Home Novel Cinta DIA YANG KUCINTA
DIA YANG KUCINTA
Indah Hairani
28/12/2012 19:38:06
81,413
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 6

RAFEAHmemandang wajah Iman yang basah dengan dada penuh simpati. Kesian anak malang ini. Diperlakukan seperti hamba di rumah mewah itu. Sampai bila semua itu akan berakhir. Dia sebagai pembantu rumah tidak sanggup melihatnya. Apa jenis hati isteri majikannya ini? Dia mendekati Iman dan menariknya perlahan.

“Iman, jangan menangis lagi dik. Kak Peahpun ikut bersedih kalau Iman bersedih Cukuplah dik.” Lembut suara Rafeah memujuk Iman. Terhenjut bahu Iman menahan tangisan yang semakin menyesakkan.

“Kak Peah, mana kak Amna. Ke mana Kak Amna pergi, Kak Peah?” Berkali-kali soalan yang serupa diajukan Iman padanya. Ya Allah, bagaimana aku nak beritahu, sedangkan aku sendiri tidak tahu ke mana Chempaka Amna pergi. Getusnya di dalam hati dengan rasa sayu.

“Kak Peah, cakaplah.” Iman menarik-narik lengannya. Dia mengelus bahu Iman.

“Iman, Kak Peah sendiripun tak tahu Iman. Kak Amna sendiri tak cakap pada Kak Peah mana dia pergi.” Ujar Rafeah perlahan dan penuh kasih sayang. Sememangnya dia sangat menyayangi kedua anak malang itu.

“Jadi betullah kak Amna dah tinggalkan kita?”Soal Iman mohon kepastian.

“Tak, sayang, kak Amna bukan tinggalkan kita, barangkali Kak Amna mencari peluang di luar.” Iman terdiam dan tertunduk mendengar kata-katanya.

“Iman…” Panggilnya perlahan dan penuh hati-hati.

“Sebenarnya Kak Amna ada tinggalkan nota.”Beritahunya lambat-lambat.

“Nota? Apa kata kak Amna, Kak Peah.” Soal Iman dengan wajah penuh teruja. Terkejip-kejip mata Iman mengarah pandangan ke arahnya. Rafeah melangkah ke almari kecil di sudut biliknya lantas diambilnya nota yang tersimpan di kotak simpanan barang kemasnya. Nota itu dibuka dan dibacanya di hadapan Iman. Iman teresak mendengarnya. Hatinya tersentuh melihat keadaan Iman.

“Iman dah dengar, kan? Kak Amna sayangkan Iman. Kak Amna akan pulang nanti bila dia dah dapat kerja.”

“Terima kasih Kak Peah. Tapi…”

“Tapi apa Iman?”

“Kenapa dia tinggalkan Iman. Kenapa Kak Amna buat Iman macam tu Kak Peah”

“Masya-ALLAH Iman, jangan cakap macam tu sayang.”Lembut nada suaranya

memujuk anak itu.

“Sampai hati Kak Amna.” Rungut Iman antara kedengaran dengan tidak. Rafeah tahu

anak itu benar-benar sedih dan terkilan dengan tindakan Chempaka Amna.

“Iman jangan risau ya, Kak Peah yakin Kak Amna bukan lari dari rumah nak tetapi dia keluar cari kerja. Kak Peah juga yakin Kak Amna akan balik jumpa Iman.” Iman terdiam mendengar kata-katanya. Dia tidak dapat menduga apa yang sedang bermain di benak Iman. Kesedihan Iman tidak sama dengan gelodak rasa apabila berdepan dengan Puan Mahanna. Makin hamun Puan Mahanna sudah pasti memenuhi deria pendengarannya.

“Iman, Iman sabar ya dik. Kak Peah berjanji, Kak Peah akan jaga Iman seperti Kak Peah jaga adik Kak Peah sendiri. Kak Peah janji, Iman. Iman jangan risau ya.” Ucapnya bersungguh.

Iman terhenti menangis. Kedengaran hanya esakan yang semakin lama semakin hilang. Kesian anak malang ini bisik Rafeah sambil matanya merenung dalam ke wajah Iman. Bagaimana agaknya wajah ibunya? Isteri kedua majikannya Tuan Khalid? Ingatan Rafeah juga turut mencari wajah Chempaka Amna, gadis yang memiliki sepasang mata yang cantik, hidung mancung dan ulas bibir yang nipis dan mungil. Gadis yang lemah lembut itu seakan memberi gambaran wajah wanita yang melahirkannya. Menurut Tuan Khalid, Sofea dikahwini atas rasa simpati melihat wanita itu yang cekal mendepani hidup tanpa suami dengan dua anak kecil dan seorang ibu tua. Zaman yang serba maju dengan pembangunan di kiri kanannya, wanita itu masih tegar menyorong kereta ke sebuah warung kecil di pinggir jalan untuk mencari kehidupannya.

“Peah tahu? pertama kali saya melihat wajah Sofea, hati saya tersentuh Peah.”Suara Tuan Khalid bergema di ingatannya.

“Kenapa tuan?”

“Melihat keadaannya, dengan mengelek anak kecil sedangkan di sebelahnya seorang anak perempuan. Masha-ALLAH.” Tuan Khalid bercerita tentang pertemuan dengan Sofea dan bagaimana dia boleh menikahi perempuan yang kematian suami itu.

“Saya sangat simpati dengan nasib dan keadaan dia, Peah. Keadaan Sofea mengenangkan keadaan perempuan di negara jiran yang pernah saya pergi.”

“Kenapa tuan?”

“Di sana ramai perempuan yang hidup dan mencari kehidupan di bawah-bawah jejantas dan di celah-celah bangunan dengan berjual untuk menyara kehidupan. Saya seperti tidak percaya kehidupan seperti itu ada di tempat kita.”Cerita Tuan Khalid kedengaran hiba.

“Jadi tuan menikahi Puan Sofea kerana simpati?” Soalan yang tidak pernah diduganya terluncur dari bibirnya. Tuan Khalid terdiam merenungnya ketika itu.

“Sejak pertama kali saya melalui warung kecil milik Sofea dan saya melihat kehidupan beliau, anak dan ibunya, saya tidak dapat melelapkan mata saya melainkan bayangan kesusahan mereka berlegar dalam pandangan mata saya.” Tuan Khalid ketika itu beberapa kali terhenti menahan sebak. Dia seakan dapat merasakan kesedihan yang dilalui oleh majikannya itu.

“Peah…saya ada segalanya, seorang isteri yang cantik yang hidup dalam wang ringgit di bandar besar dengan tidak melakukan apapun kecuali merias wajah dan setiap hari berkira-kira untuk menghabis wang di butik mewah, Peah.” Dia membiarkan lelaki itu bercerita dan meluahkan perasaan.

“Sedangkan dia, wanita itu berjuang untuk hidup dan begitu cekal. Apalagi bila saya merenung dua anak kecil itu. Ya ALLAH Peah, saya bertekad untuk menyara hidup mereka bukan sebagai seorang penderma tetapi orang yang sama berdiri dan duduk. Lalu saya menikahi Sofea. Salah ke saya Peah?” Luah Tuan Khalid kedengaran begitu tulus. Hati perempuannya tersentuh dengan pengakuan lelaki itu. Dia kagum dengan keluhuran budi majikannya itu.

“Cukuplah tuan. Tuan kena banyak bersabar. Roh arwah pasti tidak senang dengan kesedihan tuan.” Ujarnya. Dia seakan memujuk Tuan Khalid biarpun hakikat siapalah dia untuk menasihati majikan yang jauh lebih hebat dan memiliki pengetahuan itu.

“Tuhan terlalu cepat mengambilnya Peah, setelah dia memberinya pada saya.” Sebak kedengaran nada suara Tuan Khalid. Dadanya ketika itu ikut sebak. Namun dia tahan-tahankan agar sebak itu tidak bertukar menjadi tangis.

“Peah.”

“Ya tuan.”

“Ya saya jaga mereka. Mereka dah macam anak kandung saya. Saya tak ada siapa-siapa lagi selain dari mereka.”

“Tuan memberi amanah pada saya?”

“Saya percayakan awak, Peah. Saya harap akan faham.”

“Saya faham Tuan.”

“Sayapun tak tahu, sejak saya membawa balik Chempaka dan Iman. Langsung Larra dan Hafidz tak balik ke rumah ni. Isteri saya tak benarkan.” Luah lagi dengan nada suara yang semakin sebak.

