BAIK pula mood Encik Kamarul
hari ini. Tidak marah-marah seperti selalu. Senyumannya sampai ke telinga
sebaik saja dokumen yang dihulurkan oleh Rifhan diselaknya satu per satu.
Rifhan
duduk di kerusi yang paling jauh dari Encik Kamarul. Menyampah betul dia dengan
lelaki yang seorang itu. Jika tidak mengingatkan kedudukan Encik Kamarul di
dalam syarikat itu sudah lama Encik Kamarul dihamputnya, marah dan geram.
Mesyuarat
berakhir dan Rifhan tersandar kelegaan. Hari ini dia tidak ditembak oleh
sesiapa, terutamanya Encik Kamarul yang hobinya memang menembak orang.
Kesalahan sebesar kuman pun akan dibesar-besarkan.
“Suka
nampak.” Amelia menyapa ketika melalui meja Rifhan.
Rifhan
tersengih. Terbayang senyuman Encik Kamarul di ruang mata. Bukankah lebih manis
bila tersenyum daripada menunjukkan muka garang seperti singa?
“Rifhan,
apa yang kau berangan tu?” Amelia menepuk meja Rifhan. Sengaja hendak
mengejutkan gadis bermata coklat itu daripada terus mengelamun.
Rifhan
terkejut lalu merenung wajah Amelia yang bertugas sebagai setiausaha kepada
Encik Kamarul. Dia meneruskan kata-kata yang tersimpan sejak tadi.
“Handsome
bos kau hari ni. Senyum sampai ke telinga. Mimpi apa agaknya malam tadi?”
tanyanya.
“Aku
pun perasan juga. Dalam meeting tadi, bukan main lagi dia senyum. Siap
memuji kerja kau,” balas Amelia.
“Itulah...
kembang juga punggung aku tadi. Selalunya pandang saja muka aku. Muka dia dah
jadi macam singa.”
Kedua-duanya
ketawa serentak tanpa menyedari ada sepasang mata yang memandang. Berdiri tegak
di hadapan pintu biliknya.
“Ehem...”
Zainal yang terpandang kelibat Encik Kamarul tercegat di hadapan biliknya
berdehem untuk memberi amaran kepada Amelia dan Rifhan namun kedua-duanya
begitu seronok ketawa. “Amy, sini sekejap.” Dia memanggil.
Amelia
menoleh ke arah lelaki itu. “Kau ni... tak boleh tengok aku senang sikit.”
Panjang muncungnya. Diatur juga langkahnya ke meja Zainal yang terletak selang
sebuah meja dari meja Rifhan. “Apa?”
“Sedap
kau mengutuk. Kau ketawa. Kau tak sedar bos kau dok pandang kau orang berdua,”
tegas Zainal.
“Hah? Alamak!” Berubah pucat wajah Amelia
sebaik saja mendengar kata-kata Zainal. Tanpa menoleh ke belakang dia
meneruskan langkah ke arah pantri.
Rifhan
yang menyedari perubahan mendadak pada wajah Amelia terus menghadap komputer.
Baru dia tersedar, Encik Kamarul sedang melangkah keluar dari biliknya.
“Amelia
ke mana?” tanya Encik Kamarul sambil berdiri di hadapan Rifhan.
“Pantri,
Encik Kamarul.” Rifhan cuba mengawal nada suaranya.
“Saya
nak keluar. Pesan pada dia... saya tak balik ofis hari ni,” pesan Encik
Kamarul.
Seperti
burung belatuk Rifhan hanya mengangguk. Langkah Encik Kamarul dihantarnya
dengan pandangan kelegaan.
Seketika
kemudian, Amelia menjenguk dari ruang pantri. “Mana dia?” tanyanya.
“Dah
keluar,” jawab Rifhan. Nafas ditarik dalam-dalam, kemudian dilepaskan.
Amelia
mengurut dada. Lega.
“Itulah,
nak mengumpat pun padang kiri kanan.” Zainal menyampuk. Tersenyum-senyum dia
mengingatkan kekalutan kedua-dua orang gadis itu. Tahu pun takut dengan Encik
Kamarul tetapi dengan ALLAH tidak tahu takut pula. Mengumpat orang tak kira
masa.
“Yang
kau pun satu... dah nampak tu, cakaplah awal-awal,” bebel Amelia lalu
menjegilkan matanya pada Zainal.
