BAB 11

Mila menyentuh lembut batu nisan di depan matanya. Hari ini, genap lima bulan pemergian ahli keluarganya ke alam sana. Pemergian secara tiba-tiba tanpa ucapan selamat tinggal.

"Mila, kita kena pergi sekarang." Pak Yanto berdiri di belakang Mila.

"Bagi Mila sikit je lagi masa untuk sedekahkan bacaan Yasin kepada papa." Perlahan Mila menutur kata. Dia mengharapkan agar pemandu arwah papanya itu mengerti.

"Baik. Setengah jam. Pak tunggu di kereta." Pak Yanto akhirnya akur.

Mila mengangguk faham lalu pandangannya kembali tumpah ke pusara Tan Sri Muda. Papalah yang menatijahkan dirinya terseksa, tetapi dia juga tidak mahu menyalahkan papa seratus peratus.

Itu semua salah Zakry. Ah, dia tak mahu ingat lagi pasal lelaki itu!

Selepas kritikal bertarung nyawa tempoh hari, keadaan Zakry masih belum pulih sepenuhnya. Fizikalnya susut mendadak dan mentalnya tidak stabil.

Namun begitu, apa yang menghairankan seisi warga hospital ialah Zakry disahkan sihat walaupun secara zahirnya dia nampak betul-betul sakit. Entahlah. Kini, lelaki itu dibawa berubat cara Islam pula.

Sebagai seorang isteri yang tersakiti, dia bersimpati dengan nasib suaminya. Yalah, walaupun suaminya jahat, tapi atas dasar kemanusiaan, dia tetap ada rasa empati dalam diri.

Jauh di sudut hati, dia mahu suaminya berubah. Nak sangat. Tapi, apabila dikenangkan kembali sakitnya kehilangan anak yang dikandung disebabkan perbuatan suaminya sendiri, dia berasa tidak kuat untuk meneruskan ikatan suami isteri antara mereka.

Penceraian adalah solusi terbaik buat dirinya. Memaafkan, boleh. Melupakan, amat sukar. Sampai ke mati parut luka tersebut tetap berbekas.

Natijahnya, seperti yang dipersetujui ketika akad nikah tempoh hari, dia akan kehilangan rumah agam tersebut jika dia yang memfailkan penceraian. Jadi, inilah dia sekarang.

Dia kembali menjadi orang tidak berharta. Tapi, tidaklah sampai terpaksa berumah di bawah jambatan seperti sebelum berkahwin sebelum ini.

Arwah Tan Sri Muda tetap memberikannya duit sebanyak RM 1 juta untuk memulakan hidup baru. Lelaki tua itu benar-benar menyesal mengahwinkan Mila dengan Zakry.

Jadi, dengan duit itulah dia meneruskan kelangsungan hidup sebagai wanita berstatus janda. Hidupnya kembali aman tanpa disakiti oleh sesiapa pun. Dia bahagia dengan hidupnya sekarang.

"Bismillahirrahmanirrahim. Yaasiin. Wal quranil hakim..." Merdu Mila mengalunkan bacaan surah Yasin buat arwah bapa mentuanya.

*****

"Mila yakin ke yang Mila nak duduk di pondok lagi? Dah tiga bulan lebih Mila duduk dekat sini. Tak bosan ke?" tanya Ibu Yanti.

"Yakin, bu. Mila nak dalami lagi ilmu agama." Mila tersenyum kepada Ibu Yanti.

"Kalau tu keputusan Mila, ibu tak boleh halang. Cuma ibu harap kalau Mila ada masa, jenguk-jenguklah kami berdua di rumah agam tu. Kita orang sunyi tanpa Mila." Manis Ibu Yanti berbicara.

"Abang kan ada?" Mila merujuk kepada Zakry. Panggilan abang tetap dikekalkan.

Entahlah. Sejujurnya, hatinya selesa memanggil lelaki itu dengan panggilan 'abang' kepada bekas suaminya. Walaupun Zakry jahat, tetap saja lelaki itu ayah kepada arwah anaknya.

"Tuan muda? Haih... macam tulah dia. Murung. Hari-hari duk panggil nama Mila tak henti-henti, tanya di mana Mila. Dah macam orang sasau dah gayanya. Menyesallah tu," cebik Ibu Yanti.

Dia pasti yang Tengku Zakry menyesal tak sudah dengan apa yang dia buat kepada Mila. Selepas sedar daripada koma, terus nama Mila yang disebutnya. Tapi, masa itu, Mila telah bertekad untuk menuntut cerai.

