Home Novelet Seram/Misteri Roh Rumah Sewa Raya
Roh Rumah Sewa Raya
NaimTamdjis
5/7/2016 14:22:59
91,429
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 9

Mail Keding yang kini berada di laman rumah Deris Mamak terkedu melihat rumah peninggalan keluarga Deris Mamak. Rumah Deris Mamak adalah seperti rumah tinggal yang menyeramkan. Beberapa bahagian dinding rumah kayu terkopak. Malah ada yang dimakan anai-anai. Bumbung ada yang terkopak. Tingkap pula dibiarkan terbuka. Keadaan dalam rumah sangat gelap. Lagi menambahkan keseraman bawah rumah penuh dengan sampah sarap dan semak samun. Lalang meninggi.

“Kau boleh tinggal seorang diri di sini Deris? Kalau teman idoklah,” kata Mail Keding.

“Dah ini sahaja harta peninggalan arwah keluarga aku.”

“Gelap je?”

“Karen kena potong. Lama dah. Marilah masuk ke dalam rumah. Nak ambil barang kejap dalam bilik,” ajak Deris Mamak lalu melangkah ke arah tangga rumahnya.

Mail Keding mengikutnya dari belakang. Apabila sampai di tangga, Mata Mail Keding meliar memandang rumah papan Deris Mamak.

“Berapa lama rumah ini ditinggalkan Deris?” tanya Mail Keding,

“Dalam 5-6 tahun kot. Jomlah masuk. Maaflah rumah aku memang buruk,” kata Deris Mamak berbahasa basi.

Dia mula melangkah memijak anak tangga. Berkeriut bunyi anak tangga dipijak. Mail Keding terpandang jejak langkah Deris Mamak. Ada sisa tanah.

“Deris... Kau tak pakai selipar ke?” tanya Mail Keding kehairanan.

Deris Mamak menoleh ke arah Mail Keding lalu tersenyum hambar.

“Manusia berasal dari tanah. Maka mengapa jijik dengan tanah? Kita matipun tanpa apa apa akan kembali ke dalam tanah,” jawab Deris Mamak sinis.

“Yelah. Nanti terpijak paku ke apa? Kita lalu kebun kot. Mungkin ada duri.”

“Aku dah biasa Mail. Marilah masuk,” kata Deris Mamak lalu membuka pintu rumah.

“Skretttt,” berkeriut bunyi pintu rumah dibuka oleh Deris Mamak.

Dia terus masuk ke dalam rumah yang gelap.

“Ish Deris ni. Biar betul rumah gelap suruh aku masuk. Berani betul dia ni. Dia nak pasang pelita kot?” gumam Mail Keding sendiri lalu mula melangkah naik. Baru sahaja di pertengahan Mail Keding berhenti melangkah.

“Hehehe,” dia terdengar seseorang tersengih sayup sayup kedengaran.

Mail Keding menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang tersengih. Keadaan di sempadan kawasan dan laman tidak nampak kelibat manusia.

“Aik? Siapa yang tersengih tadi? Takde orang?” tanya Mail Keding kepada dirinya sendiri.

Dia kembali menoleh ke hadapan semula. Berderau darah Mail Keding apabila wajahnya bertembung dengan wajah Deris Mamak. Mail keding hampir terjatuh tetapi tangan kanannya berjaya ditaut oleh Deris Mamak.

“Kau ni dah kenapa tiba tiba keluar. Menyirap darah aku Ingat siapa tadi! Terkejut aku!” marah Mail Keding.

“Hehehe. Maaflah. Aku tunggu dalam lama. Ingat kenapa kau tak naik? Tak sangka kau terperanjat pula,” jelas Deris Mamak lalu melepaskan pegangan tangannya.

Mail Keding merasakan tangannya yang dipegang oleh Deris Mamak tadi diselimuti oleh debu debu tanah.

“Tangan kaupun ada tanah?”

“Tadi aku gali ubi. Perut lapar sangat. Itu yang badan aku penuh dengan debu tanah. Nak mandi air takde.”

“Kasihan kau. Jomlah cepat kita pergi rumah aku. Rasa rendang semua dah siap.”

Deris Mamak mengangguk dan mereka berdua masuk ke dalam rumah.

“Hehehehe,” sayup sayup kedengaran entiti tersengih dari kejauhan.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.