BAB 14

"Mila, mari tolong umi kejap," panggil Ustazah Latifah.

"Banyaknya umi. Ada apa-apa ke malam ni?" Terlopong mulut Mila melihat aneka juadah di atas meja. Masih di dalam beg plastik semuanya.

"Aah. Malam ni kan ada jamuan majlis khatam al-Quran. Mila lupalah tu," senyum Ustazah Latifah.

Aduhai, menantunya! Sejujurnya ketika mula-mula Mila datang ke sini, dia tak yakin dengan tahap pembelajaran gadis tersebut. Bila diajar, lambat faham. Bila diulang semula, pun akan lupa lepas dua tiga minit.

Mila mengaku yang dia bukan normal macam orang lain. Tapi dia nak belajar agama. Bersungguh-sungguh gadis itu merayunya supaya jangan berputus asa mengajarnya ilmu Allah.

Dia pun nak masuk syurga macam orang lain, katanya Mila. Sebab itulah dengan penuh rasa terharu dan sabar, dia sebagai isteri pengetua pondok ini bersetuju mengajar Mila lebih masa dan perhatian khusus juga diberikan buat gadis itu.

Berkat kesabarannya, Mila mula menunjukkan peningkatan yang baik. Semakin hari semakin baik mutu solat, bacaan al-Quran, hadis, kefahaman fiqah, tauhid, dan pelbagai lagi cabang keilmuan Islam yang diajar di sini.

"Yalah, Mila lupa," sengih Mila.

Pantas tangannya bekerja mengeluarkan makanan dari beg plastik lalu menyusunnya elok-elok di atas meja. Diaturnya makanan dan minuman itu cantik-cantik.

"Pukul berapa jamuan tu, umi? Majlis pukul 6 petang ni kan?" tanyanya pula.

"Lepas Isyak kut. Lagipun baba nak raikan sekali kehadiran pemaju sekolah swasta moden islamik yang nak datang petang ni," jawab Ustazah Latifah.

"Pemaju tapak pembinaan sebelah tu ke?" tanya Mila lagi.

"Ya, sayang," gelak Ustazah Latifah. Mila ni selagi tak puas hati, selagi itulah dia tanya.

"Ooo..." Panjang muncung Mila sebagai tanda faham.

"Kenapa dia nak jumpa baba?" Sekali lagi, Mila bertanya.

"Adalah tu. Dengar-dengarnya, dia orang nak pakai ustaz dan ustazah kita untuk ajar subjek diniah dalam bahasa Melayu." Sabar saja Ustazah Latifah menjawab soalan Mila. Maklumlah, hanya Mila sahaja pelayan celotehnya.

Yalah, nak harapkan cucu, tak ada. Perkahwinan antara arwah anaknya dan Mila tidak dikurniakan zuriat. Namun, dia tidak menyalahkan Mila kerana puncanya terletak pada Hamdan.

Selepas membuat pemeriksaan kesuburan, anak lelakinya disahkan menghidap azoospermia. Walaupun ada harapan untuk memperoleh anak dengan kaedah in-vitro fertilization (IVF) dan intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI), namun mereka masih gagal.

Allah tidak mengizinkan mereka mendapat cahaya mata. Jadi, mereka berdua reda dengan ketentuan takdir. Anak-anak kecil yang belajar di pondok inilah akhirnya menjadi anak angkat mereka berdua.

"Bagus betul pemaju tu. Banyak saham akhirat dia dapat apabila bangunkan sekolah yang seimbang dunia akhirat," komen Mila.

"Amin," sambut Ustazah Latifah.

"Okey umi, Mila dah siap susun makanan. Ada apa-apa lagi tak yang nak Mila tolong? Jam dah nak pukul 6 petang. Kejap lagi majlis khatam nak mula," tanya Mila.

"Rasanya dah tak ada. Pergilah siap-siap untuk masuk majlis. Hari ni anak murid Mila yang nama Nini dan Fafa khatam Quran," ujar Ustazah Latifah.

"Baik, umi." Terus Mila menonong balik ke rumahnya bagi membersihkan diri.

Kembang setaman hatinya hari ini apabila dua orang muridnya berjaya khatam al-Quran. Rasa macam tak percaya pun ada. OKU pembelajaran macam dia boleh ajar budak mengaji al-Quran? Masya-Allah.

*****


"Tuan, kita dah sampai," beritahu Johar.

Zakry mencelikkan mata lalu memandang ke sekeliling. Lesu sungguh badannya dek tahap kesakitan di perutnya semakin naik. Lantas, tanpa berkata apa-apa, dia membuka pintu kereta lalu segera keluar.

Waktu hampir menginjak ke angka enam. Dia akan berjumpa dengan Kiyai Rahman di pejabat pengetua pada pukul 6.15 petang. Ada sesuatu yang harus dibentangkan kepada pengetua pusat pengajian pondok ini sebelum persepakatan dapat dicapai.

"Tuan okey ke ni?" Gusar Johar melihat majikannya.

