Home Novel Cinta Crush Aku Mr Chicano
Crush Aku Mr Chicano
Batiah Hadi
31/1/2019 17:39:40
34,982
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 1

EVA Rose tersenyum lega. Dia dan rakan-rakan seperjuangannya baru saja keluar dari pesawat dan menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles yang kelima terbesar di dunia itu. Dia melempar pandangan ke sekitar balai ketibaan lapangan terbang itu. 

Kali pertama berada di bumi Amerika Syarikat pada usia 20 tahun pada bulan Disember 2014. Teringat penat lelah menghabiskan 2 tahun pertama dengan keputusan terbaik di sebuah kolej di Malaysia supaya dia dapat menyambung pengajian di negara itu. Betapa dia sangat bersyukur. Terasa bersemangat untuk memulakan sesi pengajiannya pada Januari 2015 selama dua tahun lagi di negara itu pula. 

Apakah tanggapan awalnya? Semuanya nampak asing. Daripada orang, sistem hinggalah susun atur balai ketibaan bahkan tong sampahnya. Bukanlah Eva jakun sangat, tetapi bagi seseorang yang belum pernah ke luar negara pengalaman seperti itu memang satu kelainan. 

Eva membetulkan jaket merah jambu yang dipakai sedondon dengan selendang berwarna krim. Cuaca musim dingin yang terasa mencengkam membuatkan pipi polos Eva kelihatan sedikit merah. Senada dengan bibirnya yang hanya dicalit lip gloss warna ceri. 

Eva tidak menyangka suhu begitu sejuk meskipun berada dalam ruang ketibaan dan bukannya di luar. Adakala giginya berlaga-laga. Jelas dia masih belum biasa dengan suhu dingin seperti itu.

Eva dan rakan-rakannya bertolak dari KLIA 18 jam yang lalu. Sekarang, dia berada di negara yang sering dipaparkan dalam TV dan media massa. Tak sabar rasanya untuk menyaksikan kehebatan negara itu yang dikagumi sejak kecil lagi. Dia pernah berharap untuk ke Korea, tapi malangnya tiada rezeki. Dia terpaksa berpuas hati dengan rezeki melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan esoknya terbang pula ke bumi Arizona, salah sebuah negeri di Amerika Syarikat yang bersebelahan dengan sempadan Mexico. 

Rakan-rakan yang lain akan ke seluruh pelosok negara Uncle Sam itu. Hanya dia, Mira dan dua pelajar lelaki iaitu Khidir dan Ben yang akan melanjutkan pelajaran di Universiti Arizona, Tucson, Arizona. 

Entah kenapa, rasa teruja dan bimbang datang serentak dalam jiwa Eva. Mana tak bimbang, dia sekarang berada beribu-ribu kilometer jauhnya dari tanah air. Mulai hari itu juga, dia perlu berdikari. Tidak lagi dimanjakan oleh mak ciknya, Puan Sabrina dan pak ciknya, Encik Malik yang telah menganggap dia seperti anak sendiri sejak kematian ibu bapanya. 

Dia mula teringat pada keletah comel dua orang adik sepupu kembarnya yang berusia 10 tahun, Leha dan Lily juga Ezzah, sepupu yang sebaya dengannya. Mereka berkawan baik sejak kecil dan bersekolah sama-sama dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah. Ezzah pula dapat melanjutkan pelajaran di UKM dalam bidang farmasi.

Saat itu, terselit rasa rindu kepada mereka yang datang menghantarnya di KLIA 18 jam yang lalu. Riuh seketika ruang menunggu dengan kehadiran mereka. Bila teringat mereka, Eva teringat azamnya. Sesungguhnya, Eva mahu belajar bersungguh-sungguh untuk membantu pak cik dan mak ciknya. Mereka telah banyak berhabis duit. Eva mahu kerja untuk membantu keluarga itu. Dia tahu pak ciknya bukan orang senang, tapi sanggup menggalas beban untuk menjaganya. 

Pak Cik Malik hanya pemilik kedai runcit di kampung. Menjual keperluan harian untuk penduduk kampung. Jadi, ramai orang mengenali pak cik dan mak ciknya. Namun, mereka selalu mengalami masalah kewangan disebabkan oleh saingan dari pasar raya berdekatan dan juga masalah segelintir penduduk kampung yang laju berhutang daripada membayar hutang. 

Eva memerhati ruang ketibaan yang kian sesak. Mereka sekarang menunggu untuk dibawa ke salah sebuah hotel di Los Angeles itu. Sana sini kelihatan pokok Krismas terhias indah dengan lampu dan manik menunjukkan penduduk tempatan sedang membuat persediaan untuk menghadapi Krismas dalam seminggu dua lagi. 

Mereka transit semalam di LA sebelum ke Tucson Arizona. Pelajar-pelajar lain juga sama sebelum mereka ke destinasi masing-masing di sekitar Amerika Syarikat. Tadi semasa mengambil beg masing-masing mereka dibantu oleh kakitangan dari Jabatan Penuntut Malaysia di LA. 

