RAFEAHmenahan sebak yang berkampung di dadanya. Dia memandang sekilas ke tingkat atas. Pintu bilik majikannya Puan Mahanna bertutup rapat. Dia tahu majikannya itu benar-benar marah. Kalau tidak masakan Puan Mahanna sanggup menghalau dia dari rumah itu. Dia melangkah anak tangga menuju ke bilik majikannya itu. Tiba di anak tangga teratas dia berdiri sesaat sambil merenung tombol pintu bilik itu. Kemudian dengan perlahan dia menghampiri pintu bilik itu. Pintu itu diketuk perlahan.
“Puan…Puan Mahanna.” Panggilnya beberapa kali.
“Puan Mahanna.” Ulangnya sambil mengetuk lagi pintu bilik Puan Mahanna beberapa kali. Rafeah berhenti sejenak sambil menarik nafas dalam-dalam. Sampai bila dia harus menunggu sedangkan orang yang dipanggil tidak langsung melayan panggilannya. Getus hati Rafeah sambil berpusing untuk kembali menapak ke bawah. Baru sahaja beberapa langkah kedengaran pintu dikuak. Rafeah menoleh.
“Puan, saya datang nak mintak maaf jika saya buat salah sepanjang bekerja di sini.” Ujar Rafeah dengan nada suara perlahan. Majikannya itu merenungnya dalam-dalam.
“Apa kena dengan awak ni Peah ni?” Jerkah Puan Mahanna. Rafeah tersentak. Kenapa dengan Puan Mahanna ni. Semalam bukan main lagi majikannya itu memarahi dan menghalaunya.
“Bukankah puan telah memecat saya dari terus bekerja di sini.” Ujar Rafeah merendah diri. Puan Mahanna menjengilkan matanya.
“Awak gila? Pekak? Bila saya cakap nak buang awak, Peah?” Balas Puan Mahanna dengan wajah tegang. Nampak benar wanita itu marah bila dia meluahnya.
“Saya tak faham puan. Cuba puan terangkan pada saya” Ujar Rafeah dengan wajah berkerut. Puan Mahanna menggeleng-geleng.
“Saya nak awak bercuti dulu seberapa lama awak suka dengan syarat..”
“Dengan syarat apa puan?”Soal Rafeah pantas sambil merenung dalam-dalam ke wajah majikannya itu.
“Dengan syaratnya awak bawak budak tu bersama awak. Dah tak larat saya nak tengok dia hari-hari depan mata saya ni.” Ujar Puan Mahanna dengan wajah serius. Rafeah tersentak. Busuknya hati majikannya itu. Jauh benar sikapnya dengan sikap suami majikannya itu Tuan Khalid.Tuan Khalid sangat menyayangi anak-anak malang seperti Iman dan Chempaka Amna. Atau sememangnya sikap orang berada seperti Puan Mahanna itu, harus bersikap sombong dan angkuh seperti itu. Atau barangkali orang-orang seperti ini masih belum diuji. Barangkali jika TUHAN menguji mereka menjadi buta atau miskin seperti orang yang dihina-hina, bagaimana agaknya orang seperti itu? Mungkin ketika itu baru mereka benar-benar sedar, langit ini tinggi atau rendah. Isy! Apalah aku ni. Marah Rafeah pada dirinya sendiri.
“Peah! Dengar apa saya cakap tadi?” Rafeah tersentak. Dia mengangkat wajah dan merenung wajah majikannya itu.
“Ya! Saya dengar puan. Saya datang nipun nak mintak diri dan mintak izin bawa Iman ke kampung saya. Saya janji saya akan jaga dia dengan baik puan.” Beritahu Rafeah perlahan namun bersungguh menunggu reaksi dan jawapan wanita di depannya itu.
“Tak perlulah awak nak mintak izin dari saya, kan saya dah cakap, awak bawak aje.”Balas Puan Mahanna dengan nada bosan.
“Ermm…puan tolong beritahu Tuan Khalid.”Ujar Rafeah lagi. Bimbang dia dipersalahkan jika sesuatu berlaku pada anak itu.
“Iya…itu jangan awak risau.” Keluh Puan Mahanna.
“Terima kasih, puan. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Jawab Puan Mahanna sambil kembali menutup pintu. Rafeah kembali menapak menuruni anak tangga menuju ke arah Iman yang telahpun menunggu di muka pintu. Hiba hati Rafeah melihat anak malang itu.
“Kak Peah.” Panggil Iman sebaik sahaja Rafeah mendekatinya.
“Mama Hanna marahkan Kak Peah?” Soal Iman tiba-tiba.
“Tak sayang. Mama Hanna tak marahpun. Mama Hanna suruh Kak Peah jaga Iman baik-baik.” Bohong Rafeah. Sengaja menghiburkan hati anak malang itu. Iman menoleh seakan-akan Iman dapat melihat wajah Rafeah
“Mama Hanna kan benci Iman selama ni? Mama Hanna selalu marah-marah Idham.”Balas Iman sambil memegang lengan Kak Peah.
“Kak Peah tak bohong pada Iman kan?” Soal Iman dengan senyum seakan Iman dapat melihat senyumnya.
“Iman…dengar sini. Tak selamanya Mama Hanna nak marahkan Idham. Iman tak buat salah kan? Dahlah, Kak Peah rasa tu bunyi teksi kat luar tu. Jom!” Benar telahan Rafeah. Sebuah teksi muncul dan berhenti betul-betul di depan pintu pagar. Cepat-cepat Rafeah menutup pintu kemudian memimpin Iman ke kenderaan itu. Pemandunya keluar dan mendapatkan beg-beg pakaian dan dimasukkan ke dalam but kenderaannya. Rafeah menarik pintu teksi dan memimpin Iman ke dalam perut kenderaan itu. Rafeah ikut masuk dan menutupnya. Sempat Rafeah menjeling ke arah beranda di tingkat satu. Kelihatan Puan Mahanna memandang mereka dari kejauhan. Kenderaan terus bergerak meninggalkan perkarangan banglo mewah majikannya. Apapun dia berharap majikannya akan berubah sepanjang dia dan Iman tiada nanti.
Iman terdiam. Sejak kenderaan meninggalkan rumah, Iman seperti bersedih. Rafeah menjeling anak itu sambil mengelus bahu kemudian Rafeah melirik pandangannya pada pemandu teksi yang kelihatan serius memandu.
“Iman…kenapa ni? Iman sedih ya?” Tanya Rafeah mencelah antara bunyi enjin dan deru pendingin hawa teksi yang ditumpangi mereka.
“Iman rindukan Kak Amna, Kak Peah. Di mana Kak Amna? Macamana kalau Kak Amna balik nanti, kita tak ada kat rumah.” Luah Iman berbaur sebak. Rafeah terdiam. Jeling Iman sekilas ke arahnya. Bagaimana jawapan yang terbaik untuk Iman agar anak itu tidak terus risau dan sedih. Kak Peah mengelus lembut bahu Idham.
“Iman jangan risau ya sayang. Kak Amna selamat. Iman doa saja agar Kak Amna cepat balik.” Pujuk Kak Peah.
Perjalanan ke Kemaman amat memenatkan dengan melalui lebuh raya Jerangau - Jabor yang berlubang dan rosak-rosak. Agaknya sudah berapa lama jalan ini tidak dibaiki. Lebuh raya tidak bertol itulah masalahnya. Kalau berbayar sekurang-kurang ia sentiasa dipantau dan diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab. Setiap kali memilih jalan ini, pasti mulut Rafeah berkumat-kumat meluah rasa kecewa pada diri sendiri. Tiga jam perjalanan dari Kuala Terenganu ke Kemaman. Jam 7.00 malam kenderaan mula memasuki Kampung Batu 21/2,Jalan Ayer Puteh Kemaman. Tidak ada yang menunggu kepulangan Rafeah kecuali seorang ibu tua yang berusia 69 tahun, sebaik sahaja melihat kepulangan Rafeah, ibu Rafeah Makcik Zaharah terus memeluk erat sambil teresak.
“Peah mintak maaf mak. Lama Peah tak balik kampung. Bukan Peah tak ingatkan mak, tapi susah sangat nak ambil cuti mak.” Ibunya hanya tersenyum.
“Yang penting Peah balik nak.” Balas Makcik Zaharah sambil menyeka wajah yang berkedut itu dengan lengan baju kurung yang sudah lusuh itu.
“Mak..ini Iman. Iman anak majikan Peah.” Beritahu Rafeah dengan nada sebak. Entah kenapa dadanya sebak ketika menyebut nama Iman
“Iman…”
“Ya Kak Peah.” Jawab Iman sambil menghulurkan tangannya.
“Ini, Kak Peah nak kenalkan pada Iman, ini makcik, mak Kak Peah.” Ujar Rafeah sambil menarik lembut tangan Iman lantas membawa mendekatkan dengan tangan Makcik Zaharah. Makcik Zaharah menyambut tangan Iman. Iman menyalami lantas mencium tangan wanita tua itu.
“Apa khabar makcik?” Tanya Iman penuh sopan.
“Khabar baik nak.” Jawab Makcik Zaharah disusuli senyum. Rafeah ikut tersenyum.
“Makcik, Iman mintak maaf kalau nanti Iman menyusahkan makcik dan keluarga.”Ujar Iman penuh sopan. Rafeah tersenyum memandang ke wajah anak malang itu.
“Iman…” Tegur Rafeah dengan wajah berkerut, cuba menghalang Iman meneruskan kata-katanya.
“Tak apa Kak Peah. Iman cuba nak cakap pada makcik yang Iman ni buta. Tak nampak.” Pantas Iman menyambungnya. Makcik Zaharah hanya tersenyum sambil merenung wajah comel itu.
“Tak ada susah-susahpun nak. Makcik suka Iman datang. Kalau nak tinggal di sini selamanyapun tak apa nak. Iman jangan risau.” Ujar Makcik Zaharah lembut. Iman tersenyum. Rafeah ikut tersenyum.
Malam itu Iman tidur dengan lenanya. Rafeah merenung wajah itu dengan hiba. Malangnya nasib anak itu. Malam itu Rafeah saling bercerita dengan Makcik Zaharah. Beberapa kali Makcik Zaharah menyeka matanya. Tersentuh hati orang tua itu mendengar kata-kata anak malang itu.
“Peah…”
“Ya mak.” Balas Rafeah lembut.
“Kenapa majikan kamu sanggup buat macam tu?” Tanya Makcik Zaharah dengan suara yang sedikit tersekat-sekat.
“Panjang cerita mak. Kalau Peah cerita, mak jangan nak cerita pada Iman ya mak.”Balas Rafeah pantas.
“Iman tinggal dengan isteri bapak tiri, mak.” Beritahu Rafeah pada Makcik Zaharah. Orang tua itu menjengilkan matanya.
“Apa yang Peah cerita ni?”
Rafeah tersengih melihat wajah Makcik Zaharah yang mula berkerut.
“Apa yang mak tak fahamnya, ibu Iman berkahwin dengan suami Puan Mahanna. Bila ibu dia meninggal, papa membawa Iman dan kakaknya tinggal di rumah bersama dengan isteri pertamanya Puan Mahanna.” Semakin berkerut wajah Makcik Zaharah mendengar cerita Rafeah.
“Maksudnya Iman ni anak yatim?”Soal Makcik Zaharah merenung dalam ke arah Iman.
“Bukan setakat yatim mak, tapi dah yatim piatu. Papa kandungnya juga sudah meninggal.”
“Allahuakbar…insan mulia ni nak. Jagalah dengan baik anak-anak yatim piatu ni.” Getus Makcik Zaharah perlahan.
“Kakaknya mana? Kenapa Peah tak bawak balik bersama?”Soalan Makcik Zaharah tidak terus dijawab Rafeah
“Kenapa Peah?” Soal Makcik Zaharah lagi tanpa sempat mendengar jawapan Rafeah. Wajah Rafeah kelihatan serba salah. Rafeah mengensot mendekati Makcik Zaharah.
“Sytt..kalau Peah cakap, mak jangan cakap pada Iman ya.” Rafeah berbisik perlahan ke telinga Makcik Zaharah. Makcik Zaharah menggeleng-eleng dan kemudian mengangguk-angguk.
“Peahpun susah hati mak. Peah kesian tengok Iman. Dia menjadi mangsa setiap kali Puan Mahanna mengamuk.” Beritahu kak Peah lagi. Semakin menggeleng kepala orang tua itu dibuatnya.
“Manusia macamana majikan kamu tu Peah?”Soal Makcik Zaharah.
“Macam orang biasa aje mak…makan nasi jugak.” Jawab Rafeah bersahaja. Mak Zaharah tiba-tiba tertawa kecil.
“Kamu ni Peah…tak berubah-ubah. Majikan kamu tu tak ada perasaan belas ihsan terhadap orang lain dan kanak-kanak?” Ujar Makcik Zaharah dengan wajah serius.
“Entahlah mak…orang kaya. Apa dia kisah?”Balas Rafeah dengan sedikit menjuih bibirnya.
“Habis? Orang kaya tak mati? Berbuat jahat tak dibalas? Kenapa? Tuhan takut pada orang kaya?” Sela Makcik Zaharah dengan nada marah.
“Mak….yang mak marahkan Peah ni kenapa pulak?” Soal Rafeah disusuli ketawa kecil. Lucu dengan riak ibunya, Makcik Zaharah yang begitu kecewa mendengar kisah malang Iman itu.
“Majikan kamu tu tak ada anak?” Makcik Zaharah seperti tidak puas hati mendengar penjelasan rafeah.
“Ada mak…tapi dua-dua tak tinggal dengan Puan Mahanna. Belajar dan tinggal di Kuala Lumpur. Anak sulungnya dah habis belajar di luar Negara, sebab tu Mahanna marah sangat pada suaminya, Tuan Khalid. Kata Puan Mahanna, suaminya itu mengutamakan anak-anak isteri baru.” Cerita Rafeah panjang lebar. Sekali lagi Makcik Zaharah mengeleng-eleng sambil merenung wajah Iman yang sedang lena dengan penuh simpati.
“Kesiannya mak tengok budak ni. Hairan mak dengan orang yang tak ada perasaan ni Peah.” Ujar Mak Zaharah perlahan. Rafeah mengangguk-angguk mengiyakan kata-kata maknya.
“Sudahlah nak. Eloklah Peah tidur dulu. Mak tahu kamu letih.” Ujar Makcik Zaharah dengan sedih. Rafeah mengangguk. Makcik Zaharah bangkit dan berlalu sementara Rafeah mencapai sebuah bantal lantas diletaknya di sebelah Iman kemudian dengan perlahan dia merebahkan kepalanya. Akhirnya Rafeah terlena.