Home Novel Cinta DIA YANG KUCINTA
DIA YANG KUCINTA
Indah Hairani
28/12/2012 19:38:06
81,352
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 7

CHEMPAKA AMNAmenyelongkar beg sandangnya dengan wajah cemas kemudian dikeluarkan semua isinya. Ada sesuatu yang dicarinya. Sesuatu yang sangat penting. Tanpa semua itu segalanya akan terputus. Tangannya terhenti. Dan wajah Amna mula cemas. Dia memasukkan semula barang-barang yang baru dikeluar dan disepahkannya.

“Ya ALLAH..macam mana ni?” Rungutnya sambil melompat turun dari katilnya dengan wajah yang benar-benar cemas.

“Kenapalah bodoh sangat kau Amna.” Marah Amna pada diri sendiri. Geram Amna dengan kecuaian sendiri. Masakan dia boleh hilangkan sesuatu yang sangat penting dalam saat yang genting ini. Dia ingin menghubungi Kak Peah. Dia nak Kak Peah tahu dia selamat. Dia tahu hanya Kak Peah tempat Iman berpaut. Chempaka Amna juga tidak rela Iman bersedih dengan kehilangannya. Kesedihan Iman bererti kesedihannya biarpun dalam jarak jauh. Kata orang hanya jasad yang terpisah namun hatinya tetap satu. Chempaka Amna nak Iman tidak terus ditimpa malang. Dia sayangkan adik tunggalnya itu.

Chempaka Amna menyelak-nyelak pakaiannya sekali lagi. Dia tetap kecewa. Apa yang dicarinya tetap tidak ditemui.

“Kenapa puan?” Jururawat yang merawatnya sepanjang malam di hospital itu datang bila melihat dia gelisah.

“Cik ada terpandang telefon saya?” Soal Chempaka Amna sambil merenung jururawat yang telahpun berdiri di sebelahnya. Jururawat kelihatan melilau sekeliling kemudian memandang Amna dengan wajah berkerut dan mengeleng-ngeleng pantas.

“Entah-entahkan suami puan yang ambil tak?”Ujar jururawat itu lancar.

Chempaka merenung jururawat itu dengan perasaan geram dan tidak gembira.

Suami? Suami aku? Huh! Tak habis-habis dengan suami. Apa yang tak kenanya dengan jururawat ni? Rungut Chempaka Amna di dalam hatinya.

“Nak saya call suami puan? Kami boleh bantu.”Soal Jururawat itu lagi.

“Ermm..tak apa, tak apa terima kasih.” Balas Amna sebelum sempat jururawat itu mengajukan soalan lain. Chempaka Amna berdiri sejenak kemudian memandang sekeliling. Akhirnya mula melangkah dan sebelum tiba di pintu, namanya dipanggil sekali lagi oleh jururawat yang bertugas.

“Puan! Lupa saya. Maafkan saya, puan ambil ubat di kaunter.” Beritahu jururawat itu. Chempaka Amna hanya mengangguk. Ubat? Untuk apa ubat kalau untuk luka yang sedikit ini? Biarpun kesakitannya tetap dirasanya. Getusnya. Lagipun, semua tu tidak percuma.

“Suami saya dah bayarkan bil saya?” Soal Chempaka Amna lucu sambil menahan ngilu pada luka di kepala dan lengan.

“Belum puan, mungkin suami puan akan datang tengahari nanti.” Beritahu jururawat itu dengan dahi berkerut.

“Dia ada hubungi kami dan bertanya tentang puan. Bila puan dapat keluar. Masa dia calltu, doktor belum buat pemeriksaan kan, jadi kami beritahu suami puan, barangkali besok baru dapat keluar.” Tambah jururawat itu lagi. Panjang lebar penerangan jururawat itu untuk soalan yang pendek darinya. Chempaka Amna hanya tersenyum kelat mendengarnya.

“Terima kasih cik..”Ucapnya tiba-tiba.

“Sama-sama.” Jawab jururawat itu penuh sopan.

Chempaka Amna termenung sejenak. Dia harus meninggalkan hospital ini. Dia harus berikhtiar untuk sampai ke Kuala Lumpur sebelum malam. Paling tidak sebelum maghrib. Waktu malam di tempat asing tidak senang untuk dia mencari tempat berteduh. Masjid tempat selamat. Setaunya masjid ada ruang bagi orang musafir sepertinya. Kalau tidakpun di surau-surau stesen minyakpun boleh. Tapi, di tempat-tempat macam itu ramai bangla..Ya ALLAH…tolonglah Amna. Dia menghayun langkah dan keluar dari bilik itu ketika jururawat beredar dari situ.

