TERSENYUM-SENYUM Rifhan membelek
cincin di jari manisnya. Cincin berbatu kecil yang dibeli oleh Hafsyam tanpa
mengajaknya. Kata Hafsyam, cincin itu dibeli khas untuknya. Hafsyam mahu dia
melihat cincin hadiah daripada lelaki yang menyayanginya pada hari pertunangan
mereka. Hafsyam tidak peduli harga cincin tersebut kerana harga pertunangan itu
lebih bernilai daripada apa yang ada di hadapan matanya.
Majlis
yang dihadiri saudara-mara terdekat dan jiran tetangga yang berdekatan
berlangsung dengan lancar. Hafsyam turut sama hadir di majlis itu bersama
keluarganya. Kata Azira, Hafsyam duduk di bahagian belakang dan diam di situ.
Membiarkan saudara-mara yang mewakilinya yang membuka mulut.
Emak
Hafsyam sendiri yang menyarungkan cincin ke jari manisnya. Rifhan kemudiannya
menyalami tangan wanita berhati mulia itu. Wanita yang menjaga Hafsyam sejak
kecil dan memberi sepenuh kasih sayang pada si anak yang diserahkan keadanya.
Biarpun keluarga itu bukan orang berada namun dia gembira untuk menjadi
sebahagian daripada keluarga Hafsyam.
Dahinya
dikucup oleh Hajah Amnah. Wanita itu sudah beberapa kali ditemuinya ketika
berkunjung ke rumah Hafsyam. Bermalam sehari dua, sempat juga dia turun ke
sawah, bukan membantu tapi sekadar melihat Hafsyam membantu emak dan ayahnya
menuai padi yang menguning. Suasana yang cukup berbeza yang tidak ditemuinya di
Kuala Lumpur.
“Kak
Han, handsome betul Abang Syam tadi,” puji Azira ketika melangkah masuk
ke dalam biliknya.
Rifhan
hanya ketawa kecil. Tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Hafsyam siang
tadi. Hafsyam tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik yang dihias indah itu.
Azira
merebahkan tubuhnya di atas katil. Seronok dia melihat majlis yang berlangsung
siang tadi. Dia turut sama memasang telinga ketika kedua-dua belah pihak duduk
berbincang. Alangkah baiknya jika dia yang berada di tempat Rifhan. Dialah
orang yang paling gembira dan bertuah andai dia menjadi Rifhan. Bertunang
dengan Hafsyam, lelaki yang baik, kacak dan berbudi bahasa. Semuanya ada pada
Hafsyam. Seorang lelaki yang sempurna di matanya.
“Zira!”
Rifhan menyeru nama adiknya. Tidak pula dia terfikir atau cuba memikirkan apa
yang menyebabkan Azira tersenyum-senyum sendiri.
Azira
tersentak dengan panggilan itu. Lamunannya terhenti. Dia sedang berangan duduk
bersanding di atas pelamin.
“Berangan,”
giat Rifhan.
Azira
ketawa. Memang dia sedang berangan.
“Bila
exam?” tanya Rifhan.
“Dua
minggu lagi.”
“Dah
ready?”
“Setakat
ni okey. Habis semester ni... ada lagi satu semester. Tak sabar Zira nak
habiskan. Rasa macam dah penat belajar.”
“Belajar
memang penat tapi bila dah bekerja nanti... baru Zira tahu mana yang lebih
penat. Kalau akak diberi peluang, akak nak belajar lagi. Belajar lebih seronok
dari bekerja,” ujar Rifhan. Itulah yang dirasainya sebaik sahaja melangkah ke
alam pekerjaan. Tidak ada kesempatan hendak sambil lewa, ambil mudah dengan
semua perkara.
“Tapi
belajar tak ada duit sendiri, kak,” balas Azira.
“Itu
memanglah, tapi suasana pembelajaran itu lebih menyeronokkan kalau nak
dibandingkan dengan dunia pekerjaan. Macam-macam kerenah manusia yang kita kena
hadapi.”
Azira
tersenyum. Betul juga cakap kakaknya itu. Apa-apa pun, apabila selesai
pengajian di peringkat diploma nanti, dia akan terus bekerja. Bosan rasanya
saban hari terpaksa menghadap buku dan belajar.
“Zira!
Han!”
Kedua-duanya
berpandangan. Kenal benar dengan tuan punya suara yang menjerit memanggil nama
mereka. Siapa lagi kalau bukan ibu. Apa pula halnya sampai ibu menjerit begitu?
“Dah
bunyi dah tu. Ini mesti pasal Nita lagi,” gumam Azira lalu berdiri bercekak
pinggang. Ketawa Rifhan melihat gaya adiknya. Lagaknya seperti sudah bersedia
untuk turun berperang.
“Turunlah
dulu. Kejap lagi akak turun. Nak tukar baju dulu,” usul Rifhan. Ada baiknya
Azira terlebih dahulu menunjukkan diri di hadapan ibu. Panjang bebelan ibu
nanti andai kedua-duanya masih berlengah di dalam bilik.
