KERETAPI Ekspress Sinaran
Pagi beroleng-oleng tubuhnya mengikut rel. Menaiki keretapi dari Pasir
Mas ke Kuala Lumpur memakan masa panjang yang amat menjemukan. Memulakan perjalanan kala sang mentari mulai
tersenyum dan menyinari alam awal pagi tadi, meredah jingga senja, kini mula
memasuki lorong malam. Jam menunjukkan 8.05 malam.
”Keretapi
Ekspress Sinaran Pagi akan tiba di Kuala Lumpur sebentar lagi. Sila pastikan
keretapi berhenti dahulu sebelum menuruni keretapi ini. Sila periksa tempat
duduk masing-masing untuk memastikan tiada barang yang tertinggal.KTM mengucapkan terima kasih kerana tuan
puan telah menggunakan perkhidmatan kami.” Suara pengumuman dari corong-corong
pembesar suara berkumandang ke seluruh gerabak keretapi itu amat melegakan Umar
yang sudah bosan sejak tadi.
Penumpang-penumpang
mula bergerak meninggalkan tempat duduk masing-masing menuju ke pintu yang
masih belum dibuka, walaupun keretapi masih bergerak.
Umar seperti
penumpang yang lain juga, bagaikan tidak sabar untuk meloloskan dirinya
daripada kotak besi yang merimaskan itu.Turun daripada koc keretapi, dia mundar-mandir di dalam stesen itu. Hari
itu, pertama kali dia menjejakkan kaki di situ. Sambil menjijit beg yang
diperbuat daripada kain kanvas berwarna hitam, dia berjalan perlahan-lahan
mencari kaunter menjual tiket. Destinasinya tidak terhenti di stesen itu
sahaja.
“Butterworth
encik! Satu tempat duduk, kelas ekonomi,” beritahu Umar sambil menghulurkan dua keping
not sepuluh
ringgit.Dia meraba-raba
kocek seluarnya kerana menyedari duit yang dihulurkannya tadi tidak mencukupi.Terketar-ketar tangannya sewaktu
menghulurkan lagi sekeping not sepuluh ringgit. Begitu mahalnya tambang. ‘Kalau
duduk atas lantai sahaja, berapa ringgit?’ Bibirnya ingin menyoal begitu.
Namun, suaranya tersangkut pula.
“Pukul berapa
tren sampai, encik?” tanya Umar sewaktu menyambut tiket dan baki wang yang
dihulurkan melalui lubang di cermin kaca, oleh penjual tiket yang berseragam
biru tua.
“20 minit lagi.
Tunggu di terminal empat, ya,” jawab lelaki berkenaan sambil tersenyum.
Umar
memerhatikan jam yang melingkari tangannya. 8.35 malam. Sempatlah dia
menunaikan solat isyak terlebih dahulu.
KocC. Seat KC11. Umar
terus berjalan di dalam gerabak dan mencari tempat duduknya. Dia terasa lega
sebaik sahaja tiba di bangku yang telah ditetapkan untuknya mengikut tiket yang
berada di tangan. Tempat duduknya di sisi tingkap. Ruang tempat duduk agak
selesa juga bagi tubuhnya yang agak kurus.
Hembusan angin
melalui jendela keretapi yang masih terbuka memasuki rongga hidungnya. Udara
yang harum dan menyenangkan menerobos ke ruang nafasnya itu menimbulkan rasa
senang pada dirinya yang sedang keletihan.
“Boleh saya
duduk di sini?”
Tiba-tiba satu
suara asing menyapa gegendang telinga Umar. Suara itu mengejutkan Umar yang
sedang asyik mengelap muka dan lengannya dengan tuala lembab. Dia mendongakkan
mukanya menatap wajah tuan punya suara yang berdiri hampir dengan kerusi yang
sedang didudukinya. Dia menjadi kaget seketika. Pertanyaan gadis itu tidak
terjawab. Matanya menatap ke wajah gadis itu. Wajah yang amat cantik. Lidahnya
kelu seketika.
“Boleh saya
duduk di sini?” soal gadis itu lagi. Gadis manis bertudung labuh berwarna
kelabu itu merenung Umar yang masih di dalam kekagetannya.
Rupa-rupanya bau
harum tadi datangnya dari gadis itu. Gadis mengulang kembali pertanyaannya
sambil tersenyum mesra kepada Umar. Dia membandingkan tulisan di tiket dengan
tulisan di kerusi.
“Koc C. Seat
KC12. Hmm... betullah.Ini
tempatnya,” ujar gadis itu lagi sambil mengulum senyuman. Dia duduk di kerusi
sambil mengeluarkan sebuah beg yang lebih kecil daripada beg pakaiannya.
Seketika kemudian, dia bangun kembali serta meletakkan beg pakaian di atas
tempat duduknya.
“Tolong jaga beg
I, ya,” pinta gadis itu sambil merenungUmar yang hanya mengangguk tanpa berkata sepatah pun.
Gadis manis
berbaju ala jubah separas buku lali berwarna kelabu dan berbelah sehingga ke
paras lutut. Namun, memakai seluar panjang berwarna senada di dalamnya. Fesyen
pakaiannya nampak sopan. Si gadis mengekori seorang lelaki dalam lingkungan
30-an tanpa menoleh lagi. Lelaki itu sedari tadi menunggu di muka pintu
gerabak. Wajah lelaki itu nampak tidak terurus dengan jambang yang
berselerakan.
Sepeninggalan
gadis, Umar menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Matanya mengerling jam di lengan.
9.05 malam. Perutnya terasa pedih. Kali terakhir dia menjamah nasi untuk hari
itu ialah selepas subuh tadi. Kemudiannya dia berangkat menuju ke stesen
keretapi Pasir Mas ditemani Pak Samad, ayahnya. Keretapi yang sedang dinaiki
mulai bergerak meninggalkan stesen keretapi Kuala Lumpur sewaktu Umar
meraba-raba ke dalam beg pakaiannya mencari beg plastik yang mengisi bekalan
makanannya.
Mak Nab, emaknya ada membekalkannya sedikit
lepat pisang dan beberapa keping biskut kering. Lepat pisang ada lagi tiga
bungkus. Biskut kering ada lagi empat keping. Air masak di dalam botol ada lagi
separuh. Umar memikir-mikir. Makanan yang mana harus dimakan terlebih dahulu.
Jika diikutkan rasa lapar makanan yang ada tidak mencukupi untuknya. Dalam pada
memikir, daun yang membaluti lepat pisang dibukanya perlahan.Lepat pisang itu mungkin akan basi jika
disimpan lebih lama.
Tak sampai lima
minit, tiga bungkus lepat pisang telah menghuni perutnya yang kosong. Umar
meneguk air dari botol dua tiga teguk. Walaupun tekaknya terasa haus benar, air
yang sedikit itu harus disimpan sedikit untuk keperluan di dalam perjalanannya
nanti. Dia cuba melihat pemandangan luar sepanjang perjalanannya. Hanya
kegelapan malam dan lampu-lampu yang menghiasi jalan raya serta bangunan di
Kuala Lumpur.
Sambil
memerhati, dia mengelamun. Dia sebenarnya berasa sesal tidak dapat melembutkan
hati ayahnya supaya tidak meneruskan pengajiannya. Dia terkenang perbualan
dengan ayahnya pada malam kelmarin.
“Umarfikirkanlah dulu
masak-masak. Barulah buat keputusan. Fikirkanlah kehidupan untuk tempoh waktu
sepuluh tahun lagi,” nasihat Pak Samad yang berada di tepi tingkap memecah
keheningan malam. Tangannya sibuk menarik benang-benang tangsi yang menjadi
bahan baginya untuk membuat jala.
“Saya dah fikir
ayah! Biar saya jadi nelayan macam ayah. Saya tak mahu teruskan pengajian tu.
Tak usahlah ayah cagarkan tanah yang sekeping itu. Itu tanah pusaka. Warisan
daripada atuk dan nenek untuk ayah,” jawab Umar dengan suara yang amat perlahan
dan kadangkala tersangkut-sangkut.
Pak Samad
menoleh seketika ke arah Umar. “Nanti anak-anak Umar pun, Umar nak suruh jadi
nelayan juga? Warisi daripada datuknya dan Umar, ayahnya?” soal Pak Samad, cuba
menyelami hati anak sulungnya itu. Menyelami sambil menyuluhnya agar nampak
jalan yang lebih jelas.
“Errr...” Lidah
Umar seolah terbelit. Dia bungkam lalu tidak mampu mengungkapkan walau satu
perkataan buat pendengaran ayahnya. Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh
ayahnya itu. Namun, perasaan tidak mahu membebankan keluarganya untuk membiayai
pengajiannya itu lebih menekan hatinya.
“Saya sudah
biasa dengan laut, bermain ombak, sampan, jala, angin, pantai...” beritahu Umar
sambil menundukkkan wajahnya. Dia masih cuba membuat ayahnya mengerti dengan
maksud hatinya.
“Ombak bukan
untuk mainan.Angin juga
bukan untuk gurauan.Apabila
perut harus di isi, ombak dan laut harus diredah.Tanpa mengira apa pun. Kadangkala, kita yang akan
menjadi isi perut laut.” Kata-kata Pak Samad bagaikan menikam hati anak muda
itu.
“Ayah mahu Umar
memilih kerjaya yang lain,” kata ayahnya. Suara Pak Samad semakin perlahan.
Matanya menunduk memerhatikan mata jala yang sedang dikaitnya.
“Kalau Umar pergi, siapa nak bantu ayah! Azim tu harus tumpukan perhatian
pada pelajaran,” pujuk Umar, masih cuba memujuk Pak Samad supaya memahami
keinginan hatinya.
“Bantu ayah
dengan kejayaan Umar. Dengan segulung ijazah, dengan jawatan yang bagus,” ulas
Pak Samad lagi tanpa memandang ke wajah Umar. Dia tetap dengan keputusannya
demi masa depan anak itu.
“Menuntut ilmu itu satu ibadah! Semuanya
ibadah! Jadi nelayan pun ibadah juga,” kata Pak Samad lagi.
Mata Pak Samad mengerling ke wajah Umar. Bibir
Umar bagaikan terkunci apabila mendengar kata-kata ayahnya itu. Perasaannya
semakin lemas, serba salah dan memberat. Segala yang diucapkan oleh ayahnya
itu, penuh bermakna dan benar belaka. Mentaati kehendak ibu dan ayahnya juga
akan menjadi amal ibadah jika dia mengikhlaskan hatinya menurut kata mereka.