BAB 16

Bunyi sayup-sayup suara orang mengaji al-Quran membawa Zakry ke alam sedar. Tekaknya terasa kering dan haus sekali. Tiada air liur yang terhasil untuk ditelan. Allahu... perit sangat.

Kepalanya yang terasa berpusing dibawa toleh ke arah satu figura yang sedang tidur di atas sofa panjang. Johar rupanya. Kemudian, ingatannya dibawa ingat kembali kepada apa yang terjadi sebelum ini.

Sakit perut yang terasa hampir merenggut nyawanya pergi. Kesakitan yang sentiasa datang setiap kali 15 hari bulan kalendar qamari. Dan... sakit itu juga tiada lagi tarikh luput buat masa sekarang. Entah sampai bilalah dia harus hadap kesakitan ini.

"Johar... uhuk! Uhuk!" Batuk keras menjadi selingan apabila dia memanggil Johar.

Ya Allah, sungguh seksa azab tersebut. Tapi, azab itulah yang membuatkannya berubah sampai ke tahap ini. Sakit menginsafkan dirinya yang terlalu leka dengan dunia. 

Jika dulu dia tidak solat bahkan tidak pernah tahu pun macam mana nak solat, kini dia sudah pandai solat. Kalau dulu dia tak pernah kenal hukum agama, kini dia tahu halal haram dalam Islam.

Sungguh, hidupnya sejak kecil dilimpahi kemewahan. Dibesarkan di luar negara di mana majoriti penduduknya bukan Islam. Gaya hidupnya sangat bebas sampaikan lupa bahawa dia ada agama.

Ibu bapanya sendiri pun bukannya mengamalkan cara hidup beragama. Hanya setelah meniti usia senja, barulah kedua orang tuanya merangkak mengenal Allah. Sedangkan dia?

Kenal Malaysia ketika usia 25 tahun. Itu pun setelah dipujuk oleh ibu bapanya supaya berkhidmat di tanah air. Bila balik, terus diberi jawatan CEO. Dia pun apa lagi, enjoylah seolah-olah Malaysia sama dengan Amerika.

Selalu ke kelab malam, melanggan pelacur, dan bersekedudukan dengan Trisha, itu wajib. Perangainya yang jenis panas baran pula menatijahkan para pekerja selalu dimaki dan dihina sesuka hati.

Apabila dipaksa kahwin dengan seorang gadis miskin, dia memberontak. Tak sama taraf! Papa sangat out to date. Apa barang main kahwin paksa? Kalau nak balas jasa Mila sebab selamatkan papa, kenapa tidak papa je kahwin dengan Mila?

Demi harta, dia akhirnya tunduk dengan arahan papa. Bermulalah saatnya bergelar suami kepada seorang wanita. Walaupun pada mulanya dia terpegun dengan kecantikan Mila, namun ia terus bertukar benci apabila tahu yang gadis itu sebenarnya lembam.

Dia rasa tertipu! 

Papa ni sebenarnya betul ke tak? Kenapa kahwinkan dia si sempurna dengan Mila si OKU? Sungguh otaknya tak dapat fikir. Mungkin, Mila cuma nak kikis harta papa. Kerana itu, dia buat macam-macam kepada isterinya.

Caci, hina, dera, dan sebut saja apa dia tak pernah buat. Siap syak dan nafikan lagi anak dalam kandungan Mila. Walhal, terang lagi bersuluh itu adalah anaknya. Mila gadis suci! Sungguh dia menyesal. 

Ya Allah, sungguh masa lalunya begitu kelam. Kalaulah dia diberi pilihan, dia nak lahir dalam keluarga yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Dia nak jadi Muslim sejati.

Cukuplah gambaran neraka yang disaksikan ketika koma dahulu menginsafkannya. Jangankan selangkah, sejuta langkah dia pun dia tak mahu mendekati neraka. Subhanallah, sungguh azab hukuman bagi pendosa sepertinya!

Kerana itulah, sebaik sahaja dia sedar daripada koma, dia bersyukur kerana masih diberi peluang bertaubat. Bersungguh-sungguh dia bertaubat nasuha atas semua dosanya baik dosa besar mahupun dosa kecil.

Itu, dosa dengan Allah. Dosa dengan orang sekeliling pula? Bersungguh-sungguh dia berjumpa orang itu dan ini untuk meminta ampun. Cuma saja, ya cuma saja dia masih belum berjumpa Mila. 

Kali terakhir dia jumpa gadis itu ialah ketika hari dia melafazkan cerai di mahkamah. Namun, usai sahaja hakim menjatuhkan hukum, Mila terus menghilangkan diri sampai sekarang.

Di mana agaknya bekas isterinya itu? 

Ya, dia tahu apa yang dia buat kepada Mila tak layak untuk dimaafkan. Dia juga dah buang dari rahim Mila seketul daging yang belum ditiupkan roh. Allahu. Begitu berdosanya dia...

"Allah..." Dalam fikirannya sibuk menerawang ke masa lalu, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

"Johar... Johar!" panggilnya lagi dengan suara serak. Namun, pemuda berusia 23 tahun itu tidur mati dan siap berdengkur lagi.

Tiada pilihan, Zakry terpaksa bersusah-payah bangun sendiri dari katil lalu menapak perlahan-lahan ke arah Johar. Hanya objek yang ada di sekelilingnya sahaja tempat untuk dia berpaut.

"Johar..." gerak Zakry.

"Erm...?" Johar membuka mata lalu terpisat-pisat.

"Tuan!" Terus badannya tegak.

"Kita kena pergi sekarang," tutur Zakry perlahan. Tangannya masih menekap perut. Walaupun kesakitannya telah berlalu pergi, namun sisanya masih terasa.

"Tuan dah okey ke?" tanya Johar runsing.

"Aku ada meeting dengan Tuan Ahmad dari Dubai pukul 8.00 pagi nanti. Kalau kita tak bertolak balik sekarang, habislah," balas Zakry.

Jawapan majikannya diangguk faham oleh Johar. Jam tangan di pergelangan lengan kanannya dikerling sekilas. Pukul 5 pagi. Patutlah suara orang mengaji al-Quran kedengaran sayup-sayup melalui pembesar suara. Sudah nak Subuh rupanya.

"Mari, tuan." Pantas Johar memapah Zakry keluar dari bilik sakit.

Dia faham betapa pentingnya mesyuarat dengan Tuan Ahmad. Pak Arab itu sangat cerewet dan memang susah betul untuk menyakinkannya bagi melabur dalam sesuatu projek bertaraf mega.

"Eh, kenapa keluar?" Kiyai Rahman yang baru sahaja sampai di bilik sakit untuk melihat kondisi Zakry terus bertanya.

"Minta maaf, Pak Kiyai. Saya ada hal penting nanti. Saya terpaksa pergi sekarang," jawab Zakry. Suaranya masih lemah.

"Tak tunggu Subuh dulu?" tanya Kiyai Rahman lagi.

"Tak sempat, Pak Kiyai. Saya dan Johar akan solat je di mana-mana masjid dalam perjalanan," jawab Zakry lagi.

"Kalau macam tu, tak apalah. Hati-hati bawa kereta. Er... tuan?" Kiyai Rahman meraih tangan Zakry lalu meletakkan secebis kertas di telapak tangan anak muda itu.

"Ni Wiqayah Jibril. Amalkan. Insya-Allah semoga Allah sembuhkan tuan," beritahunya.

"Wiqayah Jibril?" Zakry mengerutkan muka.

"Wiqayah Jibril ni ayat sebagai pelindung daripada musuh nyata dan ghaib," terang Kiyai Rahman.

"A'uzubikalimatillahittammat min syarri ma kholaq. Maksudnya, dengan nama Allah Yang Maha Sempurna, aku berlindung daripada segala kejahatan yang Engkau ciptakan." Kiyai Rahman membacakan ayat tersebut.

"Oh, baik. Terima kasih banyak, Pak Kiyai. Saya kena pergi sekarang ni. Nanti saya datang lagi kalau ada hal," pamit Zakry.

"Hati-hati di jalan, nak," senyum Kiyai Rahman.

Dia melambai kepada Zakry dan Johar. Panggilan tuan sesuka hatinya saja ditukar kepada anak. Entahlah. Sungguh dia berasa yang anak muda itu baik orangnya. Tapi sayang, menderita di usia muda. 

Zakry pula apabila melihat layanan Kiyai Rahman kepadanya, dia berasa hatinya tersentuh. Entah kenapa, suasana tenang di pondok ini betul-betul menenangkan jiwanya. Kalau bukan sebab kerja, dia ingin duduk lebih lama lagi di sini.

"Tuan, nanti kita nak terus ke pejabat atau balik rumah dulu?" tanya Johar sambil matanya mengerling ke arah Zakry di kerusi belakang melalui cermin pandang belakang.

"Balik dulu. Aku nak bersihkan segala darah di badan," jawab Zakry seraya melihat kepada dirinya sendiri. Sememeh sangat!

"Baik, tuan." Akur, Johar meneruskan pemanduan dengan berhati-hati.

Dalam gelap malam, fikiran Zakry kembali menerawang ke kejadian semalam. Selain daripada Ustaz Ilyas, nampaknya Kiyai Rahman pun ada ilmu tinggi dalam rawatan Islam. Syukur alhamdulillah dia dipertemukan dengan orang tua itu.

Dalam keadaan sakit tidak terperi semalam juga, dia nampak seorang wanita separuh abad memeriksa keadaan fizikal dirinya. Doktor, mungkin. Sebabnya, masih ada lagi kapas dan plaster di tangannya bagi menutup kesan tusukan jarum branula.

Tapi, apa yang betul-betul menarik perhatiannya semalam ketika dalam keadaan separuh sedar ialah kehadiran seorang wanita berniqab di samping doktor itu. Sinar mata wanita tersebut nampak sedih memandangnya.

Entahlah nak cakap macam mana, hatinya juga turut meruntun sedih melihat mata wanita itu berkaca-kaca. Sungguh, dia berasa dekat dengan wanita berniqab tersebut. Tapi... siapa sebenarnya wanita itu? 

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.