HARI
itu hari pertama dia berjalan bersendirian keseorangan.Kebiasaannya
dia tidak pernah keluar ke mana-mana bersendirian. Rina Melati yakin dia akan
berjaya sampai ke universiti yang akan ditujunya walaupun tidak ditemani oleh
sesiapa. Mulai saat itu dialah bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri.
Mengharungi kehidupannya keseorangan. Dia dan semua teman-teman di rumah itu
telah diasuh supaya berdikari.
Di rumah anak yatim, mereka telah dididik
dengan ilmu agama yang tebal. Al-Quran dan hadis tidak pernah ditinggalkan.
ALLAH dan rasul mesti diberi keutamaan dan lebih dicintai. Dunia hanya
pinjaman. Akhirat sahaja yang kekal abadi. Sering mereka diingatkan oleh
ustazah, satu ayat di dalam surah at-Taubah, ayat 72 yang mengatakan, ALLAH
menjanjikan bagi semua orang beriman, lelaki mahupun wanita, syurga yang di
bawahnya mengalir sungai-sungai dan mendapat tempat yang baik di syurga ‘Adn’…
mereka memperolehi keredhaan ALLAH yang lebih besar, dan itulah keuntungan yang
sebesar-besarnya…
Rina
Melati berjalan kaki dari stesen bas Kuala Kumpur ke Puduraya melalui Jalan
Petaling. Sebenarnya dia bukan biasa di kota cosmopolitan itu. Hayunan kakinya
hanya mengikut gerak hatinya sahaja. Apabila sampai sahaja di bangunan Puduraya
itu, dia tercungap-cungap kerana penat menaiki tangga.
Suasana
di Pudu Raya sesak dengan manusia. Bising serta merimaskannya. Tiket ke
Butterworth sudah habis. Begitu kata penjual tiket di kaunter jualan tiket bas.
Malang nasibnya kerana semua tiket telah habis dijual. Jam yang tergantung di
tiang besar Puduraya telah menunjukkan angka 10.30 malam. Melepaskan lelah
seketika pinggulnya dilabuhkan pada sebuah bangku simen yang berada di
tengah-tengah ruang menunggu.
Mengapa
tidak naik keretapi? Perbualan dengan seorang wanita yang duduk di sisinya
mencetuskan satu keputusan. Dia mengucapkan terima kasih kepada wanita tua itu
lalu sekali lagi mengheret begnya menuruni tangga. Keletihan yang belum
dilampiaskan sepenuhnya. Beg yang dibawa terasa semakin berat. Seorang pemuda
berambut kerinting menegur dan cuba membantunya sebaik sahaja dia memijak anak
tangga yang terakhir.
Mahu
ke mana tanyanya. Sambil tangannya memegang beg yang ditangan Rina Melati.
Stesyen keretapi. Jawab Rina Melati. Hendak ke mana? Soal pemuda itu lagi
dengan loghat Jawa atau Indonesia yang pekat.Butterworth.
Jawab Rina Melati.
Apa
salahnya menjawab teguran orang dengan cara yang baik. Hidungnya menangkap bau
yang sangat harum daripada pemuda itu. Saya bantu kamu! Ucap lelaki itu lagi
lalu memegang tangan Rina Melati dan beg ditangan gadis itu. Tanpa banyak soal
Rina Melati terus menurut langkah kaki lelaki itu. Tak perlu berjalan ke sana.
Jauh. Beg yang kamu bawa ini berat. Keretapi terakhir ke utara jam 11.15 malam
ini. Beritahu lelaki itu lagi.
Rina
Melati, mengerling jam yang melingkari tangannya. Tinggal 20 minit lagi.
Berjalan beberapa rantai dari tempat mereka bertemu ada sebuah kereta yang
menunggu. Di dalamnya juga ada tiga orang lelaki yang warna kulitnya sama
dengan lelaki yang mula-mula tadi. Mereka berbual-bual seketika sambil
merenung-renung Rina Melati yang tercegat di sebelah beg pakaiannya. Bahasa
yang digunakan mereka sukar difahami.
“Kamu
duduk di depan sini!” tutur salah seorang daripada mereka sambil membukakan
pintu kereta untuk Rina Melati.
Rina
Melati mengangguk dan menurut tanpa kata-kata.
“Nama
kamu siapa?” soal lelaki tadi secara tiba-tiba. Suasana di dalam kereta
tiba-tiba sunyi daripada suara-suara yang sebelum ini rancak berbual.
Rina
Melati seolah tidak mendengar. Lelaki tadi menyoal sekali lagi dengan suara
yang agak kuat. Rina Melati mengeleng. Tidak semena-mena dia tidak mengingati
apa-apa lagi. Wajahnya terus selamba dan memandang ke arah depan sahaja.
“Kamu mahu ke mana perawan cantik?” soal pula
lelaki yang duduk di bangku belakang. Entah lelaki yang mana satu.
Rina
Melati mengeleng. Sesungguhnya dia tidak mengingati apa-apa lagi kecuali mahu
dirinya bersama lelaki-lelaki itu.Kedengaran suara ketawa bertali-tali daripada mereka.
Rina Melati hanya mendiamkan dirinya. Meninggalkan hiruk pikuk kota, kereta itu
bergerak ke jalan yang lebih sunyi dan akhirnya singgah di sebuah rumah entah
di mana lokasinya.
“Malam
ini tidur di sini. Keretapi malam ini sudah berlepas.” Itulah kata mereka
lantas pintu kereta dibuka. Rina Melati pun turun mengekori lelaki-lelaki tadi
masuk ke dalam rumah.
“Duduk!”
arah lelaki yang mula-mula bertemu dengannya di kaki tangga Hentian Puduraya tadi.
Rina
Melati pun duduk. Segelas air kosong dihulurkan kepadanya. Dia meneguknya tidak
berbaki walaupun setitik.
Ayuh
dong. Jangan tunggu lama-lama lagi. Rina Melati mendengar kata-kata itu tetapi
seolah-olah tidak mengerti apa-apa. Lelaki yang mula-mula tadi tiba-tiba
memegang lengannya. Tanpa dipaksa Rina Melati terus bangun dari kerusinya.
Lelaki itu membawa Rina Melati memasuki ke sebuah kamar yang tidak jauh
daripada ruang itu.
Lampu
di dalam bilik dinyalakan. Di dalam bilik itu ada sebuah katil. Sebuah almari
pakaian. Di serata dinding berselayutan seluar baju yang disangkut pada paku.
Rina Melati didudukkan di birai katil. Gadis itu sedikit pun tidak menolak.
Pintu bilik berkeriut, Rina Melati lihat semua lelaki yang bersamanya di dalam
kereta tadi sudah berada di dalam bilik dan mengelilinginya.
“Buka
pakaian kamu.” Lelaki yang mula-mula tadi terus memberi arahan. Dia juga turut
menanggalkan pakaiannya satu demi satu.
Rina
Melati tidak tahu mengapa dia harus menurut sahaja perbuatan mereka. Dia seolah
orang dungu yang tidak boleh memikir satu apa pun.
Tiba-tiba
terdengar suara orang menjerit-jerit marah di pintu dan seterusnya pintu
terkopak.Seorang
lelaki dengan suara maki hamunnya menerpa ke arah mereka. Lelaki-lelaki yang
membawanya ke rumah itu ditendang oleh lelaki yang baru masuk ke bilik tadi.
Lelaki itu bertubuh tinggi dan berbaju T biru polos. Lelaki itu sempat
melemparkan sehelai selimut entah milik siapa buat menutupi tubuh Rina Melati
yang tidak berpakaian.
Rina
Melati masih kebingungan. Selimut kumal dan berbau hapak serta bacin disambar
lantas tubuhnya ditutupi dengan kain itu. Lelaki yang membantunya tadi jelas
amat tangkas dan gagah. Keempat-empat pemuda yang cuba melakukan onar terhadap
Rina Melati terkapar bagaikan ayam kena sembelih.
“Sialan!
Kamu gunakan ilmu kepada orang yang lemah dan tidak berdaya!” Meledak suaranya
memarahi lelaki yang mula-mula bersama dengan Rina Melati tadi. Lantas
tangannya mencekak lelaki itu. Terdongak kepalanya ke atas dan mulutnya
ternganga. Hidungnya pun sudah melelehkan darah, mungkin cedera kerana ditumbuk
tadi.
“Kamu
pulihkan dia! Kalau tidak nahas!” Bentakan suaranya kuat.
Entah
mentera apa yang digunakan oleh lelaki tadi. Mentera dibaca lalu dihembuskan ke
muka Rina Melati yang terdampar di atas katil. Beberapa ketika kemudian, lelaki
itu menepuk tangan Rina Melati kuat.
Sekali
tepuk sahaja, Rina Melati seolah terjaga daripada mimpi.Dia tercengang-cengang sambil tangannya menyelak selimut
yang membalut tubuh. Jeritan dan raungannya tidak dapat dikekang lagi apabila
melihat di bawah selimut itu, dirinya tidak lagi dibungkusi pakaian yang
dipakainya siang tadi. Tudung yang menutupi rambutnya pun entah ke mana. Terasa dirinya dihumban ke dalam
perlimbahan paling dalam serta busuk.Alangkah aibnya.
Betapa
malunya dia di hadapan ALLAH pada ketika itu.Rina Melati menangis teresak-esak.
Tersedu-sedan. Mengapa perkara buruk ini berlaku kepada aku ya ALLAH?
Keempat-empat lelaki tadi, perlahan-lahan menghilangkan diri dari kamar pengap
dan sempit itu.
“Kamu
dipukau,” ujar lelaki yang telah berbudi kepadanya. Rina Melati terus teresak.
“Syukurlah. Kamu tidak sempat diapa-apakan lelaki-lelaki sial itu!” Tangannya
mengutip pakaian Rina Melati di atas lantai lalu melontarkannya ke atas tubuh
gadis itu.
“Cepat!
Pakai pakaian kau. Aku hantar kau pulang!”Suaranya tegas dan parau sesuai
dengan wajahnya yang serius. “Aku... Khalid. Khalid Afandi.” Sempat lagi dia
mengenalkan diri lalu meninggalkan Rina Melati seorang diri di bilik itu.
Dentuman
guruh dan silauan kilat mengembalikan Rina Melati ke perjalanan realitinya.
Keluhan yang berat dilepaskannya seolah melontarkan segala kedukaan yang
terpendam dijiwa selama ini. Mahukah hatinya mencintai lelaki itu? Jika
emosinya seringkali di dera, di mana tempat untuknya mengadu kasih? Benarkah
Khalid tidak menginginkan seorang wanita untuk disayangi dan dicintai?
Adakah
Umar pun mempunyai sejarah yang melukakan bersama kaum hawa, sama seperti
Khalid? Lantas tidak ingin memulai titik perhubungan dengan mana-mana gadis
pun? Rina Melati atau Eryna Natasha cuba meneka. Titik-titik hujan mulai
menimpa bumi dan bumbung keretanya. Semakin lama semakin lebat diikuti desiran
angin yang menggoyang-goyangkan dahan-dahan pokok di tepi jalan. Bunyi hon yang
kuat tiba-tiba mengejutkannya di samping silauan lampu menerjah ke anak
matanya.