Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,382
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 11

(Dalam bab sebelum ini, Maznah masih berteka teki dengan agenda sebenar suaminya. Dan hatinya bertambah gusar apabila terpandang tajuk besar pada lembaran akhbar. Apakah Maznah menemui jawapannya?)

Maznah mengetap bibir berkali-kali apabila teringatkan tajuk akhbar yangdijumpainya itu. Jika benar telahannya itu, memang sah suaminya itu miang keladi.Masih tidak sedar yang diri  sememangnya sudah tua. Sudahlah pula, rakan baik suaminya iaitu Mail juga berkahwin dua kali. Hal itu yang semakin merisaukan Maznah kerana dia memang tahu keakraban suaminya dengan Mail sejak dahulu lagi. Sekejap-sekejap dia memandang Zaki dan cepat-cepat dia mengalihkan pandangan kepada katalognya semula apabila dia menyedari Zaki menyedari pandangannya sejak tadi.

            “Apa yang awak tengok sejak tadi ni?” tanya Zaki yang bangun dari kerusi malas apabila terasa pinggangnya agak kebas. Memang dia perasan isterinya itu sebentar-sebentar mengalih pandang kepadanya. Bertambah hensem ke aku ni? Zaki juga perasan isterinya itu tiba-tiba suka berdandan pula tetapi dia tidak terlalu kisah tentang hal itu.Apa yang difikirkan sekarang ialah gelaran bintang yang akan disandang tidak lama lagi sehingga namanya menjadi tersohor di serata tempat.

            “Katalog.” Jawab Maznahsepatah.

            “Nak beli apa lagi? Tak cukup lagi ke barang-barang dalam rumah ni?” pelik juga Zaki melihatkan ragam isterinya itu yang sukakan sesuatu yang baru. Baru sahaja bulan lepas,isterinya itu membeli cadar baru. Katanya sayang ada jualan penghabisan stok.Ini barang apa pula ni.

            “Ada la.” Jawab Maznah acuh tidak acuh.

            “Apa-apa je la. Ni awak tolong ke dapur sebentar. Ambilkan madu saya..”

            “Apa?!” jerit Maznah.Perkataan ‘madu’ baginya amat sensitif buat ketika ini.

            Terperanjat Zaki mendengarkan jeritan Maznah yang diakui agak lantang suaranya. Agaknya kalau Maznah menjadi guru disiplin, memang kecut perut anak-anak muridnya apabila setiap kali Maznah menjerit. Serta merta juga Sofea yang turut mendengarkan jeritan ibunya itu terkocoh-kocoh keluar dari bilik dengan lengkap bertelekung.

            “Kenapa ni? Kenapa ni?”tanya Sofea yang diasak perasaan ingin tahu apabila melihatkan rona muka ibunya merona merah.

            “Tanya la ayah kau ni!”Maznah memeluk tubuh dan menjeling tajam kepada Zaki yang masih lagi terpinga-pinga.

            “Kenapa ayah?” Sofea memandang ayahnya pula. Sofea dapat mengagak ini pasti berkaitan dengan topik di akhbar itu.

            “Entah. Suruh ambik madu je pun dah menjerit macam orang kena histeria. Apa yang terkejut sangatnya tu? Bukannya ayah suruh dia proseskan madu.”

            “Memang tu yang abang nak kan.” Maznah tetap tidak mahu mengalah. Mahu sahaja dia memberitahu suaminya itu bahawa memang dia yang menyorokkan akhbar itu.

            “Saya memang nak madu.Dah tu kenapanya? Apa yang tak kenanya?” Zaki semakin tidak faham dengan peel isterinya ini.

          Buntang mata Maznah mendengarkan pengakuan ikhlas suaminya manakala Zaki pula menggeleng-geleng kepala tidak mengerti.

            “Pea, kau dengar sendiri kan. Kan mak dah cakap apa yang mak cakap semalam tu betul. Ayah kau ni memang dah miang keladi”

            Sofea menggeleng kepala.Memang dia sudah agak. Topik akhbar itu yang didebatkan.Sofea malas masuk campur. Sebagai langkah selamat dia tidak mahu melibatkan diri dalam pertelingkahan itu.  Baru sahaja dia ingin melangkah dari situ tiba-tiba Zaki memanggil namanya.

            “Pea..tolong kuatkan volume tu.” Arah Zaki sambil matanya buntang melihat paparan televisyen.

            Sofea tidak jadi melangkah. Dia menuruti permintaan ayahnya walaupun dia juga teruja untuk mengetahui apa yang ingin didengar oleh ayahnya itu.

            “Wah, ini lah dia!”jerit Zaki mengejutkan Maznah dan Sofea yang masih berada di situ.

            Maznah  terus sahaja mengalih pandang kepada televisyen. Pencarian suara emas ? Peluang menjadi bintang? Zaki terus sahaja bangun dari kerusi dan tersengih-sengih sedangkan baru sebentar tadi berlaku pertelingkahan suara dengan isterinya. Secara drastik pula Zaki menari-nari dihadapan televisyen tanpa menghiraukan pandangan isteri dan anak perempuannyayang sudah pun terlopong mulutnya.

            Seketika kemudian Maznah memandang Sofea tetapi Sofea terlebih dahulu mengangkat-angkat kening kepadanya. Maznah tahu maksud Sofea kerana Sofea pasti menuntut oven kegemarannya jika telahannya betul. Sementara Maznah pula menuntut Sofea membawanya ke saloon jika telahannya pula betul dan kini ternyata pemenangnya ialah Sofea! Maznah menarik nafas lega, walaupun duitnya bakal melayang tetapi hatinya sedikit lega kerana telahannya meleset. Tetapi kini ada sesuatu yang baru pula yang dirisaukannya!.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.