BAB 15

"Tuan, tuan!" Sayup-sayup kedengaran di telinga Zakry suara Johar memanggil-manggilnya.

Namun, dia tidak mampu menyahut. Rasa macam mahu putus nafasnya apabila setiap kali dia menghela nafas, paru-parunya terasa terbakar. Allahu... inilah azab yang dia perlu hadap setiap bulan.

"Tuan." Pipinya terasa ditepuk-tepuk dan bibirnya juga dilap dengan sesuatu yang kesat.

Namun, tidak lama kemudian, dia terasa dirinya yang dikelilingi oleh para jemaah beransur lapang. Udara segar mulai menerpa hidung lalu memasuki paru-parunya. Namun, semua itu tidak mampu pun mengurangkan kesakitannya.

"Astaghfirullah... Tengku Zakry..." Bergetar suara yang dikenal pasti sebagai Kiyai Rahman menerjah deria pendengarannya.

"Kamu kenapa?" seru orang tua itu lagi.

Pandangan kaburnya menangkap samar-samar imej seorang lelaki tua berserban meletakkan tangan di atas perutnya lalu melalukannya sehingga ke leher sambil mulut orang tua itu terkumat-kamit membaca sesuatu.

"La hawla wala quwwata illa billah..." Seiring dengan suara orang tua itu berlalu di telinganya, perlahan-lahan kesakitan yang ditanggungnya sejak tadi mula berkurangan sedikit.

Keadaan itu berterusan selama entah beberapa minit. Sedar tak sedar, Zakry terasa badannya dipapah keluar dari masjid lalu dibawa ke suatu tempat asing berwarna putih. Bising-bising di sekitarnya juga perlahan-lahan sirna. Dia... hanyut dalam kesakitan yang maha dahsyat.

****


"Apa yang kecoh-kecoh tu, umi?" tanya Mila.

Dia yang kini sudah pun sampai di dewan berkerut hairan. Yalah, tiba-tiba saja keadaan masjid yang aman damai tadi bertukar suasana. Jauh di matanya, dia nampak beberapa orang jemaah berkumpul di tangga masjid.

"Tak tahu. Adalah tu benda jadi. Biarlah, yang penting sekarang kita siapkan jamuan dulu," ujar Ustazah Latifah.

Jamuan majlis khatam al-Quran diadakan di dewan serbaguna bersebelahan masjid. Selepas imam membacakan doa tadi, terus mereka keluar lalu pergi ke sini untuk menguruskan hal makan minum.

"Mungkin kot." Mila terpaksa berpuas hati.

Anak-anak pondok berusia antara tujuh hingga 19 tahun mula membanjiri dewan. Orang dewasa dan warga emas yang turut tinggal di pondok ini juga turut memenuhi dewan. Apa yang penting, meriah sungguh majlis malam ini.

Namun, dalam kemeriahan tersebut, hati Mila berasa tidak tenang. Entah kenapa, tiba-tiba saja ingatannya melayang ke arah Zakry. Walaupun sudah tiga tahun mereka bercerai, susah betul untuk dia melupuskan ingatan tersebut.

Segala cacian, makian dan hinaan yang diterimanya tersemat kukuh di dalam memori. Masakan tidak ingat apabila hari-hari dia didera. Parut kesan kezaliman yang dilontarkan oleh Zakry kepadanya tetap berbekas.

Ya, dia tahu yang bekas suaminya telah berubah. Berubah seratus peratus, kata Ibu Yanti. Tapi, itulah. Hatinya yang sudah retak sukar untuk digam kembali. Dia bukan macam perempuan lain yang mudah melupakan apabila dirayu.

"Ustazah, Nini nak kek lagi." Pintaan anak muridnya yang khatam al-Quran petang tadi serta-merta mengecaikan ingatan Mila.

"Nini nak kek apa? Kek coklat? Atau... puding caramel?" tanya Mila. Tersenyum saja dia melihat keletah Nini.

"Erm... nak puding karamellah," jawab Nini.

"Okey. Nah..." Mila meletakkan sepotong puding ke dalam pinggan kek Nini.

"Terima kasih, ustazah." Nini segera kembali kepada kawan-kawannya.

Melihat telatah Nini, kali ini hati Mila dipagut sayu. Kalaulah dia tidak keguguran tiga tahun lepas, pasti anaknya sudah pun berusia dalam lingkungan umur tiga tahun.

'Ya Allah...' Mila menggigit bibir.

Dia belum cukup kuat untuk betul-betul reda dengan semua yang berlaku dalam hidupnya. Suami kiriman neraka dan suami utusan syurga, dua-dua sudah pernah dipinjamkan kepadanya.

Tengku Zakry, anak kekurangan kasih sayang yang memberontak apabila terpaksa berkahwin dengannya. Hamdan Wafiq, sang malaikat yang menerima keadaannya dengan seadanya. Oh Tuhan, sungguh dia merindui Hamdan.

"Ustazah! Ustazah!" Tiba-tiba, beberapa orang remaja lelaki berkejaran mendapatkan Mila dan Ustazah Latifah.

"Ustazah, Pak Kiyai minta segera ke bilik sakit," beritahu salah seorang daripada mereka.

"Bilik sakit? Siapa yang sakit?" Ustazah Latifah mengerutkan muka. Terus kerjanya menyusun pinggan yang berselerak terhenti.

"Kita orang tak tahu. Tapi dengar khabar, ada seorang pak cik tu pengsan lepas solat Isyak tadi," jawab pula mereka yang lain.

"Oh." Ustazah Latifah mengangguk faham. Kerjanya terus diberikan kepada petugas lain di situ.

"Mila, ikut umi," perintahnya pula kepada Mila.

Maka, berkejaranlah mereka berdua ke bilik sakit yang terletak di belakang kantin pondok. Setelah lima minit berjalan dengan kelajuan sederhana, terus keduanya menolak daun pintu bilik sakit.

Bunyi suara Kiyai Rahman membacakan ayat ruqyah saling bertingkah dengan suara erangan kesakitan daripada seorang lelaki yang terbaring dengan dipegang oleh beberapa orang lelaki dewasa.

Menggelepar orang itu setiap kali ayat yang dibacakan oleh Kiyai Rahman tiba di ayat-ayat tertentu. Namun, syukur alhamdulillah segala-galanya beransur tenang setelah beberapa ketika.

"Pak Kiyai, Ustazah Latifah dah sampai," beritahu seorang lelaki yang tadinya memegang lutut kiri pesakit.

"Buka ruang kepada ustazah untuk check fizikal Tuan Zakry," suruh Kiyai Rahman.

Mila pula sebaik sahaja nama 'Zakry' meniti di bibir bapa mentuanya, terus jantungnya berdebar kencang. Zakry itukah? Oh Tuhan, tolonglah katakan yang pesakit itu bukan Zakry yang dikenalinya!

"Mila, mari bantu umi," panggil Ustazah Latifah.

Lambat-lambat, Mila mengorak langkah perlahan mendekati katil. Beberapa orang lelaki yang mengelilingi pesakit segera memberi ruang kepada Mila untuk masuk dekat.

Maklumlah, di sini, Mila selalu menjadi pembantu Ustazah Latifah atau kelayakan sebenar isteri kepada Kiyai Rahman itu ialah doktor perubatan keluarga kalau doktor bertugas mengambil cuti.

'Ya Allah...' Terus lutut Mila terasa lembik. Hampir dia tersungkur jika tidak sempat berpaut di kerusi.

'A... abang?' Tanpa sedar, air matanya mengalir laju membasahi niqab.

"Mila? Mila!" panggil Ustazah Latifah.

Semua orang di situ segera memusatkan perhatian kepada Mila. Kenapa menantu Kiyai Rahman dan Ustazah Latifah menangis apabila melihat Tengku Zakry?

Melihatkan itu, Mila segera mengesat air lalu segera mendapatkan ibu mentuanya. Sedaya upaya dia berbuat biasa dengan tidak mengendahkan pandangan orang lain yang memandang pelik kepadanya.

"Umi nak Mila tolong apa?" tanya Mila.

"Bantu Misi Fauziah sediakan IV drip. Lemah sangat keadaan dia ni," beritahu Ustazah Latifah.

Mila segera mengangguk faham. Laju kakinya melangkah ke arah Misi Fauziah yang sedang kalut menyediakan beberapa bahan perubatan lain mengikut arahan doktor.

Mila pula hanya tolong susun bahan saja. Segala benda lain, dia tak buat. Mana dia ada kelayakan? Selepas selesai, terus dia membawanya kepada Ustazah Latifah.

Matanya melirik ke arah Zakry yang sedang mendesah sakit di atas katil. Berkeringat dahi lelaki itu menahan kesakitan yang entah di skala berapa. Jelas di matanya urat leher lelaki itu juga menegang dek terlampau sakit.

Ya, pemandangan itu sama seperti tiga tahun lepas. Di saat dirinya sendiri tengah sakit akibat ditolak oleh Zakry, lelaki itu juga menahan azab seksa sakit. Kritikal sangat keadaan Zakry ketika itu dek kehilangan darah apabila darah bagaikan air paip keluar dari rongga tubuhnya.

Uhuk! Uhuk!

Sekali lagi, Zakry batuk berdarah. Banyak pula tu sampaikan silih berganti orang terpaksa mengelap mulutnya yang dicemari darah. Zakry dilihat antara sedar tak sedar saja dengan keadaan sekeliling.

Allahu. Segera Mila menggigit bibir. Ah, tolonglah! Ya, dia benci Zakry atas perbuatan lelaki itu kepadanya dulu. Tapi, dia juga tidak kuat melihat keuzuran bekas suaminya.

'Ya Allah...' Hati Mila menangis sendiri.

Kenapa mereka dipertemukan kembali selepas tiga tahun berlalu? Padahal, dia telah sedaya upaya menyembunyikan diri daripada Zakry. Oh Tuhan, perancangan apakah ini?

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.