Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
10,687
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab5-ii

“Kau tak rasa pelik ke dengan perangai Izwan?” Tiba-tiba Syikin tergerak hati untuk bertanyakan soalan itu kepada Ain.

“Apa yang pelik?”

“Macam agak tergopoh-gopoh je nak dekat-dekat dengan Isya. Kau rasa betul ke Izwan tu sukakan Isya?”

Sebenarnya Syikin sudah lama ingin bertanyakan hal itu kepada Ain memandangkan dia sendiri melihat Ain lebih rapat dengan Izwan dan Ain sendiri yang beria-ia memperkenalkan Izwan kepada Isya.

“Kenapa kau tanya macam tu?” Ain bertanya acuh tak acuh.

Waktu itu dia sedang membancuh minuman 3 in 1 dengan air panas yang sudah dijerang di dalam heater.

“Aku risau kalau Izwan tu sekadar nak mempermainkan Isya tu. Dari gaya Izwan pun aku dah tahu.” Syikin menyatakan kerisauannya.

“Apa yang kau risau sangat sebenarnya ni?”

“Aku risau la kalau Izwan tu sekadar nak ambil kesempatan pada Isya. Isya tu kan kawan kita. Kau tak kesian ke?”

Isya ketawa mendengar jawapan Syikin. Macam budak-budak.

“Pandai-pandailah mereka settle kan masalah mereka lagipun Isya tu pun bukan jenis melayan. Tengoklah sampai sekarang pun Isya buat tak kisah je kan? Jadi apa yang nak dirisaukan?”

“Kalau kau dah tahu Isya tu jenis tak melayan kenapa pula kau nak kenalkan Izwan tu pada Isya?” Syikin masih tidak berpuas hati.

Ain meneguk perlahan minuman yang sudah siap dibancuh. Matanya memandang Syikin yang masih menunggu jawapannya.

“Kau ni tak habis-habis tanya ni dah kenapa?  Biarkan je lah mereka berdua tu lagipun Izwan tu pun nampak sukakan Isya kan.”

“Tapi aku rasa tak sedap hatilah.” Syikin seperti memikirkan sesuatu.

“Ah, tak payahlah kau fikirkan sangat masalah mereka. Biarkan je lah mereka bahagia. ” Ain berlalu sambil membawa mug berisi minuman ke ruangan beranda. Matahari pagi mula menggigit-gigit kulitnya.

“Kau bila nak bersiap ke kelas?” Syikin masih tidak berpuas hati apabila melihat Ain masih santai sahaja di ruang beranda sedangkan masa untuk kuliah bermula sudah tidak lama lagi.

“Kau pergi dulu pun tak apa. Lepas-lepas ni aku pergilah.”

Syikin menghela nafas.



Lama pandangan Izwan tertumpu kepada meja Tini yang kedudukannya betul-betul berdekatan dengan meja pensyarah. Ada sesuatu yang menarik pandangannya untuk terus memandang ke arah itu.

“Eh, Tini pun ada dapat bunga ros jugak ke? ” Izwan mengusap dagu.

“Ada apa-apa lagi yang belum jelas?” Kedengaran suara Puan Aina yang sememangnya lantang itu memenuhi ruang kelas.

Seketika pandangan Puan Aina beralih kepada Izwan. “Apa yang kamu pandang tu Izwan?”

Ketika soalan itu ditanya, seisi kelas terus menumpukan perhatian kepada Izwan. Ada yang berbisik-bisik. Izwan garu kepala. Tidak disangka kelakuannya disedari oleh Puan Aina.

“Tak ada apa-apa. Tadi saya nampak macam ada lebah pula,” jawab Izwan bersahaja.

“Lebah? Mana datangnya lebah tu?” Puan Aina memandang sekeliling mencari-cari lebah yang dikatakan oleh Izwan.

“Ada puan, kat meja depan tu. Lebah biasanya sukakan bunga. Kat meja depan tu ada bunga nampaknya.”

“Kamu memang suka main-main dalam kelas saya kan!” Suara Puan Aina kembali lantang.

Kedengaran bunyi pelajar-pelajar lain yang mula ketawa tetapi mereka masih menghormati Puan Aina yang masih berdiri di hadapan kelas.

Tini pada ketika itu turut mengalih pandangan kepada Izwan dan ketika itu pandangan mata mereka bertembung membuatkan Tini cepat-cepat mengalihkan pandangannya ke arah lain.

Sebaik sahaja kelas Puan Aina tamat, masing-masing mula buat hal sendiri dan keadaan kelas mula menjadi kecoh. Tini seperti biasa masih menelaah beberapa buah buku yang masih ada di atas meja sedangkan pelajar-pelajar lain sudah pun mula berbual sesama sendiri. Perlahan-lahan Izwan menuju ke arah meja Tini. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.

“Hai Tini, petang ni free tak?”

Terkejut juga Tini apabila disapa seperti itu oleh seseorang yang sudah pun berdiri di depan mejanya. Tini menjeling tanda tidak berminat untuk menjawab soalan Izwan. Bukannya dia tidak kenal perangai Izwan  seperti apa. Adakalanya terlebih peramah dan kuat mengusik sehinggakan hampir semua pelajar perempuan di dalam kelas mahu diajaknya keluar. Tini perasan pandangan mata Izwan tertumpu kepada bunga ros yang diselit di celah buku di atas mejanya untuk dijadikan penanda buku.

Nampaknya Izwan seperti masih menunggu jawapan daripada Tini tetapi Tini masih seperti itu. Tidak melayan.

“Bunga ni ada siapa-siapa yang bagi ke?”

Tini memandang sekilas bunga ros yang kini menjadi tumpuan Izwan lantas dia mengangguk.

“Siapa? Lelaki ke perempuan?”

“Isya.”

“Isya?” Izwan mengetap bibir. Tak salah lagi.

Tini segera berlalu dari situ. Ada sesuatu yang lebih penting untuk dia buat selepas ini berbanding menghabiskan masa dengan Izwan. Izwan pula mengambil handphone dari kocek seluarnya lalu mencari-cari senarai nama seseorang. Seketika dia berfikir di mana tempat sesuai untuk dituju kemudian dia menyambung menghadap handphone.

‘Jumpa di perpustakaan.’

Mesej dihantar.

*****

Previous: Bab 5
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.