Dengan langkah yang dipanjangkan, dia menuju ke perhentian bas di hadapan pintu masuk utama hospital itu. Matanya melilau. Tidak ada seorangpun menunggu kenderaan di situ. Barangkali semua orang miliki kenderaan sendiri. Tidak perlu khidmat bas atau teksi. Rungutnya sendiri sambil beberapa kali mengampu lengan yang berbalut. Beg yang berisi beberapa helai pakaian disandang kemas. Dia tidak ingin sebarang keciciran berlaku lagi. Keciciran telefon bimbit sudah tentu memberi masalah yang besar padanya di saat-saat genting begini.

“Aku harus ke mana?” bisik Amna sambil melabuh punggungnya dibangku. Tidak ada seorangpun yang ada di perhentian itu selain daripada diri sendiri. Barangkali semua penghuni di sekitar ini ada kenderaan masing-masing.

Chempaka Amna merenung lengannya yang berbalut kemudian dengan perlahan di tangannya meraba beg sandangnya mengharapkan keajaiban supaya telefon bimbitnya ada terselit di dalam beg yang disandangnya. Ternyata hampa. Wajah Chempaka Amna semakin teduh. Fikirannya mencari wajah Iman, adik kesayangannya datang menjenguk ingatannya. Ketika itu Mama Hanna mengamuk menggila. Kesilapannya hanya sedikit, Iman tertumpah minuman di meja makan. Wajah menyinga Mama Hanna membuat Chempaka Amna tersentak ketika kemarahan itu ditujukan pada Iman.

“ Buta! Makan elok-elok sikit tak boleh?”Marah Mama Hanna sambil membuntangkan mata. Chempaka Amna tersentak. Ketika itu dengan pantas dia bangkit dan memegang Iman. Iman menggigil. Hanya TUHAN yang tahu perasaan Iman. Namun apa kan daya, suara tajam Mama Hanna tidak langsung memberi peluang untuk dia mempertahankan Iman.

“Makin lama makin menyusahkan orang. Apalah nasib aku ni berlakikan lelaki mandul, tak ada anak sendiri, dipungutnya anak gelendangan.” Kata-kata Mama Hanna membuat Chempaka Amna terbungkam. Dia merenung tajam wajah Mama Hanna dengan wajah geram. Kemudian Chempaka Amna menoleh ke arah Iman yang mula menangis.

“Apa? Kau tak puas hati dengan aku?” Mama Hanna menjengilkan matanya. Chempaka Amna kembali menoleh ke wajah Mama Hanna. Sedaya upaya menentang mata itu. Dengan apa dia mendapat kekuatan. Kenyataannya Chempaka Amna telah berani melawan isteri papa tirinya itu.

“Mama Hanna, Amna tak pernah tidak berpuas hati, tapi kali ni Amna sangat marah mendengar mama menghina papa.” Balas Chempaka Amna tanpa sedikitpun gentar dengan manusia yang berhati syaitan itu. Wajah wanita garang itu berkerut dan semakin tajam merenung Chempaka Amna. Chempaka Amna sedia tahu selagi dibiarkan, selagi itu perempuan itu bertindak di luar norma-norma manusia waras.

“Owh? Kamu dah pandai melawan aku, Amna? Kamu sudah pandai melawan aku?” Jerkah Mama Hanna. Iman menarik tangan Chempaka Amna. Wajah adiknya kelihatan pucat.

“Amna tak melawan mama. Amna tak berniat nak melawan mama, tapi Amna tak suka mama cakap papa macam tu.” Chempaka Amna mempertahankan tindakannya.

“Akak, cukuplah tu. Cukuplah lawan mama.”Iman mencelah dengan suara yang sedikit gementar.

“Iman diam boleh tak?” Kemarahan Chempaka Amna beralih ke arah Iman. Iman mula menangis. Mama Hanna memandang ke arah Iman dengan wajah jengkel.

“Kau ni kenapa? Jangan kau nak manja-manja depan aku. Aku dah muak dengan kauorang berdua. Bila kauorang berdua nak mampus ni?” Jerit Mama Hanna seperti orang tidak siuman. Chempaka Amna merenung wajah itu dengan dada yang terhiris. Sanggup wanita itu mengeluarkan kata-kata begitu. Masih bencikan Mama Hanna pada dia dan Iman? Masih dendamkan Mama Hanna pada arwah ibu? Tidakkah ada sedikit rasa simpati melihat nasib malang dia dan Iman? Manusia apakah Mama Hanna. Tanpa sedar ketika itu airmata Chempaka Amna menuruni pipi dengan laju. Dia menyekanya tetapi airmata itu tetap meluncur. Wajah Mama Hanna ketika itu nampak berbalam. Dia yakin sekiranya Papa Khalid ada, sudah tentu mama Hanna tidak berani memaki hamun Chempaka Amna dan Iman sebegitu rupa. Chempaka Amna memejamkan matanya sejenak. Airmatanya semakin laju mengalir kemudian Chempaka Amna menarik tangan Iman.