“Jangan
lambat sangat. Karang meletup lagi bom kat bawah.” Azira ketawa kuat lalu
melangkah keluar dari bilik Rifhan. Sebelum ibu terus membebel, ada baiknya dia
turun ke bawah.
Rifhan
hanya tersenyum. Dia juga perlu turun ke bawah sebelum ibu menjerit memanggil
namanya sekali lagi. Siapa yang hendak membantu ibu mengemas rumah setelah
majlis selesai kalau bukan dia sendiri dan Azira?
Sejak
awal pagi tadi dia yang mengemas rumah, menolak sofa dan meja kecil ke bilik
belakang dan menyediakan bahan-bahan yang hendak dimasak kerana Mak Ngah
Zawiyah tiba agak lewat. Kalau tidak kerana Mak Ngah Zawiyah yang mendesak
supaya dia naik ke atas bertukar pakaian, tentu dia masih berada di dapur lagi.
Cincin
di jari manisnya direnung lagi. Apa lagi yang hendak dibuat melainkan tersenyum
kerana dia benar-benar gembira hari ini? Telefon bimbit di dalam laci mejanya
berbunyi. Sedikit tersentak dia dibuatnya kerana terleka melayan perasaan
gembiranya. Semakin melebar pula senyumannya sebaik saja terpandang nama
Hafsyam pada skrin.
“Assalamualaikum,”
ucap Hafsyam sebaik gegendang telinganya menangkap suara Rifhan.
Rifhan
ketawa kecil. Terbayang wajah Hafsyam di ruang mata. Wajah kekasih hati yang
dirinduinya biarpun setiap hari mereka bertemu.
“Waalaikumussalam.”
“Sayang
buat apa tu?” soal Hafsyam.
“Belek
cincin. Cantik cincin ni.” Rifhan terus menjawab soalan Hafsyam tanpa
berselindung.
“Tengoklah...
siapa yang pilih. Istimewa untuk yang tersayang, bakal isteri Syam.”
Rifhan
tersenyum. Masih terasa degup jantungnya yang berlari kencang ketika Hajah
Amnah menyarung cincin tersebut ke jari manisnya.
“Terima
kasih,” ucapnya.
“Tunggu
dua bulan lagi, ya? Syam beli cincin yang lebih besar untuk Han,” ujar Hafsyam.
“Syam,
bukan harta benda atau perhiasan yang menyebabkan Han sayangkan Syam. Apa yang
Syam bagi pada Han sudah memadai. Han sayangkan Syam kerana diri Syam... kerana
apa yang ada pada Syam,” luah Rifhan.
“Untuk
Han... apa saja Syam sanggup sediakan tapi janganlah minta pergi bulan, Syam
bukan angkasawan.”
Rifhan
mengetap bibir. Lelaki itu pandai mengambil hatinya. Pandai memujuk bila dia
merajuk.
“Rugi
Syam tak dapat tengok Han tadi. Mak kata bakal menantu dia cantik, kalah Era
Fazira.”
Rifhan
tergelak tetapi mulutnya segera ditutup agar suaranya tidak didengari Hafsyam.
Adakah patut Hafsyam membandingkan dirinya dan Era Fazira? Hmm... rasanya jauh
panggang dari api.
“Agaknya
mak Syam tak pakai cermin mata tadi sampaikan Han dengan Era Fazira pun mak nak
bandingkan.”
“Tak
kisahlah, Han. Han yang lebih cantik ke... Era Fazira yang lebih cantik ke...
Syam tetap sayangkan Han. Hanya Han seorang di dalam hati Syam. Mati Syam kalau
tak dapat kahwin dengan Han. Syam terjun lombong nanti.”
“Syam,
dah berapa kali Han cakap... janganlah merapu macam tu? Syam kena ingat...
ajal, jodoh dan pertemuan di tangan ALLAH. Kita ni cuma merancang, yang
menentukan tetap ALLAH. Berdoalah Syam... moga apa yang kita impikan akan
terlaksana. Kita tetap akan menjadi suami isteri dengan izin-NYA.”
“Sebab
nilah Syam sayang sangat dengan Han. Han memang pandai berkata-kata tapi macam
mana masa sekolah dulu. BM Syam lebih baik dari Han.”
Rifhan
tergelak. Sampai ke situ perginya Hafsyam. Masih mengingati ejekan yang pernah
dilepaskan padanya kerana dia gagal menandingi Hafsyam ketika peperiksaan SPM
diumumkan.
“Okeylah,
Syam. Han nak tukar baju dan turun ke bawah. Kena tolong apa yang patut. Ibu
dah panggil tadi. Lambat turun nanti, panjang pula bebelan ibu.” Rifhan ingin
segera menamatkan perbualan mereka.
“Okey,
sayang... rindu Han sangat-sangat,” ucap Hafsyam.
“Han
pun rindu Syam juga. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Talian
segera diputuskan selepas Hafsyam menjawab salam Rifhan. Terukir senyuman di
bibirnya. Dia dan Hafsyam bakal bersatu dalam ikatan yang lebih kukuh apabila
tiba waktunya nanti.