Sejak mereka memulakan perjalanan, Tengku Zakry dilihat diam tanpa kata. Wajah lelaki berusia 30 tahun itu juga dilihat pucat tanpa seri seolah-olah sedang menanggung kesakitan.

Apatah lagi ketika dalam perjalanan yang mengambil masa lebih kurang dua jam tadi, lelaki itu banyak tidur. Sesekali, bosnya dilihat mengetap gigi dan tangannya ditekap ke perut. Nak hela nafas pun nampak seksa!

Ya, dia tahu yang majikannya selalu sakit. Tapi, tak pernah sekali pun dia tengok wajah tampan itu pucat macam tu sekali. Wajah yang tenang tetapi selalu beku itu dilihat betul-betul lain hari ini.

"Aku okey." Zakry menarik nafas panjang lalu melihat wajahnya di cermin kereta. Patutlah Johar tanya. Pucat sangat!

"Kita pergi solat dulu. Ada masa lagi lebih kurang 15 minit," putus Zakry lalu masjid di depannya dituju.

Setelah menunaikan solat Asar, dia segera menapak ke pejabat pengetua yang terletak bersebelahan dengan masjid. Setelah memberi salam, terus dia masuk dan bersalaman dengan Kiyai Rahman dan Buya Darus, si penolong kanan pondok.

"Apa khabar, Pak Kiyai?" Zakry berbasa-basi.

"Alhamdulillah, sihat." Kiyai Rahman terus mempersilakan tetamunya duduk.

"Saya datang ni untuk dapatkan pengesahan daripada Pak Kiyai pasal ustaz dan ustazah yang bakal dipinjamkan ke sekolah tu," ujar Zakry.

"Pasal waktu mengajar, gaji, kemudahan yang diberi dan semua sekali hal-hal berkaitan," sambungnya lagi.

"Pak Kiyai ada apa-apa persoalan, bantahan atau nak tambah ke? Keputusan di tangan Pak Kiyai," tanyanya pula.

Pak Kiyai segera mengambil fail kontrak yang dihulurkan oleh Zakry lalu membelek dan menelitinya buat beberapa ketika. Kemudian, laju tangannya menurunkan tanda tangan di atas kertas kontrak tersebut.

"Pak tak ada apa-apa nak tambah. Pelan tuan dah sangat baik. Tuan untung, kami pun untung." Kiyai Rahman tersenyum lebar.

Zakry yang melihat respons Kiyai Rahman terus kelu tak terkata. Semudah itu sajakah tok guru ini bersetuju dengan pelannya? Rasa macam tak percaya!

"Betul ke ni, Pak Kiyai?" tanya Zakry.

"Betul," ulang Kiyai Rahman.

"Alhamdulillah." Terus Zakry menarik nafas lega. Kerjanya selesai!

"Sebenarnya, pak tak sangka yang tuan sendiri turun padang hari ni. Biasanya, orang besar selalu suruh anak buah je," ujar Kiyai Rahman.

"Projek ni amat penting bagi saya, Pak Kiyai," sambut Zakry.

Kata-katanya terus disambut dengan ketawa ramah oleh Kiyai Rahman dan Buya Darus. Kemudian, mereka meneruskan lagi perbincangan secara serius sehinggalah azam Maghrib berkumandang.

"Kami ada buat jamuan khatam al-Quran lepas Isyak nanti. Tuan berdua jemputlah sekali. Memang kami sengaja buat masa tu untuk raikan kedatangan tuan," ujar Kiyai Rahman sebagai penutup bicara.

"Eh, susah-susah je Pak Kiyai," tolak Zakry dengan baik. Dia nak balik. Sakitnya dah berada di skala 6/10!

"Aih, tak susah pun. Jom kita solat dulu. Lepas Maghrib ni ada kuliah ringkas. Bolehlah tuan rasa dulu suasana di sini," balas Kiyai Rahman.

Zakry pula apabila melihat kesungguhan tok guru tersebut, dia tiada pilihan. Demi menjaga hati, dia turutkan kemahuan Kiyai Rahman untuk bersolat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama warga pondok.

Setelah menunaikan solat Maghrib, Zakry semakin tidak keruan. Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh ustaz yang mengajar didengar dengan separuh telinga. Berkeringat dahinya menahan sakit perut yang terasa sampai ke tulang belakang!

"Allahu akbar allahu akbar. Asyhadu alla ilaha illallah..."

Bunyi azan Isyak memenuhi atmosfera. Setelah imam iqamat dan solat Isyak dimulakan, Zakry turut bangun lalu mengangkat takbir. Dia perlu bertahan dan mahu bertahan walaupun sekarang badannya terasa teramat panas dan tali perutnya juga terasa seperti ditarik-tarik dan direnggut kuat.

"Assalamualaikum warahmatullah..."

Imam memberikan salam pertama, dan kemudian salam kedua. Namun, bagi Zakry, sebaik sahaja dia selesai memberikan salam kedua, terus dadanya terasa disentak kasar dan kemuncaknya, mulutnya memuntahkan darah.

"Tuan!" teriak Johar. Badan Tengku Zakry tumbang di bahunya kanannya.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.