampa.

“Boleh lagi kalau kau nak berangan. Pergi tegur dan cakap, excuse me, sir… you look so handsome! Can I follow your Fb or Insta?” suruh Eva sambil ketawa kecil. Bergoyang kepalanya. 

Pada waktu itu, Eva perasan ada rambut yang terkeluar daripada tudungnya. Spontan Eva menyelitkan rambut yang terkeluar ke dalam tudung. Ketika itu juga matanya terlekat kepada lelaki itu yang juga sedang memandang padanya. Menyedari perkara itu, Eva segera menoleh ke arah Mira. Mira yang ketawa masih tidak perasan.

“Betul kata kau. Tapi, malu pulak aku nak buat macam tu. Aku tengok dari jauh ajelah,” ujar Mira. 

Eva hanya mengangguk. Gugup juga bila dirinya diperhatikan pula. 

“Eh… aku rasa lelaki tu tengah pandang kitalah,” ujar Mira tiba-tiba seraya memandang ke belakang untuk memastikan lelaki itu bukan memandang orang lain di belakang mereka.

Sungguh bagai dikata. Tiada sesiapa di belakang mereka. Kini, lelaki itu telah membuka kaca mata hitamnya. Sahih, lelaki itu sedang memandang ke arah mereka. Eva dan Mira berpandangan.

“Aku pun rasa macam tu. Aku nak ubah tempat duduk tau,” ujar Eva, lantas berubah tempat untuk tidak menghadap lelaki itu. 

“Eva… kau nak suruh aku hadap dia seorang ke?” marah Mira pula.

“Kalau kau cekal, apa salahnya? Aku nervous dia pandang-pandang macam tu. Aku rasa dia sengaja nak kenakan kita supaya kita rasa tak selesa,” ujar Eva.

“Tapi, dia bukan faham pun apa kita cakap. Mana dia tahu kita tengah tenung dia?” soal Mira semula.

“Dia kan ada mata. Dia perasanlah agaknya. Nak sangat tengok dia. Dia tengok kita balik. Padanlah muka kita,” balas Eva. 

“Kan… memang padanlah muka kita. Gigil pulak bila kena renung balik. Nasib dia Chicano. Taklah malu sangat,” ujar Mira akhirnya duduk di sebelah Eva membelakangkan lelaki itu. Tak sanggup pula dia menghadap seorang diri. 

Sesekali mereka menoleh. Lelaki itu masih memandang mereka. Kali ini sambil berpeluk tubuh. Tak senang duduk mereka dibuatnya. Tadi bukan main berani, tapi bila dipandang begitu masing-masing kecut perut. 

“Mira, habislah kita. Dia dok pandang dari tadi tau. Asal aku menoleh je, dia pandang. Entah-entah samseng Chicano tak?” ujar Eva risau.

“Aduhai, ngeri pulak bila fikir macam tu! Samseng daripada sindiket pemerdagangan manusia ke? Kau tahu ajelah cerita pasal wanita kena pikat untuk dijadikan keldai dadah tu,” balas Mira.

“Banyak cerita macam tu berlaku di airport. Lelaki handsome pikat wanita, kemudian terjebak. Kalau tengok cerita aksi atau thriller dari US, Mexico ni memang dipaparkan dengan masalah dadah dan juga jenayah-jenayah besar,” sambut Eva pula. 

Muka Mira sudah berubah gusar. Bagi menghilangkan rasa takut itu, mereka sengaja ke tempat Khidir dan Ben. 


Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.