“Tak benarkan anak-anak balik ke rumah ni?”

“Ya! Rajuk isteri saya tu masih belum hilang, Peah. Agaknya guruh berbunyi baru hilang.” Sempat lagi Tuan Khalid berseloroh.

“ Tak apa tuan, saya yakin suatu hari nanti dia akan lembut hati dan menerima anak-anak arwah.”

“Insya-ALLAH itu yang saya harap dan nanti-nantikan.” Ujar Tuan Khalid.

“Malah saya berdoa setiap masa agar isteri saya menerima Iman dan Chempaka dan saya nak tengok Larra dan Hafidz dapat bergaul dan bersatu seperti adik beradik.”Tambah Tuan Khalid sambil merenungnya. Dia mengangguk-angguk.

“Insha-ALLAH, tuan. Niat yang suci itu, mudahan cepat dikabulkan.” Balasnya sambil tersenyum pada majikannya. Tuan Khalid terdiam. Suasana ketika itu kembali diam.

“Saya sayangkan mereka.” Tiba-tiba kata itu lahir dari bibir Tuan Khalid.

“Jadi Peah, saya harap Peah dapat jaga makan minum dan layanlah anak-anak saya dengan baik.”

“Tuan, saya juga sayangkan budak-budak tu. Saya akan jaga mereka seperti anak-anak saya sendiri.”Ujarnya pantas.

“Terima kasih Peah. Itu yang saya nak dengar.Tentang isteri saya tu, awak jangan ambil hati sangat. Mulut dia memang macam tu. Kadang-kadang sayapun terasa namun saya diamkan aje.”Luah Tuan Khalid dengan senyum namun dia dapat rasakan kesedihan majikannya itu di sebalik senyum yang dilemparkan.

“Saya tahu tuan, tuan jangan risau.” Kata-kata Tuan Khalid padanya beberapa tahun yang lalu. Tuan Khalid yang selalu berkira setiap percakapannya. Tuan Khalid sangat berhati-hati dalam percakapan. Sangat bebrbeza dengan isterinya, Mahanna. Dan dia sendiri, semenjak kenal dan diambil bekerja di rumahnya, dia mengkagumi lelaki bernama Khalid itu.

“Budak-budak tu anak yang baik tuan. Saya rapat dengan mereka.”Beritahunya tiba-tiba. Lelaki itu tersenyum.

“Ya saya tahu Peah. Saya sangat-sangat berterima kasih. “Ujar lelaki itu lagi dengan hormat.

“Menyayangi mereka tidak memberi masalah pada saya tuan. Sayapun bukan ada siapa-siapapun.” Ujarnya. Rasa hiba menghimpit bila mengenangkan segala kebaikan hati Tuan Khalid.

“Kak Peah.” Suara Iman memecah sunyi. Dia tersentak.

“Pukul berapa sekarang?”

“Dah 10.00 pagi, Iman. Kenapa?” Soalnya sambil merenung anak itu.

“Iman…Iman nak sembahyang Kak Peah.” Beritahu Iman perlahan.

Dia merenung anak itu dengan dahi berkerut.

“Sembahyang?” Soalnya. Iman tersengih sedangkan di pipinya masih ada air mata. Iman bangun.

“Kak Peah lupa ya, kan Kak Peah juga yang ajar Iman solat Dhuha.” Manja suara anak itu sambil memegang lengannya. Dia tersengih. Terlupa Rafeah, dia sering menyuruh anak itu mengamalkan solat sunat Dhuha. Banyak fadilat dan kelebihannya. Bukan sahaja untuk menambah rezeki tetapi juga untuk menenangkan perasaannya. Rafeah memegang lembut lengan Iman.

“Yalah sayang. Bolehlah ambil wuduk.”Ujarnya lagi.

Iman hanya tersenyum sambil menyusur perlahan pada dinding untuk ke bilik air. Rafeah memerhati sambil menggeleng-eleng kepalanya. Bertuah ibu yang melahirkan anak ini. Bisik hati Rafeah perlahan. Rafeah bangkit dan mencapai sejadah. Dibentangnya sejadah di sudut kamar itu tempat yang selalu digunakan Iman dan Amna menunaikan solat. Iman kembali dengan wajah yang basah.

“Kak Peah dah bentangkan sejadah tu.” beritahu Rafeah sambil memandang ke arah Iman yang hati-hati menuju ke sejadah. Hati Rafeah tersentuh melihat Iman. Perasaan hiba memenuhi ruang dadanya. Apa akan terjadi pada anak itu andai kata Tuan Khalid meninggal nanti, bagaimana agaknya nasib Iman? Puan Mahanna sudah tentu tidak akan menerima Iman untuk terus hidup di rumah ini. Lebih malang lagi jika Chempaka Amna terus hilang? Ya ALLAH ke mana anak itu pergi? Ya ALLAH selamatkan anak malang itu. Rafeah menunggu sehingga Iman selesai menunaikan solat dan memerhatikan anak itu menadah doa. Sebaik sahaja selesai Iman memusing bdadangnya dan menyandar pada dinding.

“Apa yang Iman doakan?” Soal Rafeah sambil tersenyum memandang wajah Iman yang mengerdipkan matanya beberapa kali.

“Doa untuk Kak Peah ada tak?” Usik Kak Peah lagi.

“Ada Kak Peah, bukan sahaja Kak Peah, Papa, mama Hanna…”

“Mama Hannapun ada?” Kak Peah menduga hati anak istimewa itu.

“Ada…”

“Kan Mama Hanna selalu marah-marah pada Iman dan Kak Amna?” Semakin Rafeah menduga hati anak itu. Sejauh mana tulusnya perasaan anak yang sering terdera oleh kezaliman isteri majikannya Puan Mahanna. Puan yang seakan tidak pernah ada perasaan itu. Semenjak dia berkerja di rumah mewah itu dan Iman dan Amna dibawa tinggal bersama, selama itu dia melihat perbuatan zalim wanita itu terhadap kedua anak yatim ini. Tahukah Puan Mahanna, ALLAH sangat membenci orang yang menganiaya anak-anak yatim? Tahukah Puan Mahanna, Iman dan Chempaka Amna anak malang yang kehilangan kedua ibu dan bapa?

“Kak Peah tahu kenapa Iman berdoa untuk Hama Hanna?” Ungkap Iman tiba-tiba. Rafeah merenung Iman dalam-dalam teruja ingin mengetahui apa yang ada dalam kepala anak itu.

“Ya nak? Kenapa?”

“Sebab mama Hanna sayang pada Papa Khalid. Mama Hanna jaga papa.” Tersentuh Rafeah mendengar kata-kata Iman. Anak itu berjiwa luhur.

“Kak Amna ke mana Kak Peah? Kenapa Kak Amna tak beritahu Iman dia nak ke mana, Kak Peah? Agaknya Kak Amna tidak sayang pada Iman Kak Peah.” Ungkap Iman perlahan. Dada Rafeah sebak.

“Iman, kenapa cakap macam tu nak? Kak Peah yakin, Kak Amna akan balik jugak. Tak lama lagi kan Papa Khalid Iman pun akan balik. Kan Kak Amna selalu cakap, dia tak sabar nak tunggu papa balik?” Ujar Rafeah lagi sambil merenung wajah anak itu. Iman terdiam. Iman mengejip-ngejip matanya. Kelihatan airmata Iman bergenang di birai matanya. Semakin sebak hati Rafeah. Terasa panas di pipi Rafeah. Cepat-cepat Rafeah mengesat pipinya. Dia tidak ingin anak itu menyedari dia menangis kerananya. Dia menutup mulutnya dengan hujung tudung yang dipakainya. Dalam diam dia mengharapkan Chempaka Amna menghubunginya. Rafeah sudah tidak sanggup melihat Iman dalam kesedihan.

“Iman, Iman berehat ya, Kak Peah nak ke dapur ni. Kak Peah nak masak. Nanti Mama Hanna balik. Kak Peah juga yang kena marah nanti.” Ujar Rafeah sambil bangkit dan melangkah keluar dari kamar Iman. Semakin Rafeah berlama, semakin sayu jiwa Rafeah berdepan dengan Iman. Rafeah tahu, Iman akan jadi landasan kemarahan Puah Mahanna. Dalam diam Rafeah berdoa semoga ALLAH memelihara anak itu dan melembutkan hati dan kemarahan Puan Mahanna pada anak malang itu. Amin. Rafeah meraup wajahnya lantas menutup pintu kamar Iman perlahan dan berlalu ke dapur.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani