Home Novel Cinta Dia Lelaki Teragung
Dia Lelaki Teragung
Nkal
18/9/2017 11:06:59
120,672
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

BAB 7

               Zahra dan Adam tiba di perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya kira-kira jam 8.30 pagi. Suasana di masjid hari ini agak lengang. Mungkin kerana hari ini merupakan hari kerja. Sengaja Adam mengambil hari kerja sebagai hari untuk mereka diijab kabulkan. Kalau tunggu sehingga hari minggu. Pasti jadual jurunikah sudah padat dengan majlis pernikahan orang lain. Adam meletakkan keretanya berhadapan pintu masuk masjid. Zahra menarik nafas panjang. Hatinya cukup berdebar. Hari ini dia akan menjadi isteri Adam. Orang yang baru dikenali selama tiga hari. Bermakna dalam tempoh 72 jam sahaja dia mengenali lelaki yang bakal menjadi suaminya.

Adam memandang Zahra sekilas pandang.

“Awak dah sedia?” Lembut Adam menuturkan pertanyaan itu.

Zahra menarik nafas sedalamnya. Bersediakah dia?

“InshaAllah. Saya dah sedia.” Ucap Zahra tenang.

Adam turun menuju ke pintu sebelah kiri. Pintu penumpang dibuka perlahan.

Zahra melangkah keluar. Cantik dia mengenakan busana berwarna putih dipandankan dengan tudung juga dari tona warna yang sama. Dilengkapi dengan veil dan tiara dia atas kepalanya. Walaupun ringkas namun masih cantik seperti wanita lain di hari pernikahan mereka.

Pagi tadi Adam datang membawa kejutan untuk Zahra. Selepas subuh Adam sudah menghubungi Zahra supaya membuka pintu rumahnya. Dengan perasaan yang penuh syak wasangka Zahra gagahkan diri juga untuk membuka pintu rumah itu.

Terpancar wajah Adam tersenyum manis memandangnya. Di sebelah Adam ada seorang wanita berusia lingkuan awal 30-an menghadiahkan senyuman buat Zahra. Zahra memandangnya pelilk.

Siapa wanita ini? Atau jangan-jangan dia…

“Ini Sofea. Jurumekap yang akan solekkan muka awak. Biar muka awak tu tampak lagi berseri.” Ujar Adam memperkenalkan Sofea kepada Zahra.

Fuhh!! Hampir tercabut jantung Zahra. Meleset semua tekaannya.

“Perlu ke? Kalau tak bersolek tak cantik?” Zahra menduga Adam.

“Bukan tak cantik. Tapi kalau wajah awak tu di solek sedikit pasti ia akan menambahkan lagi seri di muka awak yang memang dah cantik tu.” Puji Adam riang.

Sofea mengangguk. Menyokong kata-kata Adam.

“Baiklah. Silakan masuk Sofea.” Jemput Zahra.

“Saya balik dulu. Nak bersiap ada yang patut. Saya minta diri dulu.” 

“Kak.Tolong hiaskan dia cantik-cantik ya. Biar berseri macam puteri.” Ujar Adam sekilas menjeling ke arah Zahra.

Jelas tergambar kegembiraan pada raut wajah Adam. Tidak sampai rasa hati Zahra untuk melukakan sekeping hati itu. Ya Allah. Semoga aku ikhlas mencintainya nanti.  

“Baik Encik Adam.” Balas Sofea sejurus masuk ke dalam rumah bersama Zahra.

Adam berlalu meninggalkan mereka. Zahra meminta Sofea untuk duduk dahulu di sofa sementara dia membersihkan diri. Sebelum masuk ke dalam bilik, Zahra sempat menyediakan secawan Teh O buat Sofea.

Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam masjid. Zahra mencari kelibat seseorang. Hati Zahra tidak keruan. Apakah dia akan datang ke majlis ini?

Zahra tidak ditemani sesiapa kecuali Sofea. Mujur Sofea sudi menjadi temannya di hari pernikahan ini.

“Awak ok?” Soal Adam sebaik sahaja melihat wajah Zahra yang tampak tidak senang. Dia tahu apa yang difikirkan Zahra sekarang.

“Awak jangan risau. Saya pasti dia akan datang.” Pujuk Adam tenang.

 Itulah yang Zahra harapkan. Semalaman dia berdoa pada Allah. Semoga ditetapkan hati Datuk Iskandar untuk datang menjadi walinya hari ini.

Zahra duduk bersama Sofea. Tempat mereka tidak jauh dari Adam dan jurunikah masjid ini. Beberapa jawatankuasa masjid hadir untuk menjadi saksi. Hati Zahra berdebar-debar.

YaAllah. Tenangkanlah hati hambaMu ini. Pinta Zahra di dalam hatinya.

“Baiklah. Boleh kita mula sekarang?” Soal jurunikah setelah mengeluarkan beberapa dokumen dari begnya.

“Kita tunggu wali bagi pengantin perempuan dulu.” Balas Adam berharap Datuk Iskandar tidak memungkiri janjinya.

 Debar di hati Zahra kian memuncak. Tidak senang duduk dia menunggu ketibaan Datuk Iskandar yang masih belum muncul dari tadi. Kalaulah Datuk Iskandar tak datang? Adam memalingkan wajahnya pada Zahra.Dia tahu gadis itu resah. Adam memberikan sebuah senyuman. Dia mahu Zahra tenang. Dia yakin doa mereka akan dimakbulkan Allah.

“Assalamualaikum.” Sapa Datuk Iskandar mendekati mereka yang sedang menunggu ketibaan dia.

“Waalaikumussalam.”Jawab mereka serentak.

“Saya Datuk Iskandar. Wali kepada pengantin perempuan.” Datuk Iskandar mengambil tempat di sebelah jurunikah setelah memperkenalkan dirinya. Dia memberikan kad pengenalan dirinya untuk semakan.

“Semua pun dah ada ni. Apa kata kita mulakan majlis. Datuk nak nikahkan sendiri anak datuk?”Soal jurunikah tersebut.

“Saya serahkan tanggungjawab ini pada tuan. Saya datang ke sini hanya untuk menjadi wali dia. Selepas majlis ini saya dah tak ada apa-apa hubungan dengan dia.”

Tersentak jurunikah dan beberapa hadirin yang datang ke majlis itu. Mereka saling memandang. Cuba merungkai makna di sebalik kata-kata Datuk Iskandar.

“Kalau macam tu mari kita mulakan majlis ini.” Ujar jurunikah tersebut.

 Dengan lafaz bismillah, jurunikah tersebut memulakan tanggungjawabnya.

“Adam Faris Bin Tajuddin. Saya nikahkan kamu dengan Zahra Mawaddah Binti Iskandar dengan mas kahwinnya lima ribu ringgit tunai.”

“Sah?”

“Sah.” Sambut saksi-saksi yang ada.

“Alhamdulilah.”

Bacaan doa dibacakan tanda syukur kepada Illahi. Dengan sekali lafaz Zahra Mawaddah kini sudah menjadi milik Adam Faris sepenuhnya. Menitis air mata Zahra tatkala mendengar Adam menjawab nikah tadi. Dalam memanjat rasa syukur kepada Allah, Zahra berperang dengan satu perasaan rindu. Dia rindukan mamanya, Datin Khadeejah. Alangkah gembiranya hati dia seandainya Datin Khadeejah ada di sisinya kini.

“Mama,Zahra rindukan mama.” Bisik Zahra perlahan.


           *************

            Datin Khadeejah memandang ke arah pintu utama masjid. Menanti kelibat anak yang sangat dirindui. Kalaulah dia boleh berada bersama Zahra di saat-saat ini.

Datuk Iskandar bangun setelah bersalaman dengan jurunikah dan orang di sekelilingnya. Adam menghulurkan tangan penuh hormat. Datuk Iskandar menyambutnya acuh tak acuh.Dia harus berlalu dari sini dengan segera.

Zahra bangkit sejurus melihat Datuk Iskandar tergesa-gesa ingin meninggalkan majlis. Dia ingin bersalam dengan Datuk Iskandar dan mengucapkan terima kasih atas kesudiaan papanya menjadi wali. Zahra mengejar Datuk Iskandar dari belakang.

“Papa.” Panggil Zahra.

Datuk Iskandar cepat-cepat memakai kasutnya. Dia tidak mahu bertemu dengan Zahra. Anak itu sudah dibuang jauh dari hidupnya.

“Papa, tunggu. Zahra nak cakap something dengan papa. Please.” Rayu Zahra Mawaddah. Air matanya sudah bergenang di kolamnya.

Datuk Iskandar menghentikan langkahnya. Sebenarnya dia ingin cepat keluar dari sini. Dia tak mahu Datin Khadeejah merubah fikirannya setelah nampak Zahra di sini.

“Kau nak cakap apa?Cepat sikit. Aku dah lambat ni.” Jengkel Datuk Iskandar memandang Zahra.

“Zahra nak ucapkan terima kasih pada papa. Sebab papa sudi jadi wali Zahra.”

“Um sama-sama. Ada apa lagi? Kalau tak ada ada apa aku nak balik.”

Air mata Zahra mengalir juga. Bencinya Datuk Iskandar pada dia. Kenapa aku harus lalui semua ini?