“Mama! Sampai hati mama cakap pada adik Iman macam tu?”Ujarnya sambil masih menentang renungan Mama Hanna.

“Kau nak apa pada aku? Cakap pada aku? Aku bagi kamu berdua tumpang di rumah aku ni dah cukup baik! Jangan nak tunjuk kurang ajar pada aku.” Jerkah Mama Hanna memecah kesunyian rumah mewah itu. Chempaka Amna diam, bukan dia mengalah, tetapi dia memikir pesan ibu. Jangan kurang ajar dengan orang yang lebih tua. Kata-kata itu sentiasa melekat di ingatannya.

“Dik, mari kita masuk!” Ujar Chempaka Amna sambil memandang Iman dan kemudian beralih ke wajah Mama Hanna. Sekali lagi direnungnya wajah Mama Hanna. Mama Hanna memandangnya dengan pandangan tajam. Tiba-tiba Chempaka Amna menarik tangan Iman. Iman bangkit. Mama Hanna menjengil mata untuk kesekian kalinya, isteri papa tirinya itu berbuat demikian.

“Bila aku suruh kamu pergi? Aku belum selesai bercakap.” Jerkah Mama Hanna. Langkah mereka terhenti.

“Iman tak sihat mama. Iman demam.” Beritahu Chempaka Amna sambil tangannya memegang kemas pergelangan tangan Iman.

“Peduli apa aku! Duduk! Aku kata duduk.” Jerit Mama Hanna. Hendak tidak hendak Chempaka Amna menarik tangan Iman dan kembali duduk di kerusi.

“Kamu tahu? Anak aku sendiri tak tinggal dengan aku. Aku tak nak menyusahkan suami aku, alih-alih kauorang senang-senang menyusahkan aku.” Sambung Mama Hanna dengan wajah cengil. Chempaka Amna menjeling Iman di sebelahnya berharap Iman tidak lagi dihimpit ketakutan.

“Kauorang jangan nak mengada-ngada dengan laki aku.” Chempaka Amna tunduk mendengar amaran dari Mama Hanna. Dalam masa sama, hati Chempaka Amna sakit mendengar kata-kata itu. Zalimnya seorang Mama Hanna ini. Ternyata Mama Hanna tidak memiliki hati secantik wajahnya. Kulit yang melepak putih tidak bermakna hati Mama Hanna putih. Kenapalah Papa Khalid mengahwini perempuan sebejat ini. Setiap percakapan dan kata-kata Mama Hanna tajam menghiris hatinya. Chempaka Amna memandang Mama Hanna tidak berkelip tanpa dia sedar Iman telah tertepis gelas minuman yang penuh berisi sirap sejuk. Minuman itu mengalir lantas membasahi alas meja di depan mereka. Chempaka Amna tersentak mendengar Mama Hanna menjerit.

“Anak celaka kau! Kalau tak susahkan aku tak boleh ke?” Jerit Mama Hanna dengan wajah bertukar merah. Tangan Mama Hanna menempeleng kedua pipi Iman. Iman menjerit kesakitan. Chempaka Amna tersentak lantas terbangun.

“Mama! Apa ni? Kenapa pukul adik saya?”Jerit Chempaka Amna spontan.

“Apa? Kaupun buta? Kau tengok apa yang adik kau buat?” Jerkah Mama Hanna dengan wajah garang. Dada Chempaka Amna sekali lagi terhiris. Chempaka Amna memandang pada air yang tertumpah di atas meja. Cecair syrup mengalir kemudian jatuh ke lantai. Cepat-cepat Chempaka Amna mencapai beberapa helai tisu lantas menyapunya. Tiba-tiba Kak Peah datang dan langkah Kak Peah terhenti memandang ke arah mereka. Mama Hanna memandang Kak Peah dengan mata membuntang.

“Peah! Tengok budak-budak sial ni. Kamu tengok perangai diaorang. Agaknya macam ni perangai ibu mereka.” Jerit Mama Hanna sebaik melihat Kak Peah berdiri di depan mereka. Dengan pantas Kak Peah mendekatinya dan menarik lengan Iman.

“Saya dah tak kuasa nak pandang muka anak-anak sial ni.” Suara Mama Hanna tajam. Mama Hanna bangkit sambil menjeling tajam ke arahnya dan Iman. Bunyi kerusi ditarik membingitkan telinga.

