Duatahun kemudian...
CUACAhari ini agak redup
sejak dari semalam. Kemungkinan bumi akan disirami hujan yang dirindukan sejak
berminggu. Semua orang sudah mengeluh kerana cuaca panas yang merimaskan. Ingin
melelapkan mata pun bagaikan tidak selesa kerana badan berpeluh.
Kaki Umar
melangkah cepat-cepat menuju ke pintu masuk perpustakaan sebaik sahaja jam
menunjukkan 10.30 pagi. Sebaik masuk ke perpustakaan, dia terus memilih tempat
duduk yang dapat memberi keselesaan untuknya mentelaah. Baru sahaja dia membuka
buku rujukannya, datang seorang gadis manis menghulurkan secebis kertas.
“Umar, ni dari
Erin. Dia minta sampaikan pada awak,” kata gadis itu dengan suara berbisik.
Cebisan kertas
itu bertukar tangan. Gadis itu beredar sebelum sempat Umar bertanya lebih
lanjut.
Umar, Rin
perlukan pertolonganmu. Rin tunggu di depan pagar luar kampus. Datang sekarang
juga. Daripada: Eryna Natasha
Umar terkejut
sejenak. Matanya memandang timbunan buku di atas meja. Terkenang pula pesanan
ayah dan ibu sewaktu kepulangannya minggu lalu. Mata ayah yang penuh harapan.
Begitu juga dengan renungan ibu. Mata adik-adiknya, Fatimah Zahra dan Azim yang
penuh dengan impian. Perasaannya dihimpit rasa serba salah. Bayangan wajah
Eryna Natasha pula seolah melekat di retina matanya. Wajah manis dengan matanya
yang redup dan mengilhamkan itu sukar dibuang dari ingatan.
Dalam rasa serba
salah, timbunan buku rujukan di atas meja semakin menyusut kerana Umar telah
mengembalikannya ke rak satu demi satu. Tak tahu apakah yang menariknya untuk
memenuhi permintaan gadis itu lalu kakinya melangkah longlai menuju ke luar
pusat sumber lantas menuju ke pagar kampus.
Eryna Natashasedia menunggu di sisi
keretanya.Dia memakai jeans biru muda dan blaus putih berlengan tiga suku. Rambutnya
yang ikal melepasi bahu bergoyang-goyang dibelai angin yang bertiup sesekali.
Wajah Eryna Natasha nampak berseri dihiasi dengan senyuman manisnya. Senyuman
semanis madu.
“Hai, Umar. Maaf
mengganggu Umar,” sapa Eryna Natasha kepada Umar sebaik sahaja ternampak
kelibat lelaki itu yang sedang menuju kepadanya.
“Masuklah, Umar.
Kita pergi bersiar,” pelawa Eryna Natasha, bersuara manja. Dia masuk ke dalam
kereta dan membuka pintu kereta dari dalam sambil mempelawa pemuda itu masuk ke
dalam kereta. Matanya merenungi Umar dengan sinar ceria. Bibirnya melempar
sekuntum senyuman yang mekar. Senyumannya tidak dibalas oleh pemuda itu.
Tajam pandangan
mata Umar kepada gadis itu seolah mata pedang yang akan mencarik apa juga yang
terkena libasannya. “Bersiar?” soalnya dengan nada terkejut. Dihatinya diintip
rasa sesal. Sesal meninggalkan pusat sumber dan buku-buku rujukan hanya kerana
pesanan seorang gadis yang tertulis pada secebis kertas. Dia rasa tertipu.
Masanya terbuang begitu sahaja. Sangkanya gadis itu benar-benar dilanda masalah
dan dia tidak keberatan untuk membantu siapa sahaja kerana menganggap semua
muslim dan muslimah sebagai saudaranya.
“Saudari tak ada
kuliah ke hari ni?” soal Umar lagi. Mukanya dijenguk ke dalam kereta memerhati
Eryna Natasha yang sedang menghidupkan enjin kereta.
“Rin tak ada mood
untuk masuk kuliah hari ni. Jomlah temankan Rin. Please!” rayu Eryna
Natasha. Pandangan matanya penuh harap.
Umar berasa
serba salah. Dahinya berkerut menandakan kotak fikirannya berasa keliru.
“Err... tadi pesanan yang saya terima, saudari meminta pertolongan,”
beritahunya jujur. Bola matanya yang hitam dan tajam menikam ke wajah gadis
yang sedang bertentang mata dengannya. Dia rasa dipermainkan. Namun, tidak ada
riak marah pada nada suara dan raut wajahnya. Hanya bola matanya merenung tajam
ke arah gadis itu.
“Kenapa nak
bersaudari-saudari dengan Rin pulak. Umar, Rin sedang minta pertolongan Umar
ni.Tolong temankan Rin
bersiar. Please!” kata Eryna Natasha seakan menangis.
“Rin...” Umar terdiam seketika. Dia cuba membiasakan
lidahnya menyebut nama ringkas gadis itu. Gadis yang baru dikenali beberapa hari kerana satu insiden kecil.
“Rin, saya nak siapkan assigment.” Umar cuba menolak
keinginan Eryna Natasha dengan cara yang paling baik.
“Okeylah, tak
mau tak apa. Rin tak mahu memaksa. It’s okay,” kata Eryna Natasha dengan
suara sedikit bergetar. Perasaan hampa cuba dibendung dengan secalit senyuman
tipis. Kemudiannya dia mengetap bibir, menahan sebak di jiwa. Kereta terus
diundurkan ke belakang, seketika kemudian Eryna Natasha memecut laju menuju ke
jalan raya besar, meninggalkan Umar yang masih berada di situ.
Walau bagaimana
pun Umar sempat melihat ada air mata yang membasahi pipi gadis itu. Perasaan
sesal pula mengambil tempat di hati pemuda itu. Salahkah dia menolak keinginan
seorang gadis? Fikirannya mula memberat. Tingkah laku Eryna Natasha tadi
menimbulkan tanda tanya dibenaknya.
Umarmenghumbankan tubuh di
atas katil sebaik sahaja sampai di bilik. Wajah Eryna Natasha yang muram
sewaktu pelawaannya ditolak tadi terbayang-bayang di matanya. Tambahan pula
apabila melihat gadis itu menangis. Perasaan bersalah menyelubunginya.
Dia
menggigit-gigit bibirnya. Nostalgia manis yang masih disimpan di dalam lipatan
hati tiba-tiba menelusuri lorong fikirannya.Intonasi suara Eryna Natasha tadi bagaikan pernah
didengarinya sebelum ini. Dia terkenang kepada Rina Melati.
Umar cuba
membuang kenangan di dalam keretapi jauh-jauh daripada ingatannya, namun
sehingga hari ini kenangan itu tetap segar dalam ingatan. Sejak pertemuan itu
dan sejak kehilangan Rina Melati pada hari pertama dia menaiki keretapi, dia
tidak pernah bertemu lagi dengan gadis yang pernah berbudi dengannya.
Setidak-tidaknya burger dan sandwich yang pernah mengisi perutnya telah menjadi
setitik darah yang mengalir di dalam tubuhnya.Dia tidak pernah bermimpi untuk bertemu dengan
gadis itu lagi. Mungkin, pertemuan di dalam keretapi itu adalah pertemuan
pertama dan terakhir.
Namun,
pertemuannya dengan Eryna Natasha mengubah pendiriannya. Eryna Natasha mirip
benar dengan Rina Melati yang pernah menyulam mimpi di atas bahunya. Yang
membezakan hanyalah cara mereka berpakaian. Rina Melati bergaya sopan dan
menutup aurat serta bertudung kepala, manakala Eryna Natasha seorang gadis
moden yang suka berpakaian seksi dan karektornya menggoda.
Mungkinkah Rina
Melati, cinta pandang pertamanya?