“Eh,
aku cakap tadi pun dah cukup baik tau. Kalau aku biarkan saja... haa padan muka
kau orang,” balas Zainal.
“Yalah...
yalah. Aku tahu aku yang salah.” Amelia mengakui kesilapannya.
“Hmm...
sedar pun.”
Rifhan
hanya memerhatikan gelagat Amelia dan Zainal yang bertekak di hadapannya. Dia
tidak mahu ambil peduli. Dia hendak menghubungi Hafsyam. Biarpun baru awal pagi
tadi mereka bertemu, ada rasa rindu yang menular di hatinya. Rindu pada si
kekasih hati yang dicintai.
“Helo!
Hafsyam ada?” Rifhan bertanya dengan sopan walaupun hatinya agak terusik kerana
telefon bimbit Hafsyam yang dihubungi dijawab oleh suara seorang wanita.
“Hafsyam
keluar sekejap. Pergi site. Dia tertinggal handphone dia,” jawab
suara tersebut.
“Oh...
okey. Tak apalah.”
“Ada
pesan?” tanya wanita tersebut.
“Minta
dia call saya nanti... Rifhan.”
“Rifhan
Ahmad?”
Agak
terkejut Rifhan mendengar gadis itu menyebut nama penuhnya. “Ya.”
“Hmm....
Syam selalu cerita pasal you. Kat PC dia ni... besar gambar you.” Gadis di
hujung talian ketawa mesra. Bagaikan sudah mengenali dirinya.
Rifhan
tersengih. Rasa bangga pun ada kerana Hafsyam meletakkan gambarnya sebagai wallpaper
pada skrin komputernya. Memang Hafsyam pernah bercerita tetapi dia hanya
ketawa. Tidak pula dia menyangka Hafsyam benar-benar meletakkan gambarnya di
situ.
“I Rania... officemate Hafsyam.” Gadis itu
memperkenalkan dirinya.
“Hai,
Rania! Terima kasih ya. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Hampa. Itu yang Rifhan rasakan. Tidak pernah Hafsyam
meninggalkan telefon bimbitnya di mana-mana jika dia menghubunginya, tetapi
kenapa hari ini lelaki itu begitu cuai?
Hampir jam 5.00 petang, barulah Hafsyam
menghubungi Rifhan. Suara Hafsyam seperti orang kepenatan. Termengah-mengah.
“Berapa
kilometer berlari?” tanya Rifhan.
Hafsyam
hanya tergelak, melepaskan keluhan keletihan.
“Berlari
Syam naik ke atas. Teringat janji Syam dengan Han. Handphone tertinggal
pula tu.”
“Han
call tadi. Orang lain yang jawab.”
“Siapa?”
“Rania.”
“Oh...
okey, sekejap lagi Syam keluar. Han nak turun ke bawah atau nak tunggu kat
atas?”
“Kat
atas ajelah. Syam sampai nanti Syam call.” Tersenyum-senyum Rifhan
sebaik mematikan talian. Selepas kejadian pagi tadi, dia mula memikirkan
permintaan Hafsyam. Lelaki itu mahu menyuntingnya sebagai isteri. Mungkin sudah
tiba masanya dia menimbangkan perkara itu. Apa gunanya dia berkorban untuk
keluarga? Beria-ia hendak membantu sedangkan ibu tidak tahu menghargai apa yang
diberikannya. Di mata ibu, cuma Anita sedangkan selama ini yang membayar bil
api dan air, yang menyediakan barang-barang dapur di rumah itu adalah dirinya.
Tidak adil namanya jika ibu masih berpihak pada Anita walaupun secara
terang-terangan Anita yang bersalah.
Rifhan keluar dari pejabat sebaik sahaja
mendapat panggilan daripada Hafsyam. Lelaki itu sudah menantinya di bawah.
Amelia dan Zainal masih meneruskan kerja mereka ketika dia keluar dari pejabat.
“Hmm...
pagi tadi muncung sedepa. Ini senyum sampai ke telinga.” Hafsyam mengusik.
Rifhan
mencebik. “Muncung salah, senyum salah.”
“Bukan
salah, tapi musykil,” giat Hisyam.
Dikenakan
topi keledar di kepala Rifhan. Gadis itu mengeluh lagi sebelum duduk di
belakangnya. Dia tahu, Rifhan memang tidak suka naik motosikal.
Seperti
biasa, kedua-dua bahunya dipaut kuat. Motosikal meluncur laju, mencelah di
antara kereta-kereta yang tersekat dek kesesakan lalu lintas. Itulah untungnya
bila menunggang motosikal tapi peratusan kemalangan jalan raya yang melibatkan
motosikal adalah yang paling tinggi.
Hafsyam memberhentikan motosikalnya di
hadapan sebuah kompleks membeli-belah. Sejak tengah hari tadi dia belum mengisi
perutnya. Terlalu sibuk melawat tapak pembinaan yang baru 50% siapnya.
“Kita
makan dulu. Syam belum lunch,” ujarnya.
“Laa...
kenapa tak lunch tadi?”
“Sibuk
sangat. Itulah... sampai terlupa handphone. Nasib baik tak ada orang
mengamuk.” Hafsyam tersengih.
Rifhan
mencebik lagi. Tahu sangat dia siapa yang dimaksudkan oleh Hafsyam. “Macamlah
Han ni suka mengamuk.”
“Memang
tak suka tapi sekali mengamuk... nyamuk pun takut.” Hafsyam bergurau kemudian
ketawa kecil.
Rifhan
turut ketawa. Mereka mendaki anak tangga masuk ke kompleks membeli-belah
tersebut lalu menuju ke restoran makanan segera. Dia mencari tempat yang
kosong, sementara Hafsyam membeli makanan untuk mereka berdua.
“Han
kena habiskan ayam tu,” ujar Hafsyam lalu meletakkan pinggan berisi dua ketul
ayam goreng di hadapan Rifhan.
“Mana
boleh habis?” Rifhan memuncung.
“Dua
ketul aje kan? Bukannya tiga.”
“Tak
habis, jangan marah.”
“Han
tu dah cukup kurus. Nanti orang kata Syam selalu dera Han, tak bagi makan.”
Hafsyam tersenyum kemudian menggigit paha ayam di tangannya.
Rifhan
tergelak namun seketika wajah cerianya berubah mendung. Teringat akan kata-kata
yang dihamburkan oleh Anita keadanya.
“Kenapa
ni? Tiba-tiba tak ceria?” tegur Hafsyam, kurang senang dengan perubahan yang
ketara pada wajah buah hatinya itu.
Rifhan
menggeleng. Kata-kata Anita menerjah ke telingnya. ‘Perasanlah... ingat dia
cantik sangat pakai baju tu. Kurus sekeping.’
“Han...”
Rifhan
merenung wajah Hafsyam. Ada sesuatu yang ingin ditanyakan kepada Hafsyam. Dia
sudah memikirkan perkara itu. Andai sebelum ini dia merasakan belum tiba
waktunya untuk dia meneruskan langkah bersama Hafsyam, tetapi setelah apa yang
berlaku pagi tadi, dia yakin itulah yang terbaik untuk dirinya.
“Betul
Syam nak kahwin dengan Han?” tanya Rifhan, wajah Hafsyam masih menjadi sasaran
matanya.
Hafsyam
berubah ceria. Seketika tadi dia dilanda resah dek kerana wajah Rifhan yang
berubah secara tiba-tiba.
“Tentulah...
Syam dah tak sabar ni.” Meleret senyuman Hafsyam.
Rifhan
tersenyum. “Bila nak hantar rombongan?”
Hafsyam
terkejut dengan pertanyaan itu. Baru malam tadi Rifhan mengatakan dia belum
bersedia. Rifhan menolak apabila dia mencadangkan agar mereka segera berkahwin.
Alih-alih hari ini Rifhan pula yang bertanyakan soalan itu.
“Bila-bila
masa saja sayang, esok pun boleh.”
Rifhan
mencubit ayam di dalam pinggan kemudian disuap ke mulutnya. Sedikit masa lagi
dia akan keluar dari rumah itu. Dia akan hidup bersama Hafsyam tapi pelajaran
Azira tidak akan diabaikan. Itu janjinya, dia akan pastikan Azira menamatkan
pengajiannya.
“Boleh
tanya sikit tak?”
Rifhan
memandang Hafsyam. “Tanyalah.”