“Kenapa ni Iman, Amna? Ya ALLAH. Kenapa kamu buat apa yang mama kamu tak suka.” Wajah Kak Peah cemas sambil tunduk memandang ke wajah Iman yang teresak.

“Amna, kenapa dik?” Soal Kak Peah terus mengalih pandangan ke wajahnya. Dia tunduk menahan airmata dari tumpah. Dia tidak mahu Iman tahu dia turut terluka dengan perkataan dan perbuatan Mama Hanna.

“Adik tumpahkan air Kak Peah.” Beritahu Chempaka Amna antara dengar dengan tidak. Namun Kak Peah tetap mengangguk-angguk.

“Laaa…itu rupanya. Kan adik tak nampak…Tak apa, tak apa Amna bawak adik masuk bilik biar Kak Peah yang bersihkan.” Pujuk wanita baik itu dengan lembut.

“Terima kasih Kak Peah.”

“Sama-sama.” Balas Kak Peah sambil merenung ke arahnya. Dia teresak.

Pong! Bunyi hon membuat Chempaka Amna tersentak. Dengan pantas dia mengangkat wajahnya. Sebuah teksi berhenti. Pemandu menurunkan cermin tingkap. Seorang lelaki Cina memandang ke arahnya sambil mengangkat kening.

“Mahu ke mana?” Tanya lelaki Cina itu lantang. Chempaka Amna teragak-agak memandang ke wajah itu.

“Mahu ke mana?” Chempaka Amna pula bertanya tanpa menjawab soalan dari lelaki Cina itu. lelaki Cina itu mengeleng-eleng kepala.

“Hari sudah mau malam maa..bahaya di sini sorang-sorang. Cakap saja, saya boleh hantar.” Balas pemandu berbangsa Cina itu dengan wajah bersungguh. Chempaka Amna bangkit dari bangku dan melangkah ke teksi di depannya itu.

“Saya nak ke Kuala Lumpur, boleh?” Soal Chempaka Amna tidak mengharapkan jawapan positif daripada lelaki Cina itu. Dia tahu duit yang ada dalam dompetnya barangkali tidak memadai untuk membayar tambang teksi untuk ke Kuala Lumpur.

“Boleh…boleh..” Jawab lelaki itu sambil memberi isyarat supaya Chempakan Amna masuk. Dengan penuh hati-hati dia menarik daun pintu teksi lantas menghenyakkan punggungnya. Teksi bergerak. Chempaka Amna terdiam di tempat duduk belakang sambil dalam hatinya jenuh berdoa memohon ALLAH selamatkan perjalanan dan lindungi dia dari sebarang perbuatan jahat lelaki itu. Chempaka Amna merenung lelaki China itu dari belakang.

“Kemas dan bersih. …”Bisik Chempaka dengan sedikit tenang.

“Kenapa? Kenapa dan kepala awak?” Soal pemandu teksi itu tiba-tiba. Chempaka Amna teragak-agak.

“Kemalangan kecil encik.” Jawab Chempaka dengan sopan.

Lelaki itu tertawa kecil. Chempaka Amna menjeling. Kurang senang mendengar ketawa lelaki itu.

“Ohya, nama saya Patrick. Siapa nama awak?” Soal lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Patrik itu tidak dijawab Chempaka Amna. Ada rasa kurang senang di hati Chempaka Amna. Dia tidak biasa melayani orang yang tidak dikenalinya, Papa Khalid selalu mengingatkannya, hari ini ramai orang berhati binatang.

“Panggil saya apa saja. Tapi kawan-kawan panggil saya Pat atau Patrick saja.” Sambung lelaki itu. Chempaka Amna masih mendiamkan diri namun sempat dia menjeling ke arah lelaki itu. Lelaki itu menoleh ke arahnya.

“Untuk pengetahuan awak, saya bukan pemandu teksi…”Dada Chempaka Amna berdebar. Kalau bukan pemandu teksi ni siapa? Penculik teksi? Eh! Pencuri? Jerit hati Chempaka Amna.

“Teksi ni kepunyaan ayah saya. Kereta ni kemalangan selama hampir sebulan di bengkel. Sekarang baru siap.” Beritahu Patrick tanpa diminta. Dia masih terdiam. Kedengaran hanya bunyi enjin kenderaan itu sambil sekali sekala kendengaran hon kenderaan lain dibunyikan.

“Nama saya Chempaka Amna.” Beritahu Chempaka Amna tiba-tiba. Lelaki itu menoleh kemudian tersenyum. Chempaka Amna menjeling. Kenapa lelaki Cina ni tersenyum? Pelik sangat ke nama aku? Getus Chempaka Amna sendirian.

“Cantik nama awak. Orang Melayu suka juga bunga.” Ujar lelaki itu lagi.

“Terima kasih.” Jawab Chempaka Amna bersahaja. Chempaka Amna melilau ke luar tingkap kenderaan. Hari sudah hampir gelap. Patrick mula menyalakan lampu kendengarannya. Ini bermakna hari sudah hampir malam. Chempaka Amna mula gelisah. Beberapa kali dia menjeling ke arah jarum jam di depannya itu. Pemandu teksi itu juga terdiam. Chempaka Amna membetulkan duduknya dan menyadar di badannya di kusyen. Sesekali terasa ngilu pada lukanya pada kepala dan lengannya. Perut mula terasa pedih. Dia mula sedar, dia hanya menyentuh makanan di hospital pagi tadi. Chempaka Amna mengerutkan wajahnya tanpa disedarinya, Patrik memerhatikannya dari cermin atas lelaki itu. Chempaka Amna memejamkan matanya cuba menahan ketidakselesan perutnya. Kedengaran muzik perlahan dari cakra teksi itu. Akhirnya dia terlelap. Dia tidak tahu berapa lama dia terlelap, namun ketika matanya dibuka, sekelilingnya kelihatan gemerlapan lampu-lampu dan bangunan-bangunan tinggi. Dia mengelip-ngelip kedua matanya. Dia yakin kenderaan yang dinaikinya telahpun berada di kotaraya Kuala Lumpur. Dadanya berdebar. Ke mana harus ditujunya. Di mana harus dia bermalam? Dia memandang ke arah lelaki di depannya itu. Siapa nama lelaki ni? Laa..kenapa lupa pulak ni? Ya ALLAH Amna…apa kau ni? Marahnya pada diri sendiri lantas mengetuk-ngetuk kepala sebagaimaa yang sering dilakukannya bila setiap kali terlupa terhadap sesuatu perkara.

“Ouch!!!” jeritan terluncur dari bibirnya.

“Kenapa? Kenapa Cik?” Tanya lelaki itu pantas. Chempaka Amna menggeleng-eleng menahan ngilu dan bisa pada bahagian lukanya. Dia mengerut wajahnya berusaha untuk mengingatkan kembali nama lelaki itu.

“Apek! Kita di mana ni?” Soal Chempaka Amna tiba-tiba. Sudah terlupa, apa lagi panggilan yang dia tahu, kecuali ‘apek’. Masa kecil-kecil dulu dia selalu panggil orang Cina dengan panggilan itu. Lelaki itu terbatuk beberapa kali.

“Ohya..ya. Lupa saya mahu beritahu cik tadi. Nampak cik nyenyak sangat. Kita baru masuk Kuala Lumpur ni cik…”

“Amna. Panggil saya Amna.” Jawab Chempaka Amna sambil memandang di sekeliling. Terlalu asing dan banyak berubah. Bisik hati kecilnya. Dulu masa mula-mula ibu berkahwin dengan Papa Khalid, dia dan Iman pernah di bawa ke kota ini, namun ketika itu dia masih di di bangku sekolah rendah. Selepas kematian ibu dan dia dibawa tinggal bersama isteri pertama Papa Khalid, Mama Hanna dia tidak lagi berpeluang ke mana-mana. Malah mengikuti rombongan sekolahpun dia tidak dibenarkan. Mama Hanna akan menjengilkan matanya setiap kali diberitahu hasratnya untuk turut serta rombongan sekolah.

“Habis? Siapa nak jaga si buta tu?” Suara Mama Hanna tajam singgah di ingatan Chempaka Amna. Dan masih terasa pedihnya bila setiap kali ia menerjah ingatan seperti saat ini.

“Iman boleh tinggal dengan Kak Peah, mama.”

“Kepala bapak kau! Senang-senang kau nak suruh Kak Peah menanggung beban. Kau ni ni memang keturunan tak reti bahasa, hidup kalau tak menyusahkan orang tak boleh ke? Kau ingat laki aku bayar gaji Kak Peah tu untuk jaga kauorang?” Marah Mama Hanna sukar untuk dihentikan apa lagi untuk disejukkan. Itu bukan Mama Hanna kalau cepat memahami dan berlembut dengan dia dan Iman. Barangkali memang benar kata-kata wanita itu. Dia dan Iman tidak ada apa-apa hubungan dengan Papa Khalid. Papa Khalid hanya bekas suami arwah ibu. Bapa tiri dan ini bermakna dia tidak ada hak untuk tinggal di rumah ini dan dibela oleh orang kaya ini.

