Home Novel Cinta Dia Lelaki Teragung
Dia Lelaki Teragung
Nkal
18/9/2017 11:06:59
111,091
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

BAB 5

           Adam dan Zahra baru sahaja selesai menjamu selera di sebuah kedai yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Zahra hanya makan separuh dari nasi yang ada. Seleranya masih terbantut. Ingatannya pada mama terlalu mendalam. Seandainya dia boleh merubah semua ini menjadi seperti dahulu alangkah bahagianya hidup dia kini. Papanya, Datuk Iskandar tidak pernah mencubitnya apatah lagi memukulnya. Namun semalam semuanya berubah hanya kerana fitnah yang ditaburkan oleh insan yang iri hati dengannya.

Perasaan kasih dan sayang yang pernah disemai di dalam hatinya berukar menjadi amarah kebencian dalam sekelip mata. Papanya berubah dari seorang ayah yang penyayang kepada seorang ayah yang membencinya sepenuh hati. Membuang dia terus dari keluarga Datuk Iskandar.

Zahra harus bangkit. Bangkit untuk melawan semua ini. Dia harus membuka langkah baru untuk meneruskan hidup ini. Untuk apa dia menangisi fitnah yang ditabur pada dia. Dia akan buktikan semua ini hanya fitnah semata-mata. Zahra pasti satu hari nanti semua ini akan terbongkar jua. Sama ada cepat atau lambat.

Adam berjalan menuju ke arah keretanya. Zahra hanya mengikut jejak Adam. Langkahnya dipercepatkan. Adam harus tahu perkara ini sebelum mereka mencari keperluan dapur untuk kegunaan dia nanti.

“Adam..”Panggil Zahra. Kini dia sudah berada di belakang Adam.

Adam berpaling. Mata Zahra berkaca. Apa yang menggangu perasaan gadis ini? Andai aku ada kuasa untuk menyeka air matamu Zahra Mawaddah.

Zahra menarik nafas panjang. “Saya ada benda nak bagitahu awak.”

“Apa dia?” Adam sedia menanti kata-kata Zahra.

“Saya terima awak. Saya sudi jadi…isteri awak.” Luah Zahra berterus terang. Hatinya tenang saat melafazkan kata-kata itu.

Adam terkesima. Andai dia boleh sujud syukur di sini. Sekarang juga dia lakukan perkara itu. Bahagianya dia rasa saat Zahra menerima dia untuk menjadi iman pada gadis itu.

“Awak ikhlas untuk menerima saya sebagai suami awak? Saya tak mahu awak buat keputusan ini kerana terpaksa. Saya faham seadainya awak menolak permintaan saya.” Adam cuba mencari kepastian disebalik persetujuan Zahra. Walaupun jauh di sudut hatinya mengharap Zahra tidak menolak permintaan dia. Namun andai itu yang Zahra inginkan dia redha. Dia tidak mahu memusnahkan kebahagiaan Zahra hanya kerana menuruti keinginannya.

“Saya dah cari jawapan ini dalam Solat Sunat Istiqarah semalam. Saya yakin dengan keputusan saya. Saya pasti Allah sudah membuka hati saya untuk menerima awak menjadi sebahagian dari hidup saya.” Jujur Zahra berterus terang. Zahra yakin dengan keputusan ini.

 “Terima kasih Zahra. Saya janji saya akan jaga awak sebaik mungkin. Terima kasih sebab sudi terima saya untuk jadi suami awak.” Adam betul-betul gembira dengan berita ini. Alhamdulilah Allah sudah makbulkan doa dia. Dia akan menjaga amanah ini sebaik mungkin.

“Kalau macam tu kita pergi cari cincin dan baju ya. Barang-barang lain saya beli kemudian.” Ajak Adam sedikit sebak di hatinya. Dia bersyukur akhirnya Allah membuka hati Zahra Mawaddah.

Jelas terpancar keceriaan di balik wajah Adam. Sayu hati Zahra.

“Awak tak perlu risau. Kita selesaikan apa yang wajib dahulu. Saya dah tak punya sesiapa lagi Adam. Hanya awak yang saya harapkan untuk menjadi pelindung saya.”Besar harapan Zahra letakkan di atas bahu Adam. Dia tidak kisah seandainya tiada hantaran yang gah seperti pengantin lain. Cukuplah dia dan Adam disatukan menjadi pasangan suami isteri yang sah.

“Baiklah.Jom.” Adam membukakan pintu kereta buat Zahra. Dia bercadang untuk mencari cincin dan baju di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur sahaja.

Sebelum masuk ke dalam kereta Adam sempat mengukir senyuman sambil mengucap syukur didalam hatinya. Dia berjanji di dalam hatinya. Dia akan memberi kebahagiaan pada Zahra. Dia akan menjadi pelindung pada Zahra.

Mereka mencari cincin di sebuah kedai emas yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman. Adam meminta Zahra memilih sendiri cincin yang diinginkan. Asalnya Zahra menolak. Dia tidak kisah cincin yang macam mana Adam nak hadiahkan untukknya.Tetapi Adam terus memaksa. Adam nak Zahra pilih sendiri kerana ini adalah hadiah paling bermakna dari Adam buat Zahra.

Zahra akhirnya akur. Dia memilih beberapa bentuk cincin yang dirasa cukup cantik.Namun kebanyakkan ditolak oleh Adam.

‘Tadi suruh pilih tapi satu pun tidak berkenan. Lebih baik awak cari sendiri Encik Adam.’Rungut Zahra dalam hatinya.

“Saya nak awak yang pilih tetapi berkenang di hati saya.” Ujar Adam membuat Zahra terkesima seketika.

Aduh.Kenapa dia boleh membaca setiap apa yang terdetik di hatiku?

“Cepat pilih.” Gesa Adam tersengih memandang Zahra yang masih kebingungan.

Akhirnya Zahra memilih sebentuk cincin yang agak mahal harganya. Memang designnyacantik. Tetapi harganya juga cantik. Namun itu yang Adam setuju untuk diberikanpada dia. Zahra cuba menolak namun dengan pantas Adam menyuruh pekerja di situ mengambil cincin itu untuk diakad pembeliannya. Sekali lagi Zahra terpaksa akur dengan kehendak Adam.

Segala keperluan penting sudah dibeli termasuk baju untuk pernikahan mereka nanti. Warna putih menjadi pilihan Adam dan Zahra. Adam bercadang untuk mengadakan majlis pernikahan di masjid berdekatan rumahnya nanti. Walaupun hanya majlis akad nikah,sekurang-kurangnya ia menjadi kenangan terindah juga buat Zahra.

Itu niatnya.

******

                “Jom.” Adam memarkirkan keretanya berhadapan Silka Hotel, Cheras.

“Kita nak pergi mana?” Soal Zahra.

“Hotel.”

Zahra pelik. Untuk apa mereka singgah di hotel ini? Rasa curiga muncul kembali. Adam Faris memang sukar untuk diramal.

“Kenapa tak keluar lagi ni? Awak tak nak temankan saya masuk dalam hotel tu ke?” Tanya Adam sejurus membuka pintu buat Zahra.

“Awak dah gila ke? Awak jangan macam-macam. Kalau ya pun sabarlah, tunggu sampai kita sah jadi suami isteri.” Balas Zahra dengan nada yang agak serius.

Adam gelak. Pasti Zahra fikir dia akan buat sesuatu yang buruk pada diri Zahra. Adam pelik kenapa dalam fikiran gadis ini terlalu sangsi dengan dirinya. Wajahnya nampak jahat sangat ke? Tapi tak mustahil kalau Zahra curiga dengannya. Dunia sekarang muka nampak baik tapi hati hanya Allah yang tahu.

“Cik Zahra Mawaddah. Saya ajak awak teman untuk booking bilik saya malam ni. Takkan awak nak saya tidur dalam kereta lagi malam ni. Tak kesian ke pada bakal suami awak ni?” Usik Adam tenang.

Zahra serba salah. Dahlah curiga dengan Adam. Disebabkan dia juga Adam terpaksa menyewa bilik di hotel. Semalam pun Adam tidur di dalam kereta. Timbul rasa simpati di hati Zahra.

“Maafkan saya.” Pinta Zahra memandang tepat ke wajah Adam.

It’s ok. Lagipun malam ini je saya tidur sini. Kalau tak ada yang menghalang esok saya dah boleh balik rumah sendiri.” Sengih Adam nakal.

Malu Zahra dengan gurauan Adam. Makin menjadi-jadi pula Adam ni sejak dia bersetuju untuk menjadi pelengkap hidup Adam.

“Jom.”Giliran Zahra pula mengajak Adam. Makin lama dia di sini makin banyak usikan-usikan nakal dari Adam nanti.

Mereka beriringan masuk ke dalam lobi Hotel Silka. Zahra mengambil tempat di sebuah kerusi sofa yang terletak di ruang lobi sementara Adam menuju ke kauter pendaftaran untuk membuat tempahan bilik.

Lima belas minit kemudian Adam menuju ke arah Zahra untuk mengajak Zahra pulang. Ada beberapa perkara yang harus mereka selesaikan termasuk menghubungi Datuk  Iskandar bagi menjadi wali kepada Zahra Mawaddah.

Tanpa sedar ada sepasang mata yang sedang memerhatikan gerak geri mereka dari jauh.

“Siapa lelaki itu? Rasanya dia bukanlah lelaki yang ada bersama Zahra sebelum ini?” Getus Sarah.

“Kau memang perempuan yang tak tahu malu Zahra. Bukan seekor kumbang yang kau biarkan madumu diisap. Bagus juga Rayyan meninggalkan kau.” Ujar Sarah berpuas hati kerana rancangan untuk mendapatkan Rayyan berhasil. Namun jauh disudut hatinya, rasa cemburu dengan kehidupan Zahra masih belum terpadam.

“Aku akan bagitahu perkara ini pada Rayyan. Biar Rayyan makin membenci kau Zahra!” Tekad Sarah setelah merakam beberapa keping gambar Zahra bersama lelaki itu. Sarah menekan pedal minyak kereta Honda Civic miliknya. Laju dia meninggalkan perkarangan hotel tersebut.

 



 

 

 

 

 

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.