Adam menghampiri Zahra. Simpati dia melihat wajah Zahra. Namun dia tidak boleh mengeruhkan lagi keadaan ini. Ada baiknya dia hanya menjadi pemerhati.

“Papa. Mama tak datang?”Terpacul soalan itu dari bibir Zahra. Dari tadi dia ingin bertanya soal ini.

“Tak. Aku tak benarkandia datang. Lagipun dia bukan mama kau lagi.” Balas Datuk Iskandar keras. Makin lama hatinya makin keras.

Zahra sebak. Apa yang diharapkan musnah akhirnya. Kerinduan ini terpaksa disimpan kukuh di dalam hati. Entah bila dia boleh meluahkan kerinduan ini.

“Zahra.”

Suara itu? Ya itu suara Datin Khadeejah. Mamanya. Zahra segera berpaling. Kelibat orang yang dirindui muncul di hadapan dia kini. Datin Khadeejah berdiri di sisi kereta suaminya. Sebak dia memandang anaknya Zahra.

Zahra tidak membuang masa. Segera dia berlari untuk mendapatkan mamanya. Namun Datuk Iskandar lebih tangkas darinya. Tangan Zahra digengam kuat. Langkah Zahra terhenti tiba-tiba.

Please papa, Zahra rindukan mama. Bagilah peluang untuk Zahra jumpa mama. Please.” Rayu Zahra meronta-ronta minta dilepaskan.

“Abang.” Datin Khadeejah memohon pengertian Datuk Iskandar.

“Dee. Ingat janji Dee pada abang semalam. Selangkah Dee datang ke sini bermaksud Dee dah tak hormatkan abang.” Ugut Datuk Iskandar tegas. Tiada kata mengalah dalam diri dia kini.

Lemah lutut Datin Khadeejah. Dia terduduk tanpa dipinta.  

“Mama!”

“Maafkan mama Zahra.” Tangis Datin Khadeejah teresak-esak.

“Papa, please. Zahra rindukan mama. Zahra nak jumpa dengan mama. Sekejap pun jadilah.” Rayu Zahra terus.

“Tidak. Aku tak akan benarkan! Jangan hampiri keluarga aku lagi lepas ini. Jangan panggil aku dengan panggilan papa. Bagi aku kau dah mati saat kau mencemarkan nama baik keluarga aku.”

Zahra menelan kata-kata setajam belati itu sedalam-dalamnya.

“Tapi papa. Zahra tak…”

“Tak apa? Kau tak mengaku yang diri kau sudah kotor? Kau nak cakap pada aku yang kau tak sedar apa yang kau buat dulu? Kenapa kau tak fikir akibatnya sebelum kau menjatuhkan air muka aku dan Datin Khadeejah?”

“Sudah Zahra! Aku tak nak tengok muka kau lagi lepas ni.” Bentak Datuk Iskandar kuat.

Datuk Iskanda rmelepaskan tangan Zahra. Langkah diatur kepada Datin Khadeejah. Perlahan tubuh isterinya diangkat.

‘Maafkan abang Dee.Abang terpaksa melukakan hati Dee.’ Datuk Iskandar cuba mengeraskan hatinya yang sedia sebak melihat tangisan Datin Khadeejah.

“Mama, mama. Zahra nakjumpa mama. Jangan buat Zahra macam ni mama. Mama!!!” Zahra terduduk setelah kereta milik papanya mula bergerak.

Kereta Datuk Iskandar berlalu meninggalkan dia dan Adam. Adam datang, Membantu Zahra untuk bangun. Dia harus menenangkan Zahra. Zahra tidak boleh bersedih seperti ini. Dia harus memujuk Zahra.

“Saya dah tak punya sesiapa lagi Adam. Mereka dah bencikan saya.” Sedu –sedan Zahra menahan tangisnya. Begitu murah air matanya gugur hari ini. Hari yang sepatutnya dirai dengan penuh kegembiraan namun terpaksa disambut dengan seribu kepedihan dan kesedihan.

“Shhh!! Siapa cakap awak dah tak ada sesiapa? Awak masih ada saya, suami awak. Saya janji saya akan menjaga awak sepenuh hati saya. Saya tak akan biarkan awak mengalirkan air mata kesedihan lagi. Saya akan menjadi pedamping setia awak. Saya akan ubati kepedihan di hati awak. Awak segalanya untuk saya.” Pujuk Adam lembut. Meletakkan tangannya tepat di atas kepala Zahra. Dia akan menjaga amanah Allah ini sebaik mungkin. Walau terpaksa berkorban nyawa.

Tanpa paksaan Zahra merelakan dirinya dipeluk Adam seeratnya.

‘Saya akan menjaga awak sehingga ke hujung nyawa saya.’ Bisik hati Adam perlahan. 

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.