“Tak apalah mama, Amna tak pergi.” Ujarnya perlahan, namun dia tahu, ia jelas di pendengaran Mama Hanna. Mama Hanna ketawa berdekah.

“Ha, kan elok! Duduk rumah jaga si buta tu.” Balas Mama Hanna dalam ketawanya.

“Cik Amna.”Suala lelaki Cina itu buat Chempaka Amna sekali lagi tersentak. Dia terus memandang ke arah lelaki itu.

“Di mana cik nak apek hantar?” Soal Patrick dalam berbaur ketawa kecil membuat Chempaka Amna tersentak. Dia memandang sekeliling. Ya ALLAH, aku nak ke mana ni….Rungutnya.

“Apek…Apek ah... Boleh tak hantarkan saya ke hotel? Erm..mana-mana saja asalkan saya boleh bermalam. Maksud..maksud saya, hotel murah-murah sudah cukup.” Ujar Chempaka Amna tergagap. Lelaki itu tidak terus menjawab sebaliknya membengkok ke sebuah stesyen minyak. Dia tak tahu di mana, namun dia tahu dari apa yang dipandangnya, dia sekarang berada di tengah kotaraya Kuala Lumpur. Lelaki itu menoleh ke arahnya dengan dahi berkerut. Dari cahaya lampu jelas dia melihat wajah lelaki itu. Ditatapnya sesaat. Dengan jari dia menekap bibirnya. Ya ALLAH…ini bukan Apek. Apek maksudnya pakcik dalam bahasa Melayu. Lelaki itu tersenyum.

“Cik..hotel-hotel murahan tak beberapa selamat cik. Sekarang banyak orang tak baik. Buat kerja-kerja tak elok. Polis selalu buat serbuan. Selalunya hotel-hotel murahan yang kena serbu. Nanti cik tak bersalah, tapi cik terkena juga.” Lelaki itu menerangkan panjang lebar. Chempaka Amna terlongo. Dadanya berdebar dan takut. Ya ALLAH..tolong selamatkan hambaMu Amna. Bisiknya berkali-kali.

“Macam nilah Cik Amna saya hantar awak ke hotel yang saya rasa lebih selamat dan selesa.”Tiba-tiba lelaki itu bersuara seakan tahu apa yang ada di benaknya.

“Tidak…tidak encik…”

“Apek.” Sambung lelaki itu disusuli ketawa kecil.

“Saya nak selamat saja encik.”

“Kalau macam tu ikut saya.” Jawab lelaki itu dan teksi itu terus bergerak. Beberapa kali teksi itu membelok tiba-tiba berhenti di hadapan sebuah bangunan tinggi.

“Okay, cik. Saya yakin hotel ni selamat. En. Naik ke lobi di tingkat 3 ya.” Beritahu lelaki itu. Chempaka Amna tidak memberi perhatian pada kata-kata lelaki itu sebaliknya mengeluarkan dompet dan membelek-beleknya.

“Berapa tambang encik.” Soalnya Chempaka Amna mengharapkan duit di tangannya mencukupi.

“Macamana nilah..saya tak ambil tambang awak. Saya bukan pemandu teksi. Saya tolong saja, lagipun saya ada teman dalam perjalanan.” Jawab lelaki itu sambil tersenyu.

“Lagipun saya tahu awakpun sakit. Tolong orang dapat pahala maa..” Tambah lelaki itu dalam pelat Cina. Chempaka Amna tahu itu mungkin sekadar guruan lelaki itu. Chempaka Amna tidak tersenyum sebaliknya mengerutkan wajah. Menerima budi orang yang tidak dikenali. Lelaki asing pulak tu.

“Dan ini kad saya, kalau awak ada apa-apa masalah boleh hubungi saya.” Sekali lagi Chempaka Amna terkesima berdepan dengan sikap lelaki itu namun kad yang dihulur tetap di capainya. Tanpa melihatnya Chempaka Amna terus memaukkan ke dalam begsandangnya.

“Te..terima kasih encik…En. Patrick. Terima kasih atas kebaikan awak ni.” Ucap Chempaka Amna menahan sebak.

“Sama-sama. Kita rakyat Malaysia.” Jawab Patrick dengan tegas.

