Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
12,304
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab 7

“Tak ke perpustakaan ke hari ni?” tanya Isya sambil memerhati gerak geri Tini dengan ekor matanya. Nampak seperti Tini sedang runsingkan sesuatu.

“Pergi,” jawab Tini ringkas.

“Tak nampak pulak buku-buku yang biasanya awak pinjam,” tanya Isya lagi mengubah posisi duduknya.

“Oh, tak sempat tapi lepas-lepas ni nak ke sana lagi. Nak ikut ke?”

Isya ketawa mendengarkan pelawaan Tini. Mana mungkin Tini tidak tahu tentang sikap Isya yang kurang gemar ke perpustakaan melainkan dalam keadaan tertentu sahaja.

“Kalau pergi sana pun bosan juga, nanti aku yang tertidur susah juga.”

“Tapi tadi baru je saya nampak Ain kat dalam perpustakaan tu.” Akhirnya Isya membuka mulut tentang apa yang dilihatnya di perpustakaan sebentar tadi.

Isya mengerut dahi. Ain di perpustakaan?

“Betul ke atau pelanduk dua serupa?” Isya berminat untuk mengetahui lebih lanjut.

“Betul. Tak kan saya nak tipu pula.” Tini meyakinkan Isya supaya mempercayai kata-katanya.

“Dia dengan Syikin?”

“Tak.”

“Habis tu?”

Tini diam sebentar namun dia nekad untuk memberitahu tentang apa yang dilihatnya.

“Dia dengan Izwan,” jawab Tini perlahan.

“Izwan? Apa yang mereka berdua buat kat sana? Study?” Agak janggal kedengaran Ain dan Izwan belajar di perpustakaan namun Isya masih tetap bertanya.

“Nampak macam mereka sedang berbincang sesuatu mungkin…mungkin tentang awak, Isya.” Tini begitu berhati-hati menuturkan satu demi satu patah perkataan.

*****

“Kau pergi mana tadi lepas kelas? Aku ingat kau dah balik dulu rupa-rupanya rumah tak ada orang.” Syikin menyambut kepulangan Ain yang tiba agak lewat daripada kebiasaannya.

“Biarlah aku pergi mana-mana pun.” Ain tiba-tiba berasa kurang selesa pula dengan pertanyaan Syikin.

“La, tak kan tanya pun tak boleh? Sebelum ni aku tanya kau okey saja, kali ni nak marah-marah kenapa pula?” Syikin berasa pelik dengan sikap Ain pada kali ini.

Tiba-tiba balik dalam keadaan marah-marah pula.

“Mood aku memang tak baik hari ni jadi jangan nak menambahkan marah aku pula.”

“Siapa pula yang buat kau moody macam ni?” Syikin tidak faham dengan kata-kata Ain. Ain tujukan kata-kata itu kepada siapa sebenarnya?

“Kau tak payah tahulah, tak ada kaitan dengan kau pun.” Ain tergesa-gesa masuk ke dalam bilik. “Kelas petang ni aku tak datang tahu. Nanti tolong bagitahu Encik Amir yang aku kurang sihat.” Sempat Ain memberi pesanan kepada Syikin sebelum menutup pintu bilik.

Syikin menggeleng kepala melihatkan kelakuan Ain.

*****

Isya berdiri lama di hadapan papan kenyataan yang menampalkan aktiviti-aktiviti yang boleh diikuti oleh para pelajar di situ. Entah kenapa hatinya bagai ditarik-tarik untuk melangkah ke situ. Kebiasaannya sebelum ini dia tidak berminat untuk membaca notis-notis di situ dan gerak langkahnya juga sering tergesa-gesa sahaja untuk masuk ke kelas.

“Isya!” Bahu Isya ditepuk dari belakang.

“Kau buat apa berdiri kat sini?” tanya Syikin yang hanya datang berseorangan.

“Oh, entahlah tiba-tiba kaki aku nak berdiri kat sini,” jawab Isya tersengih-sengih.

“Macam-macamlah kau ni.”

“Mana Ain?” Isya memandang kiri dan kanan untuk mencari kelibat Ain.

“Tak datang, katanya tak sihat. Entah apa yang tak sihat pun tak tahu. ” Syikin berterus-terang sahaja kepada Isya lagipun tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Eh, tapi bukannya selepas kelas pagi tadi dia ada pergi perpustakaan ke?” Isya mula berasa pelik.

“Perpustakaan? Buat apa pula dia ke sana? Dia tu bukannya minat ke perpustakaan. Entah aku pun tak tahu sebab aku balik dulu tadi.”

Isya diam seolah-olah memikirkan sesuatu. Mana mungkin Tini menipu pula tapi memang agak pelik juga apabila Ain ke perpustakaan hanya berdua bersama Izwan. Benarkah mereka sedang merancang sesuatu?

Previous: Bab6-ii
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.