Home Novel Cinta DIA YANG KUCINTA
DIA YANG KUCINTA
Indah Hairani
28/12/2012 19:38:06
81,675
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 4

CHEMPAKA AMNAmembuka semula matanya apabila sudah yakin lelaki itu sudah tidak ada di hadapannya. Ternyata telahannya salah sama sekali, lelaki itu masih tertonggok di di kerusi di sebelahnya. Lelaki itu menjeling tajam sebaik sahaja melihat dia membuka mata. Lelaki itu bangkit dan mendekatinya.

“Saya nak mintak diri. Awakpun dah sedar. Baguslah!” Ujar lelaki itu tiba-tiba.

“Awak tu, baliklah semula ke pangkuan keluarga. Tak baik anak dara lari dari rumah.” Sambung lelaki itu. Chempaka Amna mengerutkan keningnya. Ada rasa tidak puas hati bersarang di hatinya. Sungguh tak patut lelaki itu menuduh dia melarikan diri dari rumah. Bebel Chempaka Amna di dalam hati. Apalah lelaki ni…Getusnya lagi.

“Ada apa-apa yang awak nak cakap pada saya?” Belum sempat dijawabnya, lelaki itu menyoalnya. Chempaka Amna mengetap bibirnya. Kalau ikutkan hatinya mahu saja dia menyumbat mulut lelaki itu dengan tisu yang ada di tangannya. Dia benci dengan leteran dan omelan. Dah jenuh dia mendengarnya selama ini, dan sekarang bila dia keluar rumah Mama Hanna, dia tidak bersedia untuk mendengar leteran sesiapapun lagi.

“Saya tak nak cakap apa-apa. Terima kasih sajalah.” Jawab Chempaka Amna perlahan kemudian mengalih pandangan ke pintu mengelakkan renungan mata lelaki itu.

“Kalau macam tu saya minta diri.” Ulang lelaki itu. Keluar sajalah..apalah nak minta-mintak. Bisiknya dalam diam. Lelaki itu bangkit dan melangkah keluar. Chempaka Amna mengelus dada. Lega bila lelaki itu berlalu. Amna kembali menarik selimut menutup kakinya dengan hati-hati. Sebelah lengannya terasa lenguh dan ngilu. Kenapa dia harus terjun dari kereta itu tadi? Kalaulah dia berdiam diri, sudah tentu dia selamat tiba di Kuala Lumpur dan sudah tentu dia tidak tercedera begini. Chempaka Amna menampar kepalanya.

“ Ouch!” Jeritnya dengan wajah berkerut. Dia tertampar pada bahagian kepala yang luka.

Chempaka Amna! Kenapa awak bodoh sangat? Kenapalah kau terjun dari kereta. Kalau tidak taklah kau bermalam di bilik ni. Marahnya Amna pada dirinya sendiri sekali lagi. Bila ingat kesakitan yang dialami, dia begitu kesal dengan tindakan yang tidak sepatut dilakukannya itu. Seorang jururawat tiba-tiba muncul dan mendekatinya dengan senyum.

“Kenapa puan? Puan sakit ke?” Soal jururawat itu dengan dahi berkerut. Dadanya berdegup. Puan? Kenapa panggil puan? Nampak aku ni tua sangat ke? Jerit Chempaka Amna, namun jeritan itu hanya terkurung di kerongkong. Jururawat itu memegang lengannya yang berbalut.

“Puan jangan banyak bergerak. Nanti puan sakit.” Ujar jururawat itu lagi.

Chempaka Amna hanya memandang wajah jururawat itu.

“Bagaimanapun, kalau tak ada yang serius, besok dah boleh keluar.”Beritahu jururawat itu tanpa dimintanya. Chempaka Amna hanya tersenyum memandang wajah jururawat yang kaya dengan senyum itu namun hatinya gelisah.

“Cik, saya di mana ni sebenarnya?” Soal Amna tiba-tiba. Jururawat mengerutkan keningnya.

“Puan, puan sekarang berada di Hospital Temerloh. Kata suami puan, puan jatuh dari kereta.” Balas jururawat itu. Dup! dadanya seperti ditumbuk dan wajahnya seperti terkena bahang. Hangat. Suami? Siapa suami? Masyallah! Gila ke apa? Mata Chempaka Amna terbuntang. Pertanyaan itu terjerit di dalam dadanya.

“Puan jangan risau, suami puan cakap, dia akan datang jemput puan selepas tengahari. Jadipuan berehat betul-betul puan kat sini.” Dia hanya mengangguk-angguk. Jururawat itu berlalu dan meninggalkan dia sendirian di katil.

“Apa semua ni? Ya ALLAH… aku sedang bermimpi.” Rungutnya sendirian. Amna mencubit lengannya. Ouch! Jeritnya perlahan. Aku tidak bermimpi. Bisiknya lagi. Amna kembali memejamkan matanya. Menerokai rentetan hidup dari dulu hingga saat ini. Barangkali tidak ada orang percaya. Zaman yang serba canggih, dalam dunia ICT, masih adakah manusia hidup sepertinya dan adiknya Iman Idham. Tidak ubah seperti cerita ratapan ibu tiri dalam cerita zaman dahulu. Semuanya masih terbayang dan panas dalam ingatan Amna. Amna masih ingat pertama kali dia menjejak kaki dua belas tahun yang lalu dan ketika itu Iman baru berusia 5 tahun dan Amna 11 tahun. Sejak itu hidup mula berubah. Kehilangan ibu buat selama-lamanya menjadi pemula segala kisah luka dia dan Iman. Ibu meninggal setelah seminggu koma dan selama itu Papa Khalid gelisah dan sedih.

Menurut papa, cintanya terhadap ibu setelah melihat betapa setianya ibu menjaga nenek yang lumpuh. Setiap hari berulang alik dari rumah dan berniaga di warung untuk menyara nenek dan dia dan Iman, sebagai ibu tunggal, ibu di mata Papa Khalid adalah wanita yang cekal. Semua itu menambat hati Papa Khalid yang sering singgah minum di warung ibu. Sifat ibu menarik perhatian papa lantas menyunting ibu tanpa ibu tahu Papa Khalid sebenarnya telah memiliki isteri di Kuala Lumpur. Beberapa tahun selepas perkahwinan dengan ibu, papa membeli tanah dan membina rumah mewah di sebelah rumah di kawasan perumahan Taman Perdana di Gong Badak. Apabila rumah yang dibina Papa Khalid siap, Papa Khalid membawa Mama Hanna ke Pantai Timur biarpun ibu hanya mampu tinggal di rumah peninggalan arwah nenek di sebuah pekan kecil. Namun ibu tetap redha kata ibu, kerana Papa Khalid sangat baik sanggup mengahwini ibu walaupun ibu telah memiliki dua orang anak. Ketika papa menikahi ibu, ibu berstatus ibu tunggal setelah kematian arwah abah, Amiruddin. Amna langsung tidak mengingati peristiwa malang itu. Kata ibu, ketika papa mengahwini ibu adik Iman berusia 2 tahun dan Amna sendiri berusia 8 tahun. Sudah jelas, dia dan Iman tidak ada apa-apa hubungan dengan Papa Khalid selain anak tiri. Cerita hidupnya penuh simpang siur. Dia masih ingat pertama kali menjejak kaki ke rumah papa, dan diperkenalkan pada Mama Hanna, wajah Mama Hanna berubah tegang. Mata Mama Hanna tajam merenung papa tanpa sedikitpun tahu menjaga perasaan Amna dan adik Iman Idham.

“You kutip kat mana budak-budak ni?” Soal Mama Hanna tajam mencengkam perasaannya. Ketika itu dia memeluk Iman erat-erat. Wajah Papa Khalid kelihatan sedih.

“You...apa ni, tak baik depan budak-budak ni. Kecil hati anak-anak tu.” Lembut suara Papa Khalid sambil memandang ke arah mereka silih berganti.

“Baik ke tak baik ke, I cuma nak tahu, siapa budak-budak ni?”Soal Mama Hanna garang.

“Anak yatim, Hanna. Mereka berdua anak yatim.” Ujar papa sambil mendekatinya.

“Maafkan auntie…errrr, Mama Hanna. Ya, Chempaka panggil Mama Hanna. Mama Hanna tersalah cakap tu. Kan mama?” Sambung Papa Khalid dengan senyum. Ketika itu hanya TUHAN yang tahu perasaannya. Ketakutan yang menyerkup hati kanak-kanak mereka. Iman memegang kemas tangannya ketika itu. Waktu itu mata Iman masih sempurna. Iman boleh melihat wajah Mama Hanna yang bengis itu. Mereka mendekati Mama Hanna dan menghulurkan tangan. Mama Hanna menyambutnya acuh tak acuh.

“Sediakan bilik untuk mereka, Hanna. Biar mereka tinggal dengan kita.” Arah Papa Khalid. Wajah Mama Hanna kembali tegang. Tajam jelingan Mama Hanna pada dia dan Iman.

“You! Apa ni? Bilik kosong tu bukan You tak tahu, nanti kalau balik budak-budak berdua tu, si Hafidz dan Larra, nak sumbat kat mana?” Ketika itu papa hanya mendiamkan diri namun tetap memberi isyarat pandangan agar mereka mengikut papa.

Malam itu Amna mendengar pertengkaran besar antara Papa Khalid dan Mama Hanna. Suara Mama Hanna memecah kesunyian malam.

“Patutpun you bawak I ke sini, you belikan rumah, tanah dan pujuk I datang ke sini, rupanya you ada betina lain! Kalau I tahu macam ini jadinya, mati hidup semulapun I tak ikut you.”Jerit Mama Hanna sehingga terdengar ke biliknya.

“Apa yang you nak marahkan lagi, dia telah meninggal.” Lembut kedengaran suara Papa Khalid.

“Ya dia telah mati, tapi hati I ni masih hidup. Tu! yang you bawak balik tadi tu…itu keturunan darah daging perempuan jahanam.” Kata-kata itu singgah lagi di telinganya.

“You ni Hanna, sikitpun you tak takut pada TUHAN? Kalau yapun you marahkan I, you jangan lupa, pernikahan I dengan Sofeapun sudah ditentukan TUHAN, Hanna.”

“Owh? Jadi betina tu namanya Sofea?”

“Kan I dah cakap, cukuplah tu menghina roh.” Jerkah Tuan Khalid.

Chempaka Amna memeluk erat Iman. Kalau ikutkan hati, malam itu juga dia kembali ke rumah nenek. Jarak antara rumah Tuan Khalid dan rumah nenek tidaklah jauh sangat, namun pada malam yang sudah menghampiri pagi tidak mengizinkan dia meninggalkan rumah perempuan garang itu.

“Peduli apa I? You tu tak sedar diri, baru naik pangkat dah lupa asal keturunan. You lupa, kalau tak kerana bapak I yang dapatkan kerja untuk you ketika you merempat dulu, you tak sampai macam ni tau?” Suara mama Hanna membuat beberapa kali dia tersentak. Mama Hanna tidak henti-henti menghina Papa Khalid.

“I minta dari you, Hanna. Kalau I boleh menyayangi anak-anak you kenapa you tidak boleh menyayangi anak Sofea. Mereka tu anak yatim piatu.” Suara Papa Khalid memohon pengertian Mama Hanna. Kesian Papa Khalid.

“Cuba awak ulang semula Lid? I tak dengar.”

“Ya, mereka anak yatim piatu.”

“Owh? Jadi mereka bukan anak you dengan betina tu?”

“Tidak, mereka anak Sofea dengan suaminya yang telah meninggal dunia.”

“Owh jadi sekarang you ambil tanggungjawab. You cari beban untuk digalas.? Apa cerita , Lid?”Jerkah Mama Hanna. Hati mereka kecut. Ketakutan menghantui mereka.

“Hanna, apa lagi yang you tidak puas hati? Semua mencukupi dan berlebih, atau you selama ini tidak bersyukur dengan apa yang ada?”Suara Papa Khalid tetap lembut singgah di pendengaran mereka.

“Sudahlah Lid, kalau you nak juga bela mereka tu, you belalah..tapi jangan nak menyusahkan I”Zalimnya seorang Mama Hanna.

Ah! semua itu sejarah pahit yang pernah Chempaka Amna lalui. Dan sejak itu Chempaka Amna hidup seperti dalam neraka. Mama Hanna melepaskan segala kemarahan terhadap Papa Khalid dan kebencian arwah ibu padanya dan adik Iman. Hanya Kak Peah satu-satunya tempat dia mengadu di dunia ini. Dia tidak mungkin mengadu pada Papa Khalid. Biarpun dia dan adik Iman sangat menyayangi Papa Khalid seperti ayah kandungnya sendiri.

“Aku boleh tanggung kauorang belajar tapi dengan syarat, kauorang bayar semula duit kami.” Itu kata-kata Mama Hanna padanya dan adik Iman ketika Papa Khalid menukarkan dia dari sekolah lama ke sekolah baru. Dan apabila adik Iman disahkan doktor akan berdepan dengan risiko buta setelah adik Iman mengalami deman panas, sekali lagi Mama Hanna melontarkan kemarahan.

“Menyusahkah aku. Apa? Apa kau ingat harta kami ni harta mak bapak kauorang? Sakit demam kauorang aku yang mengurusnya?” Jerit Mama Hanna ketika doktor memberitahu pembedahanan mata Iman menelan belanja yang besar. Iman tidak dapat tidur. Dia sedar keadaan itu. Malam itu Chempaka Amna tahu Iman tidak dapat melelapkan mata. Dan malam itu juga dia menyedari adiknya terhiris dengan kata-kata yang dilontarkan Mama Hanna.

“Akak, Iman tak nak kak.” Luah Iman perlahan sambil memeluknya.

“Ya dik? Apa maksud Iman? Cakap pada akak.” Chempaka Amna mengelus rambut penuh kasih sayang. Satu-satu buah hati Chempaka Amna.

“Adik tak nak berubat kak. Tak payah. Tak payah menyusahkan papa Khalid dan..”

“Dan apa dik?” Pantas dia menyoal Iman mendengar nada putus asa Iman.

“Iman takut mama Hanna marah.” Chempaka Amna tersentak mendengar kata-kata Iman. Chempaka merenung Iman dalam-dalam.

“Papa kan dah janji nak biayai semula perbelanjaan pembedahan Iman tu.” Dia cuba memujuk Iman. Ternyata pujukannya tidak sedikitpun membekas di hati Iman. Dia menerenung wajah adik kesayangannya itu dengan sayu.

“Akak, papa Khalid dah banyak tolong kita kak. Kita bukan sesiapa-siapapun pada mereka.”Ujar Iman Idham dengan rendah hati.

“Siapa cakap semua ni pada Iman. Siapa?”

“Kenapa akak tak ceritakan semua tu pada Iman. Kenapa kak?”

“Iman…”

“Ya kak! Kenapa? Mereka menghina kita, mereka menghina arwah ibu…”

“Siapa mereka dik? Apa maksud Iman ni?”Soalnya sambil mengerut wajahnya. Wajah itu direnungnya lagi.

“Iman dah besar kak. Iman selalu di rumah. Masa akak ke sekolah Iman di rumah. Iman dengar semuanya.”

“Iman…jangan cakap macam tu dik. Kalau Iman tak bedah mata Iman, macamana Iman melihat semula. Iman kata Iman nak tengok wajah kakak. Imanpun nak tengok wajah Kak Peah, Papa Khalid.” Ucapnya perlahan sambil mengelus lembut ubun-ubun Iman.

“Iman tak sayang kak Amna? Iman tak sayang papa Khalid yang baik hati tu?” Tambahnya. Wajah Iman direnungnya sayu. Iman tiba-tiba teresak dan merebahkan kepala di bahu Chempaka Amna.

“Apa maknanya semua tu kak, akakpun tahu kan? Iman tak punya apa-apapun. Iman tak belajar macam akak.” Chempaka Amna hiba mendengar kata-kata Iman. Satu-satunya adik yang dimiliki. Harta yang paling mahal dalam hidupnya.

“Tapi dik kalau macam ni selamanya macamana adik nak belajar. Adik tak boleh menyerah kalah. Adik kena berusaha. Orang lain tak dapat ubah kecuali adik sendiri. Iman tahu kan?”

“Adik tak nak termakan budi kak. Susahnya bila ada hutang budi kak.”

“Adik…”

“Ya kak…Iman dah bertekad, Iman tak nak buat pembedahan tu kak.” Balas Iman dengan nada tegas. Dia mengerutkan wajahnya.

“Iman tau, akak tak suka dengan keputusan Iman.” Ujar Iman dan menjatuhkan kepala di ribaanya. Terasa basah airmata Iman.

“Iman sayang akak.”Tambah Iman lagi.

“Akak pun Iman. Akakpun sayangkan Iman. Akak hanya ada Iman. Ya hanya ada Iman dik.”Balasnya sambil mengelus ubun-ubun Iman penuh kasih sayang.

“Kalau akak sayangkan Iman, akak jangan paksa Iman buat pembedahan.”

“Apa kata papa Khalid nanti. Papa Khalid dah banyak berusaha dik.”Ujarnya bersungguh-sungguh agar Iman mengubah keputusan.

“Tak apa kak. Akak jangan fikir apa-apa tentang Iman”

Chempaka Amna memejamkan matanya rapat-rapat. Terasa panas kedua pipinya. Ingatan Amna berlari mencari wajah Iman yang ditinggalkan. Bagaimana agaknya Iman saat itu? Semakin melimpah airmatanya. Dalam diam dia berdoa semua ALLAH melindungi Iman daripada sebarang masalah.

Entah jam berapa Amna tertidur, bila dia tersedar jururawat sudah berdiri di depannya. Dia mengesat matanya dengan tangan kanannya yang tidak berbalut.

“Maafkan saya puan.”

“Tak apa. Saya nak maklumkan, sekejap lagi doktor akan memeriksa, sekiranya tak ada masalah, puan boleh keluar pagi ni.” Chempaka Amna mengerut keningnya. Dia tidak senang dengan panggilan pada pangkal nama itu. Dia tidak tersenyum. Pagi yang tidak menggembirakan. Mana gembiranya, dia bukan isteri siapa-siapapun tetapi dia dipanggil ‘puan’.

“Cik..”

“Ya puan?”

“Saya nak keluar hari ni jugak cik. Kalau boleh sekarangpun saya nak keluar cik.”

“Maaf puan, kita tunggu dulu apa kata doktor. Hmm..kenapa puan?”Balas jururawat itu.

“Saya yakin bayaran mahal kan?” Soal Chempaka Amna dengan wajah serius. Jururawat itu memandangnya dengan senyum.

“Kenapa cik?” Soal Chempaka Amna dengan wajah hairan.

“Suami puan dah hubungi kami. Dia akan jelaskan semua nanti. Malam tadi dia tak sempat tunggu puan, katanya ada meeting.”

“Owh? “

“Kenapa puan?”

“Tak, tak ada apa-apa?” Jawab Chempaka Amna tergagap. Jururawat itu hanya tersenyum. Dia memandang petugas itu dengan perasaan penuh keliru.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani