SEMEMANGNYA Hafsyam seorang suami yang
baik. Dia berasa cukup bahagia bersama lelaki itu. Melalui kehidupan sebagai
suami isteri bersama. Setiap hari, Hafsyam menghantar Rifhan ke tempat kerja
dan menjemputnya pulang. Setelah berbincang, akhirnya Hafsyam membeli sebuah
motosikal untuk memudahkan mereka bergerak ke tempat kerja. Lebih mudah
menggunakan motosikal memandangkan kota Kuala Lumpur ini sangat sesak dengan
pelbagai kenderaan.
Jam
di tangan sudah mencecah pukul 6.30 petang. Hafsyam sudah memaklumkan akan
kelewatannya kerana di luar hujan yang lebat. Terpaksalah dia menunggu di
pejabat. Kelihatan beberapa orang pekerja lelaki mengeluarkan meja ping pong
lalu diletakkan di ruang menunggu. Masing-masing menggunakan waktu yang ada
untuk bersukan. Riuh-rendah suara mereka.
“Han,
belum balik?” sapa Nadia.
Rifhan
tersenyum. “Tunggu Syam.”
“Lambat
dia hari ni?” Nadia berdiri di hadapan meja Rifhan dengan mugdi tangan.
Singgah sebentar sebelum ke pantri.
“Shah
Alam hujan lebat. Syam belum keluar ofis. Naik motor mestilah basah nanti.”
Rifhan tertawa kecil. Simpati dia pada Hafsyam. Pernah juga Hafsyam meredah
hujan yang lebat kerana tidak mahu dia terus menunggu. Dia pula terus membebel.
Dia bimbangkan keadaan Hafsyam, hujan yang lebat membuatkan keadaan jalan raya
licin, merbahaya untuk penunggang motosikal. Hafsyam hanya memasang telinga
lalu tersenyum. Sudahnya dia terpaksa mendiamkan diri.
Telefon
bimbit yang diletakkan di atas meja berbunyi. Wajah Azira yang tertera di atas
skrin telefonnya.
“Assalamualaikum,”
ucap Rifhan sebaik menekan butang hijau.
“Waalaikumussalam.
Kak... balik lambat ke?” tanya Azira selepas menjawab salamnya.
“Shah
Alam hujan lebat. Abang Syam kat Shah Alam lagi,” jawab Rifhan lalu mencapai
sekeping keropok segera dari dalam bekas di hadapannya. Keropok yang dibelikan
oleh Hamidah ketika temannya itu pulang bercuti ke Kuala Terengganu.
“Zira
dah sampai rumah akak ni tapi sini belum hujan.Mendung aje,” ujar Azira.
“Alang-alang
Zira dah ada kat rumah ni, Zira keluarkan ikan dari peti. Akak nak masak sambal
ikan ajelah malam ni,” pinta Rifhan. Lebih mudah kerjanya nanti jika Azira
sudah mengeluarkan ikan yang masih beku dari peti sejuk itu.
“Okey...
nak suruh Zira buat apa-apa lagi tak?”
Rifhan
tersengih. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, masakan dia hendak
menolak? Azira pasti tidak akan keberatan untuk membantunya menyediakan
hidangan makan malam untuk mereka bertiga. Dia telah memberikan kunci pendua
rumah itu pada Azira. Mudah untuk Azira berkunjung ke situ selepas tamat
kuliahnya. Kata Azira, bila dia berada di rumah, ada saja yang ibu bebelkan.
Ada saja yang tidak kena di mata ibu.
“Zira
kopek bawang putih dengan bawang merah. Sayur pun ada dalam peti tu. Zira
potong sayur apa yang ada. Akak nak buat sayur campur,” ujar Rifhan.
“Okey.”
“Satu
lagi.. tolong masak nasi.”
“Okey...
ada apa lagi, puan?” tanya Azira kemudian tertawa kecil.
“Itu
saja ya, bibik. Balik nanti saya yang masak,” balas Rifhan, kemudian terus
tertawa. Dia mendengar suara tawa Azira yang bertambah kuat selepas dia
menyebut perkataan ‘bibik.’
“Ada-ada
ajelah akak ni. Okeylah... Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Rifhan letakkan telefon bimbit di atas meja. Skrin monitor di hadapannya
menjadi sasaran. E-Novel yang disiarkan di laman web Ilham Karangkraf menjadi
bahan bacaannya sementara menanti kedatangan Hafsyam.
“Lambat
balik?”
Rifhan
mendongak. Dihadiahkan senyuman pada Encik Kamarul. Ada debar yang tiba-tiba
sahaja menjengah ke dada. Bukan selalu Encik Kamarul bermanis muka dengan
pekerjanya, apatah lagi hendak bertegur sapa begitu.
“Tunggu
husband.” Ringkas jawapannya.
Kamarul
mengangguk. “Okey, saya balik dulu.” Lelaki itu meminta diri.
“Hati-hari
drive,bos,” pesan Rifhan kepada lelaki yang akan pulang memandu kereta
mewahnya ke banglo besar yang terletak di Bukit Antarabangsa itu.
Kelibat
Encik Kamarul hilang daripada pandangan matanya. Rifhan menarik nafas kelegaan.
Entah mengapa setiap kali dia berhadapan dengan lelaki itu, dia akan
menggelabah. Sakit hati mengenangkan sikapnya ketika di dalam bilik mesyuarat
tempoh hari masih berbaki. Selebihnya dia sentiasa berhati-hati bila berhadapan
dengan lelaki itu.
Jam
sudah menunjukkan pukul 7.00 malam. Nampak gayanya rakan-rakan yang bermain
ping pong masih belum berhajat untuk menamatkan permainan mereka. Rifhan
memanjangkan leher, menjenguk ke arah meja Nadia. Dilihatnya Nadia masih
menghadap komputer. Tentu Nadia juga masih punya kerja yang perlu diselesaikan.
Sebentar
saja lagi akan masuk waktu maghrib namun Hafsyam masih belum menghubunginya.
Mungkin juga Hafsyam belum keluar dari pejabatnya. Rifhan mengangkat gagang
telefon, nombor sambungan ke meja Nadia ditekan satu per satu.
“Hmm...
ada apa, Puan Rifhan?” tanya Nadia.
“Nak
solat maghrib tak?”
“Dah
masuk ke?”
“Dalam
lima minit lagi. Kita turun bawah sampai surau dah masuk waktu,” ujar Rifhan.
“Okey...
jomlah.”
Rifhan
meletakkan gagang telefon. Beg berwarna merah berisi kain telekung di bawah
mejanya segera dicapai. Nadia juga sudah bersedia untuk melangkah keluar dari
tempatnya.
“Kau
banyak kerja ke?” tanya Rifhan sambil menyaingi langkah Nadia.
“Ada
lagi sikit, belum habis. Kalau tak siapkan hari ni, esok bertambah lagi,” jawab
Nadia.
Kedua-duanya
melangkah ke arah ruang menunggu lif. Waktu-waktu begitu tentunya cuma dua atau
tiga buah lif sahaja yang berfungsi.
Hampir
lima minit menunggu, barulah pintu lif terbuka. Ada dua orang lelaki di dalam
kotak lif tersebut. Nadia membalas senyuman salah seorang daripada mereka.
Mereka sering terserempak di kawasan bangunan itu tetapi tidak pernah bertegur
sapa.
Rifhan
menekan butang nombor dua. Sebuah surau yang agak besar dan selesa disediakan
di bangunan itu tapi ada juga syarikat yang menyediakan surau di ruang pejabat.
Lebih mudah untuk pekerja menunaikan solat di pejabat.
Pintu
lif terbuka di tingkat dua. Rifhan dan Nadia segera melangkah keluar.
“Sempat
senyum-senyum ya?” giat Rifhan lalu menjeling ke arah Nadia di sisinya.
Nadia
tersengih. “Senyum pun salah ke?”
“Senyum
ada makna tu...”
Nadia
tertawa kecil. “Merepek saja kau ni. Bukannya aku kenal dia pun tapi dah dia
senyum tadi. Aku senyumlah balik, buat tak tau nanti dikata sombong pula.”
Nadia membela diri.
Rifhan
hanya menggeleng. Nadia boleh memberi apa saja alasan tetapi apa yang pasti dia
dapat merasakan ada tarikan di antara kedua-duanya. Sudah beberapa kali mereka
terserempak dengan lelaki tersebut dan kedua-duanya pasti akan berbalas
senyuman.
HAFSYAM tiba di pejabatnya ketika jam
mencecah jam 8.00 malam. Katanya, hujan sudah beransur reda lalu dia terus
sahaja keluar dari pejabat. Entah bila baru hujan akan berhenti. Perutnya sudah
berkeroncong. Seperti biasa, Rifhan membonceng motosikal. Isterinya kini sudah
tidak kekok duduk di belakangnya.
“Han,
kita singgah makan dulu! Syam dah lapar!” jerit Hafsyam agar Rifhan dapat
mendengar suaranya. Mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat yang masih
berwarna merah.
“Zira
ada kat rumah, Syam. Han dah suruh dia masak nasi dan keluarkan barang nak
dimasak,” balas Rifhan.
Terdiam
Hafsyam untuk seketika. Azira berada di rumah mereka. Hakikatnya dia kurang
bersetuju apabila Rifhan memberi kunci pendua rumah itu kepada Azira namun
didiamkan sahaja kerana bimbang Rifhan berkecil hati pula. Rifhan dan Azira
memang rapat. Tidak adil pula dia menghalang, apatah lagi Azira juga senasib
dengan Rifhan, menjadi mangsa ketidakadilan ibu mereka.
“Han
tak penat ke nak masak? Dah lewat ni. Lagipun Syam dah lapar sangat. Jenuh
menggigil nanti nak tunggu Han masak,” ujar Hafsyam. Dia benar-benar bermaksud
dengan kata-katanya. Dalam keadaan kesejukan begitu, perutnya memang sudah
tidak mampu bertahan.
Giliran
Rifhan pula yang terdiam. Simpati pada Hafsyam.
“Okey...
kita berhenti makan dulu, nanti belikan untuk Zira. Nasi yang dah masak kat
rumah, esok Han buat nasi goreng,” ujarnya kemudian.
Lebar
senyuman Hafsyam mendengar kata-kata Rifhan. Dapatlah dia menikmati makan malam
bersama isterinya malam ini tanpa gangguan sesiapa.
Hafsyam
membelok motosikalnya ke arah deretan gerai makan yang pernah dikunjungi
sebelum ini. Rifhan gemar masakan yang disediakan di salah sebuah gerai di
situ.
“Nak
makan kedai biasa ke?” tanya Hafsyam sebaik sahaja enjin motosikalnya
dimatikan.
Rifhan
menoleh ke arah deretan gerai tersebut.
“Kita
cuba gerai hujung sana pula. Tak pernah makan kat situ,” cadang Rifhan.
“Okey.”
Rifhan
segera turun dari motosikal, Hafsyam juga segera berbuat demikian. Dibantu
Rifhan menanggalkan topi keledarnya. Kedua-duanya melangkah ke arah gerai yang
dimaksudkan oleh Rifhan. Belum pun sempat mereka duduk, telefon bimbit Rifhan
di dalam beg tangan pula berbunyi. Segera Rifhan mengeluarkan telefon bimbit
dan mendapati panggilan daripada Azira. Tepat sekali jangkaannya, wajah Azira
yang muncul di skrin telefon bimbitnya.
“Assalamualaikum.”
Rifhan memberi salam.
“Waalaikumussalam.
Lambat lagi ke, kak? Zira dah lapar ni,” rungut Azira.
Rifhan
terus jatuh simpati pada adiknya. Azira pasti akan bertambah marah apabila
mendapat tahu dia dan Hafsyam makan di luar.
“Sorry, Zira. Abang Syam dah lapar sangat. Kalau
balik rumah baru nak masak, memang menggigillah dia nanti. Kami singgah makan
dulu,” ujar Rifhan.
“Akak
ni, tak patut tau... Zira pun lapar juga,” omel Azira.
Rifhan
segera duduk bersebelahan dengan Hafsyam. Suaminya sedang melihat menu yang
baru saja diletakkan di atas meja.
“Jangan
marah. Okey... Zira nak makan apa? Akak belikan.” Rifhan cuba mengambil hati
adiknya.
“Hmm...
beli tom yam campur ajelah. Zira dah masak nasi.”
Rifhan
tersenyum. Kasihan Azira, tentu adiknya itu juga sedang kelaparan.
“Makan
apa-apa yang ada kat rumah tu. Asalkan Zira boleh bertahan sementara akak
balik. Okeylah, akak nak order makanan.” Talian diputuskan. Kasihan juga
dia pada Azira, beria-ia dia menyuruh Azira mengopek bawang dan mengeluarkan
ikan dari peti sejuk. Sudahnya, dia dan Hafsyam makan di luar.