Chempaka Amna berdiri sejenak dan memerhatikan kenderaan yang dipandu lelaki Cina itu hilang dari pandangan kemudian melangkah mendekati pintu lif. Baru dia hendak menekannya pintu lif terbuka, Chempaka Amna terus melangkah masuk dan berdiri sambil menyandar di dinding lif. Di benaknya bercelaru. Dengan duit yang hanya berbaki RM 200.00 cukupkan untuk menampung semalam menginap di hotel ini? Itupun barangkali ditambah lelaki yang menolongnya semalam. Dan kalaupun cukup, bagaimama untuk belanja hari-hari seterusnya? Chempaka Amna mengubah fikiran. Pintu lif terkuak. Dia melangkah keluar. Dipandangnya ke kiri hanya ada sebuah toko buku dan tolehnya ke sebelah kanan, baru ternampak sebuah kaunter dengan beberapa petugas berkebaya biru sedang asyik melayan tetamu. Pandangan Chempaka Amna dialihkan ke hadapan. Beberapa kerusi dan meja kecil kelihatan teratur dengan diselangseli dengan pasu-pasu bunga. Kelihatan begitu harmoni dan kemas susunannya. Amna melangkah dan melabuh punggungnya di kerusi yang tidak berpenghuni itu. Jam di dinding telahpun menunjukkan ke angka 8.00 malam. Matanya tercari pintu yang mempunyai lambang perempuan. Sebaik sahaja pandangannya tertancap, dia terus bangkit dan melangkah ke bilik air. Chempaka Amna mencuci wajahnya dengan penuh hati-hati agar tidak terkena pada balutan di lengan dan kepala. Sewaktu menyentuh air, dia mengigil. Hausnya sudah tidak mampu ditahan-tahannya. Tanpa memikirkan air bersih atau sebaliknya diteguknya beberapa kali air yang sedang keluar dari pili di sinki itu. Terasa sejuk tekaknya. Kemudian dibasahnya betis dan kakinya yang kelihatan agak comot dengan debu. Seharian tidak dicucinya. Setelah berasa sedikit segar Chempaka Amna melangkah keluar dan kembali mengambil tempat pada kerusi sebelumnya yang masih kosong. Pandangannya tertumpu pada pintu lif melihat keluar masuk pelanggan ke hotel itu. Melihat gaya pelanggan dia yakin dua ratus itu tidak mencukupi untuknya menginap di sini. Kenapalah si Patrick tu hantar dia ke sini? Chempaka Amna memejamkan matanya sejenak. Ya ALLAH…ya Tuhanku, tolonglah Amna ni…satu idea datang. Dia memandang sekeliling, seorang gadis beruniform kebetulan melangkah menghampirinya. Dia yakin gadis itu adalah petugas di hotel yang sama memandangkan pakaiannya menyerupai pakaian perutugas di kaunter.

“Cik…Cik..” panggil Chempaka Amna. Langkah gadis itu terhenti dan terus menoleh ke arahnya.

“Ya?”

“Surau di mana? Saya nak ke surau.” Beritahunya memberanikan diri. Gadis itu tersenyum.

“Sila ke tingkat lima cik. Lif ‘A’ ya cik.” Jawab gadis itu dengan senyum.

“Terima kasih cik.” Ucapnya penuh sopan. Gadis itu mengangguk.

Chempaka Amna melangkah  ke lif A sebagaimana yang diberitahu petugas di situ. Seperti tidak sabar untuk sampai dan merebahkan badan. Lebih penting lagi, sudah beberapa waktu dia meninggalkan solat. Subuh, Zohor dan Asar. Maghrib boleh dijamakkan dalam waktu Isyak. Kata Kak Peah, sesibuk manapun kita, solat wajib dilaksanakan. Kalau tidak masakan ALLAH menudahkan kaedah solat sehingga boleh dilakukan solat dalam berbaring.

Sebaik sahaja matanya tertancap pada label surau perempuan, Chempaka Amna terus masuk dan terus mencari suiz lampu. Sebaik sahaja dia terus meletakkan beg sandangnya, dia melilau mencari rak pakaian solat. Kelihatan beberapa helai telekung tersangkut pada pada rak. Dia mencapainya dan kemudian mencapai sejadah. Diletaknya mengikut arah kiblat. Sebelum mengambil wuduk dia membuka balutan luka. Hanya ALLAH yang tahu rasa ngilunya. Lukanya tidak terlalu dalam tetapi agak besar. Lega sedikit perasaan Chempaka Amna. Setelah itu dia melangkah ke tempat mengambil wuduk.

Sangat damai berada di atas sejadah. Rindunya pada Iman menamu. Ya ALLAH..rindunya Amna pada adik. Rintihnya. Bagaimana mungkin dia mampu menghubungi dengan ketiadaan telefon bimbit. Semua nombor tidak dihafalnya. Dia cuba memejamkan matanya dan cuba mengingati nombor talian tetap di rumah Papa Khalid. Namun dia yakin, Iman tidak akan menyambut panggilannya. Antara dua orang yang akan menyambut panggilannya. Mama Hanna atau Kak Peah. Dan untuk menghubunginya dia harus keluar mencari telefon awam.