Hati Mila betul-betul tidak boleh bertahan lagi dengan perkahwinan toksik tersebut. Dengan campur tangan arwah Tan Sri Muda, perceraian mereka berlaku jua selepas dua minggu Zakry sedar.

Zakry perlu diberi pengajaran. Itu yang Mila beritahu kepadanya, Pak Yanto dan arwah papanya. Zakry tiada hak untuk hina dan pijak maruahnya sesuka hati walaupun statusnya ialah orang kelainan upaya.

Dia, Mila Adelia masih ada perasaan walaupun akalnya lambat mencerna maklumat. Dia boleh buat kerja dengan sempurna tanpa cela. Bahkan, hasil kerjanya sangat baik.

Perbuatan Zakry sebelum ini memang sangat melampau! Jadi, berpisah dan menghilangkan diri merupakan jalan terbaik supaya Zakry sedar bahawa maruah orang tidak boleh dipijak sesuka hati.

"Ibu..." Mila menggeleng sebagai isyarat supaya Ibu Yanti berhenti mengutuk Zakry.

"Ha, yelah." Ibu Yanti akhirnya akur.

"Tapi tulah, nak salahkan tuan muda pun tak boleh juga. Kata ustaz, dia jadi macam tu sebab kena santau. Santau tuju pula tu. Nasib baik umurnya masih panjang. Adalah lagi masa untuk dia bertaubat," luahnya pula.

Kadang-kadang, kesian juga hatinya kepada Zakry. Setiap kali bulan mengambang, pasti majikannya itu akan sakit teruk sampai berguling-guling dan memuntahkan darah. Hanya selepas diubati oleh perawat yang dipanggil 'ustaz', barulah keadaan beransur reda.

Tapi, keadaan itu tidak lama. Bulan depan, Zakry akan jadi macam itu juga. Kata ustaz, penangan ilmu hitam bomoh dari Siam ini bukan biasa-biasa. Bomoh itu punya ilmu tinggi. Maka, proses pengubatan menemui jalan sukar.

Namun, kata ustaz, tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah SWT. Ikhtiarlah lagi semoga suatu hari nanti, sihir tersebut dapat dihapuskan.

Disebabkan itu jugalah, dia dan Pak Yanto berusaha juga membawa Zakry berubat walaupun jika diikutkan hati, mereka tak mahu. Hati mereka pun turut tersakiti.

Kalau tidak disebabkan mahu membalas jasa Tan Sri Muda, sudah lama mereka berdua angkat kaki dari situ. Siapa saja mampu bertahan apabila dilayan seperti hamba abdi tempoh hari?

"Mila harap abang akan sembuh seperti sediakala dan semoga dia betul-betul berubah," senyum Mila lagi.

"Kalau dia berubah, Mila nak rujuk semula ke?" Ibu Yanti melontarkan soalan cepumas.

"Sedangkan Allah mengampuni hamba-Nya. Semua orang layak diberi peluang kedua. Mila maafkan abang. Tapi untuk kembali rujuk, biarlah masa yang menentukan. Kalau masih ada jodoh, insya-Allah kami akan bersatu lagi." Tenang Mila mengucapkan kata putus.

Jawapan Mila membuatkan Ibu Yanti dihurung pelbagai rasa. Betul, perlahan-lahan dia nampak Zakry sudah mulai berubah. Sudah berjinak-jinak dengan solat dan al-Quran.

Tapi, dia faham penderitaan gadis itu. Hati Mila hancur berkeping-keping. Namun, jodoh itu rahsia Allah. Manusia hanya merancang, tapi keputusan milik Allah. Kalau ada jodoh, adalah. Allahu akbar.

"Okeylah Mila. Jaga diri baik-baik tau dekat sini. Ada masa, kami datang lagi." Ibu Yanti masuk ke dalam kereta lalu melambai kepada Mila.

Pemergian Ibu Yanti dan Pak Yanto dihantar dengan pandangan sayu sehinggalah kereta mewah tersebut hilang dari pandangan. Seketika, Mila tersenyum nipis. Hari ini dan seterusnya, dia berharap agar semuanya baik-baik sahaja.

'Ya Allah ya Rahman, semoga ada sinar bahagia buatku kali ini. Sesungguhnya aku ingin mengejar cinta dan reda-Mu melebihi cinta kepada manusia. Amin.' Doa Mila di dalam hati sebelum perlahan-lahan, dia menapak masuk ke dalam rumahnya di Pondok Pengajian Agama al-Ilmi.



Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.