Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
12,312
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab4-ii

“Ambillah.” Tini masih cuba menghulurkan plastik itu apabila melihat Isya seperti teragak-agak untuk mengambilnya.

Akhirnya Isya mengambilnya namun dengan pelbagai persoalan yang tidak terluah.

“Happy birthday!”

Isya terkejut mendengar ucapan Tini. Isya sendiri tidak menyangka Tini mengingati tarikh hari lahirnya. Disangkakan tiada siapa yang mengingatinya namun ternyata tekaan Isya meleset. Patutlah sebelum ini Tini bersungguh-sungguh bertanyakan tentang tarikh hari lahirnya.

“Maaf lambat bagi ucapan. Dah malam baru ucap. Tadi pun pergi beli lepas ibu dan ayah saya datang melawat petang tadi.”

“Kau pergi dengan apa?”

“Dengan bas. Ada kawan sekelas pun nak ke bandar juga tadi.”

Isya mengangguk sambil tangannya masih tidak lepas memegang plastik merah yang masih tidak diketahui apa isi di dalamnya. Sanggup Tini bersusah payah membelikan hadiah untuknya. Entah mahu berasa kasihan atau gembira pada ketika ini.

“Terima kasih.”

Berulah Isya membuka perlahan-lahan plastik merah yang mengandungi sebuah kotak sederhana besar dan berbalut cantik. Isya berasa sedikit kekok untuk membuka kotak di hadapannya ini lebih-lebih lagi apabila diperhatikan oleh Tini.

“Cantik. Terima kasih.” Sekali lagi Isya mengucapkan terima kasih.

Sebenarnya dia sendiri masih terkejut dengan pemberian Tini yang tidak diduga ini beserta ucapan hari lahir. Ain dan Syikin sendiri tidak memberikan sebarang ucapan. Mungkin sahaja mereka lupa, ya tepat sekali. Mereka sememangnya pelupa lebih-lebih lagi apabila melibatkan tarikh-tarikh penting. Ketika berseronok dari petang sehingga ke malam, tiada satu pun ucapan birthday yang diucapkan oleh Ain dan Syikin kepadanya. Namun Isya tidak mahu berjauh hati kerana dia sudah kenal perangai kawan-kawannya seperti itu. Mama dan abahnya juga tidak mengirimkan sebarang ucapan untuknya melainkan kiriman duit belanja yang terlebih cukup.

Sehelai tudung berwarna ungu lembut kini sudah melekap di kepala Isya. Itu pun setelah diminta berkali-kali oleh Tini untuk Isya mencubanya.

“Cantik tak?” tanya Tini.

“Cantik tapi macam labuh sangat la pulak. Macam kurang kena,” balas Isya tetapi segera dia menutup mulut apabila melihat riak wajah Tini yang mula berubah.

“Aah labuh sikit. Dah terbiasa beli yang jenis macam ni tapi awak tak kisah kan?”

Isya diam. Tidak sampai hati pula dia untuk dia berterus terang kepada Tini yang dia kurang berminat dengan kelabuhan tudun seperti itu. Dapat dia bayangkan usikan laser Ain dan Syikin apabila melihat dia memakai tudung selabuh itu.

“Oh, awak pun dapat bunga. Hadiah hari lahir juga ke ni?”

Isya membulatkan matanya apabila mendengar pertanyaan Tini membuatkan Isya segera menyembunyikan bunga yang masih ada di atas katilnya. Tindakan drastik Isya itu membuatkan Tini terkejut.

“Bunga ni, er bunga ni aku  yang beli sendiri sebab..sebab cantik,” Tergagap-gagap Isya menjawab pertanyaan Tini walaupun itu bukanlah jawapan yang sebenar.

“Bunga? Oh, tak tahu pula yang awak suka bunga.”

“Hm.. Entahlah, aku  pun tak sangka.” Isya tersengih-sengih. “Kau suka ke bunga tu? Kalau suka kau ambil je lah bunga  tu.”

“Eh, bukan ke tadi awak kata awak suka ke bunga tu?” Tini kehairanan dengan sikap Isya.

“Tak apalah, ambil je lah. Lagipun kau pun dah bagi hadiah tudung ni kan. Jadi ni sebagai balasan hadiah juga lah.” Isya terus sahaja mengambil semula bunga tadi lalu dihulurkan kepada Tini.

“Tapi saya tak minta balasan pun.”

“Tak apa, ambil sajalah. Tanda terima kasih sebab ingat hari lahir.” Isya masih berdegil untuk memberikan bunga itu kepada Tini dan akhirnya Tini menerima sahaja bunga itu.

“Terima kasih.” Teragak-agak Tini mengambil bunga dari tangan Isya.

Isya menarik nafas lega.

*****

Puan Mastura terjaga dari tidur. Entah mengapa kebelakangan ini dia teringat kepada Isya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Birthday Isya!

Puan Mastura mencapai handphone yang ada di tepinya lalu dia segera menaip sesuatu di skrin. Buat seketika dia menghela nafas. Sudah jam 2.00 pagi pasti Isya sedang diulit mimpi. Mungkin sahaja Isya sudah gembira dengan  kehidupan baru di kampus namun pertanyaan suaminya siang tadi membuatkan dia juga terfikirkan perkara yang sama.

“Anak kesayangan awak tu dah tak nak balik rumah ke?”

Puan Mastura mengerut dahi mendengarkan pertanyaan suaminya kerana sebelum ini tiada pula suaminya itu bertanyakan tentang Isya.

“Hmm, ingat pula abang kat si Isya tu. Ingat kan dah lupa.”

Encik Azli mengetap bibir tanda tidak berpuas hati dengan jawapan isterinya itu.

“Saya tanya sebab motor dia tu dah tersadai lama kat rumah ni. Dulu dia juga beria benar nak kan motor. Sekarang tinggal macam tu je. Kalau dah tak nak baik dijual je motor tu.”

Puan Mastura terkejut dengan jawapan suaminya. Disangkanya suaminya itu bertanyakan tentang diri Isya namun perihal motor pula yang dirisaukan.

“Tak payahlah sampai nak dijual motor tu. Nanti Isya tu merajuk pulak.”

Puan Mastura tahu Isya sangat sayangkan motor kepunyaannya  itu.  Sejak zaman sekolah menengah lagi Isya meminta untuk membelikan motor untuknya walaupun timbul juga keraguan untuk menuruti kehendak Isya ketika itu  namun Isya tetap berkeras mahukan motor itu untuk memudahkannya bergerak ke mana-mana. Sudahnya selepas melanjutkan pelajaran di kampus, Isya seolah-olah lupa dengan motor kesayangannya itu.

“Ah, asyik merajuk je tahu!”

Encik Azli mencapai kunci kereta lalu bersedia untuk keluar.

“Nak ke mana pulak tu? Tak nak makan dulu ke?” Puan Mastura bersuara hiba. Dia sendiri tahu suaminya lebih gemar makan di kedai berbanding di rumah.

“Keluar jumpa kawan-kawan sekejap.”

“Keluar lagi?”

“Sekejap je, bukan lama pun.”

Encik Azli menjeling sekilas wajah isterinya yang masam mencuka. Dia terus sahaja keluar lalu menghidupkan enjin kereta.

“Asyik pentingkan kawan-kawannya je.” Puan Mastura berasa sedikit kesal.

****

Previous: Bab 4
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.