“Iman…Kak Amna rindukan Iman. Kak Amna bersalah pada Iman. Kak Amna tak sepatutnya tinggalkan Iman. Tapi Kak Amna tak tahu nak buat macamana. Kak Amna keputusan untuk bawa diri kak Amna dulu. Nanti kak Amna akan balik bawa Iman ikut Kak Amna. Kak Amna janji.” Bisik Chempaka Amna sambil menadahkan doa. Airmatanya membasahi pipi. Kemudian teresak. Dia membaringkan diri sebaik selesai menjamakkan dua solat, Maghrib dan Isyak sambil memejamkan matanya. Kalaulah arwah ibu masih hidup dia tidak akan sampai ke sini sebagai seorang gadis yang melarikan diri dari rumah. Adik Iman juga tidak akan menderita hidup seperti hari ini. Kesian adik Iman. Papa Khalid sudah beberapa bulan tidak berkesempatan ditemui. Bapa tirinya itu sibuk dan jarang berada dalam negara. Dan hidup mereka sentiasa berdepan dengan derita. Mama Hanna tidak sebaik arwah ibu, malah untuk berganding dengan ibupun tidak layak. Tidak hairan Papa Khalid jatuh cinta pada arwah ibu. Kata papa Khalid ibu bukan sahaja cantik tetapi baik dan wajah ibu ada pada Chempaka Amna. Mendengar kata Papa Khalid itu, dia akan ketawa kecil. Papa Khalid terlalu baik. Seorang bapa tiri yang baik dan seorang suami yang sangat baik kepada isteri-isterinya biarpun sikap Mama Hanna seperti singa lagaknya, tetapi Papa Khalid tetap melayani Mama Hanna dengan baik. Wajah arwah ibu muncul dengan wajah lembut. Wajah itu semakin mendekat dan mendekat. Dia tersenyum memandang wajah itu. Dan seperti terasa sejuk jemari mengelus pipinya. Ibu!! Panggilnya tiba-tiba. Namun wajah itu hilang.

“Cik! Cik!!!” Tegas kedengaran nada suara itu. Chempaka Amna tersentak. Dia membuka matanya. Seorang perempuan beruniform biru sedang merenungnya.

“Kenapa tidur di sini? Ini surau hotel? Anda tidak dibenarkan tidur di sini?” Pengawal yang berpakaian seperti anggota polis itu merenungnya tajam. Chempaka Amna terpinga-pinga. Wajah itu ditatapnya sekilas kemudian dia bingkas. Perempuan beruniform itu mengerutkan keningnya. Chempaka Amna menanggalkan telekung sembahyang lantas diletaknya semua pada tempat di mana dia mengambilnya. Kemudia dicapai pula sejedah dan dilipatnya. Segala perbuatan itu dipandang dengan pandangan tajam oleh pengawal itu.

“Cik diminta keluar sekarang. Sebelum saya laporkan pada pihak pengurusan hotel.” Arah perepuan itu dengan nada garang. Chempaka Amna mengesat matanya beberapa kali. Terlupa Chempaka Amna kesakitan pada lengan dan kepalanya. Perempuan itu mengerutkan wajah. Chempaka Amna bangkit lantas mencapai balutan dan beg sandang. Dengan lemah dia melangkah ke lif dan diikuti oleh pengawal keselamatan itu.

“Kenapa awak tidur di sini?” Tanya perempuan itu kasar sambil merenungnya.

“Saya tumpang solat, cik.” Jawabnya ringkas.

“Solat atau taktik untuk menumpang bermalam? Kenapa tak ke masjid aje?” Soal perempuan itu dalam nada sinis. Lif terbuka. Dia berdiri membiarkan perempuan itu yang mendahuluinya. Namun dia dijerkah perempuan itu.

“Kali ini saya lepaskan. Besok kalau saya jumpa, saya tak akan lepaskan awak!” keras kedengaran amaran yang diberi. Beberapa mata memandang ke arah mereka. Namun tidak dihiraukan. Chempaka Amna melangkah ke lif untuk ke tingkat bawah. Sesampai di tingkat bawah perasaan gerun pada pengawalan keselamatan sedikit menghantui ingatannya. Bagaimana kalau perempuan tadi menghubungi kawan-kawannya. Dia melangkah perlahan sambil sempat menjeling jam pada tiang besar yang tersergam di depannya. Sudah jam 12.00 malam! Ya ALLAH…ke mana lagi harus dia pergi. Ke mana? Dia hampir menangis dan melangkah ke anak tangga lantas  berdiri di depannya tanpa apa-apa tujuan.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani