Home Novel Cinta MEWANGI
MEWANGI
Illya Abdullah
19/3/2015 21:22:57
12,117
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

HUJAN merenyai tiba-tiba.

Kepalanya mendongak langit. Kakinya seakan terpaku di situ.

Matanya menatap ketajaman terpaan tempias hujan yang jatuh mengguyur membasahi bumi. Dia termangu menyaksikan titik-titik hujan yang berjatuhan lalu menimpa dada tanah itu. Dia merunyupkan kelopak matanya.

Angin semilir berhembus dengan rintik-rintik hujan. Sejuk. Serentak itu dia memeluk tubuhnya. Apa yang ada di dalam fikirannya kini? Kosong?

“Lupakan dia, Zaara. Sudah tiada jodoh kalian.” Suara itu sering mengingatkan dia.

Miss!” Payung berwarna kejernihan menjadi pelindung pada rintik-rintik hujan yang menimpa.

“Tidak elok ditimpa hujan begini. Khuatiri nanti miss akan demam.” Suara itu berbicara lagi.

Dia membisu. Langsung tidak menoleh ke arah yang empunya suara. Pantas langkah diaturkan.

Miss…” Suara itu masih mengejarnya dari belakang.

Dia terus melangkah tanpa berpaling. Tidak diendah pada suara yang memanggil.


“ZA’ARA… bila kamu balik?” Wan terjerit kecil.

Langkah terhenti.

Wan meluru dan memeluk tubuhnya. Spontan dia membalas pelukan Wan.

“Balik tak mention pada aku.” Mulut mongel Wan memuncung sedikit. Mata bundar Wan mencerlung ke arahnya.

“Dah seminggu aku balik Malaysia.”

“Aku ingatkan kau tak nak balik Malaysia lagi.

Fatimah Za’ara tersenyum nipis.

“Kau hilangkan diri tanpa berita. Kau merajuk dengan siapa?”

“A… aku...”

“Sebab Nazrin berkahwin dengan sepupu kau?”

Fatimah Za’ara ingin membalas tetapi suaranya tersangkak. Ada cerita disebaliknya tidak ketahuan oleh Wan.

“Aku tak faham dengan lelaki ni, bercinta dengan orang lain tetapi berkahwin dengan orang lain pula.” Wan memeluk bahu Fatimah Za’ara.

“Wan… cinta bisa membuatkan seseorang itu bahagia dan cinta itu juga bisa membuatkan seseorang itu terluka.”

Sayu hati Wan menatap wajah Fatimah Za’ara. Wajah itu tidak lagi seceria dulu. Wajah itu sudah beku. Dingin.


MUTIARA matanya jatuh tidak tertahan. Pondok durian ini sering menjadi persinggahan tika hatinya dipalu dengan kesedihan. Hidupnya hanya menumpang kasih pada yang tidak sudi. Kotak ingatan mula berpaling kebelakang mengingati perbualan bersama Wan tempohari.

“Kau bodoh Za’ara.”

“Ya, aku bodoh.”

“Kenapa kau perlu mengalah hanya kau dambakan kasih sayang perempuan tua tu?”

Fatimah Za’ara menunduk.

“Apa yang kau dapat? kesedihan?”

Wan menggeleng.

“Perempuan tua tu tetap tak akui kau cucu dia kan?” Wan menyambung kata.

Fatimah Za’ara tidak membalas. Wan sudah tahu jawapannya.

“Aku tetap terbuang dari keluarga itu, Wan.” Fatimah Za’ara memalitkan senyuman hambar.

“Kau terlalu baik. Sedangkan kau sendiri tahu perbuatan kau itu ibarat melapah hati sendiri!”

Ada benarnya kata-kata Wan. Dia terlalu memikirkan kebahagiaan orang hingga membutakan mata dengan kebahagiaan sendiri. Hati mula merintih gila pabila kebahagiaan mereka disogok di depan mata ini.

Dia pulang ke kampung mencari ketenangan seketika walau kehadirannya tidak disenangi oleh Usu Biah. Tahu benar dia yang Usu Biah mahu jadikan rumah pusaka itu sebagai rumah

tamu. Katanya, dia yang berjasa banyak menjaga dan memperbaiki lopang-lopang rumah itu. Berpuluh ribu telah dihabiskan. Usu Biah mengungkit itu dan ini. Dia tidak melupakan jasa Usu Biah menyekolahkan dia dan menjaga dia. Dia tidak mahu bertengkar atau bermasam muka dengan Usu Biah. Usu Biah lebih berhak atas rumah pusaka itu.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.