“Kenapa
tiba-tiba Han berubah fikiran?” tanya Hafsyam.
Rifhan
tersenyum. Sudah dijangka, Hafsyam pasti akan bertanyakan soalan itu.
“Entahlah, Han cuma rasa dah tiba masanya Han keluar dari rumah tu. Tak tahan
Han kalau apa yang Han lakukan selama ini tidak pernah dihargai,” luahnya.
“Macam
orang merajuk saja gayanya.”
Rifhan
menunduk. Memang dia merajuk. Merajuk dengan sikap pilih kasih ibu. Hanya Anita
yang baik. Anita seorang yang berbakti pada keluarga mereka. Apa yang telah
dilakukannya untuk keluarga mereka tidak pernah dipandang oleh ibu. Bukan
niatnya hendakkan pujian tetapi cukuplah sekadar menghargai dan menyayangi
dirinya dan adik-adik yang lain seadilnya.
“Han
kecil hati dengan ibu.” Sememangnya dia tidak pernah berahsia dengan Hafsyam.
Malah lelaki itu yang menjadi tempat dia mencurahkan masalahnya. Lelaki yang
amat memahami keadaan dirinya.
“Apa
ibu dah buat?” tanya Hafsyam. Tentunya ada sesuatu yang telah berlaku, yang
menggores hati Rifhan.
“Entahlah...
Han rasa Han ni macam budak-budak. Benda kecil pun Han nak kecil hati tapi
masalahnya dah selalu sangat. Siapa yang boleh tahan.” Rifhan membetulkan
sandarnya. Sakit hatinya mengingatkan kebiadaban Anita.
“Apa
bendanya? Cuba cerita sikit.”
“Syam
ingat tak blaus yang Syam hadiahkan pada Han dulu tu. Han sayang baju tu. Han
cuma pakai sesekali saja. Alih-alih pagi tadi... Han cari tak jumpa. Tak ada
dalam almari Han. Tau tak Han jumpa kat mana?” Wajah Hafsyam direnung Rifhan.
“Belum
cakap, mana Syam nak tau,” Hafsyam tersengih.
“Dalam
almari Nita. Dah dipakainya. Basuh pun belum. Mana Han tak sakit hati? Han
terus marah dia. Kebetulan depan ibu dan ayah. Nita mengaku... dia ambil, dia
pinjam. Pinjam apanya? Cakap pun tidak. Itu dah kira mencuri namanya. Sudahnya
dia hina Han. Dia cakap macamlah blaus tu lawa sangat. Han pun kurus sekeping.
Mendidih hati Han. Ibu pula beria-ia sebelahkan Nita. Dah terang-terang Nita
yang salah tapi ibu suruh Han yang minta maaf pada Nita sebab Nita dah tak ada
selera nak makan. Ibu kata orang yang bersalah kena minta maaf. Mana adil? Nita
yang salah tapi Han pula kena minta maaf. Ibu memang macam tu. Dah banyak kali
sangat perkara macam ni berlaku. Semalam Zira yang kena. Nita punya pasal juga.
Hari ni Han pula, mana Nita tak naik tocang,” luah Rifhan. Masih berbaki rasa
geramnya pada Anita.
Hafsyam
merenung wajah si buah hati. Simpati dia pada kekasih yang terpaksa berhadapan
dengan perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Anita memang melampau tetapi
tidak sepatutnya Hajah Saodah melayan anak-anaknya begitu.
“Sabar
ajelah, Han. Malam ni Syam call mak. Syam ajak mak datang hujung minggu
depan. Macam mana? Boleh?” cadangnya. Emaknya pasti gembira mendengar berita
itu.
Rifhan
tersenyum kemudian menunduk. Ayam goreng di dalam pinggannya dikuis dengan
hujung jari.
“Malu
pulak dia.” Hafsyam tergelak. “Kita bertunang sekejap saja. Lepas tu terus
kahwin. Syam akan cari rumah sewa. Kita tinggal berdua. Tak ada orang nak kacau
kita. Tak ada orang yang akan sakitkan hati sayang lagi,” sambungnya selepas
itu.
ifhan
tersenyum. Bahagia rasanya mendengar perancangan Hafsyam. Tidak sabar pula dia
menanti waktunya. Menanti untuk dinobatkan sebagai isteri kepada lelaki yang
dicintainya itu.