Di sebelahnya ada satu beg kabin dan satu beg besar beroda berwarna hitam. Tiba-tiba Mira rakan baiknya, menghampiri Eva dengan muka yang sangat teruja.

“Eva, syoknya!” ujarnya menggoyang lengan Eva seketika. 

“Kita dah kat USA ni. United States of America! LA. Kau rasa kita ada masa nak ke Beverly Hills tak? Hollywood ke?” sambung Mira teruja. 

Gadis kurus tinggi lampai berkaca mata itu membetulkan tudungnya yang senada dengan sweater biru yang dipakai. Dia dan Mira sudah lama berkawan baik. Dapat tempat belajar pun sama.

“Mira, sempat ke kita nak ronda-ronda?  Dahlah tempat ni kita tak biasa, transit pun semalam saja. Sedarlah diri sikit yang ini bukan Malaysia. Ini US tahu tak?” ujar Eva mengingatkan. Mira telah pun duduk di sebelahnya.

“Alah… sama je macam kat Malaysia. Kita naik Uber sajalah,” ujar Mira. Memang ketika mereka di kolej dulu, ke mana-mana mereka menggunakan perkhidmatan Uber walaupun Uber baru diperkenalkan di Malaysia pada Ogos 2014.

“Tanyalah Khidir dan Ben dulu. Mana tahu dia orang pun nak berjalan-jalan. Aku risau kalau kita berdua aje. Kalau kena kidnap macam mana? Negara besar macam ni kalau kita hilang bukan senang nak cari,” balas Eva masih risau.

“Betul jugak tu. Nanti aku panggil dia. Khidir!” panggil Mira sambil melambai kepada seorang lelaki berjaket biru gelap berambut ikal. 

Khidir menoleh, lantas berjalan ke arah mereka. Khidir rakan satu kursus dengan mereka dan juga akan ke Universiti Arizona.

“Hah, apahal panggil-panggil aku ni?” soal Khidir pura-pura sombong. Khidir memang selalu begitu.

“Amboi, Khidir! Sejak datang LA… kau jadi sombong ya?” tegur Mira tidak puas hati. 

Khidir buat tak endah pada Mira, tapi terus melemparkan senyumnya kepada Eva. Si cantik manis yang pendiam. 

“Hello, Eva! Apasal Eva nampak comel sangat hari ni? Jaket merah jambu tu memang sesuailah. You nampak sweet sangat,” ujar Khidir sambil mengenyitkan mata pada Eva. 

Eva tergelak sambil mengeleng. Sempat lagi Khidir mengurat dia.

“Khidir, kau jangan nak mengayat kawan baik aku pulak. Eva budak baik tau. Kau tak layak untuk Eva,” ujar Mira memberi amaran.

“Layak tak layak. Tak salah mencuba, kan? Hei, Mira! Kalau kau nak aku beri perhatian pada kau… lain kali panggil aku oppa mesti aku datang dengan rela hati. Kau tahu kan, Mira? Sarangheyo,” kata Khidir siap buat isyarat ‘love’ dengan dua tangannya. 

Dasar player! Tadi baru saja dia mengayat Eva. Sekarang beralih pada Mira pula. Eva tergelak lagi.

“Oppa apa? Sarangheyo? Sini US bukan Korea. Lagipun kau dengan aku memang pangkah. Eva dengan kau pun pangkah. No future. Arasto?” sambut Mira pura-pura marah.

“Aristo naik moto. Jual mahal betul kau ni, Mira, tapi nak minta tolong dengan aku jugak. Tak malu! Hah, kau panggil aku ni kenapa pulak? Tak nampak aku tengah ada urusan? Kacau daun aje,” jawab Khidir buat-buat marah.

“Berlagak! Tapi, kan... aku tahu oppa sorang ni mulut aje macam longkang, tapi baik hati. Mesti kau tak sampai hati nak buat tak tahu pada kami, kan?” pujuk Mira sambil mengerdipkan matanya. Mira buat muka comel.

“Huh, mulut manis kau ni bertebu sungguh! Apa kau nak?” soal Khidir mengalah.

“Oppa... kami cuma nak tanya, malam ni kau tak nak jalan-jalan ke? Pergi Hollywood ke, Beverly Hills ke? Jumpa Kardashian ke?” pujuk Mira sengaja mengeluarkan suara lemah-gemalai tiba-tiba.

“Menarik jugak tu. Aku minat Kardashian. Nanti aku bincang dengan Ben. Ben mesti nak pergi tu. Lagipun, mesti lapar malam-malam ni, kan? Kau rasa ada sate tak?” balas Khidir yang gila-gila. Sama dengan Mira.

“Banyaklah kau punya sate. Pergilah google apa makanan halal ada kat sini. Kau jangan pilih yang mahal-mahal. Asal kita boleh bayar dua tiga USD cukuplah. Okey, apa-apa kau WA aku ya,” pinta Mira. Kadar tukaran 1USD dengan ringgit Malaysia bukannya murah.

“Set!” jawab Khidir. Dia menghembus flying kiss kepada Mira yang buat muka. Khidir hanya ketawa dan terus kembali ke tempat rakan-